12 November 2010

SELAMAT BERCUTI SEMESTER 2 -2010


SELAMAT BERCUTI DIUCAPKAN KEPADA PELAJAR-PELAJAR MRSM TRANSKRIAN DARIPADA KAMI, TENAGA PENGAJAR DI JABATAN BAHASA. Pelajar-pelajar Tingkatan 1,2,3 dan 4 mula bercuti dari 13 November hingga 2 Januari 2011 manakala guru-guru mula bercuti dari 13 November hingga 26 Disember. Guru mula bertugas pada 27 Disember.

11 November 2010

ULANG KAJI MENGHADAPI SPM 2010 SIRI 9

PEPERIKSAAN PASCAPERCUBAAN SPM 2010 MRSM TRANSKRIAN

Soalan 1 : Merumuskan Karangan
Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian tulis satu rumusan tentang usaha-usaha membanteras jenayah dan halangan dalam melaksanakan usaha tersebut. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Dewasa ini, pelbagai jenis jenayah semakin menular di mana-mana sahaja sehingga sudah sampai ke peringkat mengancam keselamatan awam. Keselamatan awam merupakan prasyarat untuk menjana pertumbuhan ekonomi dan memastikan kesejahteraan rakyat. Rakyat akan berasa selamat dan bebas ke mana-mana. Kerajaan menyasarkan indeks jenayah dikurangkan sebanyak lima peratus termasuk mengurangkan jenayah jalanan seperti ragut dan samun sebanyak 20 peratus pada akhir 2010. Kerajaan amat komited untuk membanteras jenayah. Lantaran itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, ketika membentangkan Bajet 2010 mengatakan bahawa sejumlah RM1 bilion disediakan untuk meningkatkan perkhidmatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada tahun 2010. Selain itu, bajet turut akan disalurkan bagi menambah baik logistik seperti menyediakan kelengkapan yang canggih, menambah bilangan kenderaan dan membina pondok-pondok polis. Langkah lain termasuklah mempertingkatkan latihan dan kecekapan 3,000 anggota Relawan Rakyat (RELA) yang berkhidmat secara sukarela demi memastikan keselamatan negara. Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) pula melakukan rondaan bersama-sama dengan polis bagi meringankan beban anggota keselamatan dalam mengurangkan masalah jenayah. Dalam usaha ini, kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) saling membahu meningkatkan kempen pencegahan jenayah, di samping melaksanakan program integrasi polis dalam komuniti masyarakat.
Tugas memerangi jenayah tidak sepatutnya diserahkan kepada pihak polis semata-mata, tetapi memerlukan komitmen orang ramai. Masyarakat boleh bekerjasama dengan polis melalui perkongsian maklumat. Di sinilah peranan orang ramai menjadi mata dan telinga pasukan polis untuk mencipta jaringan kerjasama bagi tujuan memerangi kegiatan jenayah.
Untuk mengurangkan kadar jenayah, masyarakat perlu dibudayakan dengan sikap antijenayah sepanjang masa. Hal ini berikutan maklum balas yang diterima daripada Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) yang mendapati kira-kira 50 peratus penduduk dalam negara ini langsung tidak mahu tampil ke hadapan membantu mangsa jenayah. Mereka lebih gemar bersikap lepas tangan dan mementingkan diri sendiri. Hal ini menyebabkan kes jenayah yang banyak tidak dapat diatasi dan diselesaikan. Pada peringkat sekolah pula, Kementerian Pelajaran menyarankan sekolah-sekolah menengah seluruh negara menubuhkan Kelab Pencegahan Jenayah. Kelab Pencegahan Jenayah ini dapat membangkitkan kesedaran dan kepekaan murid-murid terhadap kemungkinan berlakunya jenayah dan langkah mencegahnya.
Jelaslah bahawa masyarakat umum sewajarnya menghargai peranan anggota polis yang sentiasa berkhidmat bagi menjamin ketenteraman dan keselamatan negara. Walau bagaimanapun, kita tidak seharusnya terlalu bergantung kepada pihak polis semata-mata. Penglibatan pihak masyarakat juga amat penting dalam memastikan keamanan negara terjamin. Sekiranya semua pihak berganding bahu, jenayah di negara ini sudah pasti dapat ditangani secara berkesan. Orang ramai perlu bersikap lebih terbuka dan menjalankan tanggungjawab sebagai warga sejati negara ini bersama-sama dengan polis membanteras jenayah.
(Dipetik dan diubahsuaikan daripada rencana, ‛Bersama Memerangi Jenayah’ Oleh Hj Samat Buang, E-Siswa, Disember 2009)
© Bahagian Pendidikan & Latihan Menengah MARA 2010 – Peperiksaan Semester 2 Tingkatan 4

PANDUAN ISI

Pendahuluan

Petkan membincangkan langkah-langkah/ cara-cara/ kaedah-kaedah/ modus
operandi/ strategi-strategi/inisiatif-inisiatif membanteras jenayah di Malaysia/negara ini.

Isi-isi Tersurat (Usaha-usaha membanteras jenayah)
1. RM1 bilion disediakan untuk meningkatkan perkhidmatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada tahun 2010
2. Bajet disalurkan untuk menambah logistik
3. Kerajaan mempertingkatkan latihan dan kecekapan 3,000 anggota RELA.
4. JPAM melakukan rondaan bersama-sama dengan polis
5. Kerajaan dan NGO saling membahu meningkatkan kempen pencegahan jenayah.
6. Kerajaan dan NGO melaksanakan program integrasi polis dalam komuniti masyarakat.
7. Masyarakat bekerjasama dengan polis melalui perkongsian maklumat.
8. Orang ramai menjadi mata dan telinga pasukan polis.
9. Masyarakat dibudayakan dengan sikap antijenayah sepanjang masa
10. Sekolah-sekolah menengah seluruh negara menubuhkan Kelab Pencegahan Jenayah.

Isi Tersirat (Kekangan dalam pelaksanaannya)
1. Masyarakat kurang kesedaran/kurang memberi kerjasama.
2. Masyarakat sibuk dengan kerja/urusan masing-masing.
3. Penguatkuasaan undang-undang tidak dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh.
4. Masyarakat takut membuat aduan/bimbang keselamatan terancam.
5. Aduan sukar untuk disalurkan/ Pengadu tidak mendapat layanan yang sepatutnya.
6. Masyarakat tidak berminat untuk menganggotai pasukan keselamatan.
7. Pengaruh media massa yang banyak menyiarkan aksi ganas.

Kesimpulan
Kesimpulannya, masyarakat perlu bersama-sama membanteras kegiatan jenayah agar hidup lebih harmoni/aman.

RUMUSAN CONTOH
Petikan membincangkan langkah-langkah membanteras jenayah di Malaysia.
Kerajaan menyediakan RM 1 bilion untuk meningkatkan perkhidmatan Polis Diraja Malaysia pada tahun 2010. Bajet juga disalurkan untuk menambah baik logistik. Kerajaan mempertingkatkan latihan dan kecekapan 3,000 anggota RELA.
Jabatan Pertahanan Awam Malaysia melakukan rondaan bersama-sama dengan polis. Kerajaan dan NGO saling membahu meningkatkan kempen pencegahan jenayah. Kerajaan dan NGO melaksanakan program integrasi polis dalam komuniti masyarakat. Masyarakat bekerjasama dengan polis melalui perkongsian maklumat. Masyarakat perlu dibudayakan dengan sikap antijenayah sepanjang masa. Sekolah-sekolah menengah seluruh negara menubuhkan Kelab Pencegahan Jenayah.
Usaha terhalang oleh sikap masyarakat yang kurang memberi kerjasama. Masyarakat juga sibuk dengan urusan masing-masing.Kebimbangan masyarakat terhadap keselamatan mereka juga menjadi halangan usaha ini. Media massa pula banyak memberi ruang untuk penyiaran bahan jenayah.
Kesimpulannya, masyarakat perlu bersama-sama membanteras kegiatan jenayah agar hidup lebih harmoni dan aman.
(118 patah perkataan)

SEMOGA ANDA SEMUA MEMPEROLEH MANFAAT & PANDUAN MELALUI PAPARAN BAHAN ULANG KAJI INI, INSYA-ALLAH
(c)shuhaimisulaiman mrsm transkrian, nibong tebal, pulau pinang



10 November 2010

ULANG KAJI MENGHADAPI SPM 2010 SIRI 8

PERASAAN SAYA SETELAH MEMBACA NOVEL

Soalan
Berdasarkan sebuah novel yang anda kaji, jelaskan perasaan anda setelah selesai membaca keseluruhan novel tersebut.

Panduan Isi
Panduan isi jawapan yang saya sediakan adalah berdasarkan dua buah novel yang digunakan di negeri Pulau Pinang, Kedah & Perak. Jawapan anda perlu ditulis dalam bentuk esei. Pernyataan tentang perasaan ditulis terpisah dengan huraian atau contoh yang menyokong perasaan tersebut.

PERLUMBAAN KEDUA karya Marwilis Hj Yusuf

Saya berasa gembira/bangga
Saya berasa gembira/bangga akan keupayaan Tuk Kura yang telah berjaya mengalahkan Sang Arnab Putih dalam perlumbaan tersebut. Tuk Kura berjaya membuktikan bahawa kekuatan fizikal belum menjamin kehebatan atau kecemerlangan. Dengan menggunakan kebijaksanaan akal fikiran, sesuatu kejayaan/hasil boleh dinikmati berkat usaha dan ketabahan

Saya rasa benci setelah membaca novel ini.
Saya benci akan sikap sombong Sang Arnab Putih yang sering bangga akan kehebatannya berlumba sehingga lupa akan aspek-aspek lain yang turut menyumbang ke arah kejayaan

Saya berasa marah
Saya marah akan suku sakat Tuk Kura yang membelasahnya selain menuduh Tuk Kura mendera anak mereka yang terpilih sebagai pelatih.

Saya berasa simpati/ kasihan
Saya simpati akan nasib dan diri Tuk Kura yang didera dan dibelasah oleh suku sakatnya. Tuk Kura telah dipaksa meniti batang berulang kali. Tuk Kura juga dipaksa meniti batu hampar. Akhirnya Tuk Kura lemah dan terpaksa bertapa di Bukit Selatan.

Saya rasa terkilan apabila membaca novel ini.
Saya berasa terkilan kerana dalam masyarakat yang hidup bekerjasama dan harmoni, masih ada golongan yang bersikap mementingkan diri. Sang Tedung misalnya sanggup mengintip pergerakan Tuk Kura dan suku sakatnya berlatih semata-mata memikirkan keuntungan iaitu upah telur oleh bapa Sang Arnab.


JULIA karya Abu Hassan Morad
Saya rasa bangga
Saya bangga akan kegigihan dan ketabahan Julia mengharungi pelbagai cabaran baik peribadi mahupun dalam bidang perniagaan hingga akhirnya berjaya dalam bidang tersebut. Julia sebagai seorang wanita tabah berjaya membina kekuatan dan kecemerlangan dalam dunia perniagaan

Saya rasa gembira
Saya gembira kerana Julia akhirnya berkahwin dengan Jun, pemuda Cina yang telah memeluk Islam. Jun seorang yang bertanggungjawab dan sentiasa menolong Julia dalam perniagaan lebih-lebih lagi ketika Julia berhadapan dengan masalah

Saya rasa benci setelah selesai membaca novel ini.
Saya benci akan sikap dan perangai Rashid yang sentiasa berniat jahat terhadap Julia. Rashid sering mengganggu Julia dan pernah mengugut Julia supaya terus berkawan dengannya setelah Julia pulang ke tanah air

Saya rasa marah
Saya marah akan tindakan Syed Mustaffa yang menuntut hak BMPRO Butik agar diserahkan kepadanya sedangkan butik itu memang milik Julia dan adik-adiknya, malahan Ummi Sarah sebagai ibu tiri Julia tidak membuat tuntutan ke atas butik tersebut
@ marah akan tindakan En. Baharom

Saya rasa simpati/kasihan
Saya berimpati kepada Julia yang kematian ibu bapanya dalam kemalangan jalan raya di Karak. Julia terpaksa menerima hakikat tersebut dan sebagai seorang gadis terpaksa memikul tanggungjawab mengetuai keluarganya

Saya berasa lega
Saya berasa lega bahawa Rashid akhirnya ditangkap polis kerana disyaki mengedar dadah. Rashid tidak dapat mengganggu Julia lagi

Boleh diaplikasikan untuk enam novel lagi iaitu Terminal Tiga, Seteguh Karang, Di Hadapan Pulau, Putera Gunung Tahan, Bukit Kepong & Konserto Terakhir.
Semoga anda semua beroleh manfaat daripada pemaparan bahan ini, insya-Allah..

(c)shuhaimisulaiman

06 November 2010

PEPERIKSAAN PASCAPERCUBAAN SPM 2010 MRSM TRANSKRIAN - BAHASA MELAYU 6 NOVEMBER 2010


Salam
Pagi ini sehingga jam 1.30 tengah hari nanti sedang berlangsung Peperiksaan Pascapercubaan SPM 2010 untuk subjek Bahasa Melayu bagi pelajar-pelajar tingkatan 5 MRSM Transkrian. Selamat Maju Jaya Semoga beroleh kejayaan yang cemerlang!
Teks Komsas yang dipilih untuk soalan 2b ialah Drama 'Jangan Bunuh Rama-Rama', soalan 2c Teks Klasik 'Cerita Bayan Tiada Menurut Kata Ibu Bapanya' manakala soalan 2d merupakan puisi tradisional 'Syair Kelebihan Ilmu'. Soalan 3b memberi penekanan kepada aspek menukarkan ayat aktif kepada ayat pasif manakala Soalan Novel berkisar tentang peristiwa yang menyentuh perasaan dan nilai kebijaksanaan watak utama.
(c) shuhaimisulaiman

25 Oktober 2010

ULANG KAJI MENGHADAPI SPM 2010 SIRI 7

Sebagai persediaan rapi dan lengkap untuk menjawab Soalan Pemahaman 2b, 2c & 2d, SEMUA TEKS sama ada dalam antologi Anak Laut mahupun Kerusi perlu DIBACA,DIFAHAMI & DIKAJI. Namun calon-calon SPM Nov 2010 disarankan agar memberi PERHATIAN & TUMPUAN yang lebih terhadap teks-teks berikut memandangkan teks -teks ini belum disoal (sejak SPM Nov 2001 hingga SPM Jun 2010):

CERPEN

a. Annyys Sophillea (Anak Laut)

b. Lambaian Malar Hijau (Anak Laut)

PROSA KLASIK

a. Sabor (Kerusi)

SAJAK

a. Jalan-Jalan Raya Kotaku (Anak Laut)

b. Duhai Pentafsir (Kerusi)

c. Di Ruang Gemanya (Kerusi)

PUISI TRADISIONAL

a. Seloka Pak Kaduk (Anak Laut)

b. Pantun Enam Kerat (Kerusi)

c. Syair Kelebihan Ilmu (Kerusi)

Selain itu, teks-teks berikut pada hemat saya, juga perlu diberi PERHATIAN & TUMPUAN:

CERPEN

a. Tragedi (Kerusi) SPM Nov 2001

b. Sebutir Pasir Di Kaki (Kerusi) SPM Jun 2002

c. Aku, Kris & Kristal (Kerusi) SPM Jun 2004

DRAMA

a. Jangan Bunuh Rama-Rama (Kerusi) SPM Jun 2006

b. Kerusi (Kerusi) SPM Jun 2009

PROSA KLASIK

a. Cerita Bayan Tiada Menurut Kata Ibu Bapanya (Anak Laut) SPM Nov 2001, SPM Nov 2005

b. Pertarungan Tuah Dengan Jebat (Anak Laut) SPM Jun 2002, SPM Jun 2007

c. Peminangan Puteri Gunung Ledang (Anak Laut) SPM Nov 2008
PUISI TRADISIONAL
a. Syair Jong Pecah (Kerusi) - syair ini agak panjang dan hanya sebahagian yang pernah dipetik untuk disoal dalam SPM Jun 2002


Tiada jaminan mana-mana teks yang disebutkan di atas akan dipilih untuk dijadikan bahan soalan. Cuma, saya menebalkan cetakan untuk Lambaian Malar Hijau, Pertarungan Tuah & Jebat , Sajak Di Ruang Gemanya dan Syair Kelebihan Ilmu untuk diberi fokus yang lebih. Harapan dan doa saya agar apa-apa yang digariskan tadi, sedikit banyak dapat membantu pelajar membuat persediaan rapi.

Untuk soalan Novel (4a & 4b) , semua aspek kajian sastera, pemahaman, kemahiran berfikir dan kemahiran mengarang perlu diberi perhatian. Aspek-aspek tersebut perlu dikuasai, difahami dan dihayati oleh calon untuk menghasilkan jawapan yang tepat, lengkap, terperinci dan kemas. Antara perkara yang telah disoal dalam peperiksaan percubaan SPM 2010 negeri baru-baru ini adalah seperti:

  • menjelaskan dua peristiwa semangat tolong-menolong dalam masyarakat
  • menjelaskan dua contoh nilai tanggungawab
  • menghuraikan dua nilai berdikari
  • menjelaskan dua peristiwa tindakan watak utama yang wajar diberi pujian
  • menghuraikan dua peristiwa yang menimbulkan perasaan tertanya-tanya kepada pembaca
  • menjelaskan dua peristiwa yang menyentuh perasaan pembaca
  • menjelaskan dua persoalan yang berkait dengan kepimpinan
  • menjelaskan dua peristiwa yang menunjukkan nilai keberanian
  • menghuraikan cara watak utama menimbulkan kesedaran dalam kalangan pembaca
  • menghuraikan bentuk kepincangan masyarakat dalam novel
  • menjelaskan pengorbanan yang telah dilakukan oleh satu watak ( 2 novel )
  • menghuraikan perbezaan latar masyarakat ( 2 novel )
  • menghuraikan satu peristiwa yang menunjukkan usaha watak-watak saling membantu dalam menyelesaikan masalah (2 novel)
  • menghuraikan satu perwatakan watak sampingan yang mempunyai kaitan rapat dengan watak utama ( 2 novel)
  • menjelaskan dua pengajaran ( 2 novel )
  • menghuraikan satu peristiwa kebijaksanaan watak utama menyelesaikan masalah ( 2 novel )
  • membandingkan perwatakan satu watak sampingan ( 2 novel )
  • menjelaskan perselisihan pendapat yang terdapat antara watak
ALLAH YANG MAHA MENGETAHUI !

SEGALANYA MUNGKIN !

SESUATU YANG PASTI , YANG PERLU DILAKUKAN OLEH PARA CALON ADALAH UNTUK MENUNJUKKAN KESUNGGUHAN DALAM MENTELAAH , MELAKUKAN ULANG KAJI & LATIHAN DAN MEMBUAT FOKUS & PENEKANAN TOPIK.

ALLAH BERSAMA DENGAN KITA !

ALLAH YANG MAHA MENENTUKAN!

(c)shuhaimi


22 Oktober 2010

MAJLIS GRADUASI KE-8 MRSM TRANSKRIAN 22 OKTOBER 2010


Alhamdulillah, pagi tadi telah berlangsung Majlis Graduasi MRSM Transkrian, Nibong Tebal, buat kali kelapan. Majlis yang diadakan untuk meraikan pelajar-pelajar tingkatan 3 dan 5 tahun 2010 bermula jam 9.45 pagi dan berakhir pada 11.45 pagi. Majlis diadakan di Dewan Ibnu Sina, MRSM Transkrian.
Tetamu utama majlis kali ini ialah Pengarah Bahagian Pendidikan & Latihan (Menengah) MARA, Hj Shaari bin Husain. Encik Shamsuri Mahat, Timbalan Pengetua Hal Ehwal Kokukrikulum yang menjalankan tugas Pengetua ( berada di tanah suci menunaikan fardu haji) mengalu-alukan kehadiran Yg. Bhg Pengarah , semua jemputan khas dan ibu bapa ke majlis ini.

11 Oktober 2010

ULANG KAJI MENGHADAPI SPM 2010 SIRI 6

KERTAS 2 BAHASA MELAYU PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2010 MRSM

Soalan 2d - Pemahaman Sajak
Baca sajak di bawah dengan teliti kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan
menggunaka
ayat anda sendiri.

JALAN-JALAN RAYA KOTAKU
Saban waktu sepanjang perjalanan
jalan-jalan raya kotaku
lewat senja begini
tika gerimis menabur benih
menerima kehadiran warga kota
lemas dalam kesabaran
lelah meresahkan
dengan luka parah di hati.

Ketidaksabaran membengkak
kesombongan merajai setiap ruang
Semakin padat dengan emosi
kebosanan menggigit pangkal rasa.

Demikian etika di perjalanan
budi luhur warga kotaku
tidak lagi berlaku
yang hadir adalah keserakahan
memacu menghimpun kekuatan
menghakis sopan santun
seperti banjir kilat
melanda pinggir perjalanan
fitrah sang manusia
peradaban kota masa kini.

Jalan-jalan raya kotaku
adalah gelanggang kebuasan
perlumbaan kebiadaban
para pesakit
kemanusiaan semakin mandul
pada penghujung musim

Zam Ismail
Antologi Anak laut
Dewan Bahasa dan Pustaka
(c) Bahagian Pendidikan & Latihan (Menengah) MARA

(i) Apakah yang dimaksudkan oleh penyajak dalam rangkap kedua sajak di atas? [3 markah]
(ii) Pada pendapat anda, selain sikap pengguna apakah punca-punca lain berlakunya kesesakan jalan raya?Nyatakan tiga punca tersebut. [3 markah]
(iii) Berikan tiga persoalan yang terdapat dalam sajak tersebut. [3 markah]

Jawapan Contoh
(i)
Dalam rangkap kedua sajak tersebut, penyajak ingin menyatakan bahawa perasaan tidak sabar semakin memuncak dalam diri pengguna jalan raya. Perasaan sombong mulai menguasai diri masing-masing. Penyajak juga menyatakan bahawa setiap tindakan manusia dipenuhi emosi dan mereka mulai bosan dengan situasi yang dihadapi.
(Jawapan diperoleh daripada petikan)
(Kemukakan tiga/empat/lima isi)

(ii)Selain sikap pengguna, kesesakan jalan raya boleh berlaku apabila terjadinya bencana alam seperti banjir kilat atau tanah runtuh. Keadaan jalan raya yang sempit juga boleh menyebabkan kesesakan jalan raya berlaku. Selain itu, kesesakan juga boleh berlaku apabila terdapatnya pertambahan bilangan kenderaan di jalan raya terutama pada musim-musim perayaan ataupun pada waktu kemuncak pengguna jalan raya pergi dan pulang dari bekerja. Kadang kala, pihak polis atau pihak Jabatan Pengangkutan Jalan membuat sekatan jalan raya dan perkara ini turut menjadi punca kesesakan jalan raya berlaku. Kemalangan juga turut mengakibatkan kesesasakan jalan raya.
(Jawapan berupa kemahiran berfikir calon)
(Kemukakan tiga/empat/lima isi)
(Elakkan penggunaan perkataan 'mungkin')

(iii)Persoalan yang terdapat dalam sajak tersebut ialah persoalan tentang permasalahan kesesakan jalan raya. Di kawasan-kawasan tertentu di negara ini, terutama di kawasan-kawasan bandar, masalah kesesakan jalan raya sentiasa dihadapi oleh pengguna jalan raya. Selain itu, terdapat persoalan tentang sikap negatif pengguna jalan raya. Pengguna yang tidak sabar menghadapi kesesakan akan bertindak kasar dan memecut dengan laju sehingga membahayakan pengguna jalan raya yang lain. Persoalan yang lain adalah tentang kepentingan mematuhi peraturan jalan raya. Sikap ini akan menyebabkan pengguna bertoleransi sesama mereka ketika berlaku kesesakan lalu lintas.

Semoga pelajar/calon SPM memperoleh manfaat daripada pemaparan bahan ini, insya-Allah

(c)shuhaimi sulaiman