20 Mac 2011

CEMERLANG BAHASA MELAYU SPM 2011 - SIRI 1

Soalan 1 Kertas 2 MERUMUSKAN KARANGAN
Merumuskan karangan merupakan proses menyatakan isi-isi penting sesuatu petikan yang dipersembahkan secara ringkas tetapi padat dan tepat mengikut jumlah perkataan yang ditetapkan. Isi-isi penting yang berupa isi tersurat dan isi tersirat petikan tersebut mestilah menepati kehendak atau arahan soalan.

Contoh Arahan Soalan
Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang cara-cara meningkatkan taraf golongan kurang upaya dan kekangan  dalam melaksanakannya.

Rumusan yang dihasilkan sebaik-baiknya ditulis dalam empat (4) perenggan iaitu:
Perenggan 1 : PENGENALAN
Perenggan 2 : ISI-ISI TERSURAT
Perenggan 3 : ISI-ISI TERSIRAT
Perenggan 4 : KESIMPULAN


Perenggan 1 : PENGENALAN
Pengenalan ialah satu pernyataan tentang tema atau idea keseluruhan petikan .
Pengenalan mengandungi 3 aspek, iaitu :
1. Pernyataan tentang petikan (P)
- Petikan menyatakan / Petikan membincangkan ….…
2. Tema petikan (T) / Kata yang sesuai (K)
3. Huraian (H)*
*  Bukan sesuatu yang wajib atau perlu ditulis.
    Cuma saya menyarankannya agar pengenalan menjadi lebih sempurna atau lengkap.

Contoh Pengenalan
Petikan membincangkan (P) perhatian yang diberikan kepada golongan kurang upaya (T) di Malaysia (H)
@
Petikan menyatakan (P) usaha-usaha untuk meningkatkan taraf hidup golongan kurang upaya (K) masa ini/ di negara ini (H).

Pengenalan hendaklah ditulis dalam satu ayat sahaja. (Tiada huraian lanjut selepasnya)
Jumlah perkataan untuk perenggan pengenalan ialah 15 patah perkataan.
Markah yang diperuntukkan untuk pengenalan ialah 2 markah.

Perenggan 2 : ISI TERSURAT
Isi-isi tersurat (IS) merupakan isi-isi penting yang terdapat dalam petikan yang diberi dan menjawab kata tugas atau arahan soalan yang pertama (A1) merumuskan karangan.
6-8 isi tersurat perlu dipersembahkan bagi setiap rumusan untuk mendapat markah isi tersurat yang maksimum.
Setiap isi tersurat diwakili oleh satu ayat sahaja. (Tiada huraian lanjut selepasnya)
Jumlah perkataan untuk perenggan isi tersurat ialah 65 patah perkataan.
Garisi setiap isi tersurat yang ditemukan dalam petikan yang dibaca. Nombor isi boleh diletakkan bagi setiap isi yang digarisi. (Kebiasaannya terdapat antara 6-10 isi dalam petikan)
Poin-poin penting atau kadangkala keseluruhan ayat dalam petikan yang diberi sebaik-baiknya dikekalkan semasa menulis isi tersurat. (untuk mengelakkan pelajar daripada tersasar atau menulis isi tersurat yang berubah maksudnya).
Isi tersurat ditulis dengan struktur ayat yang lengkap subjek dan predikatnya.

Perenggan 3 : ISI TERSIRAT
Isi-isi tersirat (IT) merupakan isi -isi yang tidak terdapat dalam petikan yang diberi dan merupakan jawapan bagi kata tugas atau arahan soalan yang kedua (A2) merumuskan karangan.
2-3 isi tersirat perlu dipersembahkan bagi setiap rumusan untuk mendapat markah isi tersirat yang maksimum.
Isi-isi tersirat yang ditulis hendaklah lengkap serta jelas. (Isi yang berupa pernyataan umum hendaklah dielakkan).
Setiap isi tersurat diwakili oleh satu ayat sahaja. (Tiada huraian lanjut selepasnya)
Jumlah perkataan untuk perenggan isi tersirat ialah 25 patah perkataan.
Isi tersirat ditulis dengan struktur ayat yang lengkap subjek dan predikatnya.

Perenggan 4 : KESIMPULAN
Kesimpulan merupakan pernyataan yang menyimpulkan rumusan yang telah dihasilkan. Perenggan ini merupakan pernyataan cadangan tentang persoalan atau isu yang ditimbulkan dan rasional cadangan tersebut dinyatakan.
Kesimpulan mengandungi 3 aspek, iaitu :
1. Pernyataan tentang kesimpulan
–Kesimpulannya, (K)
2. Cadangan khusus berdasarkan kata tugas soalan atau arahan soalan (C)
3. Rasional cadangan itu dikemukakan dengan menggunakan kata seperti - agar, supaya, demi @ untuk .(R)
Contoh Kesimpulan
Kesimpulannya, (K) pihak-pihak yang bertanggungjawab perlu proaktif membantu OKU (C) agar mereka dapat memberi sumbangan kepada negara (R).
Kesimpulan hendaklah ditulis dalam satu ayat sahaja. (Tiada huraian lanjut selepasnya)
Jumlah perkataan untuk perenggan kesimpulan ialah 15 patah perkataan.
Markah yang diperuntukkan untuk kesimpulan ialah 2 markah.
(c) cikgu shuhaimi mrsm transkrian

08 Mac 2011

MRSM SELURUH MALAYSIA

Setakat ini terdapat 46 buah MRSM di seluruh Malaysia (45 buah beroperasi manakala sebuah iaitu MRSM Bentong dalam proses penyelenggaraan).
Suatu ketika dahulu, wujud beberapa buah MRSM seperti MRSM Seremban (MRSM pertama, bemula 1972),MRSM Kulim, MRSM Banting, MRSM Kerteh, MRSM Jelebu, MRSM YT Dungun dan MRSM YT Besut. Namun, peredaran masa , kehendak pembangunan dan perkembangan pendidikan merobah keadaan & perjalanan institusi tersebut. MRSM Kulim bertukar menjadi Kolej MARA Kulim manakala MRSM Banting menjadi Kolej MARA Banting dan MRSM Seremban menjadi Kolej MARA Seremban. MRSM Kerteh pula berpindah pada tahun 1992 ke Kuala Berang lalu dikenali sebagai MRSM Kuala Berang. MRSM YT Dungun telah dijadikan Sekolah Menengah IMTIAZ Dungun oleh kerajaan Terengganu manakala MRSM YT Besut dikenali sebagai MRSM Besut. MRSM Jelebu pula berpindah ke kampus tetap yang kini dikenali sebagai MRSM Kuala Klawang.
Kumpulan LDP dan BWP MRSM Kerteh (87-89)
bergambar selepas pulang dari Kem Kepimpinan & Jalan Lasak
di Pantai Kijal (kini telah menjadi tapak Awana Kijal)