11 Jun 2010

IMBAUAN MRSM KERTEH 1987-1990 - (5)

Cikgu Wahab Yasin (sekarang di SMK Jawi, Seberang Perai Selatan)
Pada 8 Jun 2010 yang lalu, genap 23 tahun saya berkecimpung dalam dunia pendidikan dan bergelar guru di MRSM. Saya bernostalgia di laman sosial ‘Facebook’ dengan cetusan hati menceritakan saat saya melaporkan diri sebagai guru di MRSM Kerteh, Kemaman, Terengganu pada 8 Jun 1987, berjumpa dengan pe.ngetua, Hj Shaari Husain (kini Pengarah Bahagian Latihan & Pendidikan (Menengah) MARA) dan terus diminta menjadi guru asrama Tidak saya sangka, cetusan itu mendapat reaksi semerta daripada ramai anak didik kumpulan pertama MRSM Kerteh (1987-1989) dan beberapa orang daripada kumpulan kedua (1988-1990). Gambar terkini ( sudah menjadi pangsapuri kembali). Gambar daripada Facebook Suzanariah Sulaiman
Anak-anak homeroom saya pada masa itu (B’87) ialah Shuhaila Kamis, Noraneeza Ramli, Rasimah Rahim, Afiza Hartini Zulkifli, Yusnita Mohd Farid Mek Yah Said, Haryanty Hashim, Maruan Ibrahim, Mohd Rizal Che Haron, Amree Ghazi, Tg Hafizi Tg Hassan, Hanafe Ali, Adnan Che Isa dan Rosdi Embong (ada sesiapa yang saya tertinggal?) Kumpulan ketiga (1990-1991) tidak ramai yang saya ingat kecuali homeroom saya ( yang kemudian terpaksa saya serahkan kepada cikgu Syed Najmuddin) dan beberapa orang pelajar kerana saya bertukar ke MRSM Balik Pulau pada 28 Disember 1990.
MRSM Kerteh yang ditubuhkan pada 1987 dan ditutup pada 1991 (selepas SPM, kalau tak silap saya) telah diteruskan operasinya di MRSM Kuala Berang (1992). Pengetua kedua MRSM Kerteh, Hj Zakaria Mohd Noor (kini bersara) telah dilantik sebagai pengetua pertama MRSM Kuala Berang. Secara peribadi, saya mencatatkan imbauan kisah MRSM Kerteh (1987-1990) yang tiada kaitannya dengan MRSM Kuala Berang kerana saya berkhidmat di sini dan tidak turut berpindah ke MRSM Kuala Berang. Dengan rumah-rumah kedai yang diubah suai menjadi pejabat, bilik guru, koperasi, kelas akademik, perpustakaan dan dewan makan serta dua blok pangsapuri yang diubah suai menjadi asrama yang dilengkapi lif, menjadikan MRSM Kerteh beroperasi ‘dalam kelasnya yang tersendiri’.

05 Jun 2010

SEMINAR PEMANTAPAN KERTAS 1

Hari ini Cikgu Ishak Md. Shah dari Sekolah Menengah Teknik Lebuh Raya, Alor Star, Kedah telah mengendalikan bengkel untuk para pelajar tingkatan 5 MRSM Transkrian. Bantuan dan sumbangan Cikgu Ishak amat kami alu-alukan demi memantapkan kemahiran dan kecekapan menulis mereka dalam Kertas 1 Bahasa Melayu lagi . Ini merupakan kali kelima (bukan keempat seperti yang saya catat sebelum ini) Cikgu Ishak menerima undangan untuk membantu kami dalam usaha menjadikan penulisan karangan pelajar lebih baik, cemerlang ,berkesan dan menarik. Bengkel yang bermula pada jam 8.30 pagi telah berakhir pada jam 12.30 tengah hari. Kepada Cikgu Ishak Md Shah, terima kasih kami ucapkan. Hanya Allah jua yang membalas jasa & sumbangan Cikgu..
(c) shuhaimi sulaiman

01 Jun 2010

KEM STUDI SEMESTER 1 - PGG SPM 2010 MRSM TRANSKRIAN 1-8 JUN 2010

Bermula hari ini hingga 8 Jun 2010, pelajar-pelajar tingkatan 3 dan tingkatan 5 MRSM Transkrian akan mengikuti program Kem Studi Semester 1 PGG SPM/PMR 2010. Kem yang bertujuan untuk memberi latihan ulang kaji secara intensif bagi setiap subjek dan input terkini teknik menjawab soalan peperiksaan PMR/SPM akan disulami juga dengan program motivasi oleh pakar motivasi undangan. Untuk pelajar-pelajar tingkatan 3, kem diadakan di Perpustakaan Zaaba manakala untuk pelajar-pelajar tingkatan 5, kem diadakan di Bilik Cendekiawan. Kem bermula jam 8.30 pagi setiap hari dan berakhir pada 10.30 malam. Untuk hari ini, penghormatan diberikan kepada subjek 'Physics' bagi tingkatan 5.
Pada 5 Jun nanti, insya-Allah, Cikgu Ishak Md. Shah dari Sekolah Menengah Teknik Alor Star akan mengendalikan bengkel untuk para pelajar tingkatan 5 memantapkan kemahiran dan kecekapan menulis mereka dalam Kertas 1 Bahasa Melayu. Ini merupakan kali keempat Cikgu Ishak menerima undangan untuk membantu kami dalam usaha menjadikan penulisan karangan pelajar lebih baik, cemerlang ,berkesan dan menarik. Untuk pemantapan Kertas 2 Bahasa Melayu pula, insya-Allah, saya akan terus berkongsi pengetahuan dan pengalaman kurniaan Allah ini demi kecemerlangan pelajar dengan bantuan para guru Bahasa Melayu MRSM Transkrian. Kertas 3 Bahasa Melayu yang merupakan Ujian Lisan Berasaskan Sekolah (ULBS) juga tidak harus diketepikan begitu sahaja.
(c) cikgu shuhaimi