11 Oktober 2010

ULANG KAJI MENGHADAPI SPM 2010 SIRI 5

KERTAS 2 PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2010 MRSM
Soalan 2c - Pemahaman Prosa Klasik

Baca petikan prosa klasik di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
Sebermula, maka tersebutlah perkataan Saidah datang meniarap di hadapan Jibor seraya menyembah kaki Jibor dengan tangisnya. Maka kata Jibor, “Mengapa maka pekerti tuan hamba demikian ini?”
Maka kata Saidah dengan tangisnya, “sebab pun hamba demikian ini daripada tiada hamba mahu memalingkan muka hamba daripada tuan hamba, yang niat hamba kepada Allah subhanahu wataala kepada siang dan malam hendak mati di bawah kadam tuan hamba juga. Daripada sangat belas hati hamba, maka hamba katakan rahsia ini kepada tuan hamba. Inilah hal saudara tuan hamba yang diharap itu, hamba dapati afalnya itu selama ia diam pada kita di sini. Maka hari pun malamlah sudah, maka pada ketika awal dinihari tuan hamba pun tatkala tidur tiada sedarkan diri, tatkala itu hamba sakit perut hendak qada hajat, maka hamba pun pergi pada tempat buang air seni itu. Setelah sudah hamba buang air seni, maka hamba pun keluar hendak kembali. Maka dipegang oleh Sabor tangan hamba. Maka hamba pun hendak berteriak, maka dihunusnya jambiahnya hendak menikam; daripada hamba takutkan mati, maka hamba pun diamlah. Maka hendak dicabulinya hamba, maka hamba pun tiada mahu pula, daripada hamba takut akan Allah Taala dan takut akan tuan hamba, malulah hamba, baiklah hamba mati dibunuhnya sekalipun, kabullah hamba, daripada derhaka akan tuan hamba.”
(Dipetik daripada‘Sabor’dalam antologi Kerusi,Dewan Bahasa dan Pustaka)
(c) Bahagian Pendidikan & Latihan (Menengah) MARA

(i) Apakah maksud pekerti tuan hamba demikian ini? [2 markah]
(ii) Nyatakan tiga aduan yang disampaikan oleh Saidah kepada Jibor. [3 markah]
(iii) Pada pendapat anda, apakah kesan-kesan yang akan berlaku sekiranya perbuatan memfitnah berleluasa dalam masyarakat? Berikan tiga kesan [3 markah]

Jawapan Contoh
(i) Maksud ‘pekerti tuan hamba demikian’ ialah perlakuan Saidah seperti ini
(Beri maksud rangkai kata berdasarkan petikan)

ii) Saidah membuat aduan kepada Jibor tentang kelakuan Sabor. Saidah mengadu bahawa Sabor telah memegang tangannya ketika dia keluar dari bilik air. Sabor telah menghunuskan jambiahnya dan hendak menikam Saidah disebabkan Saidah ingin menjerit. Saidah mengadu bahawa Sabor ingin mencabulinya. Saidah tidak mahu menurut kehendak Sabor dan mengatakan bahawa dia lebih rela mati daripada curang terhadap Jibor.
(Jawapan diperoleh daripada petikan)
(Kemukakan tiga/empat/lima isi)


(
iii) Sekiranya perbuatan memfitnah berleluasa dalam masyarakat, orang yang tidak

bersalah akan menjadi mangsa perbuatan tersebut. Hubungan antara manusia akan menjadi semakin renggang. Selain itu, suasana saling mempercayai tidak akan wujud lagi.

Sekiranya perbuatan memfitnah berleluasa, keadaan masyarakat akan menjadi kucar-kacir. Usaha memajukan negara menjadi terbantut .Keamanan juga tergugat.
(Jawapan berupa kemahiran berfikir calon)
(Kemukakan tiga/empat/lima isi)

Semoga pelajar/calon SPM memperoleh manfaat daripada pemaparan bahan ini, insya-Allah
(c)shuhaimi sulaiman

Tiada ulasan: