20 September 2009

ULANG KAJI MENGHADAPI SPM 2009 SIRI 1 - LATIHAN MERUMUSKAN KARANGAN

Insya-Allah, mulai tarikh ini, laman blog CEMERLANG BAHASA MELAYU SPM akan memaparkan siri baru ULANG KAJI MENGHADAPI SPM 2009 sebagai bahan bantu pembelajaran pelajar terutama calon peperiksaan SPM 2009 membuat persediaan menghadapi peperiksaan tersebut. Semoga siri ini sedikit banyak akan membantu pelajar memperoleh kecemerlangan dalam subjek Bahasa Melayu yang saya pasti lebih didukungi peranan pentingya oleh guru-guru Bahasa Melayu anda. Siri 1 dimulakan dengan ulang kaji aspek merumuskan karangan dalam Kertas 2.1.Arahan Soalan
Baca petikan di bawah dengan teliti kemudian tulis satu rumusan tentang langkah-langkah kerajaan meringankan beban rakyat dalam menghadapi kegawatan ekonomi dan kesan-kesan pemulihan ekonomi kepada rakyat. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Usaha membasmi kemiskinan tegar menjadi agenda utama kerajaan menjelang 2010. Bagi meringankan beban rakyat, usaha diambil dengan memperuntukkan RM214 juta bagi pelaksanaan Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat untuk tujuan pembasmian kemiskinan. Langkah ini juga akan memastikan agenda masyarakat penyayang terus diamalkan walaupun dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu.
Kerajaan dalam usaha meringankan beban rakyat telah memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi pertama khusus untuk meningkatkan pemilikan rumah oleh rakyat. Oleh itu, bagi merangsang sektor perumahan kerajaan mencadangkan supaya pembeli diberi pelepasan cukai atas faedah pinjaman. Kerajaan juga telah membantu rakyat dengan menambah baik infrastruktur awam. Dalam hal ini, kerajaan telah menyediakan peruntukan tambahan sebanyak RM200 juta untuk menambah baik infrastruktur yang rosak serta menjalankan kerja-kerja pengubahsuaian, menyelenggara dan membaik pulih pelbagai kemudahan dan prasarana awam. Bon Simpanan Kerajaan telah diterbitkan untuk menjanakan pendapatan rakyat. Bon ini bertujuan memberi peluang kepada rakyat untuk memperoleh pendapatan tambahan. Bon ini dibuka kepada setiap rakyat berusia 21 tahun ke atas dengan nilai minimum pelaburan sebanyak RM1,000.
Selain itu, kerajaan menaik taraf pelbagai kemudahan asas di luar bandar seperti bekalan elektrik dan air terutama di Sabah dan Sarawak. Usaha ini akan meningkatkan ekonomi rakyat melalui pengambilan kontraktor kecil dan pekerja tempatan di kawasan luar bandar. Di samping itu, pelbagai program dan projek dirancang oleh kerajaan untuk meningkatkan ekonomi rakyat di Sabah dan Sarawak seperti pembesaran Lapangan Terbang Sibu, Sarawak dan Projek Sistem Penghantaran Elektrik Kota Kinabalu, Sabah.
Kini, terdapat beberapa program mikrokredit tanpa cagaran disediakan oleh pelbagai pihak seperti Amanah Ikhtiar Malaysia, AgroBank dan TEKUN. Program ini bertujuan untuk membantu peniaga kecil di bandar dan luar bandar. Kaedah lain yang dilaksanakan adalah dengan memberi bantuan kepada golongan kurang bernasib baik seperti warga emas, golongan kurang upaya dan ibu tunggal. Bantuan yang diberikan adalah seperti program jaringan keselamatan sosial, bantuan kewangan dan bilangan tenaga kerja, meningkatkan kemudahan pusat penjagaan warga tua, memantapkan pengurusan rumah perlindungan wanita dan menambahkan kemudahan pusat asuhan kanak-kanak.
Bagi mengurangkan tanggungan orang ramai, kerajaan mengambil langkah pengecualian cukai yang diberikan atas bayaran pampasan kehilangan pekerjaan. Langkah ini diambil bertujuan untuk menjaga kebajikan pekerja yang diberhentikan. Di samping itu, kerajaan menggalakkan pihak bank untuk menangguhkan bayaran balik pinjaman perumahan.
Kesimpulannya, kerajaan yakin usaha yang dirangka dan dilaksanakan adalah komprehensif dan menyeluruh untuk menghindarkan ekonomi negara daripada terjerumus dalam kancah kemelesetan yang mendalam sehingga memberi kesan kepada rakyatnya. Dengan landasan kukuh yang telah kita bina, kita yakin dapat mencipta kejayaan lebih besar
(Dipetik dan diubahsuaikan daripada rencana ‚‛Pakej RM60b Perkukuh Ekonomi Negara Hadapi Kegawatan Global’, Berita Harian, 11 Mac 2009)
(c) Peperiksaan Percubaan MRSM 2009

2.Panduan Isi
Pendahuluan
Petikan membincangkan usaha-usaha kerajaan meringankan beban rakyat dalam menghadapi kegawatan ekonomi di negara ini @ Petikan membincangkan tanggungjawab kerajaan terhadap rakyat dalam menangani kegawatan ekonomi di negara ini.

Isi Tersurat
Langkah-langkah kerajaan meringankan beban rakyat:
1. Kerajaan melaksanakan Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat.
2. Kerajaan memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi pertama (khusus untuk
meningkatkan pemilikan rumah oleh rakyat).
3. Pembeli diberi pelepasan cukai atas faedah pinjaman.
4. Kerajaan menambah baik infrastruktur awam.
5. Kerajaan telah menerbitkan Bon Simpanan Kerajaan untuk menjana pendapatan rakyat.
6. Kerajaan menaik taraf pelbagai kemudahan asas di luar bandar.
7. Pelbagai program dan projek dirancang oleh kerajaan untuk meningkatkan ekonomi rakyat di Sabah dan Sarawak.
8. Pelbagai pihak menyediakan program mikrokredit tanpa cagaran.
9. Kerajaan memberi bantuan kepada golongan kurang bernasib baik.
10.Kerajaan mengecualikan cukai atas bayaran pampasan kehilangan pekerjaan.
11.Kerajaan menggalakkan pihak bank untuk menangguhkan bayaran balik pinjaman
perumahan.

Isi Tersirat
Kesan-kesan pemulihan ekonomi terhadap rakyat
1. Kehidupan rakyat akan lebih selesa/ Rakyat berpeluang membaiki ekonomi masing-masing.
2. Peluang pekerjaan terbuka luas untuk rakyat/ Pengangguran dapat dikurangkan
3. Rakyat tidak lagi meminjam wang secara haram/melabur skim cepat kaya.
4. Rakyat tidak mengalami tekanan/stres,
5. Rakyat tidak melakukan / mengadakan demonstrasi terhadap kenaikan harga barang. .
6. Kuasa beli rakyat terjamin/mampu berbelanja .
7. Rakyat terhalang daripada melakukan jenayah.

Kesimpulan
Kesimpulannya, semua pihak haruslah bekerjasama menangani kemelut ekonomi negara agar rakyat dapat hidup dalam harmoni.
3.Jawapan Contoh
Petikan membincangkan tanggungjawab kerajaan terhadap rakyat dalam menangani kegawatan ekonomi di negara ini.
Kerajaan mengambil langkah pemulihan dengan melaksanakan Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat. Pakej rangsangan ekonomi pertama diperkenalkan.Kerajaan menambah baik infrastruktur awam. Kerajaan telah menerbitkan Bon Simpanan Kerajaan untuk menjana pendapatan rakyat. Selain itu, kerajaan menaik taraf pelbagai kemudahan asas di luar bandar. Pelbagai program dan projek dirancang oleh kerajaan untuk meningkatkan ekonomi rakyat Sabah dan Sarawak.Kerajaan memberi bantuan kepada golongan kurang bernasib baik. Kerajaan mengecualikan cukai atas bayaran pampasan kehilangan pekerjaan. Kerajaan menggalakkan pihak bank untuk menangguhkan bayaran balik pinjaman perumahan.
Pemulihan ekonomi menjadikan kehidupan rakyat lebih selesa. Pengangguran dapat dikurangkan. Kuasa beli rakyat akan meningkat.
Kesimpulannya, semua pihak haruslah bekerjasama menangani kemelut ekonomi negara agar rakyat dapat hidup dalam harmoni.
( 118 patah perkataan )
4.Ulasan / Panduan
1. Rumusan PERLU dihasilkan dalam 4 PERENGGAN. Penulisan dalam 4 perenggan akan memudahkan calon mengenal pasti isi-isi yang perlu ditulis pada bahagian isi tersurat dan isi tersirat tanpa berlaku pertindihan. Secara tidak langsung, calon telah menulis rumusan dalam bentuk yang kemas di samping membantu pemeriksa mengenal pasti isi-isi tersebut.
2.Penggunaan penanda wacana KURANG ditekankan dalam penulisan rumusan memandangkan rumusan merupakan pernyataan isi-isi penting dalam perenggan yang tersusun . YANG PASTI, setiap isi perlu ditulis lengkap SUBJEK dan PREDIKATnya (lihat jawapan contoh). Penggunaan penanda wacana LEBIH DITEKANKAN dalam penulisan karangan (Kertas 1) dan jawapan pemahaman (Kertas 2) untuk menunjukkan pertautan isi.
3.Kemukakan 6-8 isi tersurat untuk 60-65 patah perkataan dalam perenggan kedua. Isi-isi tersurat sebaik-baiknya tidak perlu digabung. Kebiasaannya dalam petikan rumusan soalan peperiksaan, terdapat 6-10 isi tersurat disediakan kepada calon.
4.Kemukakan 2-3 isi tersirat untuk 20-25 patah perkataan dalam perenggan ketiga. Isi-isi tersirat sebaik-baiknya tidak perlu digabung. Isi tersirat tidak harus dinyatakan secara umum untuk memperoleh markah penuh.
5.Pengenalan rumusan (perenggan 1) perlu mengandungi 3 aspek, iaitu pernyataan tentang petikan (P), TEMA atau kata yang sesuai untuk pengenalan (K) dan sedikit huraian (H). (Lihat jawapan contoh) : Petikan membincangkan (P) usaha-usaha kerajaan meringankan beban rakyat dalam menghadapi kegawatan ekonomi (K) di negara ini (H) @ Petikan membincangkan (P) tanggungjawab kerajaan terhadap rakyat dalam menangani kegawatan ekonomi negara (K&H). Pengenalan hendaklah ditulis dalam satu ayat sahaja. (Tiada huraian lanjut selepasnya). Jumlah perkataan untuk perenggan pengenalan ialah 15 patah perkataan.
Kesimpulan rumusan (perenggan 4) perlu mengandungi 3 aspek, iaitu pernyataan tentang kesimpulan (K), cadangan khusus berdasarkan kata tugas soalan atau arahan soalan (C),dan rasional cadangan itu dikemukakan dengan menggunakan kata seperti agar, supaya, demi @ untuk (R). (Lihat jawapan contoh) : Kesimpulannya (K) , semua pihak haruslah bekerjasama menangani kemelut ekonomi negara (C) agar rakyat dapat hidup dalam harmoni (R). Kesimpulan hendaklah ditulis dalam satu ayat sahaja. (Tiada huraian lanjut selepasnya). Jumlah perkataan untuk perenggan kesimpulan ialah 15 patah perkataan.
7. Untuk menghasilkan rumusan yang baik dan sempurna, pelajar hendaklah betul-betul memahami konsep merumuskan karangan, pemerengganan rumusan dan menguasai teknik untuk menulis rumusan dengan sepenuhnya.
8. PASTIKAN, rumusan anda bebas daripada sebarang kesalahan tatabahasa. Anda hendaklah menuliskan jumlah perkataan yang betul dan menghasilkan rumusan yang tidak melebihi 120 patah perkataan .Masa lebih kurang 35-40 minit perlu anda peruntukkan untuk menjawab soalan ini
5. Latihan
Baca petikan di bawah dengan teliti kemudian tulis satu rumusan tentang kelebihan-kelebihan blog kepada remaja dan kesan-kesan penyalahgunaannya. Panjang rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Di Malaysia, sejarah blog masih agak baharu, namun pengaruh dan peranannya mula dipandang oleh banyak pihak. Ada yang sudah membuat tanggapan awal bahawa ‘dunia blog’ satu hari nanti akan mengambil alih peranan yang selama ini dimainkan oleh media cetak.

Remaja hari ini perlu memanfaatkan perkembangan blog untuk menjanakan pemikiran yang lebih positif, terutama pelajar pusat pengajian tinggi. Blog dapat dijadikan sebagai saluran komunikasi untuk meluahkan pendapat bernas tentang sesuatu isu yang sememangnya menuntut pemikiran matang dan kritis selaras dengan status mereka sebagai pelajar pusat pengajian tinggi. Selain itu, blog juga boleh menjadi terapi yang sihat kepada minda sekiranya dikendalikan dengan cara yang betul. Dalam meneliti kebanyakan laman blog yang ada pada hari ini, penyertaan remaja amat kurang. Jarang-jarang sekali dapat ditemukan laman blog yang dikendalikan oleh remaja. Kurangnya minat remaja ke arah penulisan blog menimbulkan banyak persoalan. Sebahagian remaja lebih tertarik kepada laman yang dipanggil sebagai laman sembang, seperti Friendster, Flixster, Facebook dan Fanbook untuk menambah kenalan. Sebenarnya, blog juga boleh dijadikan tempat menambah kenalan dan berkongsi minat tentang isu atau hal berkaitan dunia mereka sendiri.
Jika pandai memanfaatkan perkembangan teknologi hari ini, laman blog juga dapat dijadikan ruang untuk menambahkan pendapatan dengan cara mudah melalui pengiklanan produk masing-masing. Blog mempunyai nilai yang tinggi untuk mengiklankan produk melalui provider adsense dalam dunia pengiklanan internet, seperti Google Adsense, ADster dan Banner Box. Agak menyedihkan apabila blog disalahgunakan sedangkan ‛dunia blog’ itu sendiri banyak manfaatnya jika digunakan sebaik mungkin. Hal ini berlaku demikian kerana ‘dunia blog’ tidak lagi dianggap sebagai aktiviti elit penulis. Sesiapa sahaja mampu menulis blog asalkan ada keinginan dan minat. Laman blog juga lebih mudah untuk dikelolakan berbanding dengan laman web yang remeh. Pembukaan laman blog dan penulisannya juga tidak memerlukan kepakaran dalam teknologi maklumat.

Golongan remaja wajar menggunakan kebaikan blog ini dan meneruskan apa-apa yang dilakukan oleh para pemblog senior untuk mendewasakan pemikiran mereka agar matang dan terbuka. Blog juga menjadikan seseorang pengendali laman blog lebih peka dari segi pemikiran dan pandangannya. Hal inilah yang berlaku di negara Barat, yang remajanya banyak melakukan aktiviti memblog. Blog dan memblog adalah fenomena baharu dan menarik. Blog boleh menjadi ruang untuk berkongsi pandangan dan berdebat secara terbuka dalam sesuatu isu yang kita utarakan. Namun pemblog dinasihatkan supaya tidak menyalahi undang-undang apabila mengemukakan pandangan.

Kesimpulannya, perkembangan teknologi internet dan dasar keterbukaannya secara tidak langsung telah memperluas dan memperkembang fungsi blog. Remaja hari ini sebenarnya memiliki kesempatan yang cukup luas selari dengan perkembangan teknologi maklumat. Mereka perlu memanfaatkannya sebaik mungkin dan mengelakkan diri daripada menyalahgunakannya ke arah yang tidak baik.
(Dipetik dan diubahsuaikan daripada ‘Ledakan Blog : Di Manakah Remaja?’, oleh Muhamad Irfan, Dewan Siswa, Julai 2008)
(Peperiksaan Semester 1 Tingkatan 5 MRSM 2009)
Jawapan untuk latihan ini akan disiarkan dalam siri lain. Semoga pelajar/calon SPM memperoleh manfaat daripada pemaparan bahan ini, insya-Allah.
(c) cikgumie

1 ulasan:

Ifan Izuddin berkata...

bagus untuk rujukan murid murid(saya ucapkan terima kasih :)