14 Januari 2009

CETUSAN PENDAPAT PELAJAR MRSM TRANSKRIAN Siri 2

MEDIA DAN PERKEMBANGAN BUDAYA
oleh
Afiq Alfian bin Mohd Said
5E (2008)
MRSM Transkrian

Media merupakan satu saluran yang mampu menyampaikan maklumat secara berkesan . Jadi budaya memerlukan media untuk disebarkan kepada masyarakat.

Pada zaman tamadun purba seperti Tamadun Mesopotamia, Tamadun Mesir Purba dan Tamadun Indus, masyarakat menyebarkan budaya mereka melalui aktiviti perdagangan yang dijadikan sebagai wahana untuk mengembangkan tamadun mereka ke seantero dunia.Lantaran itu, kita dapat melihat ciri – ciri tamadun Indus seperti agama Buddha dianuti masyarakat serata dunia termasuk Malaysia. Ini menunjukkan media mampu mengembangkan sesuatu budaya itu ke tempat lain.

Begitu juga dengan kegemilangan Kerajaan Islam Abbasiyah. Mereka menjadikan karya – karya Islam sebagai media untuk mengembangkan budaya yang penuh dengan ciri–ciri keislaman . Karya-karya ini telah berjaya membentuk budaya sopan- santun, hormat –menghormati dan sebagainya sekali gus menunjukkan bahawa peranan media dalam mengembangkan budaya amat penting. Bukan itu sahaja,karya-karya ini telah mencetuskan revolusi pembentukan Zaman Renaissance di Eropah.

Semasa Zaman Kesultanan Melayu Melaka pula,terdapat banyak karya terjemahan seperti Hikayat Amir Hamzah yang telah mempengaruhi cara hidup masyarakat Melayu. Budaya tolong menolong,berbudi bahasa, budaya bekerja yang betul dan sebagainya dipupuk melalui karya – karya terjemahan ini . Hal ini menunjukkan bahawa media mampu memupuk dan mengajar masyarakat tentang sesuatu budaya.

Media juga amat penting dalam menyemarakkan semangat patriotisme bagi menentang penjajah . Semangat patriotik ini membentuk budaya cinta akan negara. Contoh media yang dilihat mampu mencetuskan budaya cinta akan negara pada zaman sebelum Perang Dunia Kedua ialah novel , majalah dan akhbar. Noli Me Tangere merupakan karya ciptaan Jose Rizal yang telah berjaya mencetuskan semangat nasionalisme bagi menentang penjajah di Filipina dan karya ini telah berjaya membentuk budaya cinta akan negara.

Bagi menanamkan budaya cinta akan negara dan menentang penjajah di Tanah Melayu,karya Pak Sako seperti Putera Gunung Tahan dan Anak Mat Lela Gila telah berjaya menyedarkan rakyat tempatan untuk menentang penjajah di Tanah Melayu. Pengarang– pengarang lain seperti Harun Aminurrashid , Ahmad Bahtiar, dan sebagainya telah berjaya menanamkan budaya cinta akan negara dalam jiwa rakyat tempatan bagi menentang penjajah. Pada zaman penjajahan British di Tanah Melayu, akhbar–akhbar seperti Warta Malaya, Lembaga Malaya, Majlis dan sebagainya begitu rancak dan bersemangat dalam membangkitkan isu seperti pendidikan, ekonomi dan sosial yang berjaya menyemarakkan semangat menentang penjajah sekaligus membentuk budaya cinta akan negara.

Media massa juga dapat melambangkan identiti sesuatu bangsa.contohnya karya–karya William Shakespeare yang sangat dikenali dunia telah berjaya menonjolkan budaya Inggeris melalui karya seperti Hamlet, King Liar and Macbeth. Kita dapat mengenali budaya Inggeris dengan membaca bait–bait perkataan dalam karya tersebut. Ini menunjukkan bahawa melalui media kita dapat menonjolkan budaya sesuatu bangsa kepada dunia..

