22 April 2009

PROSA KLASIK BAHASA MELAYU SPM Siri 6

ASAL USUL RAJA KECIL
Laksamana telah menyorokkan Encik Pung semasa dia hendak bersalin. Encik Pung meminta Laksamana melarikan anaknya setelah dia bersalin. Laksamana meminta Raja Negara Selat menyerahkan anak Encik Pung kepada Temenggung Muar untuk dipelihara. Raja Negara pun pergi ke Johor menyerahkan anak Marhum Mangkat Dijulang itu kepada Temenggung Muar, lalu selepas itu, Temenggung membawa anak raja itu berjumpa dengan Laksamana.

Di Johor, setiap hari anak raja bermain-main di makam ayahandanya di Kota Tinggi. Ramai kanak-kanak mengikut perbuatannya tetapi mereka muntah darah apabila makan rumput disebabkan tiada daulat seperti anak raja itu. . Peristiwa yang berlaku telah tersebar dan sampai ke telinga Yang DiPertuan Muda lalu diperintahkan orang untuk mencari anak raja itu. Laksamana berpakat dengan Raja Negara untuk melarikan anak raja itu ke tempat lain. Laksamana meminta sahabatnya, Nakhoda Malim, orang Minangkabau memeliharanya, lalu dibawa ke Jambi, Anak itu telah dinamakan Tuan Bujang.
Tuan Bujang kemudiannya di bawa ke Pagaruyung lalu menghadap Yamtuan Sakti. Yamtuan Sakti dapat mengecam Tuan Bujang dan berasa gembira apabila mengatahui bahawa Tuan Bujang adalah cucunya. Begitu juga dengan Tuan Puteri Jilan yang dapat mengenali Tuan Bujang melalui pandangan matanya dengan mengatakan Tuan Bujanglah anak raja yang akan membalas kematian bapanya. Tuan Bujang pun tinggal di Pagaruyung dan sehari asyik bermain di singgahsana. Apabila dayang-dayang melarang, Puteri Jilan menjelaskan bahawa Tuan Bujang memang waris takhta dan tidak akan terkena sumpahan atau tulah memandangkan dia anak adiknya di Johor. Apabila berumur 13 tahun, Tuan Bujang pergi merantau ke Batanghari untuk menuntut ilmu hinggalah ke Palembang. Di sana Tuan Bujang ingin memperhambakan diri dan taat setia kepada Sultan Lema Abang. Sultan mengambil keputusan untuk memelihara Tuan Bujang namun semenjak Tuan Bujang bekerja sebagai pembawa tepak, badan sultan asyik sakit-sakit sahaja. Hal ini berlaku demikian disebabkan tulah Tuan Bujang.
Petikan ini secara keseluruhan memaparkan usaha-usaha memelihara keselamatan keturunan Marhum Mangkat Dijulang iaitu Tuan Bujang. Kesetiaan para pegawal istana temasuk saudara-mara terhadap Marhum Mangkat Dijulang jelas dapat kita lihat. Walaupun semua pihak yang berkaitan cuba merahsiakan kewujudan Tuan Bujang namun ciri-ciri keturunan raja tetap terserlah dan diketahui orang juga

Tiada ulasan: