23 Februari 2009

PETIKAN DARIPADA 'HIKAYAT ABDULLAH'

Untuk Renungan Kita Bersama:
Fahami Kata-Kata Abdullah Munshi
Bermula adalah sebesar-besar hairan dalam hatiku sebab melihatkan adat orang-orang kita Melayu itu, yang tiada diperbuat oleh bangsa yang lain-lain dalam dunia ini diperbuatnya!
Adakah segala manusia dalam dunia ini membuangkan bahasanya sendiri, tiada bertempat belajar bahasanya itu, melainkan yang kulihat orang Melayulah yang tiada mengendahkan…Bermula adalah yang kudengar beberapa bangsa di dalam dunia ini menjadi besar dan pandai sebab mereka itu pandai membaca surat dan menyurat dan mengerti bahasanya serta memeliharakan bahasanya, iaitu daripada bangsa Arab atau bangsa orang putih, baik daripada Cina atau Hindu, maka sekelian mereka sentiasa memeliharakan dan memuliakan bahasanya.
Maka makin sehari makinlah diluaskannya dan ditambahinya dan dibaikinya dan dihaluskannya sampailah zaman ini, kerana sesungguhnya bahasa itulah menjadikan manusia itu berakal dan menambah kepandaian dan ilmunya dan boleh menjalankan segala pekerjaannya dan boleh membaiki akan dirinya sendiri dan boleh pula mengajar akan orang lain.
Maka dengan dia itulah sahaja dijadikan Allah yang dapat mengeluarkan barang suatu rahsia dalam hati manusia.
Syahadan dapat tiada kalau ada suatu bangsa yang besar itu maka bahasanya pun besarlah, kerana sekelian perkara yang ada dalam dunia dan akhirat itu semuanya terbit daripadanyalah, menjalankan pekerjaan dan memberi nama tiap-tiap suatu itu dengan bahasa dan mencari kehidupan itu pun dengan bahasa dan mendatangkan beberapa kekayaan dan kemuliaan.
Kebesaran bagi manusia itu pun daripada bahasa datangnya.
Maka bahasa itulah yang besar gunanya bagi manusia ini dunia akhirat. Maka patutkah iaitu tiada engkau endahkan.
Sumber :
http://bukharis.blogspot.com/

Tiada ulasan: