21 April 2009

BAHASA MELAYU - UMUM Siri 8

MENYELAMI PERIBAHASA
sumber: http://abihulwa.blogspot.com/
JIKA TIDAK DIPECAHKAN RUYUNG, MANAKAN MENDAPAT SAGUNYA
Peribahasa ini bermaksud tidak akan tercapai sesuatu hasrat atau cita-cita kalau kita tidak berusaha dan bersusah payah. Ada beberapa peribahasa lain yang membawa maksud yang sama seperti “asyik memangku tangan, mati dalam angan-angan”, “ kurang sisik, tinggal lidi di buku; kurang selidik, tinggal kaji di guru”, dan “ pengayuh sayang dibasahkan, sampan takkan sampai ke seberang”.
Pokok sagu tergolong dalam tanaman daripada keluarga palma yang mengeluarkan sulur. Pokok sagu banyak terdapat di Malaysia dan kawasan hutan hujan Khatulistiwa. Pokok sagu dikenali juga sebagai pokok rumbia. Pokok sagu mempunyai batang yang besar, tegap dan boleh mencapai ketinggian antara 10–12 meter, mempunyai isi yang lembut dan mengandungi kandungan kanji yang tinggi. Pokok sagu juga merupakan sumber makanan asasi bagi kaum peribumi di Sabah dan Sarawak, antaranya suku kaum Bisaya, dan Melanau.Pokok sagu mempunyai banyak pelepah berbentuk pinnate 6-8 meter panjang yang mula-mula tegak kemudian perlahan-lahan melengkung ke bawah. Pokok sagu mengeluarkan jambak bunga yang menghasilkan banyak bunga jenis dwiseks dan kemudian akan mengeluarkan biji-biji sagu. Bunga sagu adalah jenis ‘protandrous’. Bunga jantan akan menjadi matang dahulu daripada bunga betina. Hal ini bagi memastikan pendebungaan kacuk (cross pollination) akan berlaku. Musim berbunga akan mengambil masa dua tahun dan selepas ini pokok rumbia akan mati.
Ruyung ialah kulit atau lapisan kayu yang keras pada batang sagu atau rumbia. Jika seseorang itu mahukan sagu, iaitu pati yang boleh dijadikan makanan di dalam batang rumbia, ruyung yang keras itu perlu dipecahkan. Hal ini dikatakan demikian kerana, tanpa memecahkan ruyung, sagu tidak mungkin akan diperoleh. Untuk mendapatkan sagu itu bukan mudah kerana pengusaha perlu berusaha dengan segala kudrat untuk mengeluarkan isinya.
Peribahasa ini menggambarkan bahawa hasrat atau cita-cita yang ingin dicapai oleh seseorang tidak akan kesampaian tanpa sebarang usaha atau ikhtiar ke arah itu. Hanya dengan perancangan yang rapi, strategi yang berkesan serta kesungguhan yang tinggi yang dimiliki oleh seseorang, barulah cita-cita yang hendak dicapai tidak akan musnah di tengah jalan. Kesungguhan dalam sebarang pekerjaan yang dilakukan sememangnya dituntut oleh agama, sebagaimana hadis nabi yang bermaksud, “sesungguhnya Allah suka apabila seseorang membuat sesuatu perkara itu, mereka melakukannya dengan tekun yakni membaiki dan meningkatkannya“ ( Hadis Riwayat Bihaqi).

Tiada ulasan: