07 April 2009

PENGETAHUAN DAN KEMAHIRAN BAHASA Siri 12

JAWAPAN LATIHAN MENGENAL PASTI KESALAHAN PENGGUNAAN EJAAN DAN KESALAHAN IMBUHAN
Assamualaikum.
Berikut saya paparkan jawaban/jawapan bagi Latihan Mengenal Pasti Kesalahan Penggunaan Ejaan dan Kesalahan Imbuhan yang terdapat dalam siri 7. Jawapan ditulis semula dalam ayat yang lengkap untuk menunjukkan kedudukan kesalahan tersebut dalam ayat yang diuji sebagai panduan kita bersama.

(i) Kerajaan sudah meluluskan undang-undang yang membenarkan pegawai penguat kuasa menahan individu yang berkelakuan tidak bermoral.

(ii) Kenaikan harga barang sentiasa dipantau oleh pihak berkuasa agar tidak membebankan golongan berpendapatan rendah.

(iii) Ketua sindiket pemalsuan kad kredit telah diberkas oleh pihak polis dalam serbuan semalam.

(iv) Wakil Rakyat di kawasan pedalaman itu telah mengesyorkan pembinaan sebuah stesen janakuasa kecil di situ.

(v) Penggunaan e-mel memberikan kemudahan untuk seseorang menyampaikan mesej dalam beberapa saat sahaja.

(vi) Kempen antidadah peringkat kebangsaan yang dilancarkan oleh kerajaan mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat.

(vii) Semasa berada di peringkat prasekolah, kanak-kanak diberikan pendedahan awal tentang alam persekolahan.

(viii) Di samping beriadah, kita perlu mengambil makanan seimbang bagi memastikan kesihatan terjamin.

(ix) Hasil kajian tentang kualiti alam sekitar itu perlu dianalisis sebelum laporan terperinci dibuat.

(x) Malaysia mampu memajukan bidang ekopelancongan kerana kekayaan sumber alam semula jadinya.

(xi) Guru bimbingan itu telah memberikan penerangan yang jelas tentang profesion sebagai pakar bedah.

(xii) Persatuan belia yang baru ditubuhkan itu mengetengahkan moto yang berteraskan perpaduan belia se-Malaysia.

(xiii) Syarikat pemaju perumahan akan membayar ganti rugi kepada pembeli yang rumahnya gagal disiapkan mengikut jadual.

(xiv) Keterampilan berbahasa dalam kalangan penutur jati bahasa Melayu mestilah diperkukuh dari semasa ke semasa.

(xv) Atur cara kejohanan olahraga tahunan yang lengkap dimuatkan dalam buku program.

(xvi) Nawi selalu menasihati kawan-kawannya agar tabah dalam menghadapi cabaran hidup tetapi ketika musibah menimpa dirinya, dia tidak dapat menanggungnya.

(xvii) Kebanyakan pelancong lebih gemar berkunjung ke pulau-pulau yang cantik di persisiran pantai Malaysia.

(xviii) Kerajaan menggalakkan orang ramai menyertai program kemasyarakatan supaya hubungan antara kaum dapat dipererat.

(xix) Ketika mereka mengadakan latihan silat, langkah sumbang anak muridnya itu telah dikenal pasti oleh mahaguru itu.

(xx) Kemajuan dan modenisasi dalam bidang komunikasi telah menghasilkan penciptaan alat perhubungan untuk kemudahan manusia sejagat

(xxi) Majlis itu diadakan semata-mata untuk meraikan golongan orang kurang upaya di dewan besar sekolah kami semalam.

(xxii) Papan tanda sangat penting bagi petunjuk arah untuk memudahkan pengguna jalan raya yang menuju ke destinasi masing-masing.

(xxiii) Lelaki yang memakai baju kebiru-biruan itu tinggal di sebuah apartmen di Pasir Bedamar.

(xxiv) Kebanyakan suri rumah terpedaya oleh pujukan orang yang tidak bertanggungjawab tentang cabutan bertuah di kompleks beli-belah.

(xxv) Pihak Suruhanjaya Pilihan Raya telah menjalankan penyiasatan kes penyelewengan undi di kawasan itu.

(xxvi) Jurujual itu sedang mengetengahkan kaedah penggunaan alat perapi rambut agar pembeli mengetahui selok-belok merapi rambut yang betul.

(xxvii) Usaha membanteras vandalisme perlu dilakukan secara berterusan oleh semua pihak.

(xxviii) Projek pembinaan lebuh raya itu telah tergendala akibat kegawatan ekonomi pada akhir tahun 1990-an lagi.

(xxix) Pelbagai jenis alat tulis dijual dengan harga yang rendah semasa berlangsungnya pameran buku dianjurkan Gabungan Persatuan Penulis Remaja Malaysia di Kangar baru-baru ini.

(xxx) Bekalan elektrik terputus sebaik-baik sahaja rancangan sukan itu hendak disiarkan oleh stesen televisyen itu.

(xxxi) Perhatian serius serta sikap prihatin masyarakat berhubung dengan masalah keruntuhan akhlak mestilah dilakukan agar masalah itu tidak terus merebak.

(xxxii) Kerajaan telah mengekhaskan kawasan peranginan itu untuk para pelawat beristirahat.

(xxxiii) Golongan remaja mungkin mempamerkan tingkah laku yang negatif untuk menunjukkan kepada orang-orang dewasa perasaan tidak puas hati mereka.

(xxxiv) Rakyat Malaysia perlu sedar akan amalan menjaga kebersihan dan kesihatan diri mereka pada setiap masa.

(xxxv) Raduan telah membuat janji temu dengan pegawai bank untuk menyelesaikan kes tanahnya yang dilelong oleh bank.

(xxxvi) Sejak pulang dari seberang laut, Rosli sangat prihatin terhadap anak buahnya, terutama dalam soal pendidikan.

(xxxvii) Rakyat yang berpengetahuan luas dalam bidang teknologi maklumat mempunyai peluang pekerjaan yang luas dalam sektor kerajaan atau swasta.

(xxxviii)Semua rakyat Malaysia sepatutnya menggembleng tenaga dan wang ringgit ke arah pembentukan nilai-nilai murni yang memberi kesan baik kepada masyarakat.

(xxxix) Sejak penswastaan Syarikat Telekom Malaysia Sendirian Berhad, pengurusannya menjadi lebih efisien.

(xl) Encik Borhan menerima pelantikan sebagai pengarah syarikat dan lantikan beliau itu berkuat kuasa pada 1 Mac 2007.

Tiada ulasan: