Oleh
MAWAR SHAFIE
(Antologi KERUSI)
PERISTIWA-PERISTIWA PENTING
1 Zel merancang untuk melepaskan Virus Zel ke dalam Program ZQ1308 yang telah dicipta oleh ayahnya melalui komputer.
- Imbas kembali nasihat oleh sahabat baiknya,Win tentang perbuatannya terhadap ayahnya.
- Setiap kejadian ada hikmahnya.
- Zel marah kerana dia yang menderita akibat perceraian ibu dan ayahnya.
- Imbas kembali terntang perbualannya dengan Abah yang menerangkan sebab-sebab Abah terpaksa berpisah dengan Mama seperti Mama sukar dibentuk/ degil, mereka tidak setaraf ,Mama tidak ikhlas mengahwini abah dan Mama hanya simpati terhadap abah
2. Perbualan Zel dengan Mama. Mama menasihati Zel supaya berbaik-baik dengan Abah.Prinsip hidup Mama bahawa wanita boleh hidup berjaya tanpa kaum lelaki di sisi
- Imbas kembali peristiwa Mama menghadiahi Zel sebuah komputer Powerbook pada hari lahirnya yang lalu.
- Imbas kembali pandangan Win tentang Mama yang berjaya dalam perniagaan.
- Win menganggap kejayaan Mama membuatkan Abah berasa rendah diri.
- Zel teringat peribadi Muslimah yang ada pada Mama.
3. Perbualan Zel dengan Mama tentang anak-anak Aunt Syarifah yang dianggapnya tidak matang dan tidak menerimanya dengan baik.
- Mama menasihati Zel supaya sentiasa memperlihatkan peribadi yang baik
sebagaimana asuhannya sehingga Zel dewasa.
Mama menceritakan kisah anak-anak Nabi Adam yang tidak sanggup berkongsi kasih.
4. Perbualan Zel dengan Win melalui komputer. Win menasihati Zel supaya tidak meneruskan niatnya.
- Imbas kembali peristiwa perbalahan Zel dan Abang Awi ketika membeli hadiah untuk Abah.
- Zel begitu marah terhadap Abang Awi apabila Abang Awi tidak mahu menerima cadangan baju yang akan dibeli untuk Abah.
5. Zel menghentikan niatnya untuk menganiayai Abah dengan mematikan Virus Zel bersama matinya dendam dan kemarahannnya terhadap Abah
- Win terus mendesak Zel agar menghentikan niatnya untuk melepaskan virus itu.
- Win mengingatkan Zel tentang perasaan kecewa Mama terhadap perbuatan Zel itu.
Zel memadamkan Virus Zel dari sistem komputernya.
PERSOALAN
Anak-anak yang menjadi mangsa perceraian ibu bapa.
Hal ini dipaparkan melalui watak Zel yang begitu tertekan dan kecewa terhadap Abah yang telah menceraikan ibunya.
Kesilapan memilih jodoh akan membawa kehancuran rumah tangga.
Hal ini dilihat daripada kegagalan abah mempertahankan rumah tangganya bersama Mama kerana perbezaan status antara mereka.
Kegigihan ibu tunggal membesarkan anak.
Mama telah berjaya membesarkan Zel walaupun beliau seorang ibu tunggal.
Kejayaan wanita dalam bidang perniagaan.
Perkara ini juga merupakan persoalan yang terdapat dalam cerpen ini. Persoalan ini dipaparkan melalui watak Mama yang sangat berjaya dalam bidang perniagaan sehingga beliau dikagumi oleh banyak orang.
Seseorang boleh berjaya tanpa mengabaikan aspek keagamaan dalam kehidupan
Persoalan ini dapat dilihat melalui watak Mama yang teguh imannya walaupun beliau menceburkan diri dalam bidang perniagaan yang mencabar.
Penglibatan wanita dalam bidang teknologi maklumat
Mama dan Zel merupakan dua orang wanita yang terlibat secara langsung dengan perkembangan teknologi maklumat di negara ini.
Suami /Ayah yang tidak bertanggungjawab
Persoalan ini ditonjolkan melalui watak abah yang telah mengabaikan mama dan Zel setelah abah menceraikan mama.
Kerenggangan hubungan kekeluargaan antara keluarga tiri
Persoalan ini dapat kita lihat daripada hubungan Zel dengan ibu dan adik-beradik tirinya yang tidak begitu mesra.
NILAI
kasih sayang.
Mama begitu mengambil berat dan amat menyayangi Zel, anak tunggalnya. Hal ini dapat dilihat apabila mama telah membesarkan Zel dengan penuh kasih sayang dan tanggungjwab sehingga Zel menjadi seorang gadis yang berpelajaran dan dididik dengan nilai-nilai murni.
hormat-menghormati
Nilai ini juga dapat dilihat pada Mama yang tidak mendendami Abah dan tetap menghormati kedudukan Abah sebagai ayah Zel dengan membenarkan Zel menemui Abah walaupun abah dan mama telah bercerai.
nasihat-menasihati
Nilai ini jelas terlihat apabila Win sentiasa menasihati Zel agar tidak melepaskan Virus Zel ke dalam program Abah.
kebertanggungjawaban
Nilai ini jelas kita lihat apabila Mama dengan penuh tanggungjawab memberi didikan yang sempurna kepada Zel sehingga Zel berjaya dalam bidang akademik .
kegigihan
Terlihat pada watak Mama yang begitu gigih memajukan perniagaannya sehingga beliau menjadi seorang usahawan wanita yang berjaya.
ketaatan
Nilai ini dapat dilihat pada Mama yang berpegang teguh pada ajaran Islam dengan menutup aurat dan tidak mengabaikan ibadah kepada Tuhan..
ketabahan
Mama tabah bekerja dalam meningkatkan kerjayanya sebagai wanita korporat
rasional
Win meminta Zel berfikir sebelum mengambil tindakan untuk membalas dendam
LATIHAN
Prittt!
Vancall logic keluaran MZ Interscience Co. menjerit di sekitar ruang komputer mama, ruang komputer kami. Tanpa perlu melekapkan gagang ke telinga, aku membalas suara Win yang kembali menyapa.
- Aku tahu kau tidak waras ketika itu,dulu. Tetapi sekarang tidak, Zel. Kau akan ke U.K., bakal siswi undang-undang. Bakal seorang pengamal undang-undang. Seorang yang mengamalkan kebenaran, melenyapkan yang batil. Justeru kau tidak wajar bertindak begini. Itu bukan salah abah kau. Aku... aku tak berani menyalahkan sesiapa. Kau harus ingat kata-kata mamamu, Zel. Mama tersayangmu kata bahawa manusia banyak belajar dan dewasa daripada dan melalui bencana. Cukuplah kau jadikan sebagai pelajaran, bukan satu dendam yang perlu kau balas, apalagi dengan...dengan...
- Ah, kau juga seperti abah yang hanya mudah kata itu, ini! Aku telah katakan, aku yang menelan jadamnya. Aku dan ma yang menelannya. Kami yang merana. Kami! Aku dan ma! .
Aku teramat risi dengan apa yang berlaku. Deras sahaja air suam yang sedia bertakung di tubir mata, luruh. Lebat. Serasa hanya aku dan mama yang terongong. Sementara wajah-wajah lain terpingkal-pingkal. Lebih-lebih wajah Aunt Pah, Abang Awi, Aman dan Arif (atau mungkin abah, jika tidak ada pengecualian). Aku kian kesasar. Aku terus mencari-cari wajah sejuk mama. Mama!
- Zel!
(Dipetik daripada cerpen Virus Zel Untuk Abah oleh Mawar Shafie dalam antologi Kerusi, Dewan Bahasa dan Pustaka,2000]
(i) Mengapakah Win berkata bahawa tindakan Zel adalah tidak wajar? [ 3 markah ]
(ii) Pada pendapat anda, mengapakah ibu tunggal seperti ‘mama’ pada masa kini mampu hidup berdikari?
[ 3 markah ]
(iii) Huraikan satu persoalan yang boleh diambil daripada petikan di atas dan dua persoalan daripada keseluruhan cerpen tersebut.
[ 3 markah ]
cikgumie
Tiada ulasan:
Catat Ulasan