09 November 2009

DEMI KECEMERLANGAN, BERMUHASABAHLAH !!

Pembuka Bicara
Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah At-Tiin ayat 4 berfirman yang kira-kira maksudnya: "Sungguh, Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya."
Menurut sesetengah ahli tafsir mengatakan bahawa kesempurnaan manusia itu meliputi segala bentuk, baik dari segi fizikal, mental mahupun rohaniahnya. Lebih utama lagi manusia itu amat berbeza daripada makhluk-makhluk Allah yang lain. Manusia dimuliakan kerana kelebihan memiliki akal fikiran yang boleh membezakan antara yang baik dengan yang buruk kerana itulah agama Islam amat menghormati akal. Tidak akan tercapai ilmu kalau tidak ada akal.
Berkata Sayyidina Ali, "Beruntunglah orang yang hari ini lebih baik daripada semalam, terpedayalah orang yang hari ini sama seperti semalam dan celakalah orang yang hari ini lebih buruk daripada semalam. Maka, untuk mencapai kecemerlangan itu, kita hendaklah merobah diri dengan menjadikan diri kita lebih baik dari semalam".
Bagaimana caranya?
Islam telah melatih penganutnya untuk sentiasa bermuhasabah diri (sentiasa membuat perhitungan ,menilai diri atau retrospeksi diri) yang bertujuan untuk membuat penambahbaikan. Seandainya dia menilai dirinya hari ini telah melakukan suatu kebaikan, maka hendaklah kebaikan itu akan terus bertambah pada esok harinya. Begitu juga dengan kesilapan atau kesalahan hendaklah ditukar kepada perkara kebaikan. Dengan bermuhasabah diri, dia akan dapat mengetahui kesalahannya dan kesilapannya, maka akal pula akan berperanan berfikir dan membuat keputusan sama ada membaiki segala kesalahan dan kesilapan ataupun meneruskannya.
Sebagai contoh, jika hari ini kita mampu melakukan solat seorang diri, insya-Allah esok hari kita akan melakukan yang lebih baik daripada itu. Begitu juga dalam menghadapi peperiksaan, nilaikan diri anda sendiri, setakat mana pencapaian peperiksaan yang sebelumnya dan matlamat peperiksaan akan datang yang akan dicapai. Bertambah baik? Bertambah cemerlang? Ataupun sebaliknya?
Hari ini satu ilmu yang kita pelajari, maka untuk esoknya haruslah kita menambah ilmu itu lebih daripada ilmu yang diperoleh semalam. Inilah yang dikatakan kecemerlangan.
Maka cara untuk mencapai kecemerlangan peperiksaan itu hendaklah dimulai dengan bermuhasabah diri untuk mengetahui pusat atau punca kelemahan atau kekurangan yang ada dalam diri, seterusnya menggunakan akal untuk berfikir akan cara untuk mengatasinya.
Setelah mengetahui kelemahan atau kekurangan yang ada dalam diri dan tahu pula akan cara mengatasinya, hendaklah dipandukan akal itu untuk mengarah seluruh anggota bagi untuk memperjuangkan diri dalam mencapai matlamat yang diimpikan. Di situlah akan terjadinya perjuangan kehidupan dalam mencapai kecemerlangan, baik kecemerlangan kehidupan, kecemerlangan beramal ibadat, kecemerlangan berfikir, kecemerlangan belajar mahupun kecemerlangan peperiksaan, dan dalam diri akan sentiasa mengatakan: 'Sudah cemerlangkah diriku?'
Epilog
Seandainya jawapan yang diberikan 'Tidak,' maka pandulah dengan menggunakan akal fikiran untuk memikirkan cara lain untuk menjadi orang yang cemerlang kerana keyakinan itu ada dalam diri umat Islam sebagaimana telah ditetapkan oleh Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah At-Tiin ayat 4 yang kira-kira bermaksud: "Sungguh, Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya" . Ayat ini memberi petunjuk bahawa manusia telah diciptakan Allah dalam bentuk yang sebaik-baiknya iaitu dalam keadaan yang cemerlang.
catatan: http://abihulwa.blogspot.com/
Sumber : http://www.pelitabrunei.gov.bn/

Tiada ulasan: