Kepada semua calon SPM dan pendidik terutama yang melayari blog ini, terima kasih saya ucapkan. Untuk mencari info tentang teks-teks KOMSAS dan soalan novel yang dirasakan penting untuk persediaan SPM. sila lihat bahan blog terutama yang telah dipaparkan pada bulan Januari, Februari, Mac & April 2009. Semoga anda memperoleh kecemerlangan dalam subjek Bahasa Melayu, Amin!
DRAMA- SERUNAI MALAM
MAJID:Tadi aku tengok...(diam tidak meneruskan cakapnya).
UMAR:(Hairan) Ayah tengok apa?
MAJID:(Sedikit ragu) Piah.
UMAR:(Bertambah hairan) Piah? Kenapa ayah?
MAJID : Selalu dia begitu?
UMAR: (Ingin tahu) Apa ayah?
MAJID : Dia pakai seluar.
UMAR : (Mengerti) Sesekali kalau hari Sabtu atau minggu. Nak ringkas. 2
MAJID : Nak ringkas tu betullah. Tapi kutengok macam sarung nangka.
UMAR : Mmmmm! (Tak tahu menjawab)
MAJID : Kalau Lebai Dolah tengok......pengsan agaknya.(senyum lucu)
UMAR : (Ikut senyum) Sekarang ni...(tidak meneruskan cuba mengalih perbualan) ayah balik besok, ya?
MAJID : Pukul berapa majlis kau tu?
UMAR : (Melihat jam tangannya) Pukul dua belas empat puluh.
MAJID : Aku tanya pukul berapa majlis kau tu?
UMAR : Ooo, konvokesyen? Pukul dua setengah. Tetapi pukul dua kita mesti ada di sana.
MAJID : (Bangkit berdiri) Kalau gitu biarlah ayah sembahyang dulu. Dah masuk Zuhur ni.(Keluar)
Soalan
(i) Apakah maksud frasa macam sarung nangka yang terdapat dalam petikan drama di atas? [2 markah]
(ii) Pada pandangan anda, mengapakah Majid mempersoalkan pakaian Safiah kepada Umar? [ 3 markah]
(iii) Jelaskan satu persoalan yang terdapat dalam petikan dan satu persoalan lain yang terdapat dalam keseluruhan drama. [4 markah]
Panduan Isi
(i)frasa macam sarung nangka...
- seluar jeans yang dipakai Safiah terlalu ketat.
(ii)Majid mempersoalkan pakaian Safiah kepada Umar kerana...
- Pakaian Safiah kurang sopan.
- Majid mengharapkan Umar menegur cara Safiah berpakaian.
- Pakaian itu tidak sesuai dipakai oleh seorang gadis Melayu.
- Safiah tidak menghormati Majid sebagai bakal bapa mertuanya.
- Majid seorang yang berpegang kuat kepada agama.
(alasan-alasan lain yang munasabah diterima)
(iii) satu persoalan yang terdapat dalam petikan dan satu persoalan lain yang terdapat dalam keseluruhan drama.
dalam petikan:
- Persoalan mentaati agama. Contoh: Majid tidak lupa menunaikan fardu Zuhur walau di mana sahaja berada.
- Persoalan masyarakat kota yang masih dipengaruhi pemikiran barat. Contoh: Safiah yang berpakaian cara barat iaitu memakai seluar jeans ketat.
dalam drama:
- Persoalan perasan cinta orang muda. Contoh: Walaupun berbeza pendapat tentang kerjaya, Safiah tetap menurut kehendak Umar untuk menjadi guru kerana cintanya terhadap Umar.
- Persoalan semangat nasionalisme. Contoh: walaupun Umar berkelulusan universiti, dia tetap ingin menjadi guru mendidik anak bangsa dan bertugas di pedalaman.
Semoga pelajar/calon SPM memperoleh manfaat daripada pemaparan bahan ini, insya-Allah
(c)cikgumie
Tiada ulasan:
Catat Ulasan