16 Januari 2009

PROSA KLASIK BAHASA MELAYU SPM Siri 2

CERITA BAYAN TIADA MENURUT KATA IBU BAPANYA

Peristiwa-Peristiwa Penting
Cerita 1 : Anak bayan berkawan dengan anak cerpelai
Bayan melarang tiga ekor anaknya berkawan dengan anak cerpelai yang tinggal di lubang sebatang pokok. Anak bayan tidak mendengar larangan ibu bapa mereka. Seorang budak lelaki telah menangkap anak cerpelai. Ibu bapa cerpelai berjumpa dengan serigala untuk meminta pandangannya supaya anak-anak bayan juga ditangkap oleh budak lelaki itu. Serigala menyuruh ibu bapa cerpelai agar lari ke arah sarang bayan supaya budak lelaki itu melihat bayan dan menangkapnya. Apabila budak lelaki melihat sarang bayan, ia pun pulang ke rumahnya. Pada waktu malam, ia pergi ke sarang bayan lalu menutup sarang bayan. Bayan mengatur strategi supaya mereka sekeluarga tidak ditangkap oleh budak lelaki itu. Apabila budak lelaki itu datang,bayan-bayan itu berpura-pura mati, kemudian semua bayan itu terbang menyelamatkan diri. Budak lelaki itu menyedari dirinya ditipu lalu mahu menyembelih bayan tua. Bayan tua meminta supaya dirinya dijual kepada raja dengan harga dua ribu dinar. Bayan tua mengatakan bahawa dia boleh mengubati penyakit sopak pada kaki dan tangan raja. Budak itu menjual bayan dengan harga empat ribu dinar. Bayan tua dapat mengubati penyakit raja. Bayan tua meminta kebenaran raja untuk pulang berjumpa dengan keluarganya.
Cerita 2 : Anak kera bersahabat dengan anak saudagar
Ibu bapa anak kera melarangnya bersahabat dengan anak saudagar. Anak kera tidak mengendahkan larangan ibu bapanya. Anak kera bermain catur dengan anak saudagar. Anak kera kalah dalam permainan itu lalu mencampakkan buah catur kepada anak saudagar. Anak saudagar berasa malu lalu mencederakan lengan anak kera dengan sebilah pisau. Anak kera melontarkan pisau itu kepada anak saudagar dan menyebabkan anak saudagar tercedera. Ibu bapa anak kera menasihatinya supaya menjauhkan diri daripada anak saudagar tetapi tidak dihiraukan oleh anak kera. Tabib mengatakan kepada saudagar bahawa luka anaknya akan sembuh jika diubati dengan hati kera. Saudagar membunuh anak kera apabila anak kera datang ke rumahnya dan mengubati luka anaknya dengan hati anak kera itu sehingga sembuh

Cerita 3 : Bayan bercerita kepada Bibi Zainab
Bibi Zainab merupakan isteri kepada Khoja Maimun . Isteri Khoja Maimun ingin bertemu dengan kekasihnya , anak raja, semasa suaminya tiada di rumah. Bayan menceritakan kisah di atas serta kisah seorang zahid dengan pandai kayu, pandai emas dan pandai bertenun yang mengembara ke sebuah negeri.


Latihan
Adalah seekor bayan tiga ekor anaknya, berdiam ia pada suatu lubang kayu. Adapun pada pohon kayu itu ada suatu lubang kayu. Adapun pada pohon kayu itu ada cerpelai beranak anak muda. Sebermula adapun anak bayan itu bersahabat dengan anak cerpelai. Maka kata bayan kepada anaknya, “Jangan apalah, hai anakku, engkau bersahabat dengan anak cerpelai itu, kerana ia binatang yang tiada teguh setianya!”

Beberapa pula dikatakan oleh ibu bapanya, tiada juga diturut oleh anak bayan itu. Maka kata bayan pada anaknya, “Engkau ini adalah seperti hikayat anak kera bersahabat dengan anak saudagar, maka ia beroleh kemaluan dan kejahatan daripada tiada menurut kata bapanya.”
Maka sahut anak bayan itu, “Hai bapaku, hikayatkanlah supaya kudengar, betapa juga peri hikayat kera itu!”
Maka kata bapanya, “Ada seekor kera, konon, bersahabat dengan anak saudagar. Beberapa pun dilarang oleh ibu bapanya, tiada juga didengar oleh kera itu, jadi ia beroleh kejahatan daripada tiada ia menuruti kata bapanya. Maka senantiasa hari anak kera itu pergi bermain-main dengan anak saudagar itu. Maka kata bapanya,“Hai anak-anakku, jangan engkau bersahabat dengan anak saudagar itu, kerana ia manusia, kita binatang!”
(Dipetik daripada Cerita Bayan Tiada Menurut Kata Ibu Bapanya dalam antologi Anak Laut, Dewan Bahasa dan Pustaka)

(i) Apakah yang dimaksudkan dengan tiada teguh setianya ? [ 2 markah ]
(ii) Mengapakah bayan tidak membenarkan anaknya bersahabat dengan anak cerpelai? [ 3 markah ]
(iii) Sekiranya anda anak bayan, apakah tindakan anda apabila mendengar nasihat daripada bapa bayan itu? [ 3 markah ]


Panduan Isi
(i) maksud tiada teguh setianya.....
> tidak berpegang pada janji/ kata /mungkir janji /tidak boleh dipercayai

(ii) sebab bayan tidak membenarkan anaknya bersahabat ...
> meragui kesetiaan anak cerpelai/cerpelai haiwan yang diragui
kesetiaannya/ cerpelai haiwan tidak boleh dipercayai
>bimbang mendapat malu/aib
>bimbang perkara buruk/kejahatan berlaku kepada anaknya
>bayan dan cerpelai berlainan jenis haiwan/spesies

(iii) tindakan sebagai anak bayan setelah mendengar nasihat...
>menyelidik /menyiasat lebih mendalam sebelum bersahabat
>mencari kawan baru selain anak cerpelai
>mendengar /menerima nasihat/pandangan bapa bayan itu
>meneliti kesahihan/kebenaran cerita yang disampaikan
>berkawan dengan spesies yang sama/ bayan sahaja
>menasihati anak cerpelai supaya berkelakuan baik/mempunyai sifat positif/ membawa anak cerpelai berjumpa dengan bapa bayan


cikgumie

Tiada ulasan: