11 Oktober 2010

ULANG KAJI MENGHADAPI SPM 2010 SIRI 6

KERTAS 2 BAHASA MELAYU PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2010 MRSM

Soalan 2d - Pemahaman Sajak
Baca sajak di bawah dengan teliti kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan
menggunaka
ayat anda sendiri.

JALAN-JALAN RAYA KOTAKU
Saban waktu sepanjang perjalanan
jalan-jalan raya kotaku
lewat senja begini
tika gerimis menabur benih
menerima kehadiran warga kota
lemas dalam kesabaran
lelah meresahkan
dengan luka parah di hati.

Ketidaksabaran membengkak
kesombongan merajai setiap ruang
Semakin padat dengan emosi
kebosanan menggigit pangkal rasa.

Demikian etika di perjalanan
budi luhur warga kotaku
tidak lagi berlaku
yang hadir adalah keserakahan
memacu menghimpun kekuatan
menghakis sopan santun
seperti banjir kilat
melanda pinggir perjalanan
fitrah sang manusia
peradaban kota masa kini.

Jalan-jalan raya kotaku
adalah gelanggang kebuasan
perlumbaan kebiadaban
para pesakit
kemanusiaan semakin mandul
pada penghujung musim

Zam Ismail
Antologi Anak laut
Dewan Bahasa dan Pustaka
(c) Bahagian Pendidikan & Latihan (Menengah) MARA

(i) Apakah yang dimaksudkan oleh penyajak dalam rangkap kedua sajak di atas? [3 markah]
(ii) Pada pendapat anda, selain sikap pengguna apakah punca-punca lain berlakunya kesesakan jalan raya?Nyatakan tiga punca tersebut. [3 markah]
(iii) Berikan tiga persoalan yang terdapat dalam sajak tersebut. [3 markah]

Jawapan Contoh
(i)
Dalam rangkap kedua sajak tersebut, penyajak ingin menyatakan bahawa perasaan tidak sabar semakin memuncak dalam diri pengguna jalan raya. Perasaan sombong mulai menguasai diri masing-masing. Penyajak juga menyatakan bahawa setiap tindakan manusia dipenuhi emosi dan mereka mulai bosan dengan situasi yang dihadapi.
(Jawapan diperoleh daripada petikan)
(Kemukakan tiga/empat/lima isi)

(ii)Selain sikap pengguna, kesesakan jalan raya boleh berlaku apabila terjadinya bencana alam seperti banjir kilat atau tanah runtuh. Keadaan jalan raya yang sempit juga boleh menyebabkan kesesakan jalan raya berlaku. Selain itu, kesesakan juga boleh berlaku apabila terdapatnya pertambahan bilangan kenderaan di jalan raya terutama pada musim-musim perayaan ataupun pada waktu kemuncak pengguna jalan raya pergi dan pulang dari bekerja. Kadang kala, pihak polis atau pihak Jabatan Pengangkutan Jalan membuat sekatan jalan raya dan perkara ini turut menjadi punca kesesakan jalan raya berlaku. Kemalangan juga turut mengakibatkan kesesasakan jalan raya.
(Jawapan berupa kemahiran berfikir calon)
(Kemukakan tiga/empat/lima isi)
(Elakkan penggunaan perkataan 'mungkin')

(iii)Persoalan yang terdapat dalam sajak tersebut ialah persoalan tentang permasalahan kesesakan jalan raya. Di kawasan-kawasan tertentu di negara ini, terutama di kawasan-kawasan bandar, masalah kesesakan jalan raya sentiasa dihadapi oleh pengguna jalan raya. Selain itu, terdapat persoalan tentang sikap negatif pengguna jalan raya. Pengguna yang tidak sabar menghadapi kesesakan akan bertindak kasar dan memecut dengan laju sehingga membahayakan pengguna jalan raya yang lain. Persoalan yang lain adalah tentang kepentingan mematuhi peraturan jalan raya. Sikap ini akan menyebabkan pengguna bertoleransi sesama mereka ketika berlaku kesesakan lalu lintas.

Semoga pelajar/calon SPM memperoleh manfaat daripada pemaparan bahan ini, insya-Allah

(c)shuhaimi sulaiman


Tiada ulasan: