1. INFO SOALAN 2b-2d
Petikan untuk soalan 2(b), 2(c) dan 2(d) adalah berdasarkan teks komponen Kesusasteraan Melayu Tingkatan 4 dan 5 iaitu Anak Laut dan Kerusi (yang digunakan sehingga SPM 2010).
Soalan-soalan pemahaman 2b-2d terbahagi kepada 3 aspek berikut iaitu aspek Pemahaman Berdasarkan Konteks @ Petikan (PBP), aspek Pemahaman Kemahiran Berfikir (PKB) dan aspek Pemahaman Komsas (PKOM).
Soalan (PBP) menguji pemahaman pelajar terhadap isi kandungan petikan serta menilai kemampuan calon mencari maklumat yang dikehendaki daripada petikan. Jawapan bagi soalan ini terdapat dalam petikan. Soalan PBP terdapat pada Soalan 2bi, 2ci, 2cii dan 2di.
Soalan (PKB) pula menilai daya penaakulan pelajar memberi pendapat atau idea tentang perkara yang dibincangkan dalam petikan dalam ruang yang lebih luas. Jawapan bagi soalan ini tidak terdapat dalam petikan. Walaupun begitu, petikan yang diberi berfungsi sebagai pencetus idea untuk pelajar berfikir dengan lebih kritis dan kreatif. Soalan PKB terdapat pada Soalan 2bii, 2ciii dan 2dii.
Soalan (PKOM) memerlukan pelajar memahami dan menguasai aspek-aspek kajian sastera yang utama seperti tema, persoalan, pengajaran,latar, perwatakan dan nilai. Jawapan diberikan berdasarkan soalan tentang aspek kajian sastera tertentu yang terdapat dalam petikan dan keseluruhan teks petikan tersebut diambil. Soalan PKOM terdapat pada Soalan 2biii dan 2diii. Tidak ada soalan PKOM pada Soalan 2c (mirip PKOM mungkin ada).
2. KATA TUGAS SOALAN
Terdapat beberapa kata tugas tertentu untuk soalan pemahaman (termasuk Soalan 2a) seperti berikut :
-nyatakan
-sebutkan
-berikan
-kemukakan
-gambarkan
-apakah
(Pelajar memberi jawapan dalam bentuk pernyataan tanpa perlu mengemukakan huraian atau contoh)
-jelaskan
-huraikan
-mengapakah
-bagaimanakah
(Pelajar memberi jawapan dalam bentuk pernyataan dan huraian yang relevan. . Pernyataan dan huraian ditulis secara terpisah)
-pada pendapat anda, nyatakan..
-pada pendapat anda, wajarkah…
-pada pendapat anda, bagaimanakah ...
-mengikut pandangan anda, huraikankan…
-jelaskan pendapat anda…
(Pelajar mengemukakan pendapat mengikut pemikiran sendiri secara matang. Bentuk jawapan adalah berdasarkan kata tugas.)
3. CONTOH SOALAN 2b
(Soalan di bawah adalah merupakan Soalan Pemahaman 2b - Petikan Komsas Kertas 2 Bahasa Melayu Peperiksaan Percubaan SPM MRSM 2009)
Baca petikan drama di bawah dengan teliti kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
SAFIAH : Piah tahu kerana salah Piah suka bertengkar denganmu.
UMAR : Dan kau terlalu cemburu…..
SAFIAH : Kerana kasihku padamu terlalu besar.
UMAR : Ingat apa katamu ketika kita berjalan di tepi Selat Teberau dulu?
SAFIAH : Ingat, tapi tak mahu Piah katakan.
UMAR : Biar aku yang mengatakannya, “Piah cuba mengubah perangai Piah. Piah cuba mengerti.”
SAFIAH : (Manja) Ahh…!
UMAR : Ketika aku berdiri di depan bangunan pejabat pos menelefonmu,kubayangkan
kecantikan Selat Teberau. Kukatakan keinginan untuk berkayuh di atasnya. Dan kau melonjak
kesukaan. Dapat kubayangkan cahaya riang dari matamu.
SAFIAH : Mar….. kenapa kau ulangi peristiwa lama?
UMAR : Supaya kita dapat pengertian baru. Dan peristiwa yang telah dilalui selalu menimbulkan rasa
indah. Ingat kau lagu kita?
SAFIAH : “Serunai Malam” !
UMAR : Ingat peristiwa yang merangkainya?
SAFIAH : Pesta Malam Pelajar.
UMAR : Bermula dari…..
SAFIAH : Kau menyatakan pada Piah “Serunai Malam” lagu kesukaanmu.
(Dipetik daripada drama ‘Serunai Malam’oleh Usman Awang dalam antologi Anak Laut,Dewan Bahasa dan Pustaka)
BING SLAMET- Salah seorang penyanyi lagu 'SERUNAI MALAM'
(i) Apakah kenangan indah antara Umar dan Safiah? [ 2 markah ] PBP
(ii) Pada pendapat anda, bagaimanakah percanggahan pendapat antara pasangan dapat diselesaikan?
[ 3 markah ] PKB
(iii) Huraikan satu perwatakan Safiah daripada petikan dan satu perwatakan lain daripada keseluruhan drama. [ 4 markah ] PKOM
4. PANDUAN ISI
i. Kenangan indah antara Umar dan Safiah...
-berjalan-jalan di tepi Selat Teberau
-lagu Serunai Malam
-pertemuan mereka di Pesta Malam Pelajar
ii Percanggahan pendapat antara pasangan dapat diselesaikan dengan cara...
-bertolak ansur + huraian
-berunding secara baik + huraian
-minta nasihat daripada orang tengah/kaunselor/ibu bapa + huraian
-meningkatkan amalan agama + huraian
-melibatkan diri dalam program/aktiviti yang boleh merapatkan hubungan + huraian
iii Satu perwatakan Safiah dalam petikan
- cemburu : selalu bertengkar dengan Umar
-penyayang : amat kasih akan Umar
-manja : memberi reaksi yang manja apabila Umarmengingatkannya tentang kenangan indah
mereka
Satu perwatakan Safiah dalam keseluruhan cerpen
- pemalas : malas membuat kopi untuk dirinya sendiri
- biadap : kurang menghormati orang tua
- pemarah: suka bertengkar
- sensitif : mempamerkan sikap rajuknya apabila Umar enggan menurut kehendaknya
-degil/egois : tidak mahu mengalah ketika memberi pendapat
5. JAWAPAN CONTOH
i. Kenangan indah antara Umar dan Safiah. adalah ketika mereka berjalan-jalan di tepi Selat Teberau. Lagu Serunai Malam juga menjadi kenangan indah antara mereka. Selain itu, pertemuan mereka di Pesta Malam Pelajar juga merupakan satu kenangan indah.
(dicadangkan agar calon memberi 2 isi atau lebih untuk soalan 2 markah)
ii Percanggahan pendapat antara pasangan dapat diselesaikan dengan cara mengamalkan konsep bertolak ansur.Seseorang itu boleh mengalah dan menerima pendapat pasangannya yang seorang lagi dengan penuh hemah. Selain itu, percanggahan antara pasangan dapat diselesaikan dengan berunding secara baik . Perundingan yang baik akan menghasilkan keputusan yang memuaskan hati semua pihak. Cara seterusnya adalah dengan meminta nasihat daripada orang tengah. Orang tengah seperti kaunselor mampu memberi pendapat yang bernas untuk menyelesaikan perselisihan pendapat. Akhirnya, kedua-dua belah pihak boleh meningkatkan amalan agama. Amalan seperti bersembahyang atau berdoa akan meningkatkan keimanan dengan harapan Allah akan membantu mereka.
(dicadangkan agar calon memberi 3 isi atau lebih untuk soalan 3 markah)
iii.Satu perwatakan Safiah dalam petikan ialah cemburu. Akibat cemburu, Safiah : selalu bertengkar dengan Umar. Selain itu, Safiah juga seorang yang manja. Dalam petikan, Safiah memberi reaksi yang manja apabila Umar mengingatkannya tentang kenangan indah mereka di Selat Teberau.
Satu perwatakan Safiah dalam keseluruhan cerpen ialah sensitif . Safiah mempamerkan sikapnya yang suka merajuk apabila Umar enggan menurut kehendaknya yang ingin melihat Umar menjadi seorang pegawai diplomatik. Sebagai tambahan, Safiah juga seorang yang degil. Dia tidak mahu mengalah ketika memberi dan berselisih pendapat.
6. PERSEDIAAN TEKS SOALAN 2b - CERPEN/DRAMA
Untuk menghadapi SPM 2009, beberapa teks seperti:
Annyys Sophillea (Anak Laut)
Lambaian Malar Hijau (Anak Laut)
Virus Zel Untuk Abah (Kerusi) dan
Serunai Malam (Anak Laut)
perlu diberi fokus yang lebih memandangkan teks-teks ini belum pernah disoal dalam SPM sejak 2001 dengan tidak mengetepikan teks -teks lain.
Calon/pelajar boleh merujuk analisis Kertas 2 Bahasa Melayu SPM sejak November 2001 hingga Jun 2009 sebagai panduan dan persediaan. Sila muat turun pada pautan fail berikut:
http://www.4shared.com/file/120681699/73bd03c8/ANALISIS__SOALAN_KERTAS_2_BM_SPM_NOV_2001-JUN_2009.html
Semoga pelajar/calon SPM memperoleh manfaat daripada pemaparan bahan ini, insya-Allah.
(c) cikgumie