Media juga merupakan platform bagi mengajak masyarakat kini supaya mengamalkan sesuatu budaya.Kempen Budi Bahasa telah dilancarkan untuk mengajak masyarakat kini mengamalkan budaya yang bersesuaian dengan kehidupan masyarakat Melayu. Media massalah saluran yang paling tepat untuk menarik minat masyarakat mengamalkan budaya tersebut.

Namun,tidak semua benda di dunia ini sempurna. Media massa juga merupakan platform yang bisa meruntuhkan sesuatu budaya. Dengan pengaruh budaya barat yang kuat serta kelemahan jiwa masyarakat kini terutama masyarakat Melayu, pengaruh–pengaruh negatif dari barat mula meresapi jiwa masyarakat Melayu melalui media. Ini merupakan satu ironi kerana dengan media kita mampu mengembangkan budaya juga dengan media kita boleh meruntuhkan budaya. Kesan kepada budaya masyarakat cukup besar. Kini,budaya hormat-menghormati tidak lagi diamalkan .Ini jelas dapat dilihat melalui peningkatan jenayah rogol di Malaysia. Jikalau budaya hormat- menghormati diterapkan dalam jiwa remaja masa kini,maka kes–kes rogol tidak wujud kerana menurut seorang pensyarah psikologi dari Universiti Malaya, kes rogol berlaku kerana tiada sifat belas kasihan dan hormat – menghormati dalam jiwa mereka menyebabkan mereka hilang kawalan dan nafsu bermaharajalela dalam diri mereka.

Isu suami memukul isteri dan anak–anak sering dipaparkan di rubrik–rubrik akhbar.Perkara ini berlaku kerana ketika si suami dalam lingkungan remaja, beliau sering menonton rancangan –rancangan berunsur ganas tanpa pengawasan ibu bapa dan apabila mereka dewasa dan berkahwin serta berkeluarga, sifat ganas mula menguasai diri dan si isteri dan anak–anak menjadi mangsa keganasan suami.Ini jelas menunjukkan unsur keganasan yang dipaparkan oleh media mampu mempengaruhi jiwa seseorang.

Namun, melalui media juga, kerajaan cuba untuk mengembalikan keindahan budaya Melayu. Pelbagai kempen dan promosi dilancarkan melalui media massa bagi mengajak masyarakat kini supaya bersikap lebih ketimuran dan bertatasusila. Syarikat Media Prima Berhad telah melancarkan program Perkampungan Hadhari bagi menunjukkan cara hidup Islam kepada masyarakat supaya dapat cara hidup mereka yang selama ini dipengaruhi cara hidup barat.Ini menunjukkan media dapat mengembalikan budaya yang selama ini tidak diamalkan oleh masyarakat.

Bukan itu sahaja,media juga bertanggungjawab bagi memaparkan program – program yang dapat mengajak remaja kini mengamalkan budaya membaca. Ingatkah lagi pada tahun 2003 lagu nyanyian gabungan artis Malaysia bersama Tun Dr.Hasmah yang bertajuk Mari Membaca telah Berjaya menarik ramai minat pelajar untuk membaca pelbagai genre buku. Antara bait lagu tersebut iaitu “Awal suruhan ialah membaca,menuntut ilmu disuruh budaya” jelas menunjukkan kepentingan membaca dan media massa berjaya menarik ramai remaja untuk mengamalkan budaya membaca.

Media juga merupakan saluran bagi mengajar masyarakat kini tentang budaya bekerja. Sifat menepati masa,beretika dan sebagainya cuba dipaparkan melalui media supaya masyarakat dapat mengamalkan budaya bekerja secara kolektif. Jika budaya bekerja dapat diamalkan oleh masyarakat,maka produktiviti sesebuah syarikat dapat ditingkatkan dan masalah rasuah dapat dikurangkan sekali gus menunjukkan betapa pentingnya peranan media dalam memupuk sesuatu budaya kepada masyarakat.

Kesimpulannya, budaya merupakan cermin identiti bangsa dan media pula berperanan untuk memupuk dan mengembangkan budaya kepada masyarakat.Maka pembentukan bangsa yang berbudi bahasa dan bersopan santun dapat dilaksanakan sekaligus dapat mengangkat martabat bangsa di mata dunia.

Tiada ulasan: