29 September 2010

ULANG KAJI MENGHADAPI SPM 2010 SIRI 3

Salam
* Insya-Allah, saya akan memaparkan soalan Kertas 2 Bahasa Melayu , Peperiksaan Percubaan SPM 2010 MRSM secara berperingkat-peringkat dalam siri ulang kaji ini. Soalan ini adalah hak cipta Bahagian Pendidikan & Latihan (Menengah) MARA manakala j
awapan contoh yang disediakan merupakan olahan saya sendiri. Semoga perkongsian ini akan dapat kita manfaatkan bersama demi kecemerlangan subjek Bahasa Melayu dalam SPM , Amin.

Kertas 2 Bahasa Melayu
Peperiksaan Percubaan SPM 2010 MRSM

Soalan 1 : Merumuskan Karangan
Arahan Soalan
Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang punca-punca pengangguran dalam kalangan siswazah dan kesan-kesan pengangguran tersebut. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Pengangguran merupakan salah satu permasalahan sosioekonomi yang terus menghambat negara ini. Setiap tahun, beribu-ribu orang siswazah menamatkan pengajian di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dengan harapan menggunung untuk mendapatkan kerjaya yang setimpal; namun, tidak semuanya bernasib baik. Berdasarkan Statistik Perburuhan dan Sumber Manusia 2008, jumlah pendaftar baharu yang berdaftar dengan Jabatan Tenaga Kerja ialah 174,355 orang iaitu seramai 40,356 orang (23.1 peratus) memiliki ijazah, manakala 35,832 orang (20.6 peratus) merupakan pemegang diploma.
Sikap terlalu memilih kerjaya menyebabkan peningkatan masalah pengangguran dalam kalangan siswazah. Hal ini menjadikan siswazah sanggup menunggu pekerjaan yang eksklusif dan bergaji tinggi. Keadaan ini bertambah buruk apabila siswazah mempunyai interpretasi terlalu tinggi terhadap prasarana kerja seperti kredibiliti syarikat, fleksibiliti waktu bekerja, jarak, infrastruktur dan sistem pengangkutan yang baik. Ada juga sesetengah siswazah yang tidak optimistik dalam memilih bidang kerjaya. Mereka beranggapan demikian kerana kurang yakin dengan kemampuan diri dan kelulusan yang dimilikinya.
Isu pengangguran dalam kalangan siswazah juga dikaitkan dengan sikap majikan yang sangsi terhadap kebolehan siswazah memandangkan mereka tidak mempunyai pengalaman bekerja. Sesetengah majikan melihat pengalaman lebih penting berbanding dengan taraf pendidikan. Majikan sanggup menawarkan kerja yang sepatutnya dilakukan oleh orang yang berpendidikan tinggi kepada orang yang tidak berpendidikan tinggi dengan alasan mengurangkan kos upah. Kebanyakan siswazah tidak mempunyai kemahiran berkomunikasi secara berkesan untuk membolehkan mereka bersaing dalam pasaran kerja yang semakin kompleks dan sengit. Siswazah IPT tempatan sekarang juga tidak mempunyai kekuatan penguasaan bahasa kedua seperti bahasa Inggeris, Mandarin dan sebagainya.
Siswazah baharu sukar diserap ke alam pekerjaan kerana tiada kekosongan jawatan. Hal ini disebabkan terdapat penjawat awam yang melanjutkan pelajaran demi meningkatkan mobiliti sosial. Di samping itu, IPT sering dipersalah oleh sesetengah pihak dan didakwa kurang menawarkan kursus yang dikehendaki oleh pasaran kerja. Maka, tidak hairanlah jika kebanyakan siswazah akhirnya mencuba nasib dalam bidang yang tidak sesuai dengan kelulusan dan kemahiran mereka. Mutakhir ini juga, pembangunan teknologi tinggi mula mengambil alih tugas manusia dalam sektor pengeluaran. Kemasukan pakar asing dari luar negara untuk bekerja di Malaysia memburukkan keadaan lagi.
Siswazah perlu menilai potensi diri sebelum berusaha mendapatkan sesuatu pekerjaan. Masalah pengangguran pasti dapat diatasi jika siswazah menguasai secara teori dan praktikal bidang yang diambil di universiti, melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran dan meningkatkan kualiti diri yang dapat menyakinkan panel temu duga untuk jawatan yang dipohon.
(Dipetik dan diubah suai daripada ‘Dilema Pengangguran Siswazah’
Oleh V. Suresh Kumar, Dewan Masyarakat, Oktober 2009)
(c) Bahagian Pendidikan & Latihan (Menengah) MARA

Jawapan Contoh

Petikan membincangkan sebab-sebab pengangguran berlaku dalam kalangan siswazah di negara ini.

Pengangguran berpunca daripada siswazah bersikap terlalu memilih kerjaya. Siswazah mempunyai interpretasi yang terlalu tinggi terhadap prasarana kerja. Siswazah tidak optimistik dalam memilih bidang kerjaya. Majikan pula sangsi terhadap kebolehan siswazah. Siswazah tidak mempunyai kemahiran berkomunikasi secara berkesan untuk membolehkan mereka bersaing dalam pasaran kerja. Siswazah IPT tempatan tidak menguasai bahasa kedua. IPT kurang menawarkan kursus yang dikehendaki oleh pasaran kerja. Pembangunan teknologi tinggi telah mengambil alih tugas manusia. Kemasukan pakar asing dari luar negara memburukkan keadaan.

Pengangguran siswazah menyebabkan masalah sosial meningkat. Siswazah mula menjadi beban kepada ahli keluarga. Negara pula mengalami pembaziran guna tenaga.

Kesimpulannya, para siswazah perlu melengkapkan diri dengan keterampilan dan kemahiran agar diterima dalam pasaran kerja. (120 patah perkataan)

Isu Untuk Soalan Merumuskan Karangan & Pemahaman Petikan Umum (soalan 2a(iii)

Isu atau aspek berikut boleh disentuh sama ada dalam soalan Merumuskan Karangan atau Pemahaman Petikan Umum (2aiii)

  • langkah-­langkah/kesan pemeliharaan/pemuliharaan alam sekitar
  • cara-cara memupuk semangat perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia
  • manfaat remaja bekerja sambilan
  • usaha-usaha untuk menggalakkan penggunaan barangan buatan Malaysia
  • kelebihan menabung
  • langkah-langkah meningkatkan taraf hidup orang kurang upaya
  • kepentingan industri desa
  • punca-punca kepupusan hidupan liar
  • kesan penggunaan telefon bimbit
  • kebaikan ubat-ubat herba
  • kepentingan pelajar melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum
  • kepentingan/usaha rakyat melengkapkan diri dengan teknologi maklumat
  • kebaikan mengamalkan semangat kesukarelaan
  • usaha-usaha menangani isu jualan makanan ringan di sekolah
  • kelebihan penanaman sayuran berteknologi tinggi
  • kepentingan bioteknologi
  • cara-cara memupuk komunikasi berkesan
    • tindakan untuk meningkatkan tahap keselamatan di sekolah
  • usaha-usaha untuk memartabatkan golongan belia
  • peranan/halangan remaja dalam mengisi kemerdekaan negara
  • langkah-langkah kerajaan meringankan beban rakyat dalam menghadapi kegawatan ekonomi
  • sebab-sebab pelajar wajar menyusun jadual belajar yang efektif/merancang cara belajar yang berkesan
  • langkah-langkah untuk memantapkan penggunaan bahasa Melayu
  • kesan-kesan makanan segera
  • kepentingan pendermaan organ
  • kepentingan menghayati sejarah
  • tindakan menangani kenaikan harga barang
  • sebab-sebab masyarakat tertarik untuk mengunjungi restoran makanan segera
  • strategi- strategi melahirkan pengguna bijak
  • usaha-usaha meningkatkan taraf kesihatan rakyat
  • pengaruh teknologi maklumat dalam kalangan masyarakat
  • langkah remaja mengamalkan cara hidup yang sihat
  • cara-cara menghayati Rukun Negara
  • kaedah mengurangkan banjir kilat
  • teknik-teknik memperoleh kecemerlangan dalam akademik
  • ciri-ciri pekerja cemerlang yang dihasratkan oleh kerajaan
  • kebaikan majlis rumah terbuka
  • kepentingan pemakanan seimbang
  • faedah negara kita memantapkan hubungan dengan negara-negara lain
  • usaha-usaha mengetengahkan karya penulis remaja
  • kaedah ibu bapa berkomunikasi dengan anak-anak remaja DAN PELBAGAI ISU LAGI ..

    Semoga pelajar/calon SPM memperoleh manfaat daripada pemaparan bahan ini, insya-Allah
    (c) shuhaimi sulaiman

07 September 2010

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI - 1 SYAWAL 1431H (10 SEPT 2010)

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI - Maaf Zahir Batin daripada saya dan keluarga di Nibong Tebal, Pulau Pinang buat rakan-rakan guru sama ada dari sekolah kelolaan Kementerian Pelajaran mahupun MRSM dan anak didik saya semua sejak saya bertugas di MRSM Kerteh, Terengganu (1987-1990) , MRSM Balik Pulau, Pulau Pinang (1991-2002) dan MRSM Transkrian, Pulau Pinang (2002-kini) ...semoga Allah merahmati dan memberkati kehidupan kita dunia & akhirat.Kepada calon SPM 2010, didoakan semoga anda semua berjaya dengan cemerlang, Amin..(maaf, ejaan silaturrahim dalam kad , silap- masalah teknikal foto)