Laman Blog Panduan Bahasa Melayu SPM dan Pelbagai Info Tentang MRSM Transkrian. Dikendalikan oleh Cikgu Shuhaimi Sulaiman, Guru Bahasa Melayu MRSM Transkrian, Nibong Tebal, Pulau Pinang
06 November 2010
PEPERIKSAAN PASCAPERCUBAAN SPM 2010 MRSM TRANSKRIAN - BAHASA MELAYU 6 NOVEMBER 2010
25 Oktober 2010
ULANG KAJI MENGHADAPI SPM 2010 SIRI 7

Sebagai persediaan rapi dan lengkap untuk menjawab Soalan Pemahaman 2b, 2c & 2d, SEMUA TEKS sama ada dalam antologi Anak Laut mahupun Kerusi perlu DIBACA,DIFAHAMI & DIKAJI. Namun calon-calon SPM Nov 2010 disarankan agar memberi PERHATIAN & TUMPUAN yang lebih terhadap teks-teks berikut memandangkan teks -teks ini belum disoal (sejak SPM Nov 2001 hingga SPM Jun 2010):
CERPEN
a. Annyys Sophillea (Anak Laut)
b. Lambaian Malar Hijau (Anak Laut)
PROSA KLASIK
a. Sabor (Kerusi)
SAJAK
a. Jalan-Jalan Raya Kotaku (Anak Laut)
b. Duhai Pentafsir (Kerusi)
c. Di Ruang Gemanya (Kerusi)
PUISI TRADISIONAL
a. Seloka Pak Kaduk (Anak Laut)
b. Pantun Enam Kerat (Kerusi)
c. Syair Kelebihan Ilmu (Kerusi)
Selain itu, teks-teks berikut pada hemat saya, juga perlu diberi PERHATIAN & TUMPUAN:
CERPEN
a. Tragedi (Kerusi) SPM Nov 2001
b. Sebutir Pasir Di Kaki (Kerusi) SPM Jun 2002
c. Aku, Kris & Kristal (Kerusi) SPM Jun 2004
DRAMA
a. Jangan Bunuh Rama-Rama (Kerusi) SPM Jun 2006
b. Kerusi (Kerusi) SPM Jun 2009
PROSA KLASIK
a. Cerita Bayan Tiada Menurut Kata Ibu Bapanya (Anak Laut) SPM Nov 2001, SPM Nov 2005
b. Pertarungan Tuah Dengan Jebat (Anak Laut) SPM Jun 2002, SPM Jun 2007
c. Peminangan Puteri Gunung Ledang (Anak Laut) SPM Nov 2008
PUISI TRADISIONAL
a. Syair Jong Pecah (Kerusi) - syair ini agak panjang dan hanya sebahagian yang pernah dipetik untuk disoal dalam SPM Jun 2002
Untuk soalan Novel (4a & 4b) , semua aspek kajian sastera, pemahaman, kemahiran berfikir dan kemahiran mengarang perlu diberi perhatian. Aspek-aspek tersebut perlu dikuasai, difahami dan dihayati oleh calon untuk menghasilkan jawapan yang tepat, lengkap, terperinci dan kemas. Antara perkara yang telah disoal dalam peperiksaan percubaan SPM 2010 negeri baru-baru ini adalah seperti:
- menjelaskan dua peristiwa semangat tolong-menolong dalam masyarakat
- menjelaskan dua contoh nilai tanggungawab
- menghuraikan dua nilai berdikari
- menjelaskan dua peristiwa tindakan watak utama yang wajar diberi pujian
- menghuraikan dua peristiwa yang menimbulkan perasaan tertanya-tanya kepada pembaca
- menjelaskan dua peristiwa yang menyentuh perasaan pembaca
- menjelaskan dua persoalan yang berkait dengan kepimpinan
- menjelaskan dua peristiwa yang menunjukkan nilai keberanian
- menghuraikan cara watak utama menimbulkan kesedaran dalam kalangan pembaca
- menghuraikan bentuk kepincangan masyarakat dalam novel
- menjelaskan pengorbanan yang telah dilakukan oleh satu watak ( 2 novel )
- menghuraikan perbezaan latar masyarakat ( 2 novel )
- menghuraikan satu peristiwa yang menunjukkan usaha watak-watak saling membantu dalam menyelesaikan masalah (2 novel)
- menghuraikan satu perwatakan watak sampingan yang mempunyai kaitan rapat dengan watak utama ( 2 novel)
- menjelaskan dua pengajaran ( 2 novel )
- menghuraikan satu peristiwa kebijaksanaan watak utama menyelesaikan masalah ( 2 novel )
- membandingkan perwatakan satu watak sampingan ( 2 novel )
- menjelaskan perselisihan pendapat yang terdapat antara watak
SEGALANYA MUNGKIN !
SESUATU YANG PASTI , YANG PERLU DILAKUKAN OLEH PARA CALON ADALAH UNTUK MENUNJUKKAN KESUNGGUHAN DALAM MENTELAAH , MELAKUKAN ULANG KAJI & LATIHAN DAN MEMBUAT FOKUS & PENEKANAN TOPIK.
ALLAH BERSAMA DENGAN KITA !
ALLAH YANG MAHA MENENTUKAN!
(c)shuhaimi
22 Oktober 2010
MAJLIS GRADUASI KE-8 MRSM TRANSKRIAN 22 OKTOBER 2010

11 Oktober 2010
ULANG KAJI MENGHADAPI SPM 2010 SIRI 6
Soalan 2d - Pemahaman Sajak
Baca sajak di bawah dengan teliti kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunaka

Saban waktu sepanjang perjalanan
jalan-jalan raya kotaku
lewat senja begini
tika gerimis menabur benih
menerima kehadiran warga kota
lemas dalam kesabaran
lelah meresahkan
dengan luka parah di hati.
Ketidaksabaran membengkak
kesombongan merajai setiap ruang
Semakin padat dengan emosi
kebosanan menggigit pangkal rasa.
Demikian etika di perjalanan
budi luhur warga kotaku
tidak lagi berlaku
yang hadir adalah keserakahan
memacu menghimpun kekuatan
menghakis sopan santun
seperti banjir kilat
melanda pinggir perjalanan
fitrah sang manusia
peradaban kota masa kini.
Jalan-jalan raya kotaku
adalah gelanggang kebuasan
perlumbaan kebiadaban
para pesakit
kemanusiaan semakin mandul
pada penghujung musim
Zam Ismail
Antologi Anak laut
Dewan Bahasa dan Pustaka
(c) Bahagian Pendidikan & Latihan (Menengah) MARA
(i) Apakah yang dimaksudkan oleh penyajak dalam rangkap kedua sajak di atas? [3 markah]
(ii) Pada pendapat anda, selain sikap pengguna apakah punca-punca lain berlakunya kesesakan jalan raya?Nyatakan tiga punca tersebut. [3 markah]
(iii) Berikan tiga persoalan yang terdapat dalam sajak tersebut. [3 markah]
Jawapan Contoh
(i) Dalam rangkap kedua sajak tersebut, penyajak ingin menyatakan bahawa perasaan tidak sabar semakin memuncak dalam diri pengguna jalan raya. Perasaan sombong mulai menguasai diri masing-masing. Penyajak juga menyatakan bahawa setiap tindakan manusia dipenuhi emosi dan mereka mulai bosan dengan situasi yang dihadapi.
(Jawapan diperoleh daripada petikan)
(Kemukakan tiga/empat/lima isi)
(Kemukakan tiga/empat/lima isi)
(Elakkan penggunaan perkataan 'mungkin')
(iii)Persoalan yang terdapat dalam sajak tersebut ialah persoalan tentang permasalahan kesesakan jalan raya. Di kawasan-kawasan tertentu di negara ini, terutama di kawasan-kawasan bandar, masalah kesesakan jalan raya sentiasa dihadapi oleh pengguna jalan raya. Selain itu, terdapat persoalan tentang sikap negatif pengguna jalan raya. Pengguna yang tidak sabar menghadapi kesesakan akan bertindak kasar dan memecut dengan laju sehingga membahayakan pengguna jalan raya yang lain. Persoalan yang lain adalah tentang kepentingan mematuhi peraturan jalan raya. Sikap ini akan menyebabkan pengguna bertoleransi sesama mereka ketika berlaku kesesakan lalu lintas.
Semoga pelajar/calon SPM memperoleh manfaat daripada pemaparan bahan ini, insya-Allah
(c)shuhaimi sulaiman
ULANG KAJI MENGHADAPI SPM 2010 SIRI 5
Soalan 2c - Pemahaman Prosa Klasik

Baca petikan prosa klasik di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
Sebermula, maka tersebutlah perkataan Saidah datang meniarap di hadapan Jibor seraya menyembah kaki Jibor dengan tangisnya. Maka kata Jibor, “Mengapa maka pekerti tuan hamba demikian ini?”
Maka kata Saidah dengan tangisnya, “sebab pun hamba demikian ini daripada tiada hamba mahu memalingkan muka hamba daripada tuan hamba, yang niat hamba kepada Allah subhanahu wataala kepada siang dan malam hendak mati di bawah kadam tuan hamba juga. Daripada sangat belas hati hamba, maka hamba katakan rahsia ini kepada tuan hamba. Inilah hal saudara tuan hamba yang diharap itu, hamba dapati afalnya itu selama ia diam pada kita di sini. Maka hari pun malamlah sudah, maka pada ketika awal dinihari tuan hamba pun tatkala tidur tiada sedarkan diri, tatkala itu hamba sakit perut hendak qada hajat, maka hamba pun pergi pada tempat buang air seni itu. Setelah sudah hamba buang air seni, maka hamba pun keluar hendak kembali. Maka dipegang oleh Sabor tangan hamba. Maka hamba pun hendak berteriak, maka dihunusnya jambiahnya hendak menikam; daripada hamba takutkan mati, maka hamba pun diamlah. Maka hendak dicabulinya hamba, maka hamba pun tiada mahu pula, daripada hamba takut akan Allah Taala dan takut akan tuan hamba, malulah hamba, baiklah hamba mati dibunuhnya sekalipun, kabullah hamba, daripada derhaka akan tuan hamba.”
(Dipetik daripada‘Sabor’dalam antologi Kerusi,Dewan Bahasa dan Pustaka)
(c) Bahagian Pendidikan & Latihan (Menengah) MARA
(i) Apakah maksud pekerti tuan hamba demikian ini? [2 markah]
(ii) Nyatakan tiga aduan yang disampaikan oleh Saidah kepada Jibor. [3 markah]
(iii) Pada pendapat anda, apakah kesan-kesan yang akan berlaku sekiranya perbuatan memfitnah berleluasa dalam masyarakat? Berikan tiga kesan [3 markah]
Jawapan Contoh
(i) Maksud ‘pekerti tuan hamba demikian’ ialah perlakuan Saidah seperti ini
(Beri maksud rangkai kata berdasarkan petikan)
(iii) Sekiranya perbuatan memfitnah berleluasa dalam masyarakat, orang yang tidak
bersalah akan menjadi mangsa perbuatan tersebut. Hubungan antara manusia akan menjadi semakin renggang. Selain itu, suasana saling mempercayai tidak akan wujud lagi.
Sekiranya perbuatan memfitnah berleluasa, keadaan masyarakat akan menjadi kucar-kacir. Usaha memajukan negara menjadi terbantut .Keamanan juga tergugat.
(Jawapan berupa kemahiran berfikir calon)
(Kemukakan tiga/empat/lima isi)
Semoga pelajar/calon SPM memperoleh manfaat daripada pemaparan bahan ini, insya-Allah
(c)shuhaimi sulaiman
07 Oktober 2010
ULANG KAJI MENGHADAPI SPM 2010 SIRI 4
KERTAS 2 PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2010 MRSM
Soalan 2b - Pemahaman Cerpen
Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
Jo agak kagum dengan kepetahan tingkah ucapan anak didiknya itu. “Saya faham perasaanmu itu,” ucap Jo sambil memicit bahu kiri Daneng.
Otaknya ligat berputar mencari jalan untuk berbicara dengan seorang anak remaja yang mempunyai pendiriannya yang tersendiri. Pendirian yang diwarisi daripada nenek moyangnya. Keinginan yang mengalir dalam darahnya. Satu pendirian yang murni, mulia tetapi mungkin merugikan.
(Dipetik daripada‘Lambaian Malar Hijau’,
oleh Saroja Theavy a/p Balakrishnan dalam antologi Anak Laut,
Dewan Bahasa dan Pustaka)
(c) Bahagian Pendidikan & Latihan Menengah MARA
Jawapan Contoh
(i) Daneng menolak pujukan Cikgu Jo kerana perkara terbaik baginya adalah berada di hutan tersebut. Bagi Daneng, di hutan itulah nenek moyangnya hidup dan disemadikan. Jiwanya terikat pada pohon tualang , bukit-bukit dan pohon-pohon di situ. Selain itu, Daneng mendambakan kehidupan di hutan tersebut.
(ii) Jika Daneng enggan menerima nasihat Cikgu Jo, Daneng akan ketinggalan dalam pelajaran. Daneng juga sudah tentu tidak dapat mengembangkan kebolehannya. Selain itu, Daneng juga tidak dapat meneruskan cita-citanya untuk membantu keluarga dan masyarakat Orang Asli. Jika Daneng enggan menerima nasihat Cikgu Jo, hubungannya dengan Cikgu Jo akan menjadi renggang. Daneng akan terus hidup dalam belenggu kemiskinan.
(Jawapan berupa kemahiran berfikir calon)
(Kemukakan tiga/empat/lima isi)
(Elakkan penggunaan perkataan 'mungkin')
(iii)Satu nilai yang terdapat dalam petikan ialah kegigihan. Dalam petikan, Cikgu Jo gigih memujuk Daneng supaya meneruskan pelajarannya.Manakala satu nilai yang diperoleh daripada keseluruhan cerpen adalah mengenang jasa . Daneng sentiasa berterima kasih kepada Cikgu Jo kerana telah mendorongnya untuk berjaya sehingga akhirnya bergelar Datuk Daneng.
(Jawapan perlu mempunyai pernyataan dan huraian)
Semoga pelajar/calon SPM memperoleh manfaat daripada pemaparan bahan ini, insya-Allah
(c)shuhaimi sulaiman