04 April 2009

PANDUAN BAHASA MELAYU SPM KERTAS 1 Siri 15

BAHAN UNTUK PENULISAN KARANGAN

PROGRAM KECERIAAN SEKOLAH
Pengenalan
Persekitaran sekolah yang ceria dan bersih memberi keselesaan dan mengambarkan kecintaan serta kerjasama yang tinggi dalam kalangan warga sekolah.
Keceriaan dan kebersihan kawasan sekolah adalah penting bagi meningkatkan mutu pendidikan .Mempunyai iklim sekolah yang ceria, tenang dan selesa penting ke arah tercapainya visi dan misi sekolah serta Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Suasana dan persekitaran sekolah yang bersih, ceria, tenteram amat perlu bagi meningkatkan keselesaan pelajar bagi melahirkan insan yang seimbang dari segi emosi, rohani ,jasmani dan intelek.
Program keceriaan sekolah mempunyai matlamat untuk mewujudkan sebuah sekolah yang mempunyai persekitaran yang bersih, ceria, cantik, dan mempunyai kemudahan yang mencukupi untuk pelajar iaitu selaras dengan visi kebanyakan sekolah iaitu bagi mencapai kegemilangan akademik, kokurikulum dan sahsiah warganya yang berteraskan ilmu, iman dan amal. Objektif Program Keceriaan Sekolah
#Mewujudkan kawasan sekolah yang lebih ceria dan harmonis.
#Meningkatkan kesedaran tentang kepentingan pelbagai kemudahan dan prasarana di kawasan sekolah.
#Memupuk sikap bertanggungjawab pelajar dan seluruh warga sekolah terhadap kewujudan #institusi pendidikan mereka.
#Mewujudkan kerjasama antara warga sekolah.
#Menjadikan kawasan sekolah selesa dan kondusif hingga mendorong sikap dan motivasi positif pembelajaran dalam kalangan pelajar.

Perancangan Strategik Program Keceriaan
#Mengenal pasti kawasan sekolah dan kelas yang perlu diperindah dan diceriakan.
#Memberi tumpuan terhadap taman yang kurang ceria .
#Membahagikan tugas menceriakan kawasan dan taman kepada persatuan dan badan beruniform.
#Menceriakan kawasan persekitaran sekolah dengan menambahkan pokok-pokok hiasan.
#Menyediakan kemudahan kepada pelajar terutama pondok ilmu, tempat istirahat , wakaf diskusi dan laluan pelajar dengan lebih banyak.
#Mewujudkan dana keceriaan sekolah daripada pelbagai pihak.
#Memberi tumpuan kepada kawasan padang yang perlu diceriakan dan meningkatkan kemudahan untuk keselesaan pelajar.
#Meminta nasihat dan bantuan daripada konsultan atau pihak luar yang lain yang berpengalaman bagi meningkatkan keceriaan landskap kawasan sekolah.
#Memberi tumpuan kebersihan kawasan sekolah dengan menanam sikap atau menghayati slogan seperti “Sekolahku Rumahku” , “Cintailah Sekolah Kita” dan sebagainya dalam kalangan warga sekolah.
#Membaiki dan menceriakan kawasan pembuangan sampah , tapak pelupusan dan kawasan pembersihan dengan lebih baik.
#Menambahkan bilangan pokok bunga yang sesuai untuk memperindah kawasan sekolah.
#Menambah kerusi batu di tempat-tempat yang sesuai bagi tempat rehat pelajar.
#Menjaga kesuburan pokok bunga supaya kelihatan segar.
#Mengadakan kempen keceriaan secara berterusan termasuk aktiviti gotong royong membersih kawasan sekolah dalam kalangan warga sekolah seperti kempen sumbangan pokok dalam kalangan warga sekolah,membina papan kenyataan berinformasi di setiap taman, mengecat pasu bunga, tiang larit dan sebagainya di kawasan sekolah, membina arca di kawasan taman,membina menara jam, membina kolam dan air terjun dan membina laluan berbumbung di kawasan taman dan membina taman herba baru.

Keceriaan Bilik Darjah Atau Kelas
#Keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah adalah berkait rapat dengan iklim dan suasana dalam bilik darjah. Untuk mencapai kecemerlangan , sekolah mestilah memastikan bahawa bilik darjah atau kelas sentiasa dalam keadaan yang bersih dan ceria.
#Kebersihan dan keceriaan bilik darjah seharusnya dikekalkan malah dipertingkatkan dari masa ke masa. Untuk mencapai tujuan ini, pertandingan bilik darjah bersih dan ceria amat sesuai diadakan secara berterusan bagi memastikan pelajar sentiasa berada dalam keadaan yang selesa dan seterusnya dapat mengikuti pelajaran dengan baik.
#Suasana pembelajaran yang sentiasa bersih dan ceria hasil daripada kerjasama dan pertandingan yang sihat antara pelajar tentunya akan menghasilkan kecemerlangan dalam akademik dan disiplin pelajar . Ini adalah sejajar dengan Falsafah Pendidikan Negara yang mementingkan penghasilan pelajar yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.
Keceriaan Sekolah Melalui Program 3K
1. Program 3K atau Program Peningkatan Keselamatan, Kebersihan dan Keindahan Alam Sekitar Sekolah telah diadakan selama lebih 18 tahun sejak tahun 1991. Program ini telah memberi impak yang besar terhadap pembangunan pendidikan di sekolah-sekolah di seluruh negara.
2. Sekolah-sekolah lebih ceria dan selamat malah kadar kemalangan di kawasan sekolah juga amat berkurangan.
3. Program ini telah mengubah budaya warga sekolah dan masyarakat setempat kepada budaya yang lebih baik apabila kadar ponteng sekolah menurun, kes vandalisme berkurang dan prestasi akademik meningkat.
4. Kerja berpasukan dalam kalangan warga kerja sekolah dan kepimpinan pengetua telah membuahkan hasil dengan meningkatnya prestasi kecemerlangan pendidikan di sekolah-sekolah berkenaan.
5. Terdapat sekolah yang memberi tumpuan kepada aspek keselamatan sebagai komponen utama Program 3K. Rasional polisi keselamatan diperkenalkan ialah untuk memberi pendedahan kepada warga sekolah mengenai keselamatan fizikal, emosi, sosial dan teknikal.
6. Program ini dapat menjana keinginan pihak sekolah untuk terus meningkatkan kemajuan sekolah kerana melalui 3K, mereka berpeluang menilai kedudukan dan pencapaian sekolah berkenaan.
7. 3K juga memberikan ruang kepada para pelajar untuk berinteraksi sesama mereka melalui kerja-kerja yang dilakukan di luar bilik darjah menyediakan taman dan landskap di kawasan sekitar sekolah.Melaluinya para pelajar dapat mengenal pasti potensi dan keupayaan mereka sebagai pemimpin selain membentuk disiplin diri apabila dilantik mengetuai sesuatu projek.
8. Melalui 3K , pelajar, guru dan guru besar dapat berinteraksi dalam suasana yang lebih mesra sekali gus menjalin hubungan baik antara mereka dan memudahkan pelaksanaan segala urusan berkaitan pendidikan di sekolah itu.

1 ulasan:

dela taufique berkata...

salam cikgu.

saya nak mtk copy gambar2 dlm entry ni boleh? tq

salam