04 November 2011

CEMERLANG BAHASA MELAYU SPM 2011 - SIRI 8

KARANGAN CONTOH 
Bahagian B 


Saolan
 Belakangan ini, isu kenakalan remaja hangat diperkatakan dan membawa petanda yang tidak baik kepada generasi akan datang.  
Huraikan peranan anda sebagai seorang remaja dalam membentuk sahsiah diri yang terpuji.
(Soalan 1 Percubaan SPM 2011 MRSM)



Karangan
Gunakanlah masa yang ada
Dengan sebaiknya
Kuatkanlah tekad di hati
Memajukan diri
Tiada kejayaan yang datang
Tanpa usaha yang gigih
Bersusah-susahlah dahulu
Bersenang kemudian
Jadilah warga yang berguna
Pada keluarga, masyarakat jua negara

Sebahagian daripada lirik lagu ‘Remaja’ persembahan kumpulan nasyid Unic saya petik untuk menggambarkan kemaslahatan peranan remaja pada masa ini. Lagu yang menyuntik semanagat ini menyeru  para remaja agar menggunakan masa dengan sebaiknya dan mempunyai azam yang kuat demi memajukan diri masing-masing . Melalui usaha yang gigih dan tabah tanpa mengenal jemu dalam bidang yang diceburi serta memiliki sahsiah yang terpuji , remaja akan menjadi warga yang berguna kepada keluarga, masyarakat dan nusa. Hal ini demikian kerana menurut Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Ahmad Shabery Cheek,  belakangan ini, remaja begitu terdedah kepada pelbagai bentuk cabaran sama ada dari segi pengaruh media massa, pengaruh atau desakan daripada rakan  sebaya serta ibu bapa dan masyarakat ataupun konflik pergolakan antarabangsa yang semakin hari semakin mendapat liputan meluas di dada-dada akhbar seluruh negara. Pergolakan antarabangsa yang berlaku sedikit sebanyak mempengaruhi akidah remaja kita.  Remaja yang rata-ratanya mempunyai semangat inkuiri atau ingin tahu yang tinggi berserta perlakuan untuk mencuba sedaya upaya sehingga berjaya bak kata pepatah alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan, perlu dipandu dan ditarbiah ke jalan yang benar baik melalui diri sendiri, ibu bapa, guru-guru, masyarakat mahupun kerajaan memandangkan remajalah yang bakal memegang tampuk pemerintahan negara ini lantas mencorakkannya menjadi sebuah negara yang unggul dan terbilang. Negara memerlukan remaja yang mempunyai nilai mandiri dan jati diri yang utuh di samping berdaya saing serta berfikiran kreatif dan inovatif. Namun demikian, amatlah malang kepada negara kita jika remaja yang diharap-harapkan akan sentiasa mendukung panji ‘Pemuda Harapan Bangsa, Pemudi Tiang Negara’ kini dikaitkan dengan isu kenakalan. Perbuatan yang melanggar norma, aturan atau hukum dalam masyarakat yang dilakukan pada usia remaja ini dikatakan membawa petanda yang tidak baik kepada generasi akan datang bak kata pepatah, air perabung mengalir ke cucur atap. Isu ini begitu hampir dengan saya memandangkan saya juga  seorang insan yang bergelar remaja justeru saya mempunyai peranan dalam membentuk sahsiah diri yang terpuji agar memiliki ciri-ciri remaja cemerlang dambaan negara.
 Sebagai seorang remaja, dalam membentuk sahsiah diri yang terpuji, saya akan mendalami ilmu agama dan mencintai Allah. Ilmu agama merupakan ilmu yang mendekatkan diri seseorang kepada Maha Pencipta iaitu Allah swt. Tiada ilmu yang lebih mulia melainkan ilmu agama di dunia ini iaitu ilmu dan pengetahuan Islam yang syumul. Perkara ini boleh dibuktikan melalui pernyataan rasa yang disuarakan oleh ilmuan sains yang terkenal iaitu Albert Einstein  (walaupun beliau tidak beragama Islam) yang menyatakan bahawa agama tanpa ilmu adalah buta , ilmu tanpa agama adalah lumpuh. Jelas dapat dilihat bahawa ilmu dan agama mempunyai hubung kait yang sangat akrab. Seseorang yang mendalami ilmu tetapi tidak berlandaskan atau berpaksikan agama tidak akan merasai nikmat yang telah dikurniakan oleh Allah swt.  Saya akan mendalami ilmu agama dengan membaca dan memahami  Al-Quran,  mengkaji hadis-hadis dan menyelami sirah nabi serta para sahabat. Akhlak Rasulullah yang terpuji dan sempurna yang terkandung dalam Al-Quran dan hadis itu pastinya akan menjadi sumber  primer saya bagi membina pemahaman yang kukuh tentang kemuliaan dan kehebatan memiliki sahsiah yang terpuji. Pembelajaran melalui pembacaan dan penelaahan yang mendalam sebegini mampu memberi input yang berguna seperti memahami nilai  yang perlu dipraktikkan dalam kehidupan sehari-hari . Nilai-nilai seperti ketakwaan, kesabaran, kegigihan, keikhlasan dan bertanggungjawab semuanya memandu diri saya membina peribadi mulia . Pengajaran daripada Al-Quran dan hadis mampu merobah mana-mana perlakuan saya yang sebelum ini yang dianggap bejat atau kurang memuaskan kepada perlakuan yang positif atau terpuji. Jikalau saya tidak memahami kandungan Al-Quran ataupun hadis, saya akan berjumpa dengan ustaz atau ustazah yang mempunyai pengetahuan yang luas berkaitan dengan agama yang suci ini. Saya akan meluangkan masa untuk pergi ke perpustakaan bagi mendalami ilmu agama kerana di perpustakaan, suasananya yang hening mampu menenangkan fikiran dan mendamaikan jiwa. Dengan mendalami ilmu agama, saya yakin saya mampu membentuk sahsiah diri yang terpuji kerana saya akan memperlihatkan kesopanan berbudi bahasa, kemanisan berkata-kata dan kemampuan memberikan buah fikiran dengan penuh tertib serta matang berlandaskan akhlak Nabi Muhammad saw. Jelasnya, saya akan terhalang daripada menjadi penyumbang petanda yang tidak baik kepada generasi akan datang.
             Selain itu, satu lagi modus operandi yang sepatutnya saya lakukan adalah dengan menumpahkan ketaatan sepenuhnya kepada ibu bapa saya. Ibu bapa merupakan dua insan yang paling dekat dengan diri saya kerana sesudah saya dilahirkan di muka bumi ini, saya ditatang bagai minyak yang penuh oleh mereka. Begitu besar pengorbanan ibu bapa terhadap saya bermula dengan ibu yang mengandungkan saya dengan jerih payahnya selama sembilan bulan sepuluh hari ditambah pula dengan jasa bapa yang bertungkus lumus mencari nafkah bagi menyara keluarga. Walaupun cuma untuk sesuap nasi tetapi itulah titik peluh ikhlas yang dilakukan oleh bapa kepada saya. Saya tidak ingin hidup menjadi seperti Si Tanggang atau Si  Malim Kundang yang merupakan anak derhaka terhadap ibunya. Saya akan taat kepada ibu bapa dengan cara mendengar dan menerima nasihat yang diberikan mereka dengan tangan yang terbuka dan hati yang lapang. Jika saya tidak bersetuju sekalipun, saya tidak akan memberontak dan meninggikan suara ketika memberikan pendapat malah saya akan berbincang dengan cara yang paling baik atau bertatasusila bagi menyelesaikan segala permasalahan yang berlaku sesuai dengan peribahasa buang yang keruh ambil yang jernih.  Allah telah memberikan kedudukan tinggi kepada ibu bapa dan menyuruh setiap anak berbuat baik kepada mereka. Perkara ini jelas diterangkan melalui firman Allah dalam Surah Al-Israk ayat 23 yang menyuruh kita berbakti kepada ibu bapa. Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dalam satu wawancara menyatakan bahawa remaja boleh membina peribadi mulia dengan mentaati ibu bapa melalui perbuatan yang baik, melaksanakan hak-hak mereka  dan menjauhkan diri daripada perilaku yang boleh menyakiti hati dan kehidupan mereka. Taat kepada ibu bapa adalah amalan wajib ditunaikan setiap anak. Ketaatan adalah cara paling baik mendekatkan diri kepada Allah kerana taat kepada ibu bapa bererti mentaati perintah-Nya juga. Berbakti kepada ibu bapa membawa berkat. Terdapat hadis Rasulullah saw. yang bermaksud  : “Sesiapa yang ingin dipanjangkan umurnya dan ditambah rezekinya, maka hendaklah dia berbakti kepada ibu bapanya dan menyambung tali silaturahim." Jelaslah bahawa mentaati ibu bapa mampu menjadikan saya individu yang mempunyai sahsiah diri yang terpuji dan terhalang daripada melakukan perkara-perkara yang merosakkan moral.
            Di samping itu, prakarsa ataupun peranan lain yang dapat saya laksanakan adalah dengan menghormati guru-guru. Sepanjang pembelajaran saya hatta sekalipun saya tidak lagi bergelar pelajar, saya akan menghormati guru-guru saya sebagai tanda terima kasih kepada mereka kerana mereka telah bersungguh-sungguh mengajar sehingga saya mampu berdiri dan berpijak di bumi yang nyata menjadi insan yang sebaiknya dan berguna. Guru telah banyak berkorban demi memartabatkan ilmu dan banyak berjasa bermula daripada mereka mengajar kita membaca, menulis dan mengira. Mereka tidak pernah mentertawakan kesalahan yang saya lakukan malah membetulkan setiap satu daripadanya lantas menepati mutiara kata cendekiawan Wellington iaitu, ‘Usah merendahkan diri seseorang kerana tabiat buruknya tetapi bimbinglah ia ke jalan yang lebih baik”. Saya akan menerima dan menjadikan nasihat, bimbingan dan tunjuk ajar daripada guru sebagai insentif dan motivasi untuk saya berjaya menjadi insan berguna yang mampu mendaki menara gading . Bukan sahaja guru ialah ibu, bapa, pengajar, pendidik, pengasuh, penasihat dan pembimbing malahan guru adalah segalanya bagi seorang pelajar. Segala kesusahan yang ditempuhinya dalam mendidik anak-anak muridnya sepatutnya dikenang dan dihargai kerana tanpa jerih payah seorang guru itu, pelajarnya akan menjadi manusia yang tidak berguna di dunia dan akhirat. Dengan ilmulah manusia diangkat menjadi makhluk termulia di sisi Allah swt. sehingga dijadikan sebagai khalifah-Nya di muka bumi. Semua ini tidak akan tercapai kecuali dengan kita menjaga peradaban dan rasa hormat yang ikhlas terhadap penyampai ilmu tersebut iaitu guru, pewaris para nabi. Justeru dengan menghormati guru, saya mencetuskan rasa insaf dalam diri dan bertatih membentuk sahsiah diri yang terpuji.
            Dalam pada itu, saya akan menjalinkan hubungan yang baik dengan rakan-rakan dan taulan. Secara perbandingannya, seorang remaja akan meluangkan masa yang lebih bersama rakan-rakannya berbanding dengan ibu bapa atau saudaranya. Hal ini demikian kerana selain keluarga tercinta yang dekat di hati, rakan merupakan tempat mengadu, mencurah perasaan dan berkongsi masalah. Sehubungan itu, saya akan menjaga atau memelihara hubungan yang baik dengan rakan tidak kira sama ada rakan saya berlainan agama, kaum mahupun warna kulit. Seseorang yang mempunyai sahsiah diri yang terpuji harus seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Saya juga sedaya upaya tidak akan menimbulkan isu sensitif terutama isu agama. Saya akan mengambil iktibar daripada peristiwa 13 Mei 1969 yang telah mengorbankan banyak nyawa yang berpunca daripada rusuhan kaum. Saya akan memberikan pertolongan kepada rakan yang memerlukan bantuan kerana dia merupakan rakan yang baik dan telah membantu ketika saya dalam kesusahan. Dalam kehidupan yang singkat ini, saya perlu berbaik-baik dengan semua orang dan bekerjasama dalam semua bidang kerana yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing. Kita digalakkan mencari teman yang baik dan meramaikannya seperti kata pepatah ‘berkawan biar seribu tetapi musuh jangan sesekali dicari.’ Saya akan menjadi seseorang yang dapat memberi manfaat segi dorongan, nasihat, ilmu dan sebagainya kepada orang lain.  Rakan-rakan juga tidak akan berasa kekok apabila berkawan dengan saya sekiranya saya tidak bersikap bagai buntal kembung. Apabila saya menjalinkan hubungan baik dengan rakan-rakan, masalah kebejatan moral tidak akan ada dalam kamus rutin hidup saya sejajar dengan visi saya untuk menjadi remaja yang mempunyai sahsiah terpuji.
            Peranan saya yang terakhir adalah dengan berusaha bersungguh-sungguh untuk mengelakkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah dan tidak bermoral . Seorang yang ingin mempunyai sahsiah diri yang terpuji tidak bisa melakukan perkara yang negatif yang mampu  keruntuhan akhlak lantas menjatuhkan imej diri sendiri, keluarga, bangsa dan negara. Saya tidak akan mudah terpedaya oleh hasutan syaitan yang membisikkan ‘kata-kata bermadu’ kepada anak Adam agar melakukan dosa. Saya sentiasa awas bahawa syaitan telah berjanji akan menyesatkan umat manusia dek sebab Allah swt. telah mencampakkannya keluar dari syurga kerana tidak mahu sujud kepada Nabi Adam. Kesombongan merajai hati syaitan dengan alasan dia diciptakan daripada api manakala Adam daripada tanah. Kedegilan syaitan kian hari kian diwarisi manusia hingga pelbagai kebejatan moral dan perlakuan hedonisme mewarnai kehidupan menjadikan nilai-nilai nurni jelas nyata dikesampingkan. Saya tidak mahu terjebak dalam kancah yang serba ‘menyesakkan nafas’ dan boleh memusnahkan visi dan misi saya sebagai seorang Muslim yang cemerlang dan memiiki sahsiah yang terpuji. Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Ahmad Shabery Chee pernah menyuarakan pendapat bahawa , “Para belia harus diasuh dan dididik agar memainkan peranan penting dalam mempamerkan akhlak yang baik sesuai dengan imej di mana-mana sahaja pada bila-bila masa”. Akhlak yang baik termasuklah menghindarkan diri daripada pergaulan bebas, mengamalkan gaya hidup sihat, menjaga batas-batas aurat dan menjaga hubungan baik sesama individu di sekeliling kita. ‘First impression’ orang lain terhadap kita amat penting kerana dari situlah orang lain akan dapat menilai diri kita yang sebenar”.
            Kesimpulannya, gagasan dan tugas untuk memupuk, membangunkan dan meningkatkan mutu akhlak dalam  kalangan remaja adalah suatu tanggungjawab besar. Tugas ini tidak dapat dilakukan dengan jayanya kecuali oleh manusia yang berjiwa besar dan mempunyai kualiti kemanusiaan yang tinggi. Saya yakin berlandaskan lima prinsip yang saya pegang di atas, dengan izin Allah, saya dapat membentuk sahsiah diri yang terpuji. Pemupukan sahsiah diri  ini saya yakin akan membentuk saya menjadi seorang yang beriman dan bertakwa, mempunyai iltizam yang tidak berbelah bahagi, mempunyai kerohanian yang amat tinggi serta mewarisi ciri-ciri akhlak perjuangan Rasulullah saw. Mutiara kata ulamak tersohor Hamka akan saya jadikan pedoman dalam meniti kehidupan ini. Katanya, “Aku hairan melihat orang menyisir rambutnya setiap hari, tetapi tidak pernah menyisir otaknya, memperkemas dadanya teapi tidak pernah mencuci hatinya. Digosok kasutnya tetapi tidak akalnya.”  Tidak akan saya lakukan perkara yang sia-sia yang bisa menyesatkan saya daripada landasan yang benar sebaliknya pemurnian hati, pemantapan akhlak, ilmu dan  akidah akan terus menjadi pegangan perjalanan hidup saya. Semoga isu kenakalan remaja akan lenyap agar tidak lagi menebarkan sayap negatif kepada generasi akan datang bak kata peribahasa ‘Sebab nila setitik rosak susu sebelanga’

Oleh:

Siti Zareen Naqiyah Zool Ambia5 Hydrology (2011)
MRSM Transkrian




01 November 2011

CEMERLANG BAHASA MELAYU SPM 2011 - SIRI 7

Untuk SPM 2011 (November), semua teks KOMSAS dalam antologi HARGA REMAJA (HR) & DIRGAHAYU BAHASAKU (DB)  perlu dibaca, dikuasai, difahami dan  dihayati untuk menghasilkan jawapan pemahaman yang  tepat, lengkap, terperinci dan kemas.
                 CERPEN                                                  
                1.             Ibu dan Ceper                                                                         (HR)
                2.             Memori Seorang Tua                                                              (HR)
                3.             Israk                                                                                        (HR)
                4.             Pemain Catur                                                                          (HR)
                5.             Mellisa                                                                                     (HR)
                6.             Biarkan Samudera                                                                  (HR)
                7.             Pahlawan Buntung                                                                 (DB)
                8.             Pungut Alias Zahara Alias Yap Siew Hong                              (DB)
                9              Idola                                                                                        (DB)
                10.           Penanggungan                                                                        (DB)
                11.           Hutan Rimba                                                                           (DB)
                12.           Tanggar Amanat                                                                     (DB)
               DRAMA
                1.             Gelanggang Tuk Wali                                                              (HR)
                2.             Forum Remaja                                                                        (HR) 
                3.             Cempaka Berdarah                                                                (HR)       
                4.             Tiang Cengal Dinding Sayung                                                (DB)
                5.             1400                                                                                        (DB)
                6.             Dato’ Onn                                                                                (DB)
                 PROSA KLASIK
                1.             Pelayaran Yang Penuh Peristiwa                                           (HR)
                2.             Merah Silu                                                                               (HR)       
                3.             Hikayat Indera Nata                                                               (HR)       
                4.             Hikayat Khoja Maimun                                                            (HR)       
                5.             Hikayat Langlang Buana                                                        (DB)
                6.             Hikayat Siak                                                                             (DB)       
                7.             Dua Geliga Hikmat                                                                  (DB)         
                8.             Hikayat Opu Daeng Menambun                                              (DB)
                SAJAK
                1.             Harga Remaja                                                                        (HR)
                2.             Di Perpustakaan                                                                     (HR)
                3.             Mengintai Ruang Insaf                                                            (HR)
                4.             Mahsuri                                                                                   (HR)                                        
                5.             Adat Sezaman                                                                         (HR)
                6.             Tiba Waktunya                                                                        (HR)
                7.             Dirgahayu Bahasaku                                                              (DB)         
                8.             Kecek – (V)                                                                             (DB)
                9.             Bangkitlah                                                                                (DB)
                10.           Pasar Perasaan                                                                      (DB)
                11.           Di Bawah Langit Yang Sama                                                  (DB)
                12.           Arkitek Kota                                                                             (DB)
                PUISI TRADISIONAL
                1.             Pantun Empat Kerat (Budi)                                                     (HR)
                2.             Pantun Empat Kerat (Jenaka dan Sindiran)                            (HR)
                3.             Syair Definisi Orang Berakal                                                   (HR)       
                4.             Syair Siti Sianah                                                                      (HR)
                5              Gurindam 12 Fasal yang Keenam                                           (HR)
                6.             Seloka Emak Si Randang                                                        (HR)
                7.             Pantun Enam Kerat                                                                 (DB)
                8.             Pantun Lapan Kerat                                                                (DB)
                9.             Syair Makna Riak                                                                    (DB)
                10.           Syair Pemberontakan Patani                                                   (DB)
                11.           Gurindam Tonggak Dua Belas                                                (DB)
                12.           Seloka Si Luncai                                                                      (DB)


               (c)  Shuhaimi bin Sulaiman
               

CEMERLANG BAHASA MELAYU SPM 2011 - SIRI 6

ANALISIS SOALAN 4 : NOVEL
(KERTAS 2)
SPM November 2001-Jun 2011
SPM
Soalan 4a   -   7 markah
Soalan 4b   -   8 markah
NOV 2001
Mengulas kewajaran pengarang mengakhiri cerita
Menghuraikan empat persoalan

JUN  2002
Menulis sinopsis novel
Menghuraikan empat nilai murni.
NOV 2002
Menjelaskan tema novel
Menghuraikan latar masyarakat
JUN  2003
Menjelaskan klimaks novel & peristiwa-peristiwa yang membawa kepada kesudahan cerita
Menghuraikan empat latar tempat
NOV 2003
Membuktikan kegigihan sebagai salah satu persoalan dalam novel
Menghuraikan watak utama

JUN  2004
Menghuraikan cabaran-cabaran yang dihadapi watak utama
Menghuraikan empat pengajaran

NOV 2004
Menghuraikan tiga nilai kasih sayang
Menjelaskan cara watak utama menyelesaikan konflik
JUN  2005
Menghuraikan perwatakan satu watak sampingan
Menjelaskan tiga peristiwa yang boleh diteladani
NOV 2005
Menghuraikan dua peristiwa paling menarik dan menyatakan sebabnya.
Membandingkan satu latar tempat (berdasarkan dua novel )

JUN  2006
Menghuraikan dua peristiwa yang menunjukkan pertentangan antara watak dalam sebuah novel
Menjelaskan dua nilai kemasyarakatan  daripada setiap novel (berdasarkan dua buah novel)
NOV 2006
Menghuraikan pengajaran novel
Menjelaskan satu persoalan daripada setiap novel (berdasarkan dua buah novel)
JUN  2007
Menghuraikan dua nilai setia kawan
Menghuraikan tema bagi setiap novel (berdasarkan dua buah novel)
NOV 2007
Menjelaskan dua peristiwa yang
dapat dikaitkan dengan
persoalan maruah.

Menghuraikan cara watak utama setiap novel menyelesaikan satu konflik yang dihadapinya (berdasarkan dua buah novel)
JUN 2008
Membuktikan bahawa pemilihan
tajuk sesebuah novel dapat
dikaitkan dengan isi kandungan
novel.
Memberikan tiga pengajaran yang terdapat dalam setiap novel.
(berdasarkan dua buah novel)
NOV 2008
Menjelaskan dua sebab bahagian
permulaan novel itu menarik
minat
Membandingkan, iaitu dari segi persamaan dan perbezaan, satu latar masyarakat dalam dua buah novel yang dipelajari.
JUN 2009
Menjelaskan dua peristiwa yang
meninggalkan kesan terhadap
perasaan pembaca
Menghuraikan satu latar masa dalam setiap novel. (berdasarkan dua buah novel)
NOV 2009
Menghuraikankan dua contoh yang
dapat membuktikan
bahawa ketabahan watak utama
dalam sesebuah novel
membolehkannya memperoleh
kejayaan.
Menjelaskan satu contoh nilai kasih sayang dalam setiap novel. (berdasarkan dua buah novel)

JUN 2010
Menjelaskan dua peristiwa yang
menunjukkan kepincangan
yang berlaku dalam masyarakat.
Menghuraikan satu latar masyarakat dalam setiap novel. (berdasarkan dua buah novel)
NOV 2010
Menjelaskan sebab-sebab novel
yang dikaji boleh menimbulkan
kesedaran kepada
pembaca.
Menghuraikan satu peristiwa yang memaparkan nilai keberanian dalam setiap novel. (berdasarkan dua buah novel)
JUN 2011
Menceritakan kandungan sebuah
novel yang dikaji secara ringkas..
Menghuraikan dua pengajaran yang diperoleh melalui sebuah novel yang dikaji.
(c) cikgushuhaimi

CEMERLANG BAHASA MELAYU SPM 2011 - SIRI 5

ANALISIS SOALAN 1 : MERUMUSKAN KARANGAN
(KERTAS 2 )
PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2011 NEGERI-NEGERI/SBP/MRSM/YIK

NEGERI
TUGASAN SOALAN 
TEMA / KATA YANG SESUAI UNTUK PENDAHULUAN
JOHOR
peranan ibu bapa dalam mengatasi kemerosotan pencapaian akademik pelajar dan kepentingan pencapaian akademik bagi masa depan pelajar
tanggungjawab /tugas /kewajipan
KEDAH
kepentingan Klinik 1Malaysia dan cabaran dalam pelaksanaannya.
kebaikan /kelebihan /manfaat /faedah
KELANTAN
punca berlakunya tekanan mental dalam kalangan remaja dan langkah-langkah untuk mengatasinya
sebab /faktor
MELAKA
langkah-langkah meningkatkan perkhidmatan pengangkutan awam dan masalah-masalah perkhidmatan pengangkutan awam
 usaha /pendekatan /kaedah  /strategi  /tindakan
NEGRI SEMBILAN
keistimewaan sejarah dalam kehidupan dan langkah-langkah meningkatkan minat murid terhadap mata pelajaran Sejarah.
kelebihan /kepentingan /faedah /kebaikan
PAHANG
usaha-usaha ke arah pelaksanaan Dasar 1Murid 1Sukan dan masalah yang dihadapi dalam pelaksanaan dasar tersebut
langkah /pendekatan /kaedah  /strategi  /tindakan /cara /modus operandi
PERAK
cara-cara mengelakkan individu daripada keracunan makanan dan kepentingan makanan yang bersih kepada keluarga
langkah /pendekatan /kaedah  /strategi  /tindakan /usaha /modus operandi
PERLIS
tanggungjawab remaja sebagai pengguna dan usaha-usaha memupuk kesedaran kepenggunaan  dalam  kalangan  remaja
peranan/ tugas /kewajipan
PULAU PINANG
cara-cara berbelanja secara berhemat oleh golongan muda dan kekangan untuk menggalakkan mereka menabung
langkah /pendekatan /kaedah  /strategi  /tindakan /usaha
SABAH
kebaikan pokok putat dan cara-cara untuk memajukan industri tanaman herba
kelebihan /keistimewaan /faedah/ manfaat /kepentingan
SARAWAK
usaha-usaha untuk menangani masalah tekanan mental dalam kalangan pelajar dan kesan masalah mental kepada pelajar.
tindakan /pendekatan /kaedah /langkah /strategi /cara
SELANGOR
kepentingan bersarapan dan usaha-usaha untuk menggalakkan tabiat bersarapan dalam kalangan masyarkat
faedah /manfaat /kelebihan /kebaikan /keistimewaan
TERENGGANU
langkah-langkah yang telah diambil untuk mencegah pembalakan haram dan kepentingan mengekalkan kawasan hutan
pendekatan /kaedah  /strategi  /tindakan /cara /modus operandi
WP KL
ciri-ciri remaja yang berkualiti dan kesan-kesannya terhadap negara
sifat-sifat /potensi / keupayaan
SBP/SKLUS
kepentingan berekreasi dalam kalangan remaja dan kekangan yang dihadapi bagi melaksanakannya
kebaikan /kelebihan /keperluan /manfaat /faedah
MRSM
kepentingan mempelajari subjek Sejarah dan cara-cara menyuburkan minat pelajar terhadap subjek tersebut
kelebihan /keistimewaan /kemaslahatan /keperluan faedah / manfaat /kebaikan /kesan positif /mustahaknya
YIK
sebab-sebab remaja tidak mahu hidupnya dikongkong dan faedah-faedah jika dikawal oleh ibu bapa mereka
punca /faktor /alasan
(c) cikgushuhaimi