02 September 2009

NOVEL BAHASA MELAYU SPM Siri 11

NILAI KEBIJAKSANAAN DALAM NOVEL

Soalan
Berdasarkan dua buah novel yang anda pelajari, huraikan satu nilai kebijaksanaan yang terdapat dalam setiap novel tersebut. [ 8 markah ]
(ubah suai daripada soalan Percubaan MRSM 2009 1 Sept 2009)
Jawapan Contoh ( berdasarkan novel Zon Utara- Perlumbaan Kedua & Julia)

4(b) Dua buah novel yang saya kaji ialah Perlumbaan Kedua karya Marwilis Haji Yusuf dan Julia karya Abu Hassan Morad.
Dalam novel Perlumbaan Kedua, satu nilai kebijaksanaan yang dapat dilihat ialah kebijaksanaan dalam membuat perancangan. Tuk Kura bijak merancang untuk menghadapi perlumbaan dengan kaum arnab. Tuk Kura meminta Sang Kancil mengatur perjumpaan di kawasan padang rumput dan dihadiri oleh semua makluk rimba dan Sang Arnab perlu menyebut syarat-syarat perlumbaan di hadapan binatang lain. Selain itu, Tuk Kura telah meminta kura-kura berleher jinjang dengan kura-kura bintik untuk bergaduh di hadapan binatang lain untuk mengelirukan kaum arnab. Tuk Kura juga bijak memilih tempat perlumbaan iaitu lereng bukit yang penuh dengan batu dan pemilihan ini dipersetujui oleh sang arnab tanpa sebarang bantahan. Pemilihan lereng bukit sebenanya akan memudahkan pergerakan Tuk Kura
Nilai kebijaksanaan yang lain dalam novel Perlumbaan Kedua ialah kebijaksanaan mengaplikasikan teknik perlumbaan. Tuk Kura berlumba dengan cara bergerak, menghambur, bergolek dan melantun dari batu ke batu sehingga sampai ke garisan penamat. Kebijaksanaan Tuk Kura menggunakan teknik melantun tersebut ternyata berkesan hingga telah membolehkan Tuk Kura memenangi perlumbaan tersebut.
Manakala dalam novel Julia, satu nilai kebijaksanaan yang dapat dilihat ialah kebijaksanaan dalam menangani emosi diri. Julia bijak menguruskan dirinya akibat peristiwa malang yang menimpa dirinya. Kebijaksanaan Julia menjadikan dia reda menerima kematian ibu bapanya . Julia mampu mengambil alih tugas ibu bapanya sebagai ketua keluarga. Julia juga bijak menghadapi Rashid selepas kembali dari Australia, Julia tidak mudah terpengaruh oleh ajakan Rashid ke arah perlakuan negatif
Nilai kebijaksanaan yang lain dalam novel Julia ialah kebijaksanaan dalam menyelesaikan masalah. Julia dengan bijak menyelesaikan masalah yang ditimbulkan oleh En. Baharom yang melakukan penyelewengan dalam syarikat BMPRO Transport En. Baharom cuba menjual syarikat tersebut. Julia membuat siasatan sendiri punca BMPRO Transport dikatakan bermasalah. Julia juga bijak menyelesaikan masalah syarikat yang hampir gulung tikar dengan mengadakan program ‘homestay’ atau inapan desa bekerjasama dengan Syarikat keluarga Jun (Syarikat Cinta Sejati Travel & Tours) di Felda Guar Napai, Kedah.
Demikian antara lain nilai kebijaksanaan yang terdapat dalam dua buah novel yang saya kaji.
(c) cikgumie

Tiada ulasan: