16 Januari 2009

PROSA KLASIK BAHASA MELAYU SPM Siri 1

SABOR

Peristiwa-Peristiwa Penting
1. Jibor membawa Sabor ke rumahnya. Setibanya di rumah, Jibor menyuruh Sabor memberi hormat kepada isterinya, Siti Saidah. Siti Saidah juga memberi hormat kepada Sabor.
2. Dalam diam, Siti Saidah telah jatuh hati akan Sabor. Siti Saidah telah berlaku curang dengan seorang jauhari tanpa pengetahuan sesiapa. Namun,jauhari itu dilupakannya setelah dia melihat dan jatuh hati akan Sabor
3. Pada suatu malam, ketika Jibor tidur lena, Siti Saidah pergi menggoda Sabor dan mengajak Sabor melakukan maksiat.
4. Sabor teringat akan nasihat raja Damsyik kepadanya serta ayat al-Quran yang menegah manusia mendekati zina lalu dia menjadi takut akan hukum Allah.

5. Sabor memarahi Siti Saidah akan perbuatannya itu. Dia mengatakan bahawa dia tidak akan mengkhianati saudaranya (abangnya) di samping mengingatkan Siti Saidah akan agama.
6. Siti Saidah berasa amat marah lalu mengugut akan membunuh Sabor yang telah menolak cintanya.
7. Pada waktu Subuh, Sabor bangun lalu menunaikan sembahyang Subuh sambil memohon agar Allah menambah imannya.
8. Siti Saidah memberitahu suaminya, Jibor bahawa Sabor telah cuba berbuat jahat kepadanya ketika dia hendak ke bilik air. Menurutnya lagi, apabila dia hendak menjerit untuk melepaskan diri, Sabor telah mengugut untuk membunuhnya. Siti Saidah memberitahu Jibor bahawa dia lebih sanggup mati daripada menderhakai suaminya dan Allah. Jibor meminta agar Siti Saidah tidak memberitahu sesiapa akan hal itu kerana dia berasa malu akan perbuatan adiknya itu.
9. Jibor memberi sebuah kopiah buatan Rom yang berharga seribu dinar kepada Sabor lalu meminta Sabor memakainya.
10.Jibor memanggil empat orang sipahi (askar India) lalu memberi mereka seratus dinar seorang. Jibor mengarahkan mereka untuk memenggal (membunuh) seorang lelaki memakai kopiah pada waktu Maghrib, iaitu ketika orang bersembahyang di masjid.
11.Sabor pergi ke masjid untuk menunaikan solat Maghrib dengan memakai kopiah yang diberi oleh Jibor. Namun, oleh sebab dia berasa pening, kopiah itu ditanggalkannya dan diletakkannya di atas mihrab.
12.Kopiah itu diambil dan dipakai oleh jauhari, lalu dia menunaikan solat.
13. Empat orang sipahi itu datang ke masjid lalu memenggal kepala jauhari (yang disangka mereka ialah Sabor)

Latihan
Setelah beberapa hari ia duduk di rumah Jibor, maka Siti Saidah pun terlalu sangat berahinya akan Sabor dengan seribu daya menahan berahinya, tiada juga tertahan, makin bernyala-nyala. Maka apabila malam, Siti Saidah pun menyuruh orang menghiasi tempat Sabor tidur di atas geta gading bertatahkan ratna mutu manikam itu. Maka Sabor pun naik tidur di atas geta gading juga dan Jibor pun tidurlah dengan isterinya.
Pada malam itu Siti Saidah pun sangat keluh kesah, tiadalah boleh tidur daripada sangat berahinya akan Sabor, tiadalah cintanya yang lain melainkan Sabor juga siang malam. Maka Siti Saidah itu ada bermukah dengan semata-mata, tiada siapa mengetahui peri perbuatannya Siti Saidah itu bermukah dengan jauhari, siang dan malam tiada berkeputusan perbuatannya itu. Akan Jibor itu pun sekali-kali tiada ia tahu akan perbuatan isterinya dengan jauhari itu.
Setelah ia melihat rupa paras Sabor, akan jauhari pun ia lupalah, melainkan Saborlah pula dikasihi sayangnya yang tersurat di dalam mata hatinya. Setelah datanglah kepada dua puluh hari Sabor duduk di rumah Jibor saudaranya itu, maka Siti Saidah pun bertambah-tambahlah berahinya seperti majnum lakunya, telah tiada tertahan hatinya.
(Dipetik daripada Sabor, Antologi Kerusi, Dewan Bahasa dan Pustaka, 2000 )

(i) Siapakah Siti Saidah? [ 2 markah ]
(ii) Pada pendapat anda mengapakah Siti Saidah begitu berahi akan Sabor
sedangkan dia sudah bersuami? [ 3 markah ]
(ii) Sekiranya anda ialah Sabor dan anda mengetahui niat buruk Siti Saidah, nyatakan tindakan-tindakan anda untuk menghalang niatnya itu terhadap anda. [ 3 markah ]

Panduan Isi

i. Siapa Siti Saidah…..
>isteri Jibor
>isteri yang curang/ menduakan suaminya/ berzina dengan jauhari
>wanita yang mencintai Sabor
>wanita yang kuat nafsu

ii. Sebab Siti Saidah begitu berahi akan Sabor…
>seorang yang tidak dapat mengawal nafsunya
>rupa paras Sabor menyebabkan dia tidak dapat mengawal diri
>suaminya tidak mampu melayani kehendaknya
>suaminya telah lanjut usianya
>Sabor tinggal di rumah itu dalam jangka masa yang lama
>tidak memikirkan dosa kerana pernah menduakan suaminya

iii. Tindakan sebagai Sabor …..
>menasihati Siti Saidah agar bertaubat kepada Allah dan mentaati suaminya
>memberitahu Jibor akan perilaku isterinya bersama-sama dengan saksi yang boleh dipercayai
>meminta Jibor menasihati/ menghukum Siti Saidah atas sifat buruknya itu
>meninggalkan rumah Jibor untuk menyelamatkan diri daripada godaan Siti Saidah
>menjemput guru agama memberi panduan/tunjuk ajar tentang tanggungjawab isteri kepada Siti Saidah dengan kebenaran Jibor

cikgumie


Tiada ulasan: