31 Mac 2009

PANDUAN BAHASA MELAYU SPM KERTAS 1 - Siri 10



ISU UNTUK PENULISAN KARANGAN

PEMBENTUKAN KELUARGA BAHAGIA
Pengenalan
Ø Keluarga merupakan satu institusi yang amat penting dalam sesebuah masyarakat.
Ø Keluarga juga merupakan wahana kebahagiaan dalam kehidupan seseorang.
Ø Daripada keluarga, terpancarnya sinar kasih sayang di antara ahlinya.
Ø Daripada keluarga, lahir rasa menghormati dan saling memerlukan yang tidak terucapkan.
Ø Daripada keluarga lahirnya insan yang bertanggungjawab terhadap dirinya serta insan lain yang memerlukan.
Ø “Baiti Jannati” atau “Rumahku Syurgaku” merupakan pepatah Arab yang sudah tidak asing lagi dalam kehidupan seharian kita. Rumah merupakan tempat terperciknya sinar kebahagiaan dalam kehidupan seseorang.
Ø Rumah tangga yang bahagia dan ceria akan melahirkan warga yang juga memiliki ciri-ciri kejiwaan yang sihat seperti gembira, yakin akan kebolehan diri dan sebagainya. Seseorang yang dibesarkan dalam keluarga yang bahagia akan sentiasa dihargai dan diberi sokongan moral dalam apa-apa jua perkara yang dilakukannya. Galakan dan perangsang daripada ibu bapa yang penyayang dan adik-beradik yang memahami akan membentuk jati diri yang sempurna di kalangan ahli keluarga itu.
Ø Namun, pepatah ada mengatakan bahawa ‘ bertepuk sebelah tangan, tidak akan berbunyi’.Kita tidak boleh meletakkan tanggungjawab membentuk kebahagiaan keluarga itu di tangan salah seorang ahli keluarga sahaja seperti ibu, bapa atau anak-anak. Setiap ahli dalam sesebuah keluarga itu perlu bersedia memainkan peranan masing-masing untuk saling bertolak ansur, saling memahami serta saling menghormati di antara mereka. Apabila sifat ini dapat diwujudkan oleh setiap ahli dalam sesebuah keluarga, maka suasana yang harmoni akan dapat diwujudkan.

Peranan Ibu Bapa
Suri Teladan Kepada Anak-Anak
Ø Peranan ibu bapa dalam usaha membentuk keluarga “sakinah” adalah amat penting. Ibu bapa perlu menjadi ‘role-model’ kepada anak-anak.
Ø Mereka harus sentiasa menunjukkan teladan yang baik untuk dicontohi oleh anak-anak. Sebagai contoh, seorang bapa perlu berinteraksi dengan sopan dan lemah-lembut dengan isteri dan anak-anaknya. Ibu dan bapa juga perlu saling menghormati di antara satu sama lain. Apabila anak-anak melihat keharmonian kedua-dua orang tua mereka, mereka juga akan meneladani sikap baik itu apabila berinteraksi sesama mereka. “Bapa borek, anak rintik” .
Ø Jika contoh yang negatif diperlihatkan oleh ibu bapa kepada anak-anak. Pertengkaran, maki hamun serta penderaan suami terhadap isteri bukan sahaja akan menjejaskan perkembangan jiwa anak-anak, tetapi juga akan menjejaskan hubungan di kalangan anak-anak. Mereka juga akan sentiasa bertengkar dan tidak menghormati satu sama lain. Jika hal ini terjadi, rumah akan menjadi neraka kepada anak-anak. Apabila kebahagiaan di rumah tidak dapat dinikmati, maka anak-anak akan berusaha mendapatkannya daripada kawan-kawan dengan berpelesiran serta melepak di pusat-pusat beli belah. Adalah lebih malang lagi jika apabila anak-anak itu berumah tangga kelak, mereka akan mengulangi sejarah yang tidak berkesudahan yang telah diwarisi oleh mereka daripada kedua-dua orang tua mereka.

Melengkapkan Diri Dengan Ilmu Keibubapaan
Ø Ibu bapa perlu melengkapkan diri mereka dengan pengetahuan keibubapaan bagi memahami tanggungjawab besar yang terletak di atas bahu mereka dalam memastikan kebahagiaan keluarga mereka.
Ø Hal ini boleh dilakukan oleh bakal-bakal ibu dan bapa dengan mengikuti kursus-kursus praperkahwinan serta kursus selepas berkahwin yang dikendalikan oleh pejabat agama daerah masing-masing. Dalam kursus-kursus tersebut, suami isteri akan mendapat ilmu untuk melahirkan sebuah keluarga yang bahagia melalui ceramah dan bengkel-bengkel yang dikendalikan oleh penceramah-penceramah yang berwibawa. Selepas mendapat ilmu tersebut, perkara yang lebih penting adalah bagi mereka mempraktikkannya untuk melahirkan sebuah rumah tangga yang penuh dengan sinar kebahagiaan.Memberi Perhatian dan Kasih Sayang
Ø Pada era yang penuh dengan persaingan yang sengit ini, masyarakat bertambah sibuk dengan usaha mencari nafkah bagi meningkatkan taraf hidup masing-masing. Hal ini disebabkan kos sara hidup masa kini yang semakin meningkat.
Ø Statistik telah menunjukkan bahawa hampir 90 peratus ibu yang bekerja hanya bercakap dengan anak-anak mereka selama empat minit sehari. Hal ini merupakan perkara yang amat menyedihkan kerana anak-anak merupakan golongan yang memerlukan kasih sayang dan perhatian yang secukupnya daripada ibu bapa mereka. Oleh itu, demi membentuk keluarga yang bahagia, ibu bapa yang merupakan peneraju kehidupan dalam sesebuah keluarga perlu meluangkan masa yang berkualiti bersama-sama dengan anak-anak mereka.
Ø Pada masa ini, kerajaan telah mengumumkan hari Sabtu pertama dan ketiga setiap bulan sebagai cuti umum. Manakala pihak swasta pula , turut memberikan pelepasan kepada para pekerja mereka pada Sabtu pertama setiap bulan. Seharusnya, ibu dan bapa merebut kesempatan ini untuk bermesra dengan keluarga sambil merehatkan minda setelah penat bekerja. Menghabiskan waktu cuti dengan berkelah atau berekreasi bersama keluarga akan memberi peluang kepada ahli keluarga untuk berhibur di samping meluangkan masa untuk mengeratkan hubungan di antara mereka. Sekiranya masa yang berkualiti untuk bersama-sama dengan anak-anak, tidak mustahil kebahagiaan dalam sesebuah keluarga akan dapat diwujudkan.

Memberi Didikan Agama dan Moral
Ø Didikan agama dan moral yang sempurna di kalangan generasi muda juga dapat menyumbang ke arah pembentukan sebuah keluarga yang bahagia. Hal ini disebabkan, pegangan agama serta nilai moral yang kuat dapat membentuk nilai sahsiah yang tinggi di kalangan generasi muda. Kualiti ini akan melahirkan ibu dan bapa yang bertanggungjawab serta dapat memikul tugas membangunkan rumah tangga dengan efektif. Golongan yang berpendidikan agama ini akan mampu mewujudkan persefahaman dan perasaan tolak ansur sesama suami isteri. Kesabaran kerana iman yang tebal juga akan mengelakkan keluarga daripada bercerai-berai disebabkan alasan yang kadang kala tidak munasabah.
Ø Sebagai ibu dan bapa, kita perlu memberi didikan agama yang kukuh serta menerapkan nilai-nilai akhlak dan moral di kalangan anak-anak. Anak-anak yang sopan akan menghormati orang tua mereka serta saling bekerjasama sesama adik beradik. Yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing. Hati kuman sama dicecah, hati gajah sama dilapah. Maka, jika semangat ini dapat diwujudkan dalam jiwa setiap ahli keluarga oleh ibu bapa, sudah pasti sebuah keluarga yang mantap dan harmoni akan dapat dilahirkan.

Penutup
Ø Keluarga yang harmoni dan bahagia hanya akan dapat diwujudkan jika setiap individu yang menganggotainya telah melalui pelbagai proses pemupukan kejiwaan yang berkesan sejak kecil. Kesediaan setiap anggota untuk bersedia berkorban dan bertolak asur sesama mereka akan memudahkan proses pemupukan keluarga harmoni dan bahagia ini. Keluarga Asas Pembentukan Masyarakat. Maju keluarga, majulah masyarakat. Pincang keluarga, musnahlah masyarakat.

30 Mac 2009

PENGETAHUAN DAN KEMAHIRAN BAHASA Siri 10


LATIHAN MENUKARKAN AYAT PASIF KEPADA AYAT AKTIF

Tukarkan ayat-ayat pasif di bawah kepada ayat aktif tanpa mengubah maksud asalnya.

1. Mesin tebu itu telah dibaiki oleh Pak Abu.

2. Encik Tarmizi telah dilantik oleh ahli persatuan sebagai bendahari.

3. Lesen memandu hendaklah engkau perbaharui segera.

4. Pokok rambutan jantan itu saya tebang kelmarin.

5. Rumah peserta PPRT kami bina secara bergotong-royong.

6. Sebentuk cincin berlian dibeli oleh Ramli untuk Jamilah.

7. Perintah itu dititahkan oleh sultan kepada Laksamana Khoja Hassan.

8. Tugas itu dijalankannya dengan penuh tanggungjawab.

9. Bantuan kepada mangsa gempa bumi di Sumatera kami hulurkan.

10. Elesa dihadiahi Kamil sebuah kamera digital yang mahal.

11. Segala nasihat dan teguran daripada ibu bapa dan pembaca akhbar ini kami hargai dalam usaha meningkatkan mutu pendidikan di negara kita.

12. Dahan-dahan pokok yang menghalang laluan kenderaan berat itu dicantas oleh beberapa orang pekerja Jabatan Kerja Raya.

13. Untuk membanteras kemiskinan dalam kalangan rakyat berbagai-bagai cara telah dilakukan oleh kerajaan.

14. Kadar faedah yang tinggi ditawarkan oleh syarikat itu kepada pelabur yang ingin melabur
dalam projek yang dijalankan itu.

15. Barang-barang perhiasan yang diperbuat daripada tembaga itu digilapnya sehingga berkilat.

16. Orang ramai telah diperingatkan oleh pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri agar menjelaskan cukai pendapatan bagi tahun taksiran 2007 dengan segera.

17. Masyarakat diseru oleh kerajaan agar berganding bahu dengan mereka untuk menghapuskan kegiatan cetak rompak .

18. Lagu-lagu kegemaran pendengar selalu disiarkan oleh juruhebah kesukaan ramai itu sehingga rancangan yang dikendalikannya sering mendapat sambutan yang menggalakkan.

19. Ahmad diisytiharkan oleh Canselor Universiti Teknologi Malaysia sebagai Graduan Terbaik Fakulti Kejuruteraan.

20. Segala aduan dan rasa tidak puas hati peserta terhadap pengendalian pertandingan itu dipandang sepi oleh jawatankuasa pertandingan wau itu.

PENGETAHUAN DAN KEMAHIRAN BAHASA Siri 9


LATIHAN MENUKARKAN AYAT AKTIF KEPADA AYAT PASIF

Tukarkan ayat-ayat aktif di bawah kepada ayat pasif tanpa mengubah maksud asalnya.

1. Guru disiplin menahan pelajar itu selepas perhimpunan kerana melanggar peraturan sekolah.

2. Ibu bapa sewajarnya mengawal anak-anak supaya mereka tidak bergaul dengan budak- budak nakal.

3. Guru Bahasa Melayu menghadiahi pelajar itu sebatang pen setelah berjaya memperoleh gred A dalam peperiksaan SPM.

4. Kakitangan di syarikat itu bakal menerima bonus tiga bulan gaji pada penghujung tahun ini.

5. Pekedai tidak boleh menaikkan harga barang-barang keperluan sewenang-wenangnya khususnya pada musim perayaan.

6. Pelancong dari luar negara sering melawati tempat-tempat peranginan yang indah itu.

7. Ibu saya menjual kuih-muih tradisional di pasar tani pada setiap hujung minggu.

8. Kami akan mendaki Gunung Kinabalu pada bulan Disember nanti.

9. Pembantu rumahnya menghidangi tetamu makanan yang lazat.

10. Ruang udara yang berjerebu itu telah menjejaskan pernafasannya.

11. Saya telah menulis satu karangan tentang teknologi maklumat di Malaysia.

12. Kerajaan akan mengurangkan perbelanjaan sektor awam terutama perkhidmatan.

13. Engkau hendaklah memperbaharui lesen memandumu dengan segera.

14. Beliau menyampaikan cenderamata itu kepada Menteri Pelajaran Malaysia.

15. Kerajaan akan memberikan bantuan pakaian dan kewangan kepada pelajar-pelajar miskin.

16. Polis trafik akan mengadakan operasi besar-besaran pada musim perayaan bagi mencegah kemalangan jalan raya terutama melalui Ops Sikap.

17. Kerajaan akan memperlebar dan memperdalam Sungai Kerayong melalui projek Terowong SMART.

18. Kilang itu memberhentikan pengeluaran beras untuk sementara waktu.

19. Masalah pengangguran di negara kita dapat dikurangkan oleh kerajaan dengan menghantar pekerja asing pulang.

20. Kita perlu menghulurkan bantuan kepada anak yatim.

29 Mac 2009

TERIMA KASIH MRSM TAWAU !

Terima kasih saya ucapkan kepada:
Pengetua MRSM Tawau ( Encik Wan Abd Ghani)
Timbalan Pengetua Hal Ehwal Akademik (Encik Sulaiman)
Ketua Jabatan Bahasa MRSM Tawau (Puan Razimah)
Ketua Jabatan Sains Sosial MRSM Tawau (Encik Afendi)
Guru Kanan Bahasa Melayu (Encik Wan Azmil)
dan guru-guru Bahasa Melayu MRSM Tawau yang telah mengundang saya untuk menyampaikan ceramah teknik menjawab Kertas 2 Bahasa Melayu SPM. Sambutan yang diberikan oleh pelajar-pelajar tingkatan 5 terhadap program yang diadakan pada 28 Mac 2009 itu amat memberangsangkan. Keramahan pelajar menyenangkan hati kami.Terima kasih sekali lagi kepada Encik Afendi dan Puan Razimah (suami isteri) yang sanggup meluangkan masa melayan kami berdua (isteri) semasa di Tawau termasuk menghantar kami ke lapangan terbang. Budi anda berdua tetap kami kenang. Semoga kelahiran anak sulung nanti memberikan rezeki yang lebih dan berkat. Salam dan doa tulus daripada kami berdua. Amin.
Terima kasih kepada Cikgu Wan Azmil atas kiriman gambar-gambar ini.
(c) cikgumie

25 Mac 2009

PANDUAN BAHASA MELAYU SPM KERTAS 1 Siri 9

Pendahuluan Karangan SPM
oleh: cikgu khir kassim http://khirkassim.blogspot.com/
Cara Menulis Pendahuluan Karangan dengan Menggunakan Teknik FACLK
Cikgu mendapati bahawa masih banyak anak murid cikgu yang kurang faham dan menghadapai masalah untuk menulis perenggan pendahuluan yang mantap. Jadi, kali ini cikgu akan membincangkan cara atau panduan untuk menulis pendahuluan karangan. Hal ini perlu diberi perhatian kerana terdapat juga murid yang tidak mementingkan aspek pendahuluan dalam karangan. Buktinya, ada murid yang menulis dua ayat sahaja dalam pendahuluan karangannya. Selain itu ada juga murid yang menulis dua ayat tanya dalam perenggan pendahuluannya. Jadi, siapakah yang akan menjawab soalan tersebut? Jika perkara ini berlaku sudah pastilah markah pendahuluan akan kurang dan markah keseluruhan karangan akan terjejas terutamanya dalam peperiksaan STPM. Karangan yang baik seharusnya mempunyai pendahuluan yang diolah dengan baik dan seimbang dengan perenggan-perenggan yang lain.Sebenarnya, terdapat banyak cara untuk menulis pendahuluan karangan seperti yang terdapat dalam buku-buku panduan menulis karangan di pasaran. Ada penulis yang menyarankan pelbagai cara seperti pendahuluan jenis definisi, sejarah, berdasarkan pandangan tokoh-tokoh, dan sebagainya. Jadi, dalam paparan kali ini saya mencadangkan satu cara lagi untuk memudahkan murid berfikir dan menulis pendahuluan karangan tersebut dengan menggunakan teknik FACLK. Diharapkan teknik ini akan meningkatkan pengetahuan murid untuk menulis pendahuluan karangan, selain yang biasa digunakan oleh murid-murid.Teknik FACLK (Fokus, Akibat, Contoh, Langkah, Kepentingannya)Teknik ini memerlukan murid-murid membina ayat pertama dengan merujuk fokus penyataan (F) dalam soalan. Kemudian, ayat kedua iaitu akibat (A) daripada ayat pertama tadi. Selepas itu, bina pula ayat ketiga iaitu contoh (C) yang boleh dikaitkan dengan penyataan soalan. Seterusnya, murid-murid perlu membina ayat keempat, iaitu langkah (L) dan ayat kelima ialah kepentingannya (K) berdasarkan langkah yang telah diambil tadi. Kemudian, masukkan peribahasa atau gunakan ungkapan menarik, yang dirasakan sesuai dalam mana-mana ayat pendahuluan itu tadi. Jika murid-murid dapat menulis ayat yang ada pertalian rapat antara satu ayat dengan ayat yang lain, sudah pasti pendahuluan itu menjadi satu pendahuluan yang menarik dan mantap. Soalan Contoh 1Kerajaan telah berusaha untuk membanteras gejala rasuah, namun amalan yang berakar umbi dalam kalangan masyarakat ini masih wujud.Pada pendapat anda, mengapakah masalah rasuah perlu dibendung?Perenggan Pendahuluan Contoh 1Kebelakangan ini, kes rasuah semakin bertambah dan nampaknya sukar dibanteras kerana melibatkan pegawai kerajaan dan swasta, ahli politik, dan orang awam. (F) Keadaan ini membimbangkan kita kerana jika dibiarkan, sudah tentu perkara ini akan menjadi seperti api di dalam sekam. (A) Fenomena ini sekali gus akan melahirkan masyarakat yang tiada integriti, contohnya jika seseorang pegawai menawarkan rasuah untuk menutup kesalahan dirinya daripada landasan undang-undang, jelaslah betapa rendahnya akhlak dan maruah dirinya. (C) Oleh itu, semua pihak harus berusaha untuk membanteras gejala rasuah agar masyarakat Malaysia yang amanah dan berintegriti dapat dilahirkan. (L) Hal ini perlu dititikberatkan kerana rasuah perlu dibanteras dari awal iaitu, mencegah lebih baik daripada mengubati sesuatu penyakit. (K)Soalan Contoh 2Bangunan bersejarah tinggalan penjajah pada zaman penjajahan perlu dikekalkan kerana mempunyai nilai warisan yang tinggi.Jelaskan kelebihan bangunan bersejarah tersebut.Perenggan Pendahuluan Contoh 2Bangunan bersejarah tinggalan penjajah pada zaman penjajahan memang banyak terdapat di negara kita yang perlu dikekalkan kerana mempunyai nilai warisan yang tinggi. (F) Bangunan tersebut boleh dijadikan fakta sejarah yang menarik pelancong asing ke negara kita. (A) Oleh itu, Pulau Pinang dan Melaka yang telah diisytiharkan sebagai tapak warisan dunia oleh UNESCO baru-baru ini masih banyak memiliki bangunan bersejarah seperti di Fort Cornwalis di Pulau Pinang dan Bangunan Stadhuyst di Melaka. (C) Jadi, kerajaan kedua-dua buah negeri tersebut perlulah mengekalkan bangunan-bangunan bersejarah tersebut jika tidak mahu perisyhtiharan itu ditarik balik. (L) Oleh itu, langkah yang diambil oleh UNESCO itu perlu disokong kerana hal ini pasti meningkatkan imej negara. (K)Murid-murid harus menyedari bahawa perenggan pendahuluan sama pentingnya dengan perenggan isi dan perenggan penutup. Perenggan pendahuluan juga akan memberikan gambaran atau impression awal tentang keseluruhan karangan murid-murid. Oleh hal yang demikian, cubalah berlatih untuk menulis pendahuluan karangan dengan menggunakan teknik ini. Sebenarnya, banyak cara lagi untuk menulis pendahuluan karangan dan cikgu mendangkan satu lagi teknik tambahan kepada murid-murid. Jadi, murid-murid mempunyai banyak cara yang boleh dipilih untuk menulis perenggan pendahuluan. Bagi calon-calon STPM, biasakan diri dengan menulis perenggan pendahuluan karangan yang panjangnya lebih kurang 90 hingga 100 perkataan. Bagi calon-calon SPM pula, biasakan diri dengan menulis pendahuluan karangan yang panjangnya lebih kurang 50 hingga 60 perkataan. Bagi calon-calon STPM, ingatlah bahawa markah perenggan pendahuluan sudah ditetapkan sebanyak 3 markah, dan kelemahan perenggan pendahuluan akan menjejaskan markah aspek relevan dan juga mempengaruhi markah pengolahan.Oleh; Cikgu Khir Kassim

PANDUAN BAHASA MELAYU SPM KERTAS 1 Siri 8

AYAT KREATIF / UNGKAPAN MENARIK
sumber: Cikgu Sh. Mohd bin Abdullah GCBM MRSM Alor Gajah

1. Pelaksanaan PLKN adalah berteraskan modul dan acuan kita sendiri yang disesuaikan dengan sosial, budaya dan ekonomi. (Isu PLKN)
2. PLKN menjadi satu mekanisme ke arah kelangsungan proses pembentukan jati diri remaja itu sendiri. (PLKN)
3. Perpaduan adalah nadi kepada kestabilan politik, pembangunan ekonomi dan keharmonian sosial (Isu Perpaduan).
4. Integrasi kaum dan asimilasi budaya hanya dapat dicapai seandainya usaha memupuk perpaduan kaum dimulakan sejak di sekolah rendah lagi ( Isu Perpaduan ).
5. Konsep Sekolah Wawasan harus dilihat dari konteks dan prespektif yang positif iaitu mewujudkan sebuah bangsa Malaysia yang bersatu padu dan bukan bertujuan menghapuskan identiti sesuatu kaum (Isu Sekolah Wawasan ).
6. Perayaan-perayaan di Malaysia telah membuka dimensi baru dalam mengubah corak integrasi nasional di negara ini. (Integrasi Nasional)
7. Warga emas yang diabaikan dan dihantar ke rumah kebajikan masyarakat adalah manifestasi kepada sikap tidak bertanggungjawab dalam kalangan masyarakat moden pada hari ini (Isu Warga tua ).
8. Sikap si anak yang terlalu obses dalam mengejar duniawi menyebabkan mereka leka dan lalai dalam melaksanakan tanggungjawab terhadap ibu bapa (warga tua).
9. Sukan bukan lagi merupakan aktiviti riadah semata-mata malah menjangkau paras sebagai suatu komoditi bertaraf global dari perspektif ekonomi dan sebagai satu bidang kerjaya dari prespektif sumber pendapatan. ( Isu Sukan )
10.Siswazah harus menjadi ejen anjakan paradigma kepada masyarakat dengan memberikan sumbangan yang bermakna kepada pembangunan sosioekonomi negara. ( Isu Kebanjiran Siswazah )

MRSM TRANSKRIAN - TUAN RUMAH KTKD6 MRSM SE-MALAYSIA

Pada tahun 2009 ini, MRSM Transkrian sekali lagi diberi penghormatan oleh pihak MARA untuk menjadi tuan rumah program peringkat kebangsaan. Kali ini, MRSM Transkrian akan menjadi tuan rumag Kejohanan Tae Kwon Do MRSM Se-Malaysia Kali Keenam (KTKD6) . Sebelum ini maktab pernah menjadi tuan rumah untuk Tunas Saintis MRSM Se-Malaysia (Menengah Rendah), Nadwah Islamiah MRSM Se-Malaysia Kali Kedua dan Minggu Bahasa MRSM Se-Malaysia Kali ke-23.
Semoga pihak kami diberi Allah, keupayaan dan kemampuan mengendalikan kejohanan ini. Insya-Allah
(c) cikgumie

24 Mac 2009

PENGETAHUAN DAN KEMAHIRAN BAHASA Siri 8

PENGUASAAN TEKNIK MENJAWAB
SOALAN PENGETAHUAN KEMAHIRAN BAHASA


Untuk memperoleh markah cemerlang dalam Soalan 3 ( 26-30 markah ), pelajar-pelajar MRSM Transkrian hendaklah memastikan bahawa:

a. ayat-ayat yang dibina dalam soalan 3a merupakan ayat yang matang, yang sesuai dengan tahap pelajar-pelajar tingkatan lima.

b. ayat-ayat yang dibina menampakkan pemahaman pelajar terhadap makna perkataan itu, iaitu ayat-ayat itu dapat menggambarkan maknanya.

c. ayat-ayat yang dibina tidak dijadikan kata nama khas, kata majmuk dan peribahasa.

d. anda menguasai aspek tatabahasa yang betul dan menjadikan buku Tatabahasa Dewan serta Kamus Dewan sebagai rujukan utama .

e. anda mempunyai pengetahuan yang luas tentang kosa kata, ejaan, imbuhan dan peribahasa. Pengetahuan ini penting untuk menjawab soalan 3c,3d dan 3e.

f. anda telah menguasai teknik-teknik memindahkan cakap ajuk kepada cakap pindah atau sebaliknya, menganalisis ayat, menggabungkan ayat dan mencerakinkan ayat. Penguasaan ini penting untuk menjawab soalan 3b.

g. anda memahami arahan pada setiap soalan.

h. jawapan yang dikemukakan bebas daripada sebarang kesalahan tatabahasa..

i. Masa lebih kurang 25-30 minit diperuntukkan untuk menjawab soalan ini.

PENGETAHUAN DAN KEMAHIRAN BAHASA Siri 7

LATIHAN MENGENAL PASTI KESALAHAN EJAAN & KESALAHAN
PENGGUNAAN IMBUHAN
Dalam setiap ayat di bawah, terdapat satu kesalahan ejaan dan satu kesalahan penggunaan
imbuhan. Senaraikan dan betulkan kesalahan-kesalahan itu. Bagi setiap ayat, anda tidak boleh
menyenaraikan lebih daripada satu kesalahan ejaan dan satu kesalahan penggunaan imbuhan.
Anda tidak perlu menyalin ayat itu semula.

(i) Kerajaan sudah melulus undang-undang yang membenarkan pegawai penguatkuasa menahan individu yang berkelakuan tidak bermoral.

(ii) Kenaikkan harga barang sentiasa dipantau oleh pihak berkuasa agar tidak membebankan gulungan berpendapatan rendah.

(iii) Ketua sendiket pemalsuan kad kredit telah diberkas oleh pihak polis dalam penyerbuan semalam.

(iv) Wakil Rakyat di kawasan pedalaman itu telah mensyorkan pembinaan sebuah stesen jana kuasa kecil di situ.

(v) Penggunaan e-mail memberikan kemudahan untuk seseorang menyampai mesej dalam beberapa saat sahaja.

(vi) Kempen anti-dadah peringkat kebangsaan yang dilancar oleh kerajaan mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat.

(vii) Semasa berada di peringkat pra-sekolah, kanak-kanak diberikan dedahan awal tentang alam persekolahan.

(viii) Disamping beriadah, kita perlu mengambil makanan seimbang bagi mempastikan kesihatan terjamin.

(ix) Hasil kajian tentang kualiti alam sekitar itu perlu dianalisa sebelum laporan perincian dibuat.

(x) Malaysia mampu memajukan bidang eko-pelancongan kerana mengayakan sumber alam semula jadinya.

(xi) Guru bimbingan itu telah memberikan keterangan yang jelas tentang profesyen sebagai pakar bedah.

(xii) Persatuan belia yang baru ditubuhkan itu mengenengahkan moto yang berteraskan perpaduan belia semalaysia.

(xiii) Syarikat pemaju perumahan akan membayar gantirugi kepada pembeli yang rumahnya gagal menyiapkan mengikut jadual.

(xiv) Ketrampilan berbahasa dalam kalangan penutur jati bahasa Melayu mestilah diperkukuhkan dari semasa ke semasa.

(xv) Aturcara kejohanan olahraga tahunan yang lengkap dimuat dalam buku program.

(xvi) Nawi selalu menasihatkan kawan-kawannya agar tabah dalam menghadapi cabaran hidup tetapi ketika musibah menimpa dirinya, dia tidak dapat menanggongnya.

(xvii) Kebanyakan pelancung lebih gemar berkunjung ke pulau-pulau yang cantik di pesisiran pantai Malaysia.

(xviii) Kerajaan menggalakkan orang ramai menyertai progrem kemasyarakatan supaya hubungan antara kaum dapat dipereratkan.
(xix) Ketika mereka mengadakan latihan silat, langkah sumbangan anak muridnya itu telah dikenal pasti oleh maha guru itu.

(xx) Kemajuan dan modernisasi telah bidang berkomunikasi telah menghasilkan penciptaan alat hubungan untuk kemudahan manusia sejagat

(xxi) Majlis itu diadakan semata mata untuk meraikan golongan orang kurang berupaya di dewan besar sekolah kami semalam.

(xxii) Papan tanda sangat penting bagi petunjuk arah untuk mudahkan pengguna jalan raya yang menuju ke distinasi masing-masing.

(xxiii) Lelaki yang memakai baju biru-biruan itu tinggal di sebuah apatmen di Pasir Bedamar.

(xxiv) Kebanyakkan suri rumah terpedaya oleh pujukan orang yang tidak bertanggungjawab tentang cabutan bertuah di komplek beli-belah.

(xxv) Pehak Suruhanjaya Pilihan Raya telah menjalankan penyiasatan kes menyeleweng undi di kawasan itu.

(xxvi) Jurujual itu sedang mengetengahkan kaedah penggunaan alat perapi rambut agar pembeli tahu selok belok merapi rambut yang betul.

(xxvii) Usaha membenteras vandalisme perlu dilakukan secara terusan oleh semua pihak.

(xxviii) Projek pembinaan lebuhraya itu telah tergendala akibat kegawatan ekonomi pada akhir tahun 1990an lagi.

(xxix) Pelbagai jenis alatulis dijual dengan harga yang rendah semasa berlangsungnya pameran buku dianjur Gabungan Persatuan Penulis Remaja Malaysia di Kangar baru-baru ini.

(xxx) Bekalan elektrik diputuskan sebaik-baik sahaja rancangan sukan itu hendak disiarkan oleh stesyen televisyen itu.

(xxxi) Pemerhatian serius serta sikap perihatin masyarakat berhubung masalah keruntuhan akhlak mestilah dilakukan agar masalah itu tidak terus merebak.

(xxxii) Kerajaan telah mengkhaskan kawasan peranginan itu untuk para pelawat beristirehat.

(xxxiii) Golongan remaja mungkin mempamirkan tingkah laku yang negatif untuk menunjukan kepada orang-orang dewasa perasaan tidak puas hati mereka.

(xxxiv) Rakyat Malaysia perlu tersedar akan amalan menjaga kebersihan dan kesehatan diri mereka pada setiap masa.

(xxxv) Raduan telah membuat janji temu dengan pegawai bank untuk diselesaikan kes tanahnya yang dilelung oleh bank.

(xxxvi) Sejak pulang dari seberang laut, Rosli sangat perihatin terhadap anak buahnya, terutama dalam soal didikan

(xxxvii) Rakyat yang pengetahuan luas dalam bidang teknoloji maklumat mempunyai peluang pekerjaan yang luas dalam sektor kerajaan atau swasta.

(xxxviii)Semua rakyat Malaysia sepatutnya mengembleng tenaga dan wang ringgit ke arah membentuk nilai-nilai murni yang memberi kesan baik kepada masyarakat.

(xxxix)Sejak pengswastaan Syarikat Telekom Malaysia Sendirian Berhad, pengurusannya menjadi lebih efisyen.

(xl) Encik Borhan menerima perlantikan sebagai pengarah syarikat dan lantikan beliau itu berkuatkuasa pada 1 Mac 2008.

PENGETAHUAN DAN KEMAHIRAN BAHASA Siri 6

LATIHAN MENGENAL PASTI KESALAHAN PENGGUNAAN KATA @ ISTILAH & KESALAHAN TATABAHASA

Dalam setiap ayat di bawah, terdapat satu kesalahan penggunaan kata atau istilah dan satu kesalahan tatabahasa. Senaraikan dan betulkan kesalahan-kesalahan itu Bagi setiap ayat, anda tidak boleh menyenaraikan lebih daripada satu kesalahan penggunaan kata atau istilah dan satu kesalahan tatabahasa. Anda tidak perlu menyalin ayat itu semula.

(i) Oleh kerana terperangkap dalam kecelaruan lalu lintas, ayah sering pulang lewat.

(ii) Adik saya adalah antara peserta-peserta pertandingan melukis yang diadakan di
pentas legar pusat beli-belah itu

(iii) Para peserta lawatan sambil belajar dibahagi pada beberapa kumpulan untuk memudahkan amalan daftar masuk di lapangan terbang.

(iv) Siswazah yang memiliki kemahiran tertentu selain daripada kelulusan akademik mempunyai peluang yang lebih baik dalam perlawanan untuk mendapatkan pekerjaan.

(v) Stesen minyak-stesen minyak di bandar-bandar utama negara kita mengamalkan konsep layan sendiri.

(vi) Pembabitan golongan wanita di dalam pelbagai bidang kerjaya telah menambahkan martabat mereka.

(v) Orang dewasa harus menayangkan teladan yang baik untuk dapat ditiru oleh kanak-kanak.

(vi) Pengurusan masa yang terancang paling penting sekali dalam kehidupan seharian jika tidak hal ini akan menimbulkan suasana yang lintang-pukang.

(vii) Setiap orang haruslah melakukan pertukaran paradigma agar hidup tidak bergantung kepada subsidi.

(viii) Saya mengucapkan berbanyak terima kasih atas kesudian tuan mengisytiharkan kempen Cintai Sungai Kita peringkat daerah ini.

(ix) ”Wahai generasi muda, berbaktilah kepada negara yang tercinta ini,” wasiat pemimpin itu ketika berucap dalam perhimpunan belia.

(x) Kelawar-kelawar yang bergayutan di dinding gua Niah menarik perhatian pelancong.

(xi) Golongan pemulihara alam menentang pengeluaran pakaian yang diperbuat dari bulu binatang.

(xii) Ketika berkhemah bersama anggota kadet di kawasan hutan itu, hanya telefon tangan yang menjadi penghubung antara dia dengan keluarganya.

(xiii) Yang Berusaha wakil rakyat itu sudi merakamkan kata aluan dalam buku cenderamata sempena program Kembara Bahasa.

(xiv) Orang awam tidak dibenarkan masuk ke pusat pembinaan projek itu di atas sebab-sebab keselamatan.

(xv) Kejadian gempa bumi yang meranapkan baki sejarah di kota itu telah menggegarkan masyarakat dunia.






(xvi) Semua peserta-peserta telah menghadiri kursus peningkatan prestasi di pusat peranginan itu yang dikendalikan oleh pemidato yang tersohor.

(xvii) Duta Besar Malaysia di Indonesia telah menerima sijil pelantikan dari Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

(xviii) Penyelidikan yang dilakukan PORIM berjaya membuktikan bahawa minyak kelapa sawit muda sesuai juga untuk dijadikan bahan bakar, tidak hanya sesuai sebagai bahan makanan.

(xix) Antara perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat itu termasuklah masalah kesampaian pendatang asing yang kian menjadi.

(xx) Kanak-kanak dilarang dari membidas perbualan orang yang lebih tua kerana perbuatan itu dianggap biadap.

(xxi) Pihak polis telah berjaya membanteras rahsia penyeludupan itu melalui penyiasatan yang pihak perisik lakukan setelah mendapat maklumat daripada orang ramai.

(xxii) Banyak kuih-muih diaturkan oleh Puan Aduni di atas meja bersempena dengan sambutan hari jadi anaknya

(xxiii) Kerja-kerja menangkap sotong sesuai dilakukan di waktu malam sahaja.

(xxiv) Cita-citanya untuk memanjangkan pelajarannya ke universiti belum tercapai lagi oleh kerana hidupnya yang susah itu.

(xxv) Pendaftaran kapal terbang-kapal terbang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dipantau oleh pegawai di menara kawalan.

(xxvi) Kedua ibu bapa Azman tidak mampu menghantarnya yang tepok itu ke sekolah khas kerana sewa bulanannya terlalu tinggi.

(xxvii) Masalah pengurangan ozon telah membimbangkan dunia berikutan berlakunya pencairan ais pada kawasan kutub.

(xxviii) Walaupun sibuk, Ahmad tetap mengulang kaji pelajaran oleh sebab banyak isu yang belum dia kuasai.

(xxix) Hashim menjenguk pandangan ke arah pintu semasa ditanya beberapa soalan pihak polis.

(xxx) Ketiga-tiga kucing Parsi itu ialah kucing ternakan Encik Ahmad sejak lima tahun lalu.

(xxxi) Mesyuarat pemilihan ahli jawatankuasa yang baru Persatuan Ibu Bapa dan Guru itu tidak dapat dijalankan kerana bilangan peserta yang hadir tidak cukup kuorum.

(xxxii) Kita memang mengakui bahawa tanggungjawab berat dan mencabar yang disandang oleh tentera seharusnya setimpal oleh pendapatan mereka.

(xxxiii) Sekumpulan doktor pakar telah menjalankan semula kajian bagi memastikan vaksin baru itu tidak mendatangkan akibat sampingan.

(xxxiv) Orang yang berbudi bahasa biasanya akan diangkat tinggi oleh masyarakat sekeliling walaupun dia berada ke mana-mana sahaja.

(xxxv) Semasa menunggu kehadiran bas kanak-kanak itu makan makanan ringan yang dibeli daripada gerai Pak Long.

(xxxvi) Bot nelayan itu terhuyung-hayang dipukul ombak besar ketika menuju ke laut untuk menangkap ikan di Laut China Selatan.

(xxxvii)Mahmud tetap mengambil berat kedua-dua ibu bapanya walaupun kalut dengan urusan perniagaan di bandar.

(xxxviii)Selain daripada menerima pelbagai kemudahan, guru juga mempunyai ruang untuk kenaikan pangkat.

(xxxix) Kementerian Pelajaran Malaysia sentiasa berusaha untuk meningkatkan lagi prestasi pelajar-pelajar dalam sektor kokurikulum.

(xl) Kejayaan projek yang mereka laksanakan itu bergantung kepada kos yang disediakan oleh pihak pemaju.

(xli) Para pelajar disarankan agar memberitahu wadar asrama sekiranya mereka
menghadapi lain-lain masalah.

(xlii) Tulisan yang memenangani tempat pertama dalam pertandingan itu ditulis oleh saya.

(xliii) Amnah dikenakan oleh guru untuk menceritakan kembali peristiwa itu kepada rakan-
Rakannya di kelas 5 Fobia.

(xliv) Kita tidak wajar menggauli segala urusan yang tiada berkenaan kita.

(xlv) Kes denggi di seluruh negara akan berkurangan sekiranya masyarakat memainkan akan peranan memastikan persekitaran kita bersih dan tidak menjadi tempat penternakan nyamuk.

(xlvi) Rashid dan Rashidah akan membincangkan dengan Pengurus Besar Syarikat Artinaz tentang masalah yang dihadapi olehnya.

(xlvii) Banyak penduduk-penduduk kawasan bandar menggunakan perjalanan bas mini untuk ke tempat kerja masing-masing.

(xlviii) Sesebuah keluarga itu akan tinggal dalam suasana yang harmoni dan saling faham- memahami jika ibu bapa dapat mentadbir rumah tangga dengan cemerlang.

(xlix) Ibu bapa perlu membimbing akan remaja secara berterusan agar mereka sentiasa memulihara disiplin diri untuk manfaat jangka panjang.

(xlx) Rahmah mengatakan bahawa dia kesempitan masa untuk bercuti ke Pulau Kapas dengan kedua ibu bapanya.

PENGETAHUAN DAN KEMAHIRAN BAHASA Siri 5

BEBERAPA KESALAHAN TATABAHASA YANG LAZIM
sumber: http://witra.blogspot.com/

1 Tidak dapat membezakan antara kata sendi nama di dengan imbuhan dia) salah - disekolah, dipasar, diJohor, disini, disamping, diutara- di beri, di ambil, di hantar, di dapati, di anjurkan b) betul - di sekolah, di pasar, di Johor, di sini, di samping, di utara- diberi, diambil, dihantar, didapati, dianjurkan
2 Tidak dapat membezakan antara kata sendi nama ke dengan imbuhan kea) salah - keMelaka, kepadang, kesana, kehadrat, keselatanb) betul - ke Melaka, ke padang, ke sana, kehendak, ketua, kekasih
3 Tidak dapat membezakan penggunaan dari dan daripadaa) dari - rumus A (arah), T (tempat), M (masa) = dari- dari belakang, dari Perak, dari semalamb) daripada - punca bagi manusia, haiwan, benda, dan unsur mujarad- sumber atau asal kejadian sesuatu benda- perbezaan dan perbandingan- daripada guru besar, daripada getah, daripada markah
4 Mengulang kata selepas penanda jamak (banyak)a) salah - semua guru-guru, segala alat-alat, kebanyakan ahli-ahlib) betul - semua guru, segala alat, kebanyakan ahli
5 Tidak menggandakan kata bilangan himpunana) salah - beratus orang, beribu penonton, berguni padib) betul - beratus-ratus orang, beribu-ribu orang, berguni-guni padi
6 Kesalahan penggunaan kata darjah penghabisana) salah - paling tinggi sekali, terlalu mahal sekalib) betul - paling tinggi, tinggi sekali, terlalu mahal, mahal sekali
7 Menggandakan kata selepas salinga) salah - saling hormat-menghormati, saling bermaaf-maafanb) betul - saling menghormati, hormat-menghormati, saling bermaafan
8 Pembentukan ayat pasifa) Surat itu telah dihantar oleh kami. (salah)Surat itu telah kami hantar. (betul)b) Laporan itu perlu disiapkan oleh anda. (salah)Laporan itu perlu anda siapkan. (betul)c) Majalah itu telah mereka edarkan. (salah)Majalah itu telah diedarkan oleh mereka. (betul)
9 Penggunaan –kan menggantikan akana) salah - sayangkan, rindukan, bencikan, cintakanb) betul - sayang akan, rindu akan, benci akan, cinta akan
10 Menjarakkan imbuhan pinjamana) salah - juru taip, ko kurikulum, pasca moden, anti dadahb) betul - jurutaip, kokurikulum, pascamoden, antidadah

SAJAK BAHASA MELAYU SPM Siri 4

DERITA PERTAMA
Suhaimi Haji Muhamad

Rangkap 1
Nabi Adam merupakan manusia yang pertama dijadikan Tuhan telah dihantar ke dunia dari syurga sebagai hukuman ke atasnya yang telah memakan buah Khuldi.

Rangkap 2
Ketika dia tiba di dunia, hari tengah malam dan gelap gulita. Adam kebingungan dan tidak memahami perkara yang terjadi. Dia tidak dapat berkata-kata / tergamam dengan pengalaman yang dilaluinya itu.



Rangkap 3
Adam melihat sekeliling dengan perasaan bimbang. Dia takut akan kegelapan. Ketika itu, segumpal awan terkena dahinya tetapi dia tidak mengetahui benda itu kerana itulah pertama kali dia melihatnya.

Rangkap 4
Sepanjang malam itu dia berada dalam kehairanan dan kesedihan. Dalam hatinya dia tertanya-tanya bagaimana dia akan menghadapi keadaan tersebut seorang diri.

Rangkap 5
Sepanjang malam itu dia menangis mengenangkan nasibnya.

23 Mac 2009

PELAJAR CEMERLANG SPM 2003-2008

2003
Nicholas Pang Tze Ping
Sekolah Menengah All Saints, Kota Kinabalu
16A (14 1A 2 2A
Ahmad Atiq Abdul Hamid
Sekolah Menengah La Salle Klang, Klang
15A (14 1A 1 2A)
Celestina Johnny Bouniu
Sekolah Menengah All Saints, Kota Kinabalu
16 A
2004
Nur Amalina Che Bakri
Sekolah Menengah Kebangsaan Ulu Tiram, Johor
17 1A
2005
Chin Shiang Jin
Sekolah Menengah Kian Kok, Kota Kinabalu
15 1A
Esther Elizabeth Jack
Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Lumu, Klang
15 1A
Chong Huey Ee
SMK (P) Treacher Methodist, Taiping
16A (15 1A, 1 2A )
2006
Siti Fatimah Mukhtar
Maahad Muhammadi Perempuan, Kota Bharu
17 1A
2007
Azali Azlan
SMKA Yan, Kedah
21A (20 1A 1 2A)2008
Nik Nur Madihah Nik Mohd. Kamal
Maahad Muhammadi Perempuan, Kota Bharu
20A (19 1A, 1 2A)Pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2008, Nik Nur Madihah Nik Mohd. Kamal menyatakan kepentingan peranan para guru yang berjaya melonjakkan keupayaan dirinya untuk muncul sebagai pelajar cemerlang. ''Mereka bersedia mengetepikan kepentingan sendiri apabila diminta membantu ketika saya menghadapi masalah dalam pelajaran," ujarnya.
Menurutnya, dia juga sentiasa bertanya kepada guru bagi mendapatkan penjelasan dan kefahaman tentang sesuatu subjek. ''Pernah saya bertanyakan soalan kepada seorang guru ketika dia sedang membuka pintu kereta untuk pulang dan dia menangguhkan hasratnya itu bagi membantu saya," katanya.
Selain itu katanya, bagi mengelakkan kebosanan semasa belajar, dia berusaha meminati sesuatu pelajaran dengan menyukai guru-guru itu. ''Saya berusaha menyayangi semua guru dan mahu menggembirakan mereka dengan keputusan yang cemerlang,"
Nik Nur Madihah berkata, dorongan seterusnya berpunca daripada kesusahan hidup yang dialaminya.''Saya perlu berusaha gigih kerana kecemerlangan itu merupakan hadiah paling berharga untuk kedua ibu bapa,'' ujarnya. Katanya, dia juga mengamalkan amalan harian termasuk solat hajat, membaca Al-Quran dan berdoa.

18 Mac 2009

DRAMA BAHASA MELAYU SPM Siri 2

KERUSI oleh HATTA AZAD KHAN


sumber:http://galusbm.blogspot.com/2008/11/al-kisah-drama-kerusi.html

Srisegala menduduki kerusi nikmat dan gong hikmat bersama-sama pengikutnya Tuta 1, Tuta 2, Tuta 3. Pengikut Sri segala mempunyai banyak kepentingan peribadi ketika menyokong Srisegala. Srisegala pula memerintah secara kuku besi dan banyak melakukan penindasan terhadap rakyat. Putra, yang menentang Sisegala ditumpaskan kerana tidak berpengalaman dan persediaan yang cukup. Masayu mencari suaminya yang hilang dan bertemu Srisegala.Masayu mohon supaya suaminya, Putra dilepaskan daripada tahanan Srisegala. Dengan muslihat yang digunakan, Srisegala berjaya memperdaya Masayu sehingga Masayu meninggalkan suaminya yang sudah menjadi buta.Wira muda dan Putra akhirnya bersatu tenaga untuk menentang Sisegala sekali lagi dan berjaya menumpaskan Srisegala dan konco-konconya.



Soalan KBKK1.
Pada pendapat anda, mengapakah pemimpin selalu menyalahgunakan kuasa yang ada padanya ?
Jawapan : Skop berlainan1. Tiada didikan agama yang kukuh.2. Sistem perundangan yang lemah bagi mengawal kuasa pemimpin.3. Peluang yang terbuka luas bagi menyalahgunakan kuasa4. Pemimpin mengawal media daripada mendedahkan penyelewangan kuasa5. Mendapat sokongan untuk menggunaan cara kekerasan dan ugutan melampau terhadap rakyat



2. Pada pendapat anda, bagaimanakah cara terbaik untuk mengubah sikap pemimpin yang suka meyalahgunakankuasa ?
Jawapan : Skop berlainan1. Melalui nasihat yang berguna berdasarkan pengalaman.2. Bermuzakarah/ berbincang dengan pemimpin tersebut.3. Menukar pemimpin tersebut melalui sistem pilihanraya.4. Merampas kuasa secara kekerasan sebagai jalan terakhir.

PENGETAHUAN DAN KEMAHIRAN BAHASA Siri 4

CONTOH SOALAN DAN JAWAPAN
Soalan 3: Pengetahuan dan Kemahiran Bahasa

[30 markah]

Jawab semua soalan

(a) Tulis satu ayat bagi tiap-tiap perkataan dalam pasangan perkataan di bawah untuk menunjukkan bahawa anda faham akan perbezaan maksud dan penggunaannya. Anda tidak boleh menambahkan imbuhan, menukarkan imbuhan atau menggunakan perkataan itu sebagai peribahasa dan nama khas.

(i) uji bakat
(ii) temu duga
(iii) kertas kerja
(iv) Inti pati
(v) reka bentuk
(vi) garis pusat [6 markah ]

(b) Tukarkan ayat aktif yang berikut ini kepada ayat pasif.

(i) Mereka membincangkan hal yang rumit itu hingga lewat malam.

(ii) Saya akan menyertai program yang menarik itu walaupun yuran penyertaannya amat mahal.

(iii) Ketika Encik Malik menyampaikan taklimat, seorang peserta mengemukakan beberapa soalan.
[6 markah ]

(c) Dalam setiap ayat di bawah, terdapat kesalahan penggunaan ejaan dan imbuhan. Kenal pasti dan betulkan kesalahan-kesalahan itu dengan menulis ayat itu semula tanpa mengubah struktur dan maksud asalnya.

(i) Pembangunan negara yang semakin pesat dan perningkatan kuantiti bahan sisa indastri menyebabkan pencemaran alam berlaku

(ii) Sejak zaman-berzaman, generasi tua menitik beratkan nilai-nilai murni dalam setiap perbuatan untuk melengkapi hidupan berhemah.

(iii) Pemuda yang berambut kerinting itu telah diberi kepercayaan oleh Encik Baharom mengantikan tempat beliau sebagai pengarah syarikat itu.
[6 markah ]

(d) Dalam ayat-ayat di bawah, terdapat kesalahan penggunaan kata atau istilah atau kesalahan bahasa. Kenal pasti dan betulkan kesalahan-kesalahan itu dengan menulis ayat itu semula tanpa mengubah struktur dan maksud asalnya.

(i) Ikan haruan yang bapa beli dari pasar dipotong oleh emak sebelum membasuhnya.
(ii) Masalah tersebut telah kami kemukakan ke pihak berkuasa untuk pemerhatian lanjut.

(iii) Aduhai, anak-anakku, jadilah insan yang berguna kepada agama, bangsa, dan negara bila dewasa kelak!
[ 6 markah ]

(e) Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian kemukakan tiga peribahasa yang menggambarkan tiga situasi yang berbeza yang terdapat dalam petikan ini.

Sebagai masyarakat timur, kita hendaklah berpegang kepada adat resam dan tidak menjejaskan imej kita sebagai bangsa yang berkeperibadian mulia walaupun kita sudah mencapai kemajuan. Martabat orang yang berilmu, dan berjaya tidak akan hilang walaupun adat resam yang dianggap ketinggalan zaman dijunjung tinggi. Selain itu semangat perpaduan juga perlu diamalkan setiap masa kerana dengan cara ini kita akan menjadi bangsa yang teguh dan kuat. Setiap perselisihan wajar diselesaikan secara berdiplomasi supaya kesejahteraan terjamin. Oleh hal yang demikian barulah kita boleh maju dan mempunyai kedudukan setanding dengan negara-negara lain yang maju di dunia. [6 markah ]
(c) MODUL CUBA JAYA SPM 2007/2008 JPN PERLIS

PEMBANGUNAN MODAL INSAN MELALUI KOMSAS

1.1 Aspek-aspek yang terkandung dalam KOMSAS seperti persoalan, nilai-nilai, pengajaran dan tema dijadikan panduan, rujukan, dan pengamalan dalam kehidupan seharian

1.2 Merapatkan hubungan kekeluargaan kalangan pelajar ,keluarga dalam sekolah, keluarga pelajar sendiri, masyarakat dan Negara.

1.3 Memantapkan pegangan akidah dan berakhlak mulia pelajar demi masa depan negara yang lebih gemilang, SELAMAT, AMAN dan MAKMUR. Beriltizam dengan akhlak mulia.

1.4 Dapat mengatasi berlakunya pelanggaran disiplin dan membina pemahaman dalam kalangan pelajar dengan penghayatan dan penyebaran maklumat melalui aktiviti KOMSAS seperti drama, mendeklamasikan sajak, pidato, lawatan dsb
.
1.5 Kecemerlangan pelajar dalam akademik berkait rapat dengan kemampuan menghayati nilai-nilai kesusasteraan agar mempunyai ciri-ciri modal insan yang berkemandirian membina negara.

1.6 Berdasarkan keperluan semasa, KOMSAS relevan untuk pembangunan modal insan

1.7 Pelajar mempunyai sumber maklumat yang cukup luas dil luar jangkauan kurikulum di sekolah melalui internet, 3G dsb. KOMSAS menjadi penyaring kepada maklumat yang sampai kepada mereka agar terpandu membentuk diri yang lebih matang, berfikiran jauh dan berwawasan.
(c) cikgumie

DOA UNTUK DIAMALKAN OLEH IBU BAPA

Ya Allah,Ya Rahman, Jadikan Aku Seorang Ibu/Bapa Yang Baik Dan Penyayang
Biarlah Aku Benar-Benar Memahami Anak-Anakku,
Mendengar Dengan Tenang Dan Sabar Apa-apa Yang Hendak Dikatakan Mereka Kepadaku,
Dan Aku Menjawab Semua Soalan Mereka Dengan Jujur Dan Benar Serta Tidak Berselindung
Di sebalik Kejahilan,Jauhkan Aku Darpada Mengganggu Mereka Atau Membangkang Sesuatu
Yang Akan Mengganggu Pertumbuhan Sihat Rohani Dan Jasmani Mereka,
Ya Allah,Janganlah Hendaknya Aku Merampas Daripada Mereka Peluang Untuk Membuat Keputusan Sendiri , Biarlah Aku Menjadi Contoh Bersopan Santun Kepada Mereka
Sebagaimana Aku Inginkan Mereka Bersopan Santun Terhadapku,
Janganlah Hendaknya Aku Mentertawakan Kesilapan Mereka,
Memalukan Atau Membodoh-bodohkan Mereka Apabila Mereka Menyakiti Hatiku
Jauhilah Aku Daripada Menghukum Mereka Untuk Memuaskan Hawa Nafsuku Atau Untuk Menunjukkan Kekuatanku,
Biarlah Aku Sentiasa Ingat Bahawa Anak-Anakku Itu Adalah Kanak-kanak Dan Jauhilah Aku Daripada Menimbang Mereka Dengan Hukuman-Hukuman Dewasa
Janganlah Hendaknya Aku Tersilap Mengajar Mereka Untuk
Melakukan Segala Larangan-Mu, Tunjukkanlah Jalan Kepadaku Setiap Saat Apabila Aku
Berfikiran Kusut Agar Anak Anakku Tidak Menjadi Mangsa Kekusutan Tersebut Redhailah Aku, Agar Aku Berfikiran Luas,Supaya Aku Dapat Memberikan Mereka
Kemudahan Yang Berpatutan, Biarkanlah Aku Bertegas Untuk Menolak Permintaan
Mereka Jika Permintaan Itu Membahayakan Diri Mereka Atau Tidak Memberikan
Manafaat
Jadikanlah Aku Daripada Golongan Yang Adil Dan Baik Hati Tetapi Tegas Terhadap
Anak-Anakku
Layakkan Aku, Ya Allah Untuk Mendapatkan Kasih Sayang Dan Hormat
Daripada Mereka Ya Allah,
Sesungguhnya Aku Bersyukur Atas Segala Nikmat-Mu Terhadapku Selama Ini Perkenankanlah Doaku Ini, Ya Allah Amin, Amin Ya Rabbal’Alamin

17 Mac 2009

KAEDAH BELAJAR NIK NUR MADIHAH PATUT JADI TELADAN

Sumber: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Tuesday/Surat/20090317005140/Article/index_html

SAMA ada Nik Nur Madihah Nik Mohd Kamal atau Mohamad Aizuddin Mohd Yaakub, mahupun pasangan kembar Rohamina-Rohaisha Jamil, masing-masing nampaknya menggunakan resipi serupa iaitu dengan mengingati dan mendekatkan diri kepada Allah SWT sebelum dan sesudah mengulang kaji pelajaran sehingga akhirnya muncul pelajar cemerlang terbilang.

Pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2008, Nik Nur Madihah muncul pelajar cemerlang peringkat nasional apabila memperoleh 20A termasuk 1A2, mengatasi rekod cemerlang Siti Fatimah Mokhtar yang mendapat 18A termasuk 1A2 pada 2006, dari sekolah yang sama, Maahad Muhamadi (Perempuan) di Kota Bharu, Kelantan.

Mohamad Aizuddin pula memperoleh 1A dalam semua 13 subjek yang diambilnya dan antara pelajar terbaik SPM 2008 Negeri Sembilan. Pasangan kembar Jamil yang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) King George V, Seremban mendapat 11 1A merangkumi subjek sains , matematik dan sains sosial.

Lain halnya dengan Zamri Amir yang juga mendapat 11 1A dan muncul antara pelajar terbaik Sekolah Alam Shah Putrajaya. Walaupun berasal daripada keluarga susah seperti keluarga Nik Nur Madihah, pengurusan masa yang cekap dan seimbang menjadi faktor penting di sebalik kecemerlangannya itu, lantaran dia juga aktif dalam Pasukan Orkestra SSAS. Allah SWT berfirman dalam Surah Surah at-Tiin (Ayat 4-6): Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya).
"Kemudian (jika dia panjang umur sehingga tua atau menyalahgunakan kelengkapan itu), Kami kembalikan dia kepada serendah-rendah peringkat orang-orang yang rendah, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal salih, maka mereka beroleh pahala yang tidak putus-putus".
Persis kata Nik Nur Madihah, anak jati kampung nelayan, Kampung Parang Puting, dekat Pantai Sabak itu: "Saya mengulang kaji awal pagi tiap-tiap hari selepas solat tahajud dan sesudah membaca al-Quran".
Kembar, Rohamina dan Rohaisha berkata: "Kami selalu membaca al-Quran, selain kerap melakukan solat hajat agar dipermudah kami mengikuti pelajaran dan mendapat kejacemerlang." Bagi Mohammad Aizuddin, pendekatan diri kepada Allah SWT penting sebab mengingati-Nya dengan melakukan suruhan-Nya dan menjauhi larangan-Nya menjadikan jiwa sentiasa tenang dan mudah memahami pelajaran.
Pelajar cemerlang SPM 2008 itu adalah pilihan Allah SWT daripada 6,277 calon cemerlang lain, menepati maksud Surah ar-Ra'd (Ayat 26): "Allah memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Ia juga menyempitkannya. Dan mereka (yang ingkar): bergembira dengan kehidupan dunia, sedangkan kehidupan dunia itu tidak lain daripada kesenangan yang kecil dan tidak kekal, berbanding dengan kesenangan hari akhirat." Sebagai manusia pilihan dengan sebaik-baik kejadian bersama penganugerahan akal yang pintar, mereka tidak pernah melupai Allah SWT dengan melakukan suruhan ibadat-Nya demi tuntutan ukhrawi dan duniawi.
Otak mereka sama juga seperti binaan otak pelajar, malah manusia lain, seumpama dua hemisfera. Satu sebelah kanan sementara yang satu lagi kiri.
Kedua-duanya berkongsi pemikiran dan kawalan tubuh badan. Bagi kebanyakan orang, hemisfera otak kanan lebih kreatif manakala sebelah kiri lebih kepada logik.
Yang lebih kreatif melahirkan insan berfikiran sains sosial sementara yang lebih logik berfikir secara saintifik dan matematik.
Otak pelajar cemerlang itu nampaknya seimbang hemisfera kanan dan kiri yang bergabung dan melahirkan kepintaran subjek sains sosial serta sains tulen.
Manusia dianugerahi akal untuk berusaha dan berfikir mengejar kejayaan duniawi dan ukhrawi seperti janji Ilahi asalkan kita sentiasa mengingati dan mendekati-Nya. Resipi mereka sepatutnya jadi ikutan calon SPM tahun ini untuk meraih kecemerlangan lebih terbilang.
DR ILLIAS ZAIDI,
Akademi Buku Malaysia,
Kuala Lumpur.

SAJAK BAHASA MELAYU SPM Siri 3

ANAK LAUT – Rahimidin Zahari
MAKSUD SAJAK
Rangkap 1
Apabila merasai kesegaran angin laut ketika dia berada di tepi pantai, nelayan tua itu terasa ingin kembali mengayuh perahu kecil ke laut untuk menangkap ikan seperti yang pernah dilakukannya suatu waktu dahulu. Dengan perahu kecil itu, dia menangkap ikan untuk memperoleh rezeki yang sedikit. Selain ikan, dia juga menangkap sotong, udang dan ketam yang semakin pupus

Rangkap 2
Kini, dia sudah tua dan tidak bertenaga, sama seperti perahunya yang sudah terdampar di pasir dan tidak boleh digunakan lagi. Pada saat ini dia menyedari bahawa saat-saat kematiannya semakin hampir. Dia pasrah.

TEMA
Kehidupan nelayan – penderitaan hidup
- terpaksa berhenti bekerja apabila semakin tua dan kudrat tidak seberapa

BAHASA MELAYU - UMUM - Siri 3

INTI SARI 'SOAL JAWAB BAHASA' MAJALAH 'PELITA BAHASA'
sumber: http://mohdisa-abdrazak.blogspot.com/

1Perkataan kemenjadian menepati rumus pembentukan kata bahasa Melayu. Perkataan ini, yang sudah digunakan secara meluas, boleh terus digunakan. Perkataan ini dijangka menjadi kata masukan Kamus Dewan, edisi kelima.

2“Mereka yang pakar dalam bidang itu, seperti ahli akademik dan pakar bahasa, hendaklah menyebarluaskan bahasa Melayu melalui laman web atau blog bagi membolehkan masyarakat dunia untuk mendekati dan mempelajari bahasa Melayu.”
Munsyi Dewan, Pelita Bahasa, Januari 2009, halaman 49.

3Kembang → berkembang → perkembangan (awalan ber- menjadi per-). Jadi, pengembangan ialah perihal berkembang.Kembang → mengembangkan → pengembangan (awalan menge- menjadi penge-). Jadi, pengembangan ialah usaha mengembangkan sesuatu.

4Perkataan atau mempunyai makna yang hampir sama dengan perkataan ataupun – boleh bertukar ganti dalam ayat.

5Makna dan terkandung dalam makna serta. Maknanya, makna serta lebih luas.

6Perkataan pernyataan memang wujud. Maksudnya ialah sesuatu yang dinyatakan, diisytiharkan atau diumumkan. Pembentukan perkataan ini menyimpang daripada proses pembentukan kata bahasa Melayu tetapi tetap diterima kerana mempunyai makna yang tersendiri.Perkataan penyataan pula bermaksud perbuatan atau hal menyatakan (memberitahu, memaklumkan). Gambaran ringkas proses pembentukan perkataan ini adalah seperti yang berikut:nyata → menyatakan → penyataan

CERPEN BAHASA MELAYU SPM Siri 3

LAMBAIAN MALAR HIJAU

Datuk Daneng mengimbau kenangan 25 tahun yang lalu apabila Cikgu Jo, seorang guru yang cukup dedikasi berjaya memujuknya untuk menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.
Ketika itu Daneng hanya anak seorang asli yang tidak berwawasan selain mahu terus tinggal dan mati di kampung halamannya sendiri. Walaupun berjaya mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan PMR dan ditawarkan belajar di sebuah sekolah di bandar yang menawarkan banyak kemudahan, namun Daneng bertindak nekad meninggalkan sekolah dan balik ke Lembah Tualang, desa halamannya.
Daneng berpendapat bahawa hutan memberi erti kehidupan sebenar kepada dirinya, keluarga dan masyarakatnya. Cikgu Jo yang menyedari potensi akademik Daneng sanggup bersusah payah datang ke tempat Daneng hanya untuk memujuknya kembali bersekolah di bandar. Bagi Cikgu Jo, dengan pelajaran yang tinggi, Daneng dapat membela bukan sahaja nasib dirinya, keluarganya bahkan seluruh masyarakatnya yang ternyata perlukan pembelaan. Hal ini berbeza dengan Daneng yang memiliki wawasan yang satu iaitu hidup yang bahagia dengan cara bertemankan seluruh isi hutan.
Usaha yang tidak mengenal erti penat akhirnya membuahkan hasil apabila Daneng berjaya dipujuk untuk kembali menyambung pelajaran yang telah ditinggalkan selama enam bulan. Cikgu Jo, bagaimanapun memperoleh satu pengalaman berharga kerana apabila hidup berdamping dengan Daneng, banyak perkara berkaitan kemiskinan dan kemunduran masyarakat orang asli yang terserlah dan ini memberikan Cikgu Jo satu jawapan konkrit tentang sebab Daneng tidak mahu belajar di bandar.
Cikgu Jo juga terharu akan layanan yang diterima daripada keluarga Daneng yang begitu baik walaupun ternyata mereka hidup dalam keadaan miskin. Pada pandangan Cikgu Jo, keluarga Daneng sebenarnya miskin pada pandangan orang sepertinya tetapi mereka sebenarnya mempunyai kekayaan alam yang tidak akan habis untuk diwarisi jika tahu menggunakannya dengan cermat.
Daneng menerima anugerah Hadiah Nobel berkat usaha gigihnya terhadap pemuliharaan hutan di seluruh dunia. Anugerah tertinggi ini bagaimanapun tidak menghalang Daneng daripada menghormati Cikgu Jo akan jasanya memujuknya kembali belajar 25 tahun yang lalu.

PENGETAHUAN DAN KEMAHIRAN BAHASA Siri 3

CONTOH SOALAN DAN JAWAPAN
Soalan 3: Pengetahuan dan Kemahiran Bahasa

[30 markah]

Jawab semua soalan

(a) Tulis satu ayat bagi tiap-tiap perkataan dalam pasangan perkataan di bawah untuk menunjukkan bahawa anda faham akan perbezaan maksud dan penggunaannya. Anda tidak boleh menambahkan imbuhan, menukarkan imbuhan atau menggunakan perkataan itu sebagai peribahasa dan nama khas.

(i) mengingat - beringat-ingat

(ii) menggulung - bergulung-gulung

(iii) menimpa - bertimpa-timpa

[ 6 markah ]




(b) Tukarkan petikan berikut ke dalam bentuk karangan biasa menggunakan cakap pindah.

Asmadi : Bila kaupulang dari luar negeri ?
Maria : Dah seminggu dah,kau macam mana. Masih tinggal di kampung ni ke?
Asmadi : Begitulah Maria, aku ni tak pandai macam kau. Jadi tempat aku di sini sajalah.
Maria : Tak apalah Madi. Di mana-mana pun ada rezeki asalkan kita
rajin. Lagipun aku dengar kau dah ada perniagaan sendiri
sekarang.
Asmadi : Aku setuju dengan pandangan kau tu. Perniagaan aku tu, kecil-
kecilan saja
Maria : Baguslah, walaupun kecil aku bangga dengan usaha kau.
Asmadi : Terima kasih.

[6 markah ]

(c) Dalam setiap ayat di bawah, terdapat kesalahan penggunaan ejaan dan imbuhan. Kenal pasti dan betulkan kesalahan-kesalahan itu dengan menulis ayat itu semula tanpa mengubah struktur dan maksud asalnya.

(i) Proses pembelajar yang berkesan dapat dicapai dengan menggunakan panca indera manusia sebaik mungkin.

(ii) Sukan bukan lagi berupakan aktiviti raidah semata-mata malah sebagai suatu bidang kerjaya dari perspektif sumber pendapatan

(iii) Matlamat murni perlaksanaan ko-kurikulum di sekolah-sekolah akan menjadi kabur tanpa perhatian yang sewajarnya
[ 6 markah ]

(d) Dalam ayat-ayat di bawah, terdapat kesalahan penggunaan kata atau istilah atau kesalahan bahasa. Kenal pasti dan betulkan kesalahan-kesalahan itu dengan menulis ayat itu semula tanpa mengubah struktur dan maksud asalnya.

(i) Rencana tersebut membincangkan tentang faedah kitar semula dalam usaha mengatasi masalah kekurangan tapak penghapusan sampah di negara kita.

(ii) Dari sehari kepada sehari perasaan kami berdegup-degup menantikan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia yang bakal dihadapi

(iii) Pandangan dari puncak bukit itu paling indah sekali pada waktu senja.

[ 6 markah ]

(e) Bina satu ayat daripada setiap peribahasa yang berikut ini. Ayat anda mestilah dapat menjelaskan maksud peribahasa tersebut.

(i) Tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas.
(ii) Bagai kaca terhempas ke batu.
(iii) Darah daging
[ 6 markah ]
(c) MODUL CUBA JAYA SPM 2007/2008 JPN PERLIS

PENGETAHUAN DAN KEMAHIRAN BAHASA Siri 2

CONTOH SOALAN DAN JAWAPAN
MENUKARKAN CAKAP AJUK KEPADA CAKAP PINDAH
Soalan
Tukarkan ayat-ayat cakap ajuk berikut menjadi ayat cakap pindah. Anda dikehendaki mengekalkan susunan isi dalam petikan ini.

Hasmah : Kamil, belajarlah bersungguh-sungguh. Emak nak lihat anak mak berjaya macam Nur Amalina dapat 17 1A dalam SPM tu.
Kamil : Semua orang nak berjaya seperti Nur Amalina tu, mak. Tapi, bukan senang nak lulus cemerlang.
Hasmah : Kalau hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.
Kamil : Mak janganlah risau. Sebenarnya, Kamil dah mula buat kumpulan belajar dengan kawan-kawan. Kami nak belajar sama-sama. Biar kami sama-sama lulus dengan cemerlang.
Hasmah : Alhamdulillah, lega hati mak. Mak doakan kejayaan Kamil dan kawan-kawan tu.
Kamil : Terima kasih, mak.
[ 6 markah ]

Jawapan
Hasmah meminta anaknya, Kamil agar belajar bersungguh-sungguh. Hasmah menyatakan keinginannya melihat Kamil berjaya seperti Nur Amalina yang memperoleh 17 1A dalam SPM tahun terdahulu. Kamil menyatakan bahawa semua orang bercita-cita untuk berjaya seperti Nur Amalina. Kamil menyatakan bahawa bukanlah sesuatu yang mudah untuk lulus dengan cemerlang. Hasmah menegaskan bahawa seseorang yang ingin berjaya akan berusaha bersungguh-sungguh. Menurutnya lagi, ,seseorang yang tidak mahu berjaya akan mengemukakan pelbagai alasan. Kamil meminta ibunya agar tidak berasa risau dan menerangkan bahawa dia dan rakan-rakannya telah membentuk kumpulan belajar kerana mereka mahu belajar bersama-sama. Kamil menegaskan bahawa mereka mahu lulus dengan cemerlang bersama-sama. Hasmah menyatakan kesyukurannya, sambil menyuarakan rasa lega mendengar kata-kata Kamil. Hasmah mengatakan bahawa dia mendoakan kejayaan Kamil dan kawan-kawannya. Kamil mengucapkan terima kasih atas doa ibunya itu.

16 Mac 2009

PROSA KLASIK BAHASA MELAYU SPM Siri 5

PERTARUNGAN TUAH DAN JEBAT
Peristiwa Penting
Laksamana Hang Tuah telah dititahkan Sultan untuk membunuh Hang Jebat yang telah menderhaka kepada Sultan dan telah mengambil alih istana Melaka. Laksamana pergi ke istana diiringi oleh empat puluh orang pahlawan Melayu Melaka. Orang-orang Melaka juga turut mengikut Laksamana ke istana untuk menyaksikan pembunuhan Hang Jebat.

Setibanya di istana, Hang Tuah memanggil Hang Jebat agar membuka pintu istana. Hang Jebat terdengar suara seperti suara Hang Tuah lalu mengintai keluar untuk memastikan orang yang memanggilnya . Setelah melihat Hang Tuah berdiri di Balai Gendang, Hang Jebat mandi untuk memastikan bahawa dia benar-benar tidak bermimpi.

Hang Jebat mempersoalkan kehadiran Hang Tuah yang dianggapnya sudah meninggal dunia. Hang Tuah menjelaskan bahawa beliau telah diselamatkan serta disembunyikan oleh Bendahara. Selama tempoh ketiadaannya, beliau telah pergi berguru di Hulu Melaka.Hang Tuah menerangkan bahawa kedatangannya dalah untuk melaksanakan titah raja untuk membunuh Hang Jebat yang menderhaka kepada raja. Hang Jebat menjelaskan bahawa dia menderhaka kepada raja semata-mata untuk membalas dendam kepada raja yang telah membunuh Hang Tuah.

Hang Jebat menutup pintu istna dan membunuh tujuh ratus orang dayang istana. Setelah makan, Hang Jebat membuka pintu dan pertarungan sengit di antara Hang Tuah dan Hang Jebat pun bermula. Orang ramai yang menunggu di bawah istana meradak lantai istana dengan lembing. Untuk memudahkan pertarungan mereka,Hang Tuah dan Hang Jebat meletakkan empat buah talam besar yang ditutupi permadani untuk menutupi lantai istana.

Sambil bertarung, Jebat terus menjelaskan sebab penderhakaannya kepada Sultan, iaitu :
- hatinya sakit kerana Tuah yang tidak berdosa dibunuh Sultan tanpa usul periksa.
- Tuah telah banyak berjasa kepada raja dan negeri Melaka. Namun Sultan mengetepikan segala jasa yang dicurahkan oleh Hang Tuah itu.

Hang Jebat berpesan bahawa sekiranya dia mati di tangan Laksamana, dia meminta agar Tuah memelihara anaknya yang dikandung oleh Dang Baru. Dia meminta agar anak iti dinamakan Hang Nadim,sekiranya ia lelaki.Sekiranya anak itu perempuan, urusannya hendaklah diserahkan kepada ibu bayi itu, Dang Baru.

Hang Tuah berjaya merampas keris Taming Sari daripada Jebat lalu menikam rusuknya.

Selepas menikam Hang Jebat, Hang Tuah melompat keluar istana lalu pulang ke rumahnya.

PROSA KLASIK BAHASA MELAYU SPM Siri 4

SIKAP TERBURU-BURU AKAN MEMBAWA PADAH







Peristiwa Penting

Barsa Singa mati dan Sura Pandaki, isterinya menganggap bahawa Maharaja Rawana menjadi punca kematian suaminya. Sura Pandaki bimbang akan keselamatan anaknya Darsa Singa lalu menyuruhnya bertapa di dalam rumpun buluh.

Pada suatu hari, Laksamana berjalan-jalan di dalam hutan sambil menghayun pedang di tangannya ke kanan dan ke kiri. Tanpa disedarinya, beliau telah terpenggal pohon buluh yang menjadi tempat Darsa Singa bertapa. Kepala Darsa Singa bergolek ke bumi. Sura Pandaki yang datang untuk menghantar makanan kepada anaknya berasa terkejut melihat kepala anaknya sudah terpenggal. Dia dapat mengagak bahawa anaknya telah dibunuh oleh Laksamana yang sering bersiar-siar di hutan itu.

Sura Pandaki menyamar sebagai seorang wanita yang jelita lalu cuba menggoda Seri Rama. Seri Rama menolak godaan Sura Pandaki kerana baginda telah beristeri. Seri Rama menyuruh Sura Pandaki m,enggoda Laksamana yang masih bujang.

Sura Pandaki pergi ke balik bukit tempat Laksamana bertapa lalu menggoda Laksamana. Laksamana tidak menghiraukan Sura Pandaki. Sura Pandaki berasa marah lalu menukar dirinya menjadi raksasa lalu tyerbang membawa Laksamana. Laksamana menetak hidung raksasa (Sura Pandaki) dengan pedangnya sehingga hidung Sura Pandaki rompong. Akibat kesakitan, Sura Pandaki melepaskan Laksamana. Kedua-duanya jatuh ke bumi. Laksamana pulang ke rumahnya.

Sura Pandaki pulang ke istana dengan berlumuran darah. Dia menutup mukanya lalu mengurung diri di dalam biliknya. Maharaja Rawana ingin berjumpa dengan Sura Pandaki tetapi Sura Pandaki memberi alasan bahawa dia tidak sihat. Maharaja Rawana menghantar dua orang menterinya memanggil Sura Pandaki tetapi Sura Pandaki tidak membenarkan mereka masuk.

Maharaja Rawana pergi ke rumah Sura Pandaki . Baginda merentap selimut Sura Pandaki dan mendapati hidung Sura Pandaki rompong. Sura Pandaki mengatakan bahawa Laksamana telah cuba menggodanya dan apabila dia menolak, Laksamana telah membunuh anak Sura Pandaki dan merompongkan hidungnya. Maharaja Rawana berasa marah kerana Laksamana menunjukkan kekuatannya kepada seorang wanita.

Maharaja Rawana memanggil raksasa Teki dan Martanja lalu terbang bersama-sama dua ekor raksasa itu ke tanah besar. Maharaja Rawana memuja kedua-dua ekor raksasa itu menjadi kijang emas dan kijang perak. Kedua-dua ekor ‘kijang’ itu pergi ke rumah Seri Rama. Sita Dewi, isteri Seri Rama yang terlihat kedua-dua ekor kijang itu meminta Seri Rama menangkapkannya kijang-kijang itu.

Seri Rama pergi memburu kijang-kijang itu dan meninggalkan Sita Dewi di bawah jagaan Laksamana. Rawana meniru suara Seri Rama dan melaung meminta tolong. Sita Dewi cemas akan keselamatan suaminya meminta Laksamana pergi memberi bantuan. Laksamana enggan kerana bimbang akan keselamatan Sita Dewi. Sita Dewi bersangka buruk terhadap Laksamana dan mengatakan bahawa Laksamana sengaja membiarkan Seri Rama kerana mahu mengambil kesempatan terhadap Sita Dewi. Laksamana sedih mendengar kata-kata Sita Dewi itu.


Laksamana melukis satu garisan di sekeliling rumah Sita Dewi untuk melindungi Sita Dewi.

Maharaja Rawana menyamar sebagai seorang Brahman (orang alim) dan meminta Sita Dewi memberinya sesuatu sebagai sedekah. Sita Dewi mengunjukkan bunga di tangannya keluar dari garisan yang diguris oleh Laksamana. Rawana menyambar tangan Sita Dewi dan membawa Sita Dewi terbang.

Semasa diterbangkan oleh Rawana, Sita Dewi mengoyakkan kain kesumba yang dipakainya supaya menjadi tanda kepada Seri Rama untuk mencari Sita Dewi.

Brahman Mabarasbi Guru yang sangat sakti mempunyai tiga orang anak ; iaitu :
i. Burung Jentayu Kasubarasa. (bongsu)
ii. Burung Aran-Aran. (sulung)
iii. Geruda di Bukit Kaf. (tengah)

Jentayu Kaburasa menanyakan sebab Rawana melarikan Sita Dewi. Jentayu mempersoalkannya kerana :
i. Rawana telah berjanji dengan Nabi Adam bahawa baginda tidak akan berbuat salah di dunia.
ii. Rawana telah melanggar janjinya.
iii. Rawana tidak berlaku adil kepada rakyatnya.
iv. Rawana menzalimi hamba rakyatnya.

Rawana tidak menghiraukan kata-kata Jentayu lalu kedua-duanya berperang. Rawana menetak sayap Jentayu lalu Jentayu jatuh ke bumi. Jentayu berdoa agar dia dapat bertemu dengan Seri Rama sebelum mati.

Seri Rama telah memanah kedua-dua ekor kijang itu hingga mati lalu mengandarnya pulang ke rumah untuk diserahkan kepada Sita Dewi. Baginda bertemu dengan Laksamana lalu Laksamana menceritakan kehendak Sita Dewi. Mereka pulang ke rumah dan mendapati Sita Dewi telah dilarikan Rawana. Seri Rama pengsan selama empat hari.

Setelah Seri Rama sedar, Laksamana mengajaknya mencari Sita Dewi yang hilang. Mereka berjalan berhari-hari tetapi masih tiada dapat bertemu dengan Sita Dewi.

PROSA KLASIK BAHASA MELAYU SPM Siri 3

KISAH KEPAHLAWANAN TUN BERAIM BAPA



Peristiwa Penting Berdasarkan Perenggan

Perenggan 1
Setelah hari siang, Tun Beraim Bapa berkata kepada bendaharinya, Dara Sipir agar menyediakan peralatan mandian / berlangir kerana TBP mahu mandi bersama-sama dengan saudara seperguruan serta gurunya. Setelah Dara Sipir menyediakan alatan mandian itu, TBP pun mandi berlimau dengan hulubalang serta gurunya di sungai sempang. Setelah sudah mandi, TBP menganugerahi saudara seperguruannya serta para hulubalangnya pakaian yang lengkap setiap seorang.

Perenggan 2
Kemudian, TBP memakai pakaian lengkap seorang anak raja dan pahlawan berserta dengan tengkolok , bergelang emas di lengan , memakai keris serta pedang dan anak panah .

Perenggan 3
Penampilan TBP terlalu hebat dan kelihatan amat gagah. Begitu juga dengan tutur katanya yang manis dan bersopan; boleh melembutkan hati sesiapa sahaja. Selepas bersiap, TBP pun berjalan ke istana dengan diiringi hulubalang dan guru-gurunya dengan hebatnya kerana :

- TBP memakai panah yang tiada bandingan hebatnya.
- Pakaiannya pula kelihatan berkilau-kilauan.
- Kedengaran bunyi tombak ( canda dan pendahan) yang dibawanya berlaga-laga.

Bunyi bising kehadiran TBP ke istana telah mengejutkan sultan . Baginda menitahkan Dara Zulaikha Tingkap melihat orang yang datang ke istana itu. Dara Zulaikha Tingkap memberitahu sultan bahawa TBP telah sampai ke istana.

Perenggan 4
Apabila TBP tiba di pintu gerbang istana (pintu tani), baginda menitahkan Perman Isap Dua dengan Orang Tikar berjumpa dengan Dara Zulaikha Tingkap yang bergelar Tun Derma Dikara untuk meminta kuda semberani, anak seekor kuda Parsi. Maka, kedua-dua orang suruhan itu pun berjumpa dengan Dara Zulaikha Tingkap (Tun Derma Dikara) untuk meminta kuda itu. Dara Zulaikha Tingkap mempersembahkan permintaan TBP itu kepada sultan. Sultan bertitah bahawa kuda itu tidak dibenarkan oleh baginda dikeluarkan kerana kuda itu tidak pernah ditunggang oleh sesiapa kerana kuda itu gila. Walau bagaimanapun, jika TBP ingin menunggang kuda itu, baginda menitahkan Dara Zulaikha Tingkap agar memberi kuda itu berserta dengan kekang dan pelananya.

Perenggan 5
Selepas itu, Dara Zulaikha Tingkap menyerahkan kuda berserta dengan kekang dan pelananya itu kepada Peman Isap Dua dengan Orang Tikar. Mereka pun segera menyerahkan kuda itu kepada TBP. Sementara itu, sultan keluar untuk melihat TBP bermain kuda. Menyedari kehadiran ayahandanya, TBP memberi hormat kepada baginda dengan penuh sopan. Baginda sultan menitahkan Bermamat p.nti. dan Maidana P.nti, supaya memberitahu TBP agar memacu kuda itu di hadapan tetamu asing, asykar Keling. Baginda menitahkan agar TBP memacu kuda itu ke Tukas. Kedua-dua orang suruhan itu pun menyampaikan titah sultan kepada TBP.



Perenggan 6
Tun Beraim Bapa pun menyembah sultan lalu naik ke atas kuda itu dan memacunya ke Tukas. Dengan sekelip mata. TBP lenyap daripada pandangan. Melihat keadaan itu, air mata sultan pun berlinangan (berbiji sabak) sambil bertitah, “Hilanglah sudah anakku. Di mana agaknya engkau akan kucari. Kata-kataku (titahku) bahawa kuda itu gila dan tidak pernah dikenderai orang tidak didengarnya.” Tiba-tiba TBP muncul di hadapan sultan sambil menunjukkan kemahirannya bermain kuda. Sultan berasa takjub melihat peri laku TBP yang seperti gajah mabuk itu.

Perenggan 7
Sultan menitahkan hulubalangnya agar memberitahu TBP supaya memperlihatkan kehebatannya di hadapan asykar Keling yang menjadi tetamu Pasai itu. Sultan mahu TBP menghapuskan malu baginda kerana asykar Keling itu datang ke Pasai untuk mencabar kehebatan orang Pasai untuk bertanding dengan mereka. Kedua-dua hulubalang itu meyampaikan titah sultan kepada TBP. TBP bersetuju dan meminta sebilah pedang dan sebuah perisai daripada sultan. Sultan menitahkan hulubalang mengeluarkan semua pedang dan perisai yang ada untuk dipilih oleh TBP. Lalu, TBP memilih pedang dan perisai yang paling besar di antara semuanya. Selepas memberi hormat kepada sultan, TBP pun menyinsingkan kainnya dan bersedia untuk membuat persembahan dengan pedang di tangan kanannya dan perisai di tangan kirinya.

Perenggan 8 : Gambaran kehebatan TBP
Gendang serama pun dipalu orang. TBP mempelawa guru-gurunya untuk turut sama membuat persembahan. Gurunya, Pahlawan Kampung Bangka melontarkan kelapa kering (kelambir kotai) kepada TBP. Kelapa kering itu diparang oleh TBP sehingga terbelah dua; sebelah daripada hilang tiada kelihatan. Manakala , yang sebelah lagi terletak di atas tanah dengan penuh berisi air. Guru TBP melontarkan pinang kering kepada TBP. TBP memenggal pinang itu dan keadaan yang sama seperti kelapa kering tadi terjadi. Gurunya pendekar Ali Kampung China pula melontarkan sepohon pisang kea rah TBP. TBP memancung pisang itu dari atas pucuknya hingga ke bawah. Namun, pisang itu tidak rebah. Apabila ditiup angina, pisang itu rebah terpenggal empat.

Perenggan 9
TBP melompat ke kanan dan ke kiri lalu menangkis perisai itu. Perisai itu lenyap; yang tinggal hanya pemegangnya. Begitu juga apabila TBP menggoncang pedang di tangannya; pedang itu lenyap dan yang tinggal hanya ulunya . Selepas membuat persembahan itu, TBP dan guru-gurunya pun menyembah sultan. Semua pendekar Keling yang menyaksikan persembahan TBP itu tercengan dan hairan akan ketangkasan dan kehebatan TBP. Mereka tidak pernah melihat manusia yang sehebat itu. Mereka bukan sahaja tidak sanggup berhadapan / berlawan dengan TBP, malahan untuk bertentang mata dengan TBP pun mereka tidak sanggup.

Perenggan 10
Sultan mencabar pendekar Keling supaya berlawan dengan TBP. Semua pendekar Keling itu mendiamkan diri lalu belayar pulang ke negara mereka. Sultan dengan rasa gembira menyerahkan orang di hulu sungai kepada TBP. TBP pulang ke Tukas berserta dengan orang di hulu sungai, hulubalang , saudara seperguruannya serta guru-gurunya, dengan perasaan gembira. Setelah dijamu oleh TBP, semua yang mengiringinya itu memohon daripada TBP untuk kembali ke tempat masing-masing.

Perenggan 11
Pada suatu hari Jumaat, TBP pergi ke Pasai lalu masuk ke kawasan istana. Ketika tiba di serambi istana, TBP terlihat Tun Fatimah Lempau (TFL) yang merupakan gundik raja (Sultan Ahmad) dengan Dara Zulaikha Tingkap sedang mengarang bunga. Tun Fatimah Lempau menerangkan kepada TBP bahawa karangan bunga itu akan dihantar ke masjid. Setelah siap, TFL melarikan bunga itu ke dalam istana. TBP yang sedang bersandar di tiang istana itu cuba mendapatkan bunga itu, tetapi terpegang tepi kain TFL. Bahu TBP terlanggar pintu istana. TBP segera pergi meninggalkan istana itu.

NOVEL BAHASA MELAYU SPM Siri 4

Jawab soalan di bawah. Jawapan anda hendaklah berdasarkan novel-novel berikut:

(i) Terminal Tiga karya Othman Puteh
(ii) Perlumbaan Kedua karya Marwilis Hj. Yusuf
(iii) Di Hadapan Pulau karya A. Samad Said
(iv) Bukit Kepong karya Ismail Johari
(v) Konserto Terakhir karya Abdullah Hussain
(vi) Seteguh Karang karya Tuan Faridah Syed Abdullah
(vii) Julia karya Abu Hassan Morad
(viii) Putera Gunung Tahan karya Ishak Hj. Muhammad


4(a) Permulaan sesebuah novel memainkan peranan penting untuk menarik minat pembaca terhadap novel tersebut.
Berdasarkan sebuah novel yang anda pelajari huraikan dua peristiwa yang terdapat pada bahagian permulaan novel tersebut. [ 7 markah ]


4(b) Berdasarkan dua buah novel yang anda pelajari, huraikan satu nilai kebijaksanaan yang terdapat dalam setiap novel tersebut. [ 8 markah ]


CONTOH JAWAPAN (untuk pelajar yang memilih novel Perlumbaan Kedua sebagai jawapan 4a)

4(a) Novel yang saya kaji ialah Perlumbaan Kedua karya Marwilis Haji Yusuf.
Terdapat dua peristiwa yang boleh dihuraikan untuk menggambarkan bahagian permulaan novel ini. Peristiwa yang pertama ialah peristiwa Sang Arnab menunjukkan ketangkasannya di padang rumput. Sang Arnab Putih sedang melompat-lompat dan berhambur di dalam hutan. Arnab berlari ke sana sini mempamerkan kelincahannya Kebetulan tindak-tinduk Sang Arnab Putih itu diperhatikan oleh Sang Kancil. Sang Kancil berasa tidak senang hati terhadap tingkah laku Sang Arnab itu. Pada tanggapan Sang Kancil, perbuatan Sang Arnab Putih itu hanya akan merosakkan keindahan hutan dan Sang Arnab sengaja ingin menunjukkan ketangkasan dan kecergasannya kepada penghuni belantara yang lain.
Peristiwa kedua ialah peristiwa Sang Kancil mencabar Sang Arnab Putih untuk berlumba dengan Tuk Kura. Sang Kancil cuba mempersendakan kekalahan nenek moyang Sang Arnab Putih di tangan Sang Kura-kura dan mencabarnya untuk mengadakan perlumbaan kedua dengan Sang Kura-kura demi menebus maruah kaum Sang Arnab Putih di dalam hutan. Demi menebus maruah bangsanya, Sang Arnab bersetuju dengan perlumbaan kedua tersebut tetapi Sang Kancil harus memikul tanggungjawab untuk mengatur perlumbaan tersebut. Sekiranya Sang Kura-kura tidak bersetuju untuk berlumba, Sang Kancil akan menjadi penggantinya untuk berlumba dengan Sang Arnab Putih. Sang Arnab Putih mengenakan tiga syarat iaitu pertama perlumbaan kedua adalah perlumbaan yang muktamad, kedua, perlumbaan boleh diadakan di mana-mana sahaja kecuali kawasan berair, kuala, atau paya, dan syarat ketiga, cara berlumba adalah bebas. Perlumbaan mesti disaksikan oleh semua penghuni rimba. Sekiranya, kura-kura enggan menerima cabaran itu, maka Sang Kura-kura perlu mengaku kalah di hadapan semua penghuni hutan dan Sang Kancil menjadi penggantinya.







38
CONTOH JAWAPAN (untuk pelajar yang memilih novel Julia sebagai jawapan 4a)

4(a) Novel yang saya kaji ialah Julia karya Abu Hassan Morad.
Terdapat dua peristiwa yang boleh dihuraikan untuk menggambarkan bahagian permulaan novel ini. Peristiwa yang pertama ialah peristiwa pemergian Julia dengan ibunya ke Australia. Selepas tamat persekolahan, Julia mengalami perubahan pada sifat peribadinya seperti menjadi liar, bergaul bebas, berjiwa kasar, dan terpengaruh oleh anasir-anasir negatif. Oleh sebab bimbang akan sebarang kemungkinan buruk yang boleh menjejaskan masa depan Julia. Datuk Bakar dan Datin Maznah membuat keputusan untuk menghantar Julia ke Perth, Australia untuk mendalami ilmu agama dan perniagaan di Hidayah Islamic College. Datin Maznah telah memujuk Julia yang berasa berat hati untuk meninggalkan tanah air dan rakan-rakannya. Pemergian Julia ke Perth, Australia ditemani oleh Datin Maznah dan menumpang di rumah bapa saudaranya, Pak Cik Khairil dan Mak Cik Nadia.
Peristiwa kedua ialah peristiwa perkenalan Julia dengan Jun. Di dalam pesawat Boeing 747, Julia sempat berkenalan dengan Jun, seorang pemuda Cina. Semasa dia hendak ke tandas, Julia terlanggar Jun dan mereka saling berkenalan. Selepas perkenalan tersebut, Jun sering hadir dalam hidup Julia untuk memberikan nasihat, bantuan, dorongan dan tunjuk ajar kepada Julia dan mereka menjalinkan hubungan yang rapat.



4(b) Dua buah novel yang saya kaji ialah Perlumbaan Kedua karya Marwilis Haji Yusuf dan Julia karya
Abu Hassan Morad.
Dalam novel Perlumbaan Kedua, nilai kebijaksanaan yang dapat dilihat ialah kebijaksanaan dalam membuat perancangan. Tuk Kura bijak merancang untuk menghadapi perlumbaan tersebut. Tuk Kura meminta Sang kancil mengatur perjumpaan di kawasan padang rumput dan dihadiri oleh semua makluk rimba dan Sang Arnab perlu menyebut syarat-syarat perlumbaan di hadapan binatang lain. Selain itu, Tuk Kura telah meminta Kura-kura berleher jinjang dengan kura-kura bintik untuk bergaduh di hadapan binatang lain untuk mengelirukan sang arnab. Tuk kura juga bijak memilih tempat perlumbaan iaitu lereng bukit yang penuh dengan batu dan pemilihan ini dipersetujui oleh sang arnab tanpa sebarang bantahan.
Nilai kebijaksanaan yang lain dalam novel Perlumbaan Kedua ialah kebijaksanaan memilih teknik perlumbaan. Tuk kura berlumba dengan cara bergerak, menghambur, bergolek dan melantun dari batu ke batu sehingga sampai ke garisan penamat. Kebijaksanaan Tuk Kura menggunakan teknik melantun tersebut telah membolehkan Tuk Kura memenangi perlumbaan tersebut.
Manakala dalam novel Julia, nilai kebijaksanaan yang dapat dilihat ialah kebijaksanaan dalam menangani emosi diri. Julia bijak menguruskan dirinya dengan reda menerima kematian ibu bapanya dan mengambil alih tugas ibu bapanya sebagai ketua keluarga. Julia juga bijak menghadapi Rashid selepas kembali dari Australia, Julia tidak mudah terpengaruh oleh ajakan Rashid ke arah negatif
Nilai kebijaksanaan yang lain dalam novel Julia ialah kebijaksanaan dalam menyelesaikan masalah syarikat. Julia dengan bijak menyelesaikan masalah yang ditimbulkan oleh En. Baharom yang melakukan penyelewengan dalam syarikat BMPRO Transport dan cuba menjual syarikat tersebut. Julia juga bijak menyelesaikan masalah syarikat yang hampir gulung tikar dengan mengadakan program ‘homestay’ atau inapan desa kerjasama dengan Syarikat keluarga Jun (Syarikat Cinta Sejati Travel & Tours) di Felda Guar Napai, Kedah.

NOTA NOVEL BAHASA MELAYU SPM Siri 3

CONTOH SOALAN DAN JAWAPAN


Jawab soalan di bawah. Jawapan anda hendaklah berdasarkan novel-novel berikut:

(i) Terminal Tiga karya Othman Puteh
(ii) Perlumbaan Kedua karya Marwilis Hj. Yusuf
(iii) Di Hadapan Pulau karya A. Samad Said
(iv) Bukit Kepong karya Ismail Johari
(v) Konserto Terakhir karya Abdullah Hussain
(vi) Seteguh Karang karya Tuan Faridah Syed Abdullah
(vii) Julia karya Abu Hassan Morad
(viii) Putera Gunung Tahan karya Ishak Hj. Muhammad

4(a) Watak utama sering diduga dengan pelbagai masalah namun tabah menghadapinya.
Berdasarkan sebuah novel yang anda pelajari, huraikan dua peristiwa yang menggambarkan ketabahan watak utama menghadapi masalah dalam hidupnya. [ 7 markah ]

4(b) Huraikan satu keadaan yang menggambarkan konsep bertimbang rasa diamalkan dalam masyarakat berdasarkan dua buah novel yang anda pelajari. [ 8 markah ]

CONTOH JAWAPAN (untuk pelajar yang memilih novel Perlumbaan Kedua sebagai jawapan 4a)

4(a) Novel yang saya kaji ialah Perlumbaan Kedua karya Marwilis Haji Yusuf.
Terdapat dua peristiwa yang boleh dihuraikan untuk menggambarkan ketabahan watak utama menghadapi masalah atau cabaran dalam hidupnya. Peristiwa yang pertama ialah ketabahan demi mempertahankan maruah kaum. Demi mempertahankan maruah kaum kura-kura daripada dituduh memenangi perlumbaan hanya kerana nasib , Tuk Kura menerima cabaran daripada Sang Arnab Putih supaya diadakan perlumbaan kedua. Tuk Kura dengan tabah menghadapi sindiran kaum arnab yang memperkatakan kekurangan yang ada pada kaum kura-kura dan terus mengatur latihan untuk menghadapi perlumbaan yang bakal diadakan.
Peristiwa kedua ialah ketabahan dalam menghadapi tentangan daripada suku-sakat kura-kura. Ibu bapa kepada kura-kura yang dilatih oleh Tuk Kura tidak bersetuju dengan corak latihan keras yang dilakukan oleh Tuk Kura. Latihan seperti meniti kayu licin dianggap mendera anak-anak mereka. Malahan mereka bertindak mencerca dan memukulnya pula. Tuk Kura tabah menghadapi tentangan daripada suku-sakat kura-kura yang tidak bersetuju dengan corak latihannya yang keras walaupun dirinya dicederakan mereka. Tuk Kura cekal menghadapinya dan hanya mendiamkan diri. Tuk Kura bertindak untuk menyendiri dan mencari ilham untuk memenangi perlumbaan tersebut.

CONTOH JAWAPAN (untuk pelajar yang memilih novel Julia sebagai jawapan 4a)

4(a) Novel yang saya kaji ialah Julia karya Abu Hassan Morad.
Terdapat dua peristiwa yang boleh dihuraikan untuk menggambarkan ketabahan watak utama menghadapi masalah atau cabaran dalam hidupnya. Peristiwa yang pertama ialah peristiwa ketabahan dalam menghadapi dugaan atau ujian Allah. Abah dan mama Julia iaitu Dato’ Bakar dan Datin Maznah telah terlibat dalam kemalangan jalan raya di Karak. Julia menghadapi berita kemalangan abah dan mamanya di Karak itu semasa berada di Hidayah Islamic College dengan penuh ketabahan. Julia berdoa agar mereka selamat. Namun, Julia diberitahu bahawa ibu bapanya telah meninggal dunia dalam kemalangan itu setelah tiba di Kuala Lumpur. Julia menghadapi ujian atau dugaan ini dengan tabah
Peristiwa kedua ialah peristiwa ketabahan dalam menyelesaikan masalah syarikat. Syarikat BMPRO Holdings menghadapi beberapa masalah. Julia tabah menghadapi karenah Encik Baharom yang ingin menjual syarikat BMPRO Transport kepada Datuk Khor serta menimbulkan masalah dalam pengurusan BMPRO Transport. Encik Baharom meninggikan suaranya apabila berhadapan dengan Julia. Ketabahan Julia berhadapan dengan Encik Baharom membuahkan hasil apabila Encik Baharom menyedari kesalahannya dan meminta maaf daripada Julia.
40

4(b) Dua buah novel yang saya kaji ialah Perlumbaan Kedua karya Marwilis Haji Yusuf dan Julia karya
Abu Hassan Morad.
Dalam novel Perlumbaan Kedua, keadaan yang menggambarkan konsep bertimbang rasa diamalkan dalam masyarakat ialah bertimbang rasa terhadap golongan yang lemah. Tuk Kura kelihatan bersusah payah mendaki bukit untuk melihat tempat pertandingan yang bakal diadakan. Atas dasar timbang rasa dan simpati, Sang Gajah menawarkan bantuan untuk membawa Tuk Kura mendaki Bukit Piatu tetapi pelawaan itu ditolak oleh Tuk Kura. Tuk Kura ingin mengetahui keadaan sebenar laluan perlumbaan tersebut.
Konsep bertimbang rasa yang lain dalam novel Perlumbaan Kedua ialah bertimbang rasa terhadap kesilapan atau kesalahan orang lain. Setelah memenangi perlumbaan, anak-anak buah dan suku-sakat Tuk Kura menyedari kesalahan mereka dan meminta maaf daripadanya. Atas dasar timbang rasa , Tuk Kura memaafkan kesalahan anak-anak buah dan suku-sakatnya yang telah memulau dan menderanya.
Manakala dalam novel Julia, keadaan yang menggambarkan konsep bertimbang rasa diamalkan dalam masyarakat ialah bertimbang rasa terhadap kesilapan atau kesalahan orang lain. Julia memaafkan kesalahan atau kebiadapan Encik Baharom walaupun Encik Baharom cuba menipunya. Encik Baharom mahu BMPRO Transport dijual kepada Datuk Khor. Dengan penuh timbang rasa, Julia menasihati Encik Baharom agar membaiki dirinya.
Konsep bertimbang rasa yang lain dalam novel Julia ialah bertimbang rasa terhadap ibu tiri. Ibu tiri Julia, Ummi Sarah mengusahakan Butik BMPRO . Atas dasar timbang rasa dan hormat akan ibu tirinya, Julia menyerahkan pengurusan Butik BMPRO kepada ibu tirinya Ummi Sarah walaupun butik adalah miliknya.


NOVEL BAHASA MELAYU SPM Siri 2


SOALAN 4: NOVEL 2001-2008
sumber: http://spmbahasamelayu.blogspot.com/


TAHUN 2001 (N) 4a. Pada pendapat anda, wajarkah pengarang mengakhiri cerita seperti yang terdapat dalam novel yang anda pelajar ?4b. Huraikan empat persoalan yang terdapat dalam novel yang telah anda pelajari itu.TAHUN 2002 (J)4a. Tulis sinopsis novel yang telah anda pelajari.4b. Huraikan empat nilai murni yang terdapat dalam novel yang telah anda pelajari itu.TAHUN 2002 (N)4a. Jelaskan tema novel yang telah anda pelajari4b. Huraikan latar masyarakat dalam novel yang telah anda pelajariTAHUN 2003 (J)4a. Plot merupakan aspek penting dalam pembinaan sebuah novel. Berdasarkan novel yang telah anda pelajari, jelaskan klimaks novel berkenaan dan peristiwa-peristiwa yang membawa kepada kesudahan cerita.4b. Huraikan empat latar tempat berdasarkan sebuah novel yang telah anda pelajari.TAHUN 2003 (N)4a. Kegigihan merupakan salah satu persoalan yang terdapat dalam novel yang telah anda pelajari. Buktikan pernyataan tersebut.4b. Huraikan watak utama novel yang telah anda pelajariTAHUN 2004 (J)4a. Watak utama sesebuah novel sering dikaitkan dengan pelbagai cabaran. Berdasarkan novel yang telah anda pelajari, huraikan cabaran-cabaran yang dihadapi oleh watak tersebut.4b. Huraikan empat pengajaran daripada novel yang telah anda pelajariTAHUN 2004 (N)4a. Huraikan tiga nilai kasih sayang yang terdapat dalam novel yang anda kaji4b. Konflik merupakan perkara yang menarik dalam sesebuah cerita. Berdasarkan novel yang anda baca, jelaskan bagaimana watak utama menyelesaikan konflik yang dihadapi.TAHUN 2005 (J)4a. Watak sampingan turut memainkan peranan penting dalam sesebuah novel. Berdasarkan novel yang telah anda pelajari, huraikan perwatakan satu daripada watak sampingan tersebut.4b. Pengarang banyak memberikan teladan kepada pembaca melalui peristiwa-peristiwa yang dipaparkan dalam novelnya. Jelaskan tiga peristiwa yang dapat anda teladani berdasarkan novel yang anda pelajari.TAHUN 2005 (N)4a. Terdapat pelbagai peristiwa menarik yang dipaparkan dalam sesebuah novel. Huraikan dua peristiwa paling menarik dalam satu novel yang telah anda pelajari. Mengapakah anda berpendapat demikian?4b. Berdasarkan dua novel yang anda pelajari, bandingkan satu latar tempat dalam setiap novel itu.TAHUN 2006 (J)4a. Pertentangan antara watak banyak terdapat dalam sesebuah novel. Huraikan dua peristiwa yang menunjukkan pertentangan antara watak dalam sebuah novel yang anda telah kaji.4b. Berdasarkan dua buah novel yang anda telah kaji, jelaskan dua nilai kemasyarakatan daripada setiap novel tersebut.TAHUN 2006 (N)4a. Huraikan pengajaran yang terdapat dalam sebuah novel yang anda telah kaji.4b. Berdasarkan dua buah novel yang anda telah kaji, jelaskan satu persoalan daripada setiap novel tersebut.TAHUN 2007 (J)4a. Nilai setia kawan sering dipaparkan dalam sesebuah novel.Huraikan dua nilai setia kawan dalam sebuah novel yang anda pelajari4b. Berdasarkan dua buah novel yang anda pelajari, huraikan tema dalam setiap novel itu.TAHUN 2007 (N)4a. Berdasarkan sebuah novel yang anda pelajari, jelaskan dua peristiwa yang dapat dikaitkan dengan persoalan maruah.4b. Berdasarkan dua buah novel yang anda pelajari, huraikan cara watak utama setiap novel menyelesaikan satu konflik yang dihadapinya.TAHUN 2008 (J)4a. Pemilihan tajuk sesebuah novel dapat dikaitkan dengan isi kandungan novel tersebut.Buktikan pernyataan di atas berdasarkan sebuah novel yang telah anda kaji.4b. Berdasarkan dua novel yang telah anda kaji, berikan tiga pengajaran yang terdapat dalam setiap novel.TAHUN 2008 (N)4a. Bahagian permulaan sebuah novel memainkan peranan yang penting kepada pembaca untuk meneruskan pembacaan.Berdasarkan sebuah novel yang anda pelajari, jelaskan dua sebab bahagian permulaan novel itu menarik minat anda.4b. Bandingkan, iaitu dari segi persamaan dan perbezaan, satu latar masyarakat dalam dua buah novel yang anda pelajari.