09 Oktober 2009

ULANG KAJI MENGHADAPI SPM 2009 SIRI 5 - LATIHAN PEMAHAMAN PETIKAN KOMSAS - SOALAN 2d

Siri 5 memaparkan soalan pemahaman 2d iaitu pemahaman berdasarkan petikan komsas- sajak/puisi tradisional
(Soalan di bawah adalah merupakan Soalan Pemahaman Petikan Komsas Kertas 2 Bahasa Melayu Peperiksaan Percubaan SPM MRSM 2009):

1. Soalan
Baca syair di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

SYAIR KELEBIHAN ILMU
Ilmu itulah gemala sakti,
Sinarnya cerah cahaya sejati,
Asal puncanya lamun didapati,
Sukar bercerai sehingga mati.

Harganya tidak dapat dinilaikan,
Sebuah dunia belinya bukan,
Kuasanya besar sukat digunakan,
Di laut di darat di rimba di pekan,

Masa seorang ialah taulan,
Teman berbeka suluh berjalan,
Masa berhimpun ia pengenalan,
Hias penyata polan si polan,

Bagi yang duka ia penghibur,
Ia penerang bagi yang kabur,
Ialah kandil di dalam kubur,
Lamun dengannya beramal subur.

Ia penerang jalan ke syurga,
Ia pemuas tekak yang dahaga,
Ialah sungai ialah telaga,
Laut yang luas ialah juga.

Ialah alat sangat berguna,
Idaman orang yang bijaksana,
Hamparnya luas amat saujana,
Tepinya ajal sempadannya fana.

ZA’BA
Antologi Kerusi,
Dewan Bahasa dan Pustaka.

(i) Nyatakan kelebihan orang yang berilmu. [3 markah]
(ii) Sebagai pelajar, bagaimanakah cara anda boleh memanfaatkan ilmu yang dipelajari?
[3 markah]
(iii) Nyatakan tiga pengajaran yang terdapat dalam syair tersebut .[3 markah]

Panduan isi dan jawapan contoh latihan ini akan disiarkan dalam siri yang lain.Insya-Allah

Untuk menghadapi SPM 2009, beberapa sajak dan puisi tradisional seperti:
Anak Laut (Anak Laut)
Jalan-Jalan Raya Kotaku(Anak Laut)
Duhai Pentafsir (Kerusi)
Di Ruang Gemanya(Kerusi)
Seloka Pak Kaduk (Anak Laut)
Pantun Enam Kerat (Kerusi)
Syair Kelebihan Ilmu (Kerusi)

perlu diberi fokus yang lebih memandangkan sajak/puisi tradisional ini belum disoal dalam SPM dengan tidak mengetepikan puisi-puisi lain.

Calon/pelajar boleh merujuk analisis Kertas 2 Bahasa Melayu SPM sejak November 2001 hingga Jun 2009 sebagai panduan dan persediaan. Sila muat turun pada pautan fail berikut:
http://www.4shared.com/file/120681699/73bd03c8/ANALISIS__SOALAN_KERTAS_2_BM_SPM_NOV_2001-JUN_2009.htmlSemoga pelajar/calon SPM memperoleh manfaat daripada pemaparan bahan ini, insya-Allah.
(c)cikgumie

Tiada ulasan: