23 November 2010

CATATAN KERTAS 1 BAHASA MELAYU SPM 2010 (NOVEMBER)

Berikut dipaparkan catatan tentang Kertas 1 Bahasa Melayu SPM 2010 (November) yang berakhir pada 10.15 pagi tadi.

NOV 2010
Bhg A
Pendapat Cara-cara menjalani kehidupan yang sihat. Individu/Keluarga/Masyarakat
Bhg B1
Perbincangan Peranan sebagai pengawas untuk membantu pihak sekolah membentuk murid yang berdisiplin . Individu
2 Penjelasan Tanggungjawab anak-anak terhadap ibu bapa Keluarga
3
Huraian Peranan rakyat Malaysia dalam menjamin kesejahteraan negara berdasarkan lirik lagu Negaraku Negara
4
Huraian Langkah-langkah menangani wabak penyakit berjangkit oleh negara-negara di dunia.Antarabangsa
5
Cerpen Berdasarkan maksud peribahasa ‘Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan’ . Individu.


SELAMAT MENGHADAPI PEPERIKSAAN SPM 2010 23 NOVEMBER- 14 DISEMBER2010

Salam
Pada saat catatan ini ditulis, anak didik kami seramai 145 orang sedang bertungkus lumus menjawab Kertas 1 Bahasa Melayu . Entah apalah agaknya soalan bahagian A & B yang diuji kepada para calon. Doa kami, pendidik Bahasa Melayu MRSM Transkrian, semoga anda semua dapat menjawab dengan cemerlang bagi kedua-dua kertas Bahasa Melayu. Begitu juga untuk kertas-kertas subjek yang lain. Semoga semua calon SPM seantero Malaysia berjaya dengan cemerlang dalam SPM 2010, Amin..
Apakah agaknya petikan teks yang akan dipilih untuk dijadikan bahan Kertas 2 petang nanti? Mungkinkah cerpen Lambaian Malar Hijau? @Drama Jangan Bunuh Rama-Rama?Petikan klasik Cerita Bayan Tiada Menurut Kata Ibu Bapanya? @ Petikan klasik Pertarungan Tuah & Jebat ? Syair Kelebihan Ilmu? @Bagaimana pula dengan sajak Di Ruang Gemanya?

20 November 2010

ULANG KAJI MENGHADAPI SPM 2010 SIRI 13


PEPERIKSAAN PASCAPERCUBAAN SPM 2010 MRSM TRANSKRIAN
Soalan 2d - Pemahaman Puisi Tradisional
(c) Percubaan SPM 2010 Negeri Pulau Pinang
Baca syair di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
SYAIR KELEBIHAN ILMU
Ilmu itulah gemala sakti,
Sinarnya cerah cahaya sejati,
Asal puncanya lamun didapati,
Sukar bercerai sehingga mati.

Harganya tidak dapat dinilaikan,
Sebuah dunia belinya bukan,
Kuasanya besar sukat digunakan,
Di laut di darat di rimba di pekan,

Masa seorang ialah taulan,
Teman berbeka suluh berjalan,
Masa berhimpun ia pengenalan,
Hias penyata polan si polan,

Bagi yang duka ia penghibur,
I
a penerang bagi yang kabur,
Ialah kandil di dalam kubur,
Lamun dengannya beramal subur.

Ia penerang jalan ke syurga,
Ia pemuas tekak yang dahaga,
Ialah sungai ialah telaga,
Laut yang luas ialah juga.

Ialah alat sangat berguna,
Idaman orang yang bijaksana,
Hamparnya luas amat saujana,
Tepinya ajal sempadannya fana.
ZA’BA

(i) Berikan maksud Ilmu itulah gemala sakti. [2 markah]
(ii) Pada pendapat anda, apakah kesannya kepada negara jika remaja hari ini tidak menguasai ilmu pengetahuan? [3 markah]
(iii) Nyatakan tiga pengajaran yang terdapat dalam syair tersebut. [3 markah]

JAWAPAN CONTOH
(i)
Maksud Ilmu itulah gemala sakti ialah pengetahuan banyak mempunyai manfaat.
(jawapan berdasarkan syair)

(ii) Pada pendapat saya jika remaja hari ini tidak menguasai ilmu pengetahuan, negara akan kekurangan tenaga mahir/tenaga pakar pada masa akan datang. Negara juga akan kekurangan pemimpin pelapis yang berwibawa. Pada pendapat saya, jika remaja tidak menguasai ilmu, negara tidak dapat bersaing dengan negara-negara luar. Negara-negara lain juga akan memandang rendah terhadap negara. Akhirnya, negara terpaksa mengambil tenaga-tenaga mahir dari luar.
(kemukakan 3@4@5 isi yang berupa pendapat calon tentang kesan kepada negara jika remaja tidak menguasai ilmu)
(soalan menguji kemahiran berfikir calon)

(iii)Tiga

engajaran yang terdapat dalam syair tersebut ialah kita hendaklah menuntut ilmu kerana ilmu amat berguna kepada manusia . Selain itu, kita hendaklah menghargai ilmu kerana ilmu amat tinggi nilainya . Kita hendaklah mengamalkan ilmu untuk mencapai cita-cita. Pengajaran lain ialah kita hendaklah menguasai ilmu untuk menjadi maju.

(kemukakan 3@4@5 pengajaran)



ULANG KAJI MENGHADAPI SPM 2010 SIRI 12

PEPERIKSAAN PASCAPERCUBAAN SPM 2010 MRSM TRANSKRIAN
Soalan 2c - Pemahaman Prosa Klasik
(c) Percubaan SPM 2010 Negeri Melaka Darul Adzim

Baca petikan prosa klasik di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Maka berceritalah anak kera itu segala perihalnya itu kepada bapanya. Maka kata bapanya, “Hai anakku, apakah kataku dahulu kepadamu? Sekarang janganlah lagi engkau bersahabat dan bermain-main dengan anak saudagar itu.”
Sungguhpun demikian kata bapanya, tiada jua didengar oleh anak kera itu, sedia kala pergi juga ia bermain-main dengan anak saudagar itu. Adapun luka anak kera itu sudahlah sembuh, tetapi luka anak saudagar itu belum juga sembuh lagi, beberapa pun diubati oleh tabib, tiada juga baik.
Maka kata tabib kepada saudagar itu, “Adapun luka anak tuan hamba ini, jika beroleh hati anak kera itu, sembuhlah.”
Setelah anak saudagar mendengar kata tabib demikian, maka katanya, “Meski hamba mati sekalipun, bahawa sesungguhnya tiadalah hamba mahu membunuh anak kera itu.”
Setelah dilihat oleh saudagar itu luka anaknya itu tiada juga mahu sembuh lagi, maka saudagar itu pun berfikir di dalam hatinya. “Baiklah, apabila datang anak kera itu kubunuh.”
Syahadan, pada suatu hari, datanglah anak kera itu hendak bermain-main dengan anak saudagar itu seperti adat sedia kala juga, maka segera ditangkap oleh saudagar dan dibunuh akan dia, diambilnya hatinya lalu diubatkan anaknya itu. Maka luka anak saudagar itu pun sembuhlah ..(Dipetik daripada Cerita Bayan Tiada Menurut Kata Ibu Bapanya)

(i) Berikan maksud berceritalah anak kera itu segala perihalnya. [2 markah]
(ii) Apakah yang dilakukan oleh saudagar terhadap anak kera tersebut? [3 markah]

(iii) Pada pendapat anda, apakah yang akan terjadi kepada seseorang anak sekiranya

tidak mahu mendengar nasihat ibu bapanya?

[3 markah]

JAWAPAN CONTOH
(i)

Maksud berceritalah anak kera itu segala perihalnya ialah anak kera memberitahu semua peristiwa yang berlaku.

(jawapan diberi dalam ayat yang lengkap, bukan sekadar memberikan maksud frasa sahaja)

(ii)

Saudagar telah menangkap dan membunuh anak kera tersebut. Selain itu, saudagar juga telah mengambil hatinya dan menggunakan hati itu sebagai ubat untuk mengubati anaknya.

(kemukakan 3@4@5 isi jawapan)

(jawapan berdasarkan petikan)

(iii)

Pada pendapat saya,sekiranya seseorang anak tidak mahu mendengar nasihat ibu bapanya, dia akan dimarahi oleh mereka. Hidupnya menjadi tidak tenteram kerana menanggung kesusahan hidup di dunia. Pada pendapat saya, seseorang anak itu tidak mendapat rahmat kerana terputus rezeki daripada Allah. Tindakannya itu berdosa dan akan mendapat azab daripada Allah di akhirat.
(Kemukakan 3@4@5 isi yang berupa pendapat sendiri)
(Soalan berbentuk kemahiran berfikir)

SEMOGA ANDA SEMUA MEMPEROLEH MANFAAT & PANDUAN MELALUI PAPARAN BAHAN ULANG KAJI INI, INSYA-ALLAH
(c) shuhaimi sulaiman mrsm transkrian





16 November 2010

ULANG KAJI MENGHADAPI SPM 2010 SIRI 11

PEPERIKSAAN PASCAPERCUBAAN SPM 2010 MRSM TRANSKRIAN
Soalan 2b - Pemahaman Drama
(c) Percubaan SPM 2010 Negeri Selangor Darul Ehsan

Baca petikan drama di bawah dengan teliti kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

BADUT (RAJA) : Esoknya hamba pun masuk belukar keluar belukar, masuk hutan keluar hutan, masuk rimba keluar rimba. Luka di tangan, luka di kaki, luka di muka sebab mengejar seekor rama-rama yang kecil tapi paling cantik sekali. Hamba tak pernah temui seekor yang sebegitu indah. Tiba-tiba, hamba tergelincir, terus jatuh ke dalam sebuah telaga. Air di dalamnya sedang mendidih bergelegak. Ya Allah, pedihnya bukan kepalang. Hilang malu, hamba menjerit-jerit. Tak tahu berapa lama hamba terapung di atas air yang sedang mendidih itu. Tiba-tiba rama-rama yang kecil tadi datang semula dan memerhati hamba yang berada di dalam keadaan yang sebegitu daif sekali. Rama-rama itu pun terbang berlegaran sambil mengipas-ngipas hamba dan air yang panas itu dengan sayapnya yang kecil dan sebegitu cantik sekali. Air yang panas tadi mulai beransur sejuk,semakin sejuk. Akhirnya, air itu sebegitu nyaman dan selesa sekali. Hamba terdengar azan waktu Subuh. Janganlah bunuh rama-rama. (Dipetik daripada drama ‘Jangan Bunuh Rama-Rama’oleh Noordin
Hassan
dalam antologi Kerusi, Dewan Bahasa dan Pustaka)

(i) Apakah kesukaran yang dihadapi oleh raja untuk mendapatkan rama-rama? [3 markah]
(ii) Pada pendapat anda, wajarkah rama-rama membantu raja yang berada dalam kesusahan?
Kemukakan tiga alasan anda. [3 markah]
(iii) Huraikan satu nilai dalam petikan di atas dan dua nilai lain daripada drama tersebut yang tidak terdapat
dalam petikan.
[3 markah]

Jawapan Contoh
(i)
Raja terpaksa masuk belukar keluar belukar untuk mendapatkan rama-rama. Kesukaran lain yang dialami raja ialah raja terpaksa masuk hutan keluar hutan dan masuk rimba keluar rimba. Selain itu raja mengalami luka di tangan, luka di kaki dan luka di muka.

( persembahkan 3@4@5 isi)

( jawapan diperoleh daripada petikan)


(ii) Pada pendapat saya, rama-rama wajar membantu raja yang berada dalam kesusahan. Rama-rama wajar membantu raja kerana raja betul-betul terdesak dan berada dalam keadaan yang sangat genting. Dengan pertolongan rama-rama, saya berharap agar raja akan sedar insaf akan kesilapannya. Pada pendapat saya, tindakan rama-rama wajar kerana perbuatan raja itu hanyalah sekadar memenuhi kehendak permaisuri dan menjalankan tanggungjawabnya sebagai suami. Selain itu, amalan memaafkan kesilapan orang merupakan perbuatan terpuji. Tambahan lagi, sekiranya raja tidak ditolong, rakyat akan kehilangannya sebagai pemimpin sekiranya raja mangkat.
(nyatakan sama ada wajar atau tidak rama-rama menolong raja)
(berikan 3@4@5 isi yang menyokong pernyataan tersebut)
(isi berupa pendapat calon- soalan kemahiran berfikir)

(iii) Satu nilai yang terdapat dalam petikan ialah nilai tolong-menolong. Rama-rama menolong raja yang kepanasan di dalam perigi dengan mengipas-ngipaskan sayapnya. Air yang panas dalam perigi akhirnya menjadi nyaman dan selesa sekali.
Manakala dua nilai yang tidak terdapat dalam petikan ialah nilai keberanian dan nilai baik hati. Nilai keberanian terdapat pada watak Mek Bongsu. Mek Bongsu yang dikenali juga sebagai Bidan Tuk Mah berani membuat keputusan untuk meninggalkan kesenangan lalu hidup cara sederhana Nilai baik hati pula dapat dilihat apabila Peran dan rombongannya dengan penuh kebaikan sanggup mengubati orang-orang buta di sebuah perkampungan.
(jawapan perlu ada pernyataan nilai dan huraian/contoh nilai tersebut)

SEMOGA ANDA SEMUA MEMPEROLEH MANFAAT & PANDUAN MELALUI PAPARAN BAHAN ULANG KAJI INI, INSYA-ALLAH
(c) shuhaimi sulaiman mrsm transkrian

SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA - 10 ZULHIJJAH 1431H (17 NOVEMBER 2010)

15 November 2010

ULANG KAJI MENGHADAPI SPM 2010 SIRI 10

Soalan 3: Pengetahuan dan Kemahiran Bahasa

Dipaparkan kepada anda semua soalan 3a - Membina Ayat yang dipetik daripada Percubaan SPM 2010 seluruh negeri di Malaysia termasuk SBP/SKLUS dan MRSM sebagai bahan ulang kaji.

JOHOR
Kata Berimbuhan
dalam
sedalam
mendalami
proses
memproses
pemprosesan

KEDAH
Kata Majmuk
aman damai
bijak bestari
cantik menawan
gagah berani
harum mewangi
sihat sejahtera

KELANTAN
Kata Berimbuhan

pulang
sepulang
terpulang
pulangan
kepulangan
memulangkan

MELAKA
Kata Pinjaman
pakej
komedi
tragedi
subsidi
iIlustrasi
prosedur

NEGRI SEMBILAN
Kata Berimbuhan

susun
susunan
menyusun
tersusun
bersusun-susun
penyusunan

PAHANG
Kata Berimbuhan

jalin
terjalin
menjalin
jalinan
penjalin
memperjalinkan

PERAK
Kata Dasar & Kata Ganda
gendang - gegendang
rambut - rerambut
jentik - jejentik

PERLIS
Kata Berimbuhan

mengena - mengenakan
menjadi - menjadikan
memutih - memutihkan

PULAU PINANG
Kata Majmuk & Kata Berimbuhan

berkuat kuasa - menguatkuasakan
berputar belit - memutarbelitkan
berlipat ganda - melipatgandakan

SABAH
Kata Majmuk

daya tenaga
daya upaya
daya serap
daya tahan
daya saing
daya maju

SARAWAK
Kata Majmuk
anak kapal
anak tangga
anak rambut
anak dagang
anak tempatan
anak gahara

SELANGOR
Kata Ganda

ipar-duai
lauk-pauk
sorak-sorai
riuh-rendah
segar-bugar
susup-sasap

TERENGGANU
Kata Berimbuhan
aman
mengamankan
pengamanan
kemas
mengemaskan
pengemaskinian

WP KUALA LUMPUR
Kata Berimbuhan

campur
bercampur
mencampuri
mencampurkan
campuran
bercampur-aduk

SBP/SKLUS
Kata Berimbuhan

menyalahi
menyalahkan
mendasari
mendasarkan
menghiasi
menghiaskan

MRSM
Kata Banyak Makna

medan
mentah
mendung

SELAMAT MENGULANG KAJI UNTUK SUBJEK BAHASA MELAYU .
SEMOGA ANDA SEMUA MEMPEROLEH MANFAAT & PANDUAN MELALUI PAPARAN BAHAN ULANG KAJI INI, INSYA-ALLAH
(c) shuhaimi sulaiman mrsm transkrian