11 Jun 2010

IMBAUAN MRSM KERTEH 1987-1990 - (5)

Cikgu Wahab Yasin (sekarang di SMK Jawi, Seberang Perai Selatan)
Pada 8 Jun 2010 yang lalu, genap 23 tahun saya berkecimpung dalam dunia pendidikan dan bergelar guru di MRSM. Saya bernostalgia di laman sosial ‘Facebook’ dengan cetusan hati menceritakan saat saya melaporkan diri sebagai guru di MRSM Kerteh, Kemaman, Terengganu pada 8 Jun 1987, berjumpa dengan pe.ngetua, Hj Shaari Husain (kini Pengarah Bahagian Latihan & Pendidikan (Menengah) MARA) dan terus diminta menjadi guru asrama Tidak saya sangka, cetusan itu mendapat reaksi semerta daripada ramai anak didik kumpulan pertama MRSM Kerteh (1987-1989) dan beberapa orang daripada kumpulan kedua (1988-1990). Gambar terkini ( sudah menjadi pangsapuri kembali). Gambar daripada Facebook Suzanariah Sulaiman
Anak-anak homeroom saya pada masa itu (B’87) ialah Shuhaila Kamis, Noraneeza Ramli, Rasimah Rahim, Afiza Hartini Zulkifli, Yusnita Mohd Farid Mek Yah Said, Haryanty Hashim, Maruan Ibrahim, Mohd Rizal Che Haron, Amree Ghazi, Tg Hafizi Tg Hassan, Hanafe Ali, Adnan Che Isa dan Rosdi Embong (ada sesiapa yang saya tertinggal?) Kumpulan ketiga (1990-1991) tidak ramai yang saya ingat kecuali homeroom saya ( yang kemudian terpaksa saya serahkan kepada cikgu Syed Najmuddin) dan beberapa orang pelajar kerana saya bertukar ke MRSM Balik Pulau pada 28 Disember 1990.
MRSM Kerteh yang ditubuhkan pada 1987 dan ditutup pada 1991 (selepas SPM, kalau tak silap saya) telah diteruskan operasinya di MRSM Kuala Berang (1992). Pengetua kedua MRSM Kerteh, Hj Zakaria Mohd Noor (kini bersara) telah dilantik sebagai pengetua pertama MRSM Kuala Berang. Secara peribadi, saya mencatatkan imbauan kisah MRSM Kerteh (1987-1990) yang tiada kaitannya dengan MRSM Kuala Berang kerana saya berkhidmat di sini dan tidak turut berpindah ke MRSM Kuala Berang. Dengan rumah-rumah kedai yang diubah suai menjadi pejabat, bilik guru, koperasi, kelas akademik, perpustakaan dan dewan makan serta dua blok pangsapuri yang diubah suai menjadi asrama yang dilengkapi lif, menjadikan MRSM Kerteh beroperasi ‘dalam kelasnya yang tersendiri’.

Tiada ulasan: