24 Januari 2009

MERUMUSKAN KARANGAN BAHASA MELAYU SPM Siri 1

MERUMUSKAN KARANGAN

Merumuskan karangan merupakan proses menyatakan isi-isi penting sesuatu petikan yang dipersembahkan secara ringkas tetapi padat dan tepat mengikut jumlah perkataan yang ditetapkan. Isi-isi penting yang berupa isi tersurat dan isi tersirat petikan tersebut mestilah menepati kehendak atau arahan soalan.

Contoh Arahan Soalan
Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang langkah-langkah meningkatkan taraf hidup orang kurang upaya dan kekangan yang dihadapi dalam melaksanakannya.

Rumusan yang dihasilkan sebaik-baiknya ditulis dalam empat (4) perenggan iaitu:
Perenggan 1 : PENGENALAN
Perenggan 2 : ISI-ISI TERSURAT
Perenggan 3 : ISI-ISI TERSIRAT
Perenggan 4 : KESIMPULAN




Perenggan 1 : PENGENALAN
Pengenalan ialah satu pernyataan tentang tema atau idea keseluruhan petikan .
Pengenalan mengandungi 3 aspek, iaitu :
1. Pernyataan tentang petikan (P)
- Petikan menyatakan / Petikan membincangkan ….…
2. Tema petikan (T) / Kata yang sesuai (K)
3. Huraian (H)

Contoh Pengenalan
Petikan membincangkan (P) perhatian yang diberikan kepada golongan kurang upaya (T) di Malaysia (H)
@
Petikan menyatakan (P) usaha-usaha untuk meningkatkan taraf hidup golongan kurang upaya (K) di negara ini (H).

Pengenalan hendaklah ditulis dalam satu ayat sahaja. (Tiada huraian lanjut selepasnya)
Jumlah perkataan untuk perenggan pengenalan ialah 15 patah perkataan.
Markah yang diperuntukkan untuk pengenalan ialah 2 markah.

Perenggan 2 : ISI TERSURAT
Isi-isi tersurat (IS) merupakan isi-isi penting yang terdapat dalam petikan yang diberi dan menjawab kata tugas atau arahan soalan yang pertama (A1) merumuskan karangan.
6-8 isi tersurat perlu dipersembahkan bagi setiap rumusan untuk mendapat markah isi tersurat yang maksimum.
Setiap isi tersurat diwakili oleh satu ayat sahaja. (Tiada huraian lanjut selepasnya)
Jumlah perkataan untuk perenggan isi tersurat ialah 65 patah perkataan.
Garisi setiap isi tersurat yang ditemukan dalam petikan yang dibaca. Nombor isi boleh diletakkan bagi setiap isi yang digarisi. (Kebiasaannya terdapat antara 6-10 isi dalam petikan)
Poin-poin penting atau kadangkala keseluruhan ayat dalam petikan yang diberi sebaik-baiknya dikekalkan semasa menulis isi tersurat. (untuk mengelakkan pelajar daripada tersasar atau menulis isi tersurat yang berubah maksudnya).
Isi tersurat ditulis dengan struktur ayat yang lengkap subjek dan predikatnya.

Perenggan 3 : ISI TERSIRAT
Isi-isi tersirat (IT) merupakan isi -isi yang tidak terdapat dalam petikan yang diberi dan merupakan jawapan bagi kata tugas atau arahan soalan yang kedua (A2) merumuskan karangan.
2-3 isi tersirat perlu dipersembahkan bagi setiap rumusan untuk mendapat markah isi tersirat yang maksimum.
Isi-isi tersirat yang ditulis hendaklah lengkap serta jelas. (Isi yang berupa pernyataan umum hendaklah dielakkan).
Setiap isi tersurat diwakili oleh satu ayat sahaja. (Tiada huraian lanjut selepasnya)
Jumlah perkataan untuk perenggan isi tersirat ialah 25 patah perkataan.
Isi tersirat ditulis dengan struktur ayat yang lengkap subjek dan predikatnya.

Perenggan 4 : KESIMPULAN
Kesimpulan merupakan pernyataan yang menyimpulkan rumusan yang telah dihasilkan. Perenggan ini merupakan pernyataan cadangan tentang persoalan atau isu yang ditimbulkan dan rasional cadangan tersebut dinyatakan.
Kesimpulan mengandungi 3 aspek, iaitu :
1. Pernyataan tentang kesimpulan
–Kesimpulannya, (K)
2. Cadangan khusus berdasarkan kata tugas soalan atau arahan soalan (C)
3. Rasional cadangan itu dikemukakan dengan menggunakan kata seperti - agar, supaya, demi @ untuk .(R)
Contoh Kesimpulan
Kesimpulannya, (K) pihak-pihak yang bertanggungjawab perlu proaktif membantu OKU (C) agar mereka dapat memberi sumbangan kepada negara (R).
Kesimpulan hendaklah ditulis dalam satu ayat sahaja. (Tiada huraian lanjut selepasnya)
Jumlah perkataan untuk perenggan kesimpulan ialah 15 patah perkataan.
Markah yang diperuntukkan untuk kesimpulan ialah 2 markah.

(c) cikgumie

Tiada ulasan: