07 April 2009

PANDUAN BAHASA MELAYU SPM KERTAS 1 Siri 22



BAHAN UNTUK PENULISAN KARANGAN

MEDIA MASSA


Dalam kehidupan masyarakat yang sentiasa mengejar arus pembangunan, media massa memainkan peranan yang cukup penting dalam kehidupan dan perencanaan program masyarakat. Kajian yang dijalankan, mendapati bahawa hampir setiap rumah di negara ini memiliki televisyen. Malahan, sejumlah sejuta rakyat negara ini telah menjadi pelanggan Astro, sistem saluran televisyen satelit yang terbesar di negara ini. Kita juga boleh berbangga kerana telah banyak rakyat di negara ini yang memiliki komputer dan berupaya pula mengakses maklumat melalui internet. Namun,di sebalik perkembangan pesat media elektronik itu, jumlah media cetak juga semakin berlambak di pasaran. Justeru, media massa dikatakan mampu mendidik rakyat serta mampu menentukan arah kehidupan masyarakat Malaysia.

Media massa merupakan penyebar saluran maklumat yang utama di Malaysia. Kepentingannya sebagai saluran maklumat yang unggul terbukti dengan wujudnya gerbang jaringan maklumat iaitu Internet yang digunakan dengan meluas kini kerana kebolehannya memberikan maklumat yang cepat dan padat walaupun maklumat itu belum lagi dipastikan kesahihannya. Selain itu, maklumat juga dapat diperoleh melalui cabang-cabang media massa yang lain seperti televisyen, radio, akhbar, majalah dan sebagainya. Bertitik- tolak dari situlah, media massa mampu meningkatkan taraf sosial seseorang individu melalui penerimaan maklumat terkini dan penggunaan peralatan moden dan terkini. Isu-isu serta usaha-usaha kerajaan untuk membangunkan minda dan taraf ekonomi masyarakat disalurkan melalui media massa. Justeru , media massa dapat menentukan arah kehidupan masyarakat ke tahap yang lebih tinggi dan pemodenan negara dapat dilaksanakan.

Media massa juga membantu meningkatkan jumlah cendekiawan di negara ini. Perkara ini dapat dicapai apabila melalui media massa, seperti internet, radio, televisyen dan akhbar, pelbagai maklumat serta pengetahuan dapat diraih oleh pelbagai lapisan masyarakat untuk meningkatkan serta menyuburkan minda mereka. Peningkatan yang mendadak ini telah juga banyak melahirkan golongan profesional seperti doktor pakar bedah, peguam, arkitek dan sebagainya. Dengan wujudnya golongan intelektual ini, ekonomi negara turut sama ditingkatkan melalui idea-idea yang bernas berhubung sesuatu perkara bertuluan untuk memajukan negara. Golongan profesional ini sudah tentunya mendapatkan maklumat daripada media massa untuk memodenkan negara. Oleh sebab itulah, Perdana Menteri Malaysia menyarankan pendedahan penggunaan media massa terhadap setiap lapisan masyarakat dan tidak hanya tertumpu kepada masyarakat bandar sahaja. Hal ini supaya masyarakat luar bandar tidak tercicir daripada arus pemodenan dan seterusnya mendapat maklumat yang sama. Dengan ini, jumlah intelektual di negara ini dapat ditingkatkan dengan pembabitan setiap lapisan masyarakat bandar mahupun luar bandar.

Media massa juga mampu memupuk sikap gemar membaca di kalangan masyarakat. Pemupukan sikap gemar membaca tidak hanya tertumpu kepada golongan pelajar sahaja, malahan penglibatan setiap anggota masyarakat adalah amat digalakkan. Institusi-institusi swasta boleh mengambil langkah yang sama iaitu dengan menyediakan pusat sumber di pejabat-pejabat yang memuatkan akhbar dan majalah untuk dibaca oleh para pekerja pada waktu rehat mereka . Dengan usaha ini, kita berharap agar minat membaca dapat ditanam di kalangan pekerja dan di samping itu, masa tidak terbuang begitu sahaja. Dengan ini, penggunaan media massa sebagai satu cara memupuk minat membaca tidak dapat dinafikan lagi.

Media massa penting kepada anggota masyarakat hari ini dalam mendapaikan pekerjaan, maklumat dan sebagainya. Kes jenayah juga dikatakan meningkat dari tahun ke tahun. Menurut perangkaan yang dibuat oleh kerajaan Malaysia, kes jenayah kebanyakannya melibatkan golongan remaja berusia 21 tahun ke bawah. Tentu sekali remaja ini tidak mendapat pendidikan secukupnya daripada ibu bapa mahupun guru di sekolah. Melalui penggunaan media massa, para remaja ini sudah tentunya tidak akan membazirkan masa mereka dengan bergaul dengan golongan yang akan merosakkan mereka. Beberapa tahun lalu, