21 Januari 2009

DRAMA BAHASA MELAYU SPM Siri 1

SERUNAI MALAM
karya
USMAN AWANG
(Antologi ANAK LAUT)
Permulaan
- Safiah dan ibunya berada di ruang tamu .
- Safiah berasa gelisah menunggu kedatangan Umar ke rumahnya kerana Umar telah lewat tiba.
Perkembangan
- Umar akan menghadiri majlis konvokesyennya pada hari itu.
- Safiah dan ibunya berbincang tentang ibu dan bapa Umar yang akan datang ke rumah mereka. -Ibu Safiah menyuruh Jah menyediakan makan tengah hari untuk tetamu-tetamunya.
Konflik
- Umar tiba ke rumah Safiah dan memberitahu ibu Safiah tentang sebab kelewatannya, iaitu, dia memilih jubah untuk majlis konvokesyennya.
- Safiah merajuk kerana Umar lewat tiba.
- Umar menjelaskan hasratnya untuk menjadi guru tetapi dibantah oleh Safiah atas alasan-alasan berikut :
- dia mahu Umar bekerja dalam bidang pentadbiran supaya mereka boleh ke luar negara, seperti di Paris atau di London.
- Umar boleh berbahasa Inggeris.
- Umar seorang siswazah . Untuk menjadi guru, Umar tidak perlu mempunyai ijazah.
- Umar tidak bersetuju dengan pendapat Safiah kerana :
- negara kekurangan guru.
- tidak banyak siswazah yang mahu menjadi guru- Ayah Umar, Majid , tiba dari kampung membawa petai, tempoyak dan beras baru.
- Majid menyatakan rasa tidak senangnya melihat Safiah yang berpakaian cara Barat.

Klimaks
- Umar dan Safiah berbalah lagi tentang pekerjaan yang akan diceburi oleh Umar.
- Umar tetap mengambil keputusan untuk menjadi guru kerana :
- pembangunan perlu dijalankan di dlm. negara .
- dia mahu membangunkan masyarakat luar bandar.
- Safiah perlu memahami hasrat dan cita-citanya.
- Safiah menangis dan mempersoalkan haknya sebagai tunang Umar dan dia berhak menentukan kebahagiaan hidup mereka pada masa depan.
Peleraian
- Umar berjaya memujuk Safiah.
- Mereka mengimbau kenangan masa lalu mereka.
- Safiah bersetuju dengan keputusan Umar.

LATIHAN

Umar : (Tenang, tegas) I dah fikir habis-habis, Piah. I suka jadi guru. Kalau boleh duduk di Kementerian Pelajaran pun I tak mahu.
Safiah : (Mengeluh, terdiam seketika, kemudian berkata lagi dengan harapan baru).
Kalau tak mahu masuk MCS, kenapa you tak masuk Foreign Service?
Umar : Foreign Service?. Buat apa?
Safiah : Ha, itulah susahnya kalau fikiran you asyik ke guru sahaja! Nak jadi guru, sampai you tak mahu tempat lain. Father I bilang kalau masuk Foreign Service ada can ke luar negeri. (Memandang Umar, sedikit keanak-anakan) You tak suka ke luar negeri?
Umar : Ini bukan soal suka tak suka ke luar negeri Piah. Kalau jadi guru pun bukan tak mungkin I ke luar negeri.
Safiah : Ke luar negeri sebulan dua melawat-lawat sahaja, buat apa?
Umar : Habis apa maksud you?
Safiah : I mahu duduk di luar negeri, bekerja di luar negeri. (Memandang kejauhan, matanya penuh impian, bangga dan bergaya) Di Paris, di London, di ...
Umar : (Sinis) Di United States, di Hollywood...
Safiah : (Terhenti, menjeling masam pada Umar, terdiam seketika, tapi bersemangat semula) Kalau you bercita-cita hanya nak jadi buru, tak payah masuk universiti pun you boleh jadi guru. Apa susahnya? Tengok, berapa banyak orang yang boleh jadi guru, tak payah pandai cakap Inggeris pun boleh jadi guru.
Umar : (Sedikit kesal) You terlalu memikirkan diri sendiri. I suka jadi guru dan kita pun memang kekurangan guru.
(Dipetik daripada Drama Serunai Malam dalam antologi Anak Laut, Dewan Bahasa
dan Pustaka)

(i) Mengapakah Umar tetap bertegas untuk menjadi seorang guru? [ 3 markah ]
(ii) Pekerjaan guru kini dianggap sebagai satu profesion yang mencabar. Berikan pendapat anda untuk menyokong pernyataan tersebut. [ 3 markah ]
(iii) Huraikan satu perwatakan Umar yang terdapat dalam petikan dan dua perwatakannya yang lain
daripada keseluruhan drama.[ 3 markah ]

PANDUAN ISI

(i)sebab Umar tetap bertegas untuk menjadi seorang guru....
...dia sudah memikirkan soal menjadi guru masak-masak.
...dia memang bercita-cita untuk menjadi guru / suka menjadi guru / sangat berminat menjadi guru.
...dia tidak berminat bertugas sebagai pegawai (walaupun di Kementerian Pelajaran).
...negara kekurangan guru.


(ii)Pekerjaan sebagai guru satu profesion yang mencabar pada hari ini…..
...guru perlu menguasai pelbagai kemahiran.
...guru perlu memenuhi kehendak ibu bapa yang terlalu tinggi.
...guru terpaksa berhadapan dengan masalah disiplin pelajar.
...terpaksa bersaing dengan perkembangan terkini/ kehendak masa kini .
...guru perlu berhati-hati dalam mengambil tindakan terhadap pelajar / menghukum pelajar.
...guru terpaksa memikul tugas menyelesaikan masalah sosial pelajar.


(iii)satu perwatakan Umar dalam petikan
1. tegas-Umar tetap bertegas dengan keputusannya untuk menjadi guru walaupun ditentang oleh Safiah.
2. bersemangat patriotik- membantu negara yang kekurangan guru.

dua perwatakan Umar dalam drama
1. penyayang- Umar tetap menyayangi tunangnya iaitu Safiah walau Safiah selalu menentang pendapatnya.
2. penyabar-Umar bersabar dengan kerenah Safiah yang kuat cemburu.
3. berterus terang-Umar suka berterus terang dengan apa-apa yang diimpikannya.
4. tidak mudah lupa diri-ingin berkhidmat sebagai guru supaya dapat berbakti di kampung halaman.
5. pandai memujuk-Umar berjaya memujuk tunangnya, Safiah yang suka merajuk.

cikgumie

SAJAK BAHASA MELAYU SPM Siri 1

JALAN-JALAN RAYA KOTAKU
oleh
ZAM ISMAIL
(Antologi ANAK LAUT)

MAKSUD SAJAK
Rangkap 1
Setiap waktu jalan raya di kota mengalami kesesakan. Apabila lewat senja dalam keadaan hujan, warga kota yang terperangkap dalam kesesakan jalan raya mula hilang sabar.Mereka berasa resah dan marah kerana terpaksa berada di jalan ketika itu.

Rangkap 2
Akhirnya warga kota sudah tidak boleh bersabar lagi dengan keadaan itu.Sebaliknya timbul perasaan marah dan sombong di hati masing-masing.Hal ini disebabkan kebosanan mereka (pengguna-pengguna jalan raya ) menghadapi kesesakan di jalan raya.

Rangkap 3
Begitulah keadaan dan sikap warga kota ketika di jalan raya.Mereka telah mengetepikan adab sopan.Sebaliknya,mereka mengikut perasaan dengan melanggar peraturan jalan raya dan memandu dengan laju tanpa memikirkan keselamatan orang lain.

Rangkap 4
Penyair menyamakan jalan-jalan raya yang terdapat di kota sebagai medan keganasan dan tempat manusia berlumba-lumba memperlihatkan sikap kurang sopan mereka. Pada penyair, pengguna jalan raya di kota telah hilang perasaan timbang rasa dan nilai-nilai murni mereka.

LATIHAN
JALAN-JALAN RAYA KOTAKU
Saban waktu sepanjang perjalanan
jalan-jalan raya kotaku
lewat senja begini
tika gerimis menabur benih
menerima kehadiran warga kota
lemas dalam kesabaran
lelah meresahkan
dengan luka parah di hati.

Ketidaksabaran membengkak
kesombongan merajai setiap ruang
semakin padat dengan emosi
kebosanan mengigit pangkal rasa.

Demikian etika di perjalanan
budi luhur warga kotaku
tidak lagi berlaku
yang hadir adalah keserakahan
memacu menghimpun kekuatan
menghakis sopan santun
seperti banjir kilat
melanda pinggir perjalanan
fitrah sang manusia
peradaban kota masa kini.

Jalan-jalan raya kotaku
adalah gelanggang kebuasan
perlumbaan kebiadaban
para pesakit
kemanusiaan semakin mandul
pada penghujung musim.
ZAM ISMAIL
(Dalam Antologi Anak Laut, Dewan Bahasa da Pustaka, 2000)

(i) Apakah yang dimaksudkan dengan kebosanan menggigit pangkal rasa? [ 2 markah ]
(ii) Berdasarkan sajak di atas, pada pendapat anda, apakah sifat yang perlu kita hindari
dalam hidup ini?
Mengapakah anda berpendapat demikian? [ 4 markah ]
(iii) Nyatakan nilai-nilai yang terdapat dalam sajak di atas. [ 3 markah ]

PANDUAN ISI
(i) maksud kebosanan menggigit pangkal rasa...
... perasaan jemu mengusai jiwa / kejemuan yang tidak terkawal

(ii) sifat-sifat yang perlu kita hindari dalam hidup ini....
... tidak bertimbang rasa di jalan raya/ sikap biadap - membahayakan diri dan orang lain
... terburu-buru/ganas ketika di jalan raya. - menyebabkan kemalangan
... mementingkan diri sendiri. -mengganggu keselesaan orang lain.
... sombong/ bongkak -tidak disenangi semua orang.

(iii) nilai-nilai dalam sajak....
... kesabaran -ditunjukkan oleh sesetengah pengguna jalan raya di kota walaupun berlaku kesesakan
... bertimbang rasa -ada pengguna yang masih mengambil kira keperluan dan perasaan pengguna jalan raya yang lain
... hormat-menghormati -pengguna mematuhi peraturan dengan hati luhur dan tidak bersikap biadap/tidak menyinggung perasaan pengguna jalan raya yang lain.
... bertanggungjawab -pengguna jalan raya bertanggungjawab mematuhi peraturan jalan raya

cikgumie

20 Januari 2009

CERPEN BAHASA MELAYU SPM Siri 2

ANNYSS SOPHILLEA
oleh
Nisah Hj Haron
(Antologi ANAK LAUT)

PERISTIWA-PERISTIWA PENTING
Annyss, makhluk dari Alstonia yang singgah ke bumi untuk mencari seseorang yang dikasihinya, Eyrique. Setelah beberapa lama mencari, namun tidak bertemu, Annyss mengambil keputusan untuk pulang ke Alstonia, negara asalnya. Keputusan Annyss mengharukan Akmal, namun, dia tidak dapat menghalang pemergian Annyss.

Akmal berada di sisi Annyss dan mengucapkan selamat tinggal kepadanya. Selepaskan mengucapkan beberapa perkataan, kuda Eustary pun muncul. Annyss pergi dengan menaiki kuda putih yang berbentuk Unicorn itu. Annyss menghadiahi Akmal seutas kalung dan meminta Akmal menyimpannya di bawah tilam agar Annyss boleh muncul dalam mimpi Akmal. Akmal mengucapkan selamat hari lahir kepada Annyss.

Annyss menziarahi kubur ibu dan bapanya pada waktu pagi. Dia berjanji akan mencari Eyrique sebelum senja.

Strenn, sepupu Annyss datang mengganggunya. Strenn meminta Annyss mengahwininya supaya Annyss dapat menjadi permaisuri di Alstonia. Annyss membohongi Strenn bahawa dia telah bertemu Eyrique dan berjanji akan membawanya ke istana keesokan harinya. Annyss mengimbas kembali perostiwa kematian ayahanda dan bondanya yang menyebabkan bapa saudaranya memangku jawatan raja kerana Eyrique ketika itu masih kecil.

Annyss menaiki burung Inderawasih ke pinggir Rimba Besar Alstonia.
Akmal muncul bersama-sama Eustary. Dia dan Annyss memasuki sebuah terowong dan mendapati Eyrique dipenjarakan. Akmal mengetahui bahawa Eyrique ialah kembar Annyss.

Annyss menyelamatkan Eyrique dengan bantuan Eustary. Sewaktu mereka mahu keluar dari terowong itu, Strenn muncul. Imbas kembali peristiwa Strenn menculik Eyrique dan menyembunyikannya di dalam terowong itu.
Strenn menyatakan bahawa dia mahu menguasai mahligai Alstonia . Strenn dan Eyrique beradu tenaga. Dalam keadaan cemas itu, Akmal telah menembak Strenn. Akmal berasa letih dan lemah selepas membunuh Strenn. Mengikut kelaziman di Alstonia, seseorang yang melakukan pembunuhan akan mati bersama-sama orang yang dibunuhnya. Annyss dan Eyrique cuba menyelamatkan Akmal dengan kuasa paduan mereka.


cikgumie

CERPEN BAHASA MELAYU SPM SIri 1

VIRUS ZEL UNTUK ABAH
Oleh
MAWAR SHAFIE
(Antologi KERUSI)

PERISTIWA-PERISTIWA PENTING
1 Zel merancang untuk melepaskan Virus Zel ke dalam Program ZQ1308 yang telah dicipta oleh ayahnya melalui komputer.
- Imbas kembali nasihat oleh sahabat baiknya,Win tentang perbuatannya terhadap ayahnya.
- Setiap kejadian ada hikmahnya.
- Zel marah kerana dia yang menderita akibat perceraian ibu dan ayahnya.
- Imbas kembali terntang perbualannya dengan Abah yang menerangkan sebab-sebab Abah terpaksa berpisah dengan Mama seperti Mama sukar dibentuk/ degil, mereka tidak setaraf ,Mama tidak ikhlas mengahwini abah dan Mama hanya simpati terhadap abah

2. Perbualan Zel dengan Mama. Mama menasihati Zel supaya berbaik-baik dengan Abah.Prinsip hidup Mama bahawa wanita boleh hidup berjaya tanpa kaum lelaki di sisi
- Imbas kembali peristiwa Mama menghadiahi Zel sebuah komputer Powerbook pada hari lahirnya yang lalu.
- Imbas kembali pandangan Win tentang Mama yang berjaya dalam perniagaan.
- Win menganggap kejayaan Mama membuatkan Abah berasa rendah diri.
- Zel teringat peribadi Muslimah yang ada pada Mama.

3. Perbualan Zel dengan Mama tentang anak-anak Aunt Syarifah yang dianggapnya tidak matang dan tidak menerimanya dengan baik.
- Mama menasihati Zel supaya sentiasa memperlihatkan peribadi yang baik
sebagaimana asuhannya sehingga Zel dewasa.
Mama menceritakan kisah anak-anak Nabi Adam yang tidak sanggup berkongsi kasih.

4. Perbualan Zel dengan Win melalui komputer. Win menasihati Zel supaya tidak meneruskan niatnya.
- Imbas kembali peristiwa perbalahan Zel dan Abang Awi ketika membeli hadiah untuk Abah.
- Zel begitu marah terhadap Abang Awi apabila Abang Awi tidak mahu menerima cadangan baju yang akan dibeli untuk Abah.

5. Zel menghentikan niatnya untuk menganiayai Abah dengan mematikan Virus Zel bersama matinya dendam dan kemarahannnya terhadap Abah
- Win terus mendesak Zel agar menghentikan niatnya untuk melepaskan virus itu.
- Win mengingatkan Zel tentang perasaan kecewa Mama terhadap perbuatan Zel itu.
Zel memadamkan Virus Zel dari sistem komputernya.

PERSOALAN
Anak-anak yang menjadi mangsa perceraian ibu bapa.
Hal ini dipaparkan melalui watak Zel yang begitu tertekan dan kecewa terhadap Abah yang telah menceraikan ibunya.

Kesilapan memilih jodoh akan membawa kehancuran rumah tangga.
Hal ini dilihat daripada kegagalan abah mempertahankan rumah tangganya bersama Mama kerana perbezaan status antara mereka.

Kegigihan ibu tunggal membesarkan anak.
Mama telah berjaya membesarkan Zel walaupun beliau seorang ibu tunggal.

Kejayaan wanita dalam bidang perniagaan.
Perkara ini juga merupakan persoalan yang terdapat dalam cerpen ini. Persoalan ini dipaparkan melalui watak Mama yang sangat berjaya dalam bidang perniagaan sehingga beliau dikagumi oleh banyak orang.

Seseorang boleh berjaya tanpa mengabaikan aspek keagamaan dalam kehidupan
Persoalan ini dapat dilihat melalui watak Mama yang teguh imannya walaupun beliau menceburkan diri dalam bidang perniagaan yang mencabar.

Penglibatan wanita dalam bidang teknologi maklumat
Mama dan Zel merupakan dua orang wanita yang terlibat secara langsung dengan perkembangan teknologi maklumat di negara ini.

Suami /Ayah yang tidak bertanggungjawab
Persoalan ini ditonjolkan melalui watak abah yang telah mengabaikan mama dan Zel setelah abah menceraikan mama.

Kerenggangan hubungan kekeluargaan antara keluarga tiri
Persoalan ini dapat kita lihat daripada hubungan Zel dengan ibu dan adik-beradik tirinya yang tidak begitu mesra.

NILAI
kasih sayang.
Mama begitu mengambil berat dan amat menyayangi Zel, anak tunggalnya. Hal ini dapat dilihat apabila mama telah membesarkan Zel dengan penuh kasih sayang dan tanggungjwab sehingga Zel menjadi seorang gadis yang berpelajaran dan dididik dengan nilai-nilai murni.

hormat-menghormati
Nilai ini juga dapat dilihat pada Mama yang tidak mendendami Abah dan tetap menghormati kedudukan Abah sebagai ayah Zel dengan membenarkan Zel menemui Abah walaupun abah dan mama telah bercerai.

nasihat-menasihati
Nilai ini jelas terlihat apabila Win sentiasa menasihati Zel agar tidak melepaskan Virus Zel ke dalam program Abah.
kebertanggungjawaban
Nilai ini jelas kita lihat apabila Mama dengan penuh tanggungjawab memberi didikan yang sempurna kepada Zel sehingga Zel berjaya dalam bidang akademik .

kegigihan
Terlihat pada watak Mama yang begitu gigih memajukan perniagaannya sehingga beliau menjadi seorang usahawan wanita yang berjaya.

ketaatan
Nilai ini dapat dilihat pada Mama yang berpegang teguh pada ajaran Islam dengan menutup aurat dan tidak mengabaikan ibadah kepada Tuhan..

ketabahan

Mama tabah bekerja dalam meningkatkan kerjayanya sebagai wanita korporat

rasional

Win meminta Zel berfikir sebelum mengambil tindakan untuk membalas dendam

LATIHAN
Prittt!
Vancall logic keluaran MZ Interscience Co. menjerit di sekitar ruang komputer mama, ruang komputer kami. Tanpa perlu melekapkan gagang ke telinga, aku membalas suara Win yang kembali menyapa.
- Aku tahu kau tidak waras ketika itu,dulu. Tetapi sekarang tidak, Zel. Kau akan ke U.K., bakal siswi undang-undang. Bakal seorang pengamal undang-undang. Seorang yang mengamalkan kebenaran, melenyapkan yang batil. Justeru kau tidak wajar bertindak begini. Itu bukan salah abah kau. Aku... aku tak berani menyalahkan sesiapa. Kau harus ingat kata-kata mamamu, Zel. Mama tersayangmu kata bahawa manusia banyak belajar dan dewasa daripada dan melalui bencana. Cukuplah kau jadikan sebagai pelajaran, bukan satu dendam yang perlu kau balas, apalagi dengan...dengan...
- Ah, kau juga seperti abah yang hanya mudah kata itu, ini! Aku telah katakan, aku yang menelan jadamnya. Aku dan ma yang menelannya. Kami yang merana. Kami! Aku dan ma! .
Aku teramat risi dengan apa yang berlaku. Deras sahaja air suam yang sedia bertakung di tubir mata, luruh. Lebat. Serasa hanya aku dan mama yang terongong. Sementara wajah-wajah lain terpingkal-pingkal. Lebih-lebih wajah Aunt Pah, Abang Awi, Aman dan Arif (atau mungkin abah, jika tidak ada pengecualian). Aku kian kesasar. Aku terus mencari-cari wajah sejuk mama. Mama!
- Zel!
(Dipetik daripada cerpen Virus Zel Untuk Abah oleh Mawar Shafie dalam antologi Kerusi, Dewan Bahasa dan Pustaka,2000]

(i) Mengapakah Win berkata bahawa tindakan Zel adalah tidak wajar? [ 3 markah ]
(ii) Pada pendapat anda, mengapakah ibu tunggal seperti ‘mama’ pada masa kini mampu hidup berdikari?
[ 3 markah ]
(iii) Huraikan satu persoalan yang boleh diambil daripada petikan di atas dan dua persoalan daripada keseluruhan cerpen tersebut.
[ 3 markah ]

cikgumie

16 Januari 2009

PROSA KLASIK BAHASA MELAYU SPM Siri 2

CERITA BAYAN TIADA MENURUT KATA IBU BAPANYA

Peristiwa-Peristiwa Penting
Cerita 1 : Anak bayan berkawan dengan anak cerpelai
Bayan melarang tiga ekor anaknya berkawan dengan anak cerpelai yang tinggal di lubang sebatang pokok. Anak bayan tidak mendengar larangan ibu bapa mereka. Seorang budak lelaki telah menangkap anak cerpelai. Ibu bapa cerpelai berjumpa dengan serigala untuk meminta pandangannya supaya anak-anak bayan juga ditangkap oleh budak lelaki itu. Serigala menyuruh ibu bapa cerpelai agar lari ke arah sarang bayan supaya budak lelaki itu melihat bayan dan menangkapnya. Apabila budak lelaki melihat sarang bayan, ia pun pulang ke rumahnya. Pada waktu malam, ia pergi ke sarang bayan lalu menutup sarang bayan. Bayan mengatur strategi supaya mereka sekeluarga tidak ditangkap oleh budak lelaki itu. Apabila budak lelaki itu datang,bayan-bayan itu berpura-pura mati, kemudian semua bayan itu terbang menyelamatkan diri. Budak lelaki itu menyedari dirinya ditipu lalu mahu menyembelih bayan tua. Bayan tua meminta supaya dirinya dijual kepada raja dengan harga dua ribu dinar. Bayan tua mengatakan bahawa dia boleh mengubati penyakit sopak pada kaki dan tangan raja. Budak itu menjual bayan dengan harga empat ribu dinar. Bayan tua dapat mengubati penyakit raja. Bayan tua meminta kebenaran raja untuk pulang berjumpa dengan keluarganya.
Cerita 2 : Anak kera bersahabat dengan anak saudagar
Ibu bapa anak kera melarangnya bersahabat dengan anak saudagar. Anak kera tidak mengendahkan larangan ibu bapanya. Anak kera bermain catur dengan anak saudagar. Anak kera kalah dalam permainan itu lalu mencampakkan buah catur kepada anak saudagar. Anak saudagar berasa malu lalu mencederakan lengan anak kera dengan sebilah pisau. Anak kera melontarkan pisau itu kepada anak saudagar dan menyebabkan anak saudagar tercedera. Ibu bapa anak kera menasihatinya supaya menjauhkan diri daripada anak saudagar tetapi tidak dihiraukan oleh anak kera. Tabib mengatakan kepada saudagar bahawa luka anaknya akan sembuh jika diubati dengan hati kera. Saudagar membunuh anak kera apabila anak kera datang ke rumahnya dan mengubati luka anaknya dengan hati anak kera itu sehingga sembuh

Cerita 3 : Bayan bercerita kepada Bibi Zainab
Bibi Zainab merupakan isteri kepada Khoja Maimun . Isteri Khoja Maimun ingin bertemu dengan kekasihnya , anak raja, semasa suaminya tiada di rumah. Bayan menceritakan kisah di atas serta kisah seorang zahid dengan pandai kayu, pandai emas dan pandai bertenun yang mengembara ke sebuah negeri.


Latihan
Adalah seekor bayan tiga ekor anaknya, berdiam ia pada suatu lubang kayu. Adapun pada pohon kayu itu ada suatu lubang kayu. Adapun pada pohon kayu itu ada cerpelai beranak anak muda. Sebermula adapun anak bayan itu bersahabat dengan anak cerpelai. Maka kata bayan kepada anaknya, “Jangan apalah, hai anakku, engkau bersahabat dengan anak cerpelai itu, kerana ia binatang yang tiada teguh setianya!”

Beberapa pula dikatakan oleh ibu bapanya, tiada juga diturut oleh anak bayan itu. Maka kata bayan pada anaknya, “Engkau ini adalah seperti hikayat anak kera bersahabat dengan anak saudagar, maka ia beroleh kemaluan dan kejahatan daripada tiada menurut kata bapanya.”
Maka sahut anak bayan itu, “Hai bapaku, hikayatkanlah supaya kudengar, betapa juga peri hikayat kera itu!”
Maka kata bapanya, “Ada seekor kera, konon, bersahabat dengan anak saudagar. Beberapa pun dilarang oleh ibu bapanya, tiada juga didengar oleh kera itu, jadi ia beroleh kejahatan daripada tiada ia menuruti kata bapanya. Maka senantiasa hari anak kera itu pergi bermain-main dengan anak saudagar itu. Maka kata bapanya,“Hai anak-anakku, jangan engkau bersahabat dengan anak saudagar itu, kerana ia manusia, kita binatang!”
(Dipetik daripada Cerita Bayan Tiada Menurut Kata Ibu Bapanya dalam antologi Anak Laut, Dewan Bahasa dan Pustaka)

(i) Apakah yang dimaksudkan dengan tiada teguh setianya ? [ 2 markah ]
(ii) Mengapakah bayan tidak membenarkan anaknya bersahabat dengan anak cerpelai? [ 3 markah ]
(iii) Sekiranya anda anak bayan, apakah tindakan anda apabila mendengar nasihat daripada bapa bayan itu? [ 3 markah ]


Panduan Isi
(i) maksud tiada teguh setianya.....
> tidak berpegang pada janji/ kata /mungkir janji /tidak boleh dipercayai

(ii) sebab bayan tidak membenarkan anaknya bersahabat ...
> meragui kesetiaan anak cerpelai/cerpelai haiwan yang diragui
kesetiaannya/ cerpelai haiwan tidak boleh dipercayai
>bimbang mendapat malu/aib
>bimbang perkara buruk/kejahatan berlaku kepada anaknya
>bayan dan cerpelai berlainan jenis haiwan/spesies

(iii) tindakan sebagai anak bayan setelah mendengar nasihat...
>menyelidik /menyiasat lebih mendalam sebelum bersahabat
>mencari kawan baru selain anak cerpelai
>mendengar /menerima nasihat/pandangan bapa bayan itu
>meneliti kesahihan/kebenaran cerita yang disampaikan
>berkawan dengan spesies yang sama/ bayan sahaja
>menasihati anak cerpelai supaya berkelakuan baik/mempunyai sifat positif/ membawa anak cerpelai berjumpa dengan bapa bayan


cikgumie

PROSA KLASIK BAHASA MELAYU SPM Siri 1

SABOR

Peristiwa-Peristiwa Penting
1. Jibor membawa Sabor ke rumahnya. Setibanya di rumah, Jibor menyuruh Sabor memberi hormat kepada isterinya, Siti Saidah. Siti Saidah juga memberi hormat kepada Sabor.
2. Dalam diam, Siti Saidah telah jatuh hati akan Sabor. Siti Saidah telah berlaku curang dengan seorang jauhari tanpa pengetahuan sesiapa. Namun,jauhari itu dilupakannya setelah dia melihat dan jatuh hati akan Sabor
3. Pada suatu malam, ketika Jibor tidur lena, Siti Saidah pergi menggoda Sabor dan mengajak Sabor melakukan maksiat.
4. Sabor teringat akan nasihat raja Damsyik kepadanya serta ayat al-Quran yang menegah manusia mendekati zina lalu dia menjadi takut akan hukum Allah.

5. Sabor memarahi Siti Saidah akan perbuatannya itu. Dia mengatakan bahawa dia tidak akan mengkhianati saudaranya (abangnya) di samping mengingatkan Siti Saidah akan agama.
6. Siti Saidah berasa amat marah lalu mengugut akan membunuh Sabor yang telah menolak cintanya.
7. Pada waktu Subuh, Sabor bangun lalu menunaikan sembahyang Subuh sambil memohon agar Allah menambah imannya.
8. Siti Saidah memberitahu suaminya, Jibor bahawa Sabor telah cuba berbuat jahat kepadanya ketika dia hendak ke bilik air. Menurutnya lagi, apabila dia hendak menjerit untuk melepaskan diri, Sabor telah mengugut untuk membunuhnya. Siti Saidah memberitahu Jibor bahawa dia lebih sanggup mati daripada menderhakai suaminya dan Allah. Jibor meminta agar Siti Saidah tidak memberitahu sesiapa akan hal itu kerana dia berasa malu akan perbuatan adiknya itu.
9. Jibor memberi sebuah kopiah buatan Rom yang berharga seribu dinar kepada Sabor lalu meminta Sabor memakainya.
10.Jibor memanggil empat orang sipahi (askar India) lalu memberi mereka seratus dinar seorang. Jibor mengarahkan mereka untuk memenggal (membunuh) seorang lelaki memakai kopiah pada waktu Maghrib, iaitu ketika orang bersembahyang di masjid.
11.Sabor pergi ke masjid untuk menunaikan solat Maghrib dengan memakai kopiah yang diberi oleh Jibor. Namun, oleh sebab dia berasa pening, kopiah itu ditanggalkannya dan diletakkannya di atas mihrab.
12.Kopiah itu diambil dan dipakai oleh jauhari, lalu dia menunaikan solat.
13. Empat orang sipahi itu datang ke masjid lalu memenggal kepala jauhari (yang disangka mereka ialah Sabor)

Latihan
Setelah beberapa hari ia duduk di rumah Jibor, maka Siti Saidah pun terlalu sangat berahinya akan Sabor dengan seribu daya menahan berahinya, tiada juga tertahan, makin bernyala-nyala. Maka apabila malam, Siti Saidah pun menyuruh orang menghiasi tempat Sabor tidur di atas geta gading bertatahkan ratna mutu manikam itu. Maka Sabor pun naik tidur di atas geta gading juga dan Jibor pun tidurlah dengan isterinya.
Pada malam itu Siti Saidah pun sangat keluh kesah, tiadalah boleh tidur daripada sangat berahinya akan Sabor, tiadalah cintanya yang lain melainkan Sabor juga siang malam. Maka Siti Saidah itu ada bermukah dengan semata-mata, tiada siapa mengetahui peri perbuatannya Siti Saidah itu bermukah dengan jauhari, siang dan malam tiada berkeputusan perbuatannya itu. Akan Jibor itu pun sekali-kali tiada ia tahu akan perbuatan isterinya dengan jauhari itu.
Setelah ia melihat rupa paras Sabor, akan jauhari pun ia lupalah, melainkan Saborlah pula dikasihi sayangnya yang tersurat di dalam mata hatinya. Setelah datanglah kepada dua puluh hari Sabor duduk di rumah Jibor saudaranya itu, maka Siti Saidah pun bertambah-tambahlah berahinya seperti majnum lakunya, telah tiada tertahan hatinya.
(Dipetik daripada Sabor, Antologi Kerusi, Dewan Bahasa dan Pustaka, 2000 )

(i) Siapakah Siti Saidah? [ 2 markah ]
(ii) Pada pendapat anda mengapakah Siti Saidah begitu berahi akan Sabor
sedangkan dia sudah bersuami? [ 3 markah ]
(ii) Sekiranya anda ialah Sabor dan anda mengetahui niat buruk Siti Saidah, nyatakan tindakan-tindakan anda untuk menghalang niatnya itu terhadap anda. [ 3 markah ]

Panduan Isi

i. Siapa Siti Saidah…..
>isteri Jibor
>isteri yang curang/ menduakan suaminya/ berzina dengan jauhari
>wanita yang mencintai Sabor
>wanita yang kuat nafsu

ii. Sebab Siti Saidah begitu berahi akan Sabor…
>seorang yang tidak dapat mengawal nafsunya
>rupa paras Sabor menyebabkan dia tidak dapat mengawal diri
>suaminya tidak mampu melayani kehendaknya
>suaminya telah lanjut usianya
>Sabor tinggal di rumah itu dalam jangka masa yang lama
>tidak memikirkan dosa kerana pernah menduakan suaminya

iii. Tindakan sebagai Sabor …..
>menasihati Siti Saidah agar bertaubat kepada Allah dan mentaati suaminya
>memberitahu Jibor akan perilaku isterinya bersama-sama dengan saksi yang boleh dipercayai
>meminta Jibor menasihati/ menghukum Siti Saidah atas sifat buruknya itu
>meninggalkan rumah Jibor untuk menyelamatkan diri daripada godaan Siti Saidah
>menjemput guru agama memberi panduan/tunjuk ajar tentang tanggungjawab isteri kepada Siti Saidah dengan kebenaran Jibor

cikgumie


15 Januari 2009

CETUSAN PENDAPAT PELAJAR MRSM TRANSKRIAN Siri 3


RESENSI PANTUN ENAM KERAT DALAM ANTOLOGI 'KERUSI'
oleh
NUR ZULAIKA GHAZALI
RAJMATUL 'AIN JAPILOS
NURUL AIN ZAINUDIN
FATIN WAHIDA FADZIL
MIMI SYAKINA AHMAD
NOOR FARIHAINIE ABD MANAN
MUNA IZZAH AHMAD
SHARIFAH MOHAMMAD
NUR FARHANA MD FAROK
5A (2009)
MRSM Transkrian



Kendatipun kita berada dalam lingkaran taman globalisasi yang sarat dengan kecanggihan teknologi, namun keindahan dan keunikan warisan Melayu perlu kita junjung sampai akhir zaman. Warisan ini merupakan aset ketamadunan yang tidak lapuk dek hujan, tidak lekang dek panas. Justeru, Pantun Enam Kerat yang terdapat dalam antologi Kerusi merupakan contoh terbaik sebagai wahana yang memandu kita menjalani kehidupan harian dengan sempurna lantaran marcapada ini , masyarakat kurang mementingkan adab dan tatasusila hidup. Gejala
sosial kian 'berketiak ular' dengan remaja lebih senang menghabiskan masa melakukan aktiviti-aktiviti yang bersifat 'mencangkul angin'.