26 Oktober 2009

MAJLIS GRADUASI MRSM TRANSKRIAN KALI KE-7

Pada 23 Oktober yang lalu telah berlangsung Majlis Graduasi MRSM Transkrian, Nibong Tebal, buat kali ketujuh. Majlis yang diadakan untuk meraikan pelajar-pelajar tingkatan 3 dan 5 tahun 2009 bermula jam 9.00 pagi dan berakhir pada 11.30 pagi. Majlis diadakan di Dewan Ibnu Sina, MRSM Transkrian.
Tetamu utama majlis kali ini ialah Pengarah Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia (USM), Nibong Tebal, Prof. Dr. Khairun Azizi binti Mohd Azizli. Antara inti pati ucap utama beliau dalam majlis tersebut yang dapat dicatatkan ialah:
#Janganlah dilupai didikan, tunjuk ajar, dorongan, keprihatinan dan bimbingan para guru dan kakitangan yang amat berperanan menyumbang kepada kejayaan dan pencapaian para graduan . Jasa mereka dalam membentuk dan mendidik para graduan mesti dihargai.
#Arus pemodenan dan kualiti pemikiran yang semakin tinggi, progresif, dan kompetetif yang dimiliki oleh warga dunia menjadikan para graduan tidak boleh berasa terlalu selesa dan leka dengan kesenangan yang dinikmati sekarang. Tanpa usaha gigih ; tanpa mengoptimumkan segala potensi yang dimiliki , tanpa merencanakan arah tuju kehidupan, kita akan ketinggalan. Ahli falsafah Yunani, Socrates pernah berkata “Orang yang hidup hanya dengan harapan dan menunggu tanpa usaha dan fikir, akan mati kelaparan”.
#Proses menjadi insan berilmu memerlukan proses tarbiah, muhasabah dan retrospeksi yang pernah dipraktikkan oleh para nabi dan para rasul alaihimusssalam berpaksikan al-Quran dan sunah wajib kita junjung secara kukuh dan serius. Ilmu pengetahuan sahaja tidak semestinya dapat melahirkan individu masyarakat yang unggul jika individu tersebut tidak mengamalkan atau memiliki nilai – nilai murni. Keseimbangan ilmu dan nilai murni ini perlu bangun seiring demi melahirkan seorang individu yang seimbang yang mempunyai ciri-ciri personaliti yang unggul atau 'towering personality'.
#Generasi muda kini harus sentiasa mengembangkan potensi pemikiran dan mencernakan idea kreatif untuk melakukan proses penambahbaikan. Kemampuan bersaing, semangat juang yang tinggi, jati diri yang berteraskan keimanan dan kesungguhan yang berkekalan akan membolehkan pencapaian pelajar sekalian meladeni cabaran gelombang globalisasi dan rintangan yang datang silih berganti. Sama ada para graduan berada dalam tingkatan tiga mahupun tingkatan lima, keupayaan, kecemerlangan dan kehebatan diri ini perlu diserlahkan secara total kerana semuanya terdapat dalam diri pelajar masing-masing agar membentuk para pelajar yang pintar soleh iaitu generasi yang mampu bersaing antara dunia moden dan mencabar, dengan tidak meninggalkan akhirat
#Sebagai khairul ummah, kita ingin membina tamadun budaya menuntut ilmu, memperoleh ilmu dan mengamalkan ilmu yang hebat demi kesejahteraan serta hasanah di dunia serta di akhirat. Walau apa-apa jua cabaran yang datang jangan sesekali kita lupa asas pencarian ilmu yang cemerlang dan prinsip-prinsip penjanaan modal insan gemilang agar mampu menzahirkan insan beriman dan mulia di sisi Allah. Semoga kita sekalian akan berjaya membawa panji-panji kebanggaan kepada bangsa ,agama dan negara dalam perjalanan yang jauh.
Sekeping jadikan sebata,
sehelai jadikan selembar,
seruas jadikan sebidang,
segenggam jadikan sehasta!
balqis

(c) cikgumie

Tiada ulasan: