06 Februari 2009

SAJAK BAHASA MELAYU SPM Siri 2

DI RUANG GEMANYA
oleh Dharmawijaya (Antologi Kerusi)

Baca puisi di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

DI RUANG GEMANYA
Telah kurangkumkan rebah setiaku
pada setiap pilu dan rindu
melayang dan mengembang
ke hayat gemilang. Sejak itu
tidak kukesal lagi
goda dan duga
di gerimis senja.
telah kupahatkan lelah umurku
pada setiap kerikil dan debu
datang dan menghilang
ke hujung kenang. Sesudah itu
tidak kukenal lagi
hampa dan derita
di guruh pagi.
Gerimis senja guruh pagi
adalah titipan maya
bakal kukongsikan hati
mengukir tadbir di ruang gemanya.


Dharmawijaya
Antologi Kerusi
MASA ENTERPRISE.

LATIHAN
(i) Apakah maksud rangkai kata telah kupahatkan lelah umurku? [ 2 markah ]
(ii) Sebagai seorang warganegara yang bertanggungjawab, nyatakan sumbangan-sumbangan anda kepada negara. [ 4 markah ]
(iii) Berikan tiga persoalan yang terdapat dalam sajak di atas. [ 3 markah ]

PANDUAN ISI
(i) maksud telah kupahatkan lelah umurku...
... penyajak sudah mengorbankan/menghabiskan/mengabdikan/menggunakan seluruh usianya/hayatnya/kehidupannya/masanya 2 m ( 2markah)

(ii) sumbangan sebagai warganegara untuk memajukan negara....
... menguasai pelbagai bidang ilmu 1 m
... berusaha untuk menambahkan ilmu 1 m
... meneroka bidang-bidang baru/mencabar 1 m
... usaha yang gigih dan berterusan 1 m
... menyahut seruan kerajaan untuk mempertahankan negara 1 m
... bersatu padu dengan pelbagai lapisan masyarakat 1 m
... turut serta melaksanakan program pembangunan kerajaan
... merebut peluang yang disediakan/ ada 1 m
... berani bersaing pada peringkat yang lebih tinggi/global
(sumbangan lain yang munasabah diterima) 1 m
[ maksimum : 4 markah ] (4 markah )

(iii) persoalan....
... semangat perjuangan dan kesetiaan yang utuh 1 m
... keutuhan perasaan cinta akan negara 1 m
... kesedaran yang tercetus daripada kesilapan yang lalu 1 m
... hidup penuh dugaan dan cabaran 1 m
... keazaman mencapai cita-cita 1 m
... perjuangan untuk mempertahankan kemerdekaan / mengisi kemerdekaan negara/tanggungjawab terhadap negara 1 m
... pengalaman pahit menjadi panduan dalam membina kehidupan yang lebih baik/ memantapkan jiwa dan pemikiran 1 m
[maksimum : 3 markah ] (3 markah )
[9 markah ]

(c) cikgumie

Tiada ulasan: