03 Januari 2009

SEKILAS PANDANG MRSM TRANSKRIAN

Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Transkrian, Nibong Tebal, Pulau Pinang merupakan maktab yang ke-34 ditubuhkan oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA) sebagai memenuhi hasrat dan wawasan untuk mencemerlangkan institusi pendidikan MARA (IPMA) hingga bertaraf dunia. MRSM Transkrian merupakan MRSM yang kedua didirikan di Pulau Pinang selepas MRSM Balik Pulau yang beroperasi pada tahun 1984. MRSM ketiga di Pulau Pinang ialah MRSM Kepala Batas yang beroperasi pada tahun 2007.

Terletak di Mukim 9, Transkrian, Nibong Tebal iaitu di daerah Seberang Perai Selatan, maktab ini yang luasnya 32 hektar secara rasminya beroperasi pada 1 April 2002. Asal mulanya kawasan ini merupakan kawasan ladang. Lokasinya yang berhampiran dengan Parit Buntar (Perak) menyebabkan beberapa pihak sering menganggap bahawa maktab ini terletak dalam negeri Perak. Berkemungkinan perkataan 'krian' itu disamakan dengan daerah Kerian sedangkan nama Krian adalah panggilan biasa orang tua-tua untuk kawasan Nibong Tebal. Daerah Kerian di Perak terletak bersebelahan dan dinamakan berdasarkan Sungai Kerian yang merentasi kawasan ini. Sungai Kerian sendiri mencatatkan sejarah terutama melalui tragedi bas sekolah terhumban ke dalamnya pada tahun 1973 di kawasan antara Parit Buntar dan Bandar Baharu (Kedah). Inilah uniknya kawasan Transkrian yang bersempadankan Parit Buntar (Perak) dan Bandar Baharu (Kedah) .



Terdapat tiga buah institusi pendidikan utama yang menjadi jiran maktab iaitu Sekolah Kebangsaan Saujana Indah, Sekolah Menengah Kebangsaan Saujana Indah dan Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia. Kawasan petempatan termasuklah Taman Ilmu, Ladang Transkrian, Taman Pekaka, Taman Sempadan, Taman Transkrian dan Kampung Seri Ampangan.



Seramai 17 orang guru termasuk Pengetua yang pertama, Encik Saleh bin Osman,(kini Pengetua MRSM Felda, Trolak) yang kebanyakannya berkhidmat di MRSM-MRSM yang lain telah melaporkan diri pada tarikh 1 April 2002. Cabaran yang dihadapi pada masa maktab ini baru dibuka tidak melemahkan semangat para pendidik untuk berkhidmat dengan penuh dedikasi demi kegemilangan bersama. MRSM Transkrian telah menerima kumpulan penuntut sulung seramai 100 orang yang merupakan pelajar-pelajar tingkatan 4 pada 22 April 2002 manakala pelajar-pelajar tingkatan 1 yang sebelum itu ditempatkan sementara di MRSM Pontian, Johor selama 5 bulan telah melaporkan diri pada bulan 4 Jun 2002.

Kumpulan perintis ini dengan penuh semangat telah sama-sama mengharungi jerih perit untuk menjayakan agenda pendidikan MARA di sini. Kesungguhan dan kegigihan mereka tidak sia-sia kerana apabila keputusan SPM 2003 diumumkan, mereka berjaya memperoleh Gred Purata Maktab (GPM) 2.415. Kecemerlangan ini terus menjadi tradisi dan pemangkin kepada kumpulan seterusnya yang mengambil SPM pada 2004 hingga kini serta kumpulan yang mengambil PMR mulai 2004. GPM SPM tahun 2004 ialah 2.705 , tahun 2005 ialah 2.242, tahun 2006 ialah 2.192 dan tahun 2007 ialah 2.122. Semoga keputusan SPM 2008 akan mencatatkan GPM bawah 2.000, insya-Allah.


Keputusan PMR amat membanggakan maktab. Keputusan PMR 2008 yang diumumkan menobatkan MRSM Transkrian sebagai maktab yang cemerlang antara semua MRSM (20 buah) dengan 123 pelajar daripada 149 orang mencatakan A bagi semua subjek yang diambil dengan Gred Purata Maktab 1.0314. Semoga keputusan PMR 2009 nanti akan akan terus mengekalkan nama MRSM Transkrian di atas. Semoga Allah memberkati dan meredhai usaha kami, insya-Allah.



MRSM Transkrian dilengkapi dengan bilik-bilik kelas, dewan besar, bilik seminar, makmal-makmal termasuk makmal komputer, makmal multimedia, makmal kemahiran hidup serta makmal reka cipta, surau, dewan makan, pusat pelajar dan pusat sumber pembelajaran. Beberapa kemudahan atau prasarana yang lain akan terus disediakan oleh pihak maktab demi

Pengetua kedua maktab, Haji Mohd Yusoff bin Hassan, (kini Pengetua MRSM Bentong, Pahang) telah berusaha menyemarak dan mengukuhkan slogan maktab “Better Than The Best”. Kata beliau, 'if better is expected of you, the best is still not good enough' Justeru, kami warga pendidik maktab komited untuk menjadikan MRSM Transkrian sebagai sebuah institusi pendidikan yang mencipta kecemerlangan yang lebih unggul dalam kalangan yang terbaik berdasarkan kriteria dan amalan penandaarasan yang ditetapkan. Warga maktab sentiasa berusaha meletakkan MRSM Transkrian pada tahap yang lebih cemerlang dan terus bersedia untuk menjulang nama maktab dalam pelbagai bidang.




Kini, dengan gaya pentadbiran yang mantap dan tersendiri yang diterajui oleh Pengetua, Encik Shamsudin bin Suip dengan dibantu oleh Timbalan Pengetua Hal Ehwal Akademik, Encik Shamsuri bin Mahat dan Timbalan Pengetua Hal Ehwal Pelajar, Puan Maimun binti Yusof serta gemblengan tenaga para guru dan kakitangan yang komited, MRSM Transkrian akan bergerak maju demi merealisasikan slogan maktab iaitu ‘BETTER THAN THE BEST’ dan moto Bahagian Pendidikan dan Latihan (Menengah) MARA, ’Pendidikan Cemerlang Generasi Gemilang’.......

cikgumie

1 ulasan:

NUke_Rude berkata...

huhu.. bangga jadi ex-transX !!!