31 Januari 2011

MUQADDIMAH BAHASA MELAYU SPM 2011 (EDISI NOV)



PERSEDIAAN BAHAN, MINDA, MENTAL DAN ROHANI UNTUK MENGHADAPI KERTAS BAHASA MELAYU SPM 2011 (EDISI NOV)
  • Para pelajar telah membaca dan memahami keseluruhan teks KOMSAS iaitu 'Harga Remaja',, 'Dirgahayu Bahasaku' dan, novel mengikut zon masing-masing serta bahan ulang kaji Kertas 1 dan Kertas 2 yang disediakan oleh guru-guru anda.
  • Para pelajar mengetahui format dan memahami keperluan serta menguasai teknik menjawab Kertas 1 dan 2 Bahasa Melayu SPM dengan sepenuhnya.
  • Anda berusaha agar memperoleh markah yang cemerlang dalam setiap kali taksiran (Taksiran 1,2 & 3) Ujian Lisan Berasaskan Sekolah (ULBS) Bahasa Melayu.
  • Para pelajar membuat analisis tentang soalan Kertas 1 & Kertas 2 (soalan 1, Soalan 3 dan Soalan 4) bagi tahun-tahun lepas.
  • Para pelajar berusaha tidak mengenal penat dan jemu untuk sentiasa membuat latihan ulang kaji.
  • Anda berazam dan berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk memastikan A+ Bahasa Melayu tidak terlepas daripada genggaman.
  • Anda sentiasa berdoa agar mendapat kecemerlangan dalam subjek Bahasa Melayu dan subjek-subjek lain.
  • Anda mengerjakan Solat Sunat Hajat dan Tahajud memohon limpah perkenan Allah
  • Anda membaiki tulisan agar mudah dibaca oleh guru/pemeriksa.
  • Anda memastikan bahawa kerja yang anda hasilkan terutama jawapan peperiksaan kemas, cantik dan menyenangkan hati semua pihak.
  • Anda melakukan perkara-perkara lain yang sepatutnya dilakukan sebagai seorang pelajar dalam menghadapi peperiksaan.
    Semoga dirahmati Allah dan semoga berjaya dengan cemerlang..Insya-Allah, panduan menghadapi SPM 2011 akan mula disiarkan tidak lama lagi.
(c)cikgushuhaimi

28 Januari 2011

JAMUAN KECEMERLANGAN PMR 2010 MRSM TRANSKRIAN 27 JANUARI 2011

Bertempat di PMI Aroma Cafe, Melor Inn,Parit Buntar, Perak,  Majlis Jamuan Kecemerlangan PMR 2010 MRSM Transkrian telah diadakan pada 27 Januari 2011. Majlis yang dihadiri pelajar-pelajar tingkatan 4 (termasuk mereka akan melanjutkan pengajian di MRSM PKP) serta dimeriahserikan oleh kehadiran pengetua, timbalan-timbalan pengetua dan guru-guru itu, bermula jam 5.00 petang.
Majlis diadakan bertujuan untuk menghargai kejayaan pelajar-pelajar tingkatan 3 MRSM Transkrian  (2010) dalam PMR di samping menjadi penutup untuk program Kemahiran Insaniah Kemahiran Subjek (KIKS) yang diadakan khusus untuk pelajar-pelajar tingkatan 4 MRSM sebelum mereka mendaftar secara rasmi pada 7 Februari ini. Selain itu, majlis ini adakan untuk meraikan pelajar-pelajar tingkatan 4 yang berjaya mendapat tawaran untuk meneruskan pengajian MRSM PKP.


Wakil pelajar tingkatan 4 yang akan melanjutkan pengajian di MRSM PKP (seramai 25 orang) sedang menyampaikan ucapan.

Pengetua MRSM Transkrian, Hj Samsudin Suip turut menyampaikan ucapan di samping menyampaikan sijil kursus KIKS kepada pelajar-pelajar.



Disisipkan klip  lagu ;Dalam Kenangan' (Wheels) khas untuk pelajar-pelajar Tingkatan 4 yang akan melanjutkan pelajaran ke MRSM Program Khas Pendidikan PKP iaitu di MRSM Taiping, Tun Ghafar Baba, Pengkalan Chepa, Kuantan, Pontian & Langkawi)
 

                                             http://www.youtube.com/watch?v=22hSAPpOLcY

20 Januari 2011

MAJLIS MINUM PETANG KELAB GURU MRSM TRANSKRIAN 19 JANUARI 2011

Bertempat di Hotel Sunway, Seberang Jaya, Majlis Minum Petang anjuran Kelab Guru MRSM Transkrian 2009-2010 telah diadakan pada 19 Januari 2011. Majlis yang diadakan  khusus terus memantapkan ukhuwah antara pendidik MRSM Transkrian di samping menghargai para pendidik yang telah bekhidmat di maktab ini dengan penuh dedikasi, telah dirasmikan oleh Tuan Hj. Samsudin bin Suip, Pengetua MRSM Transkrian. Majlis berlangsung mulai jam 3.00 hingga 4.30 petang.
Majlis yang diadakan dalam suasana yang penuh ceria dan santai ini, turut disulami agenda pemilihan pucuk pimpinan Kelab Guru MRSM Transkrian bagi 2011-2012. Para pendidik sebulat suara memilih Encik Zulkifli Hussain, Kaunselor Pelajar sebagai Presiden Kelab Guru.
Selain itu, majlis diserikan dengan acara penyampaian cenderamata kepada semua guru sebagai tanda penghargaan kelab atas komitmen guru selama ini. Turut menerima cenderamata ialah guru-guru yang baru melangsungkan perkahwinan dan memperoleh cahaya mata.

Turut diselitkan di sini ialah klip video lagu Katakan Padaku nyanyian Ahmad Ramli berdasarkan sajak Latif Mohidin. Lagu ini sering berkumandang di Radio Malaysia Kedah FM selepas siaran berita jam 5 petang.

03 Januari 2011

SESI PERSEKOLAHAN 2011 BERMULA....PROGRAM MESRA PELAJAR MRSM TRANSKRIAN '1 ASPIRASI, 1 USAHA, 1 REALITI' 3-5 JANUARI 2011


Sesi persekolahan secara rasmi bermula hari ini (3 Januari 2011). Bagi MRSM Transkrian, Nibong Tebal, sesi dimulakan dengan Program Mesra Pelajar selama 3 hari. Pengisian program adalah mendukung tema ‘1 Aspirasi, 1 Usaha, 1 Realiti’ yang menggambarkan kesepaduan dan kesatuan antara aspirasi dan usaha untuk menghasilkan kecemerlangan yang diimpikan.

Pengetua MRSM Transkrian, Hj Samsudin Suip sedang menyampaikan amanat dalam sesi Mesra Bersama Pelajar jam 11.30 hingga 1.00 tengah hari di Dewan Ibnu Sina (DIS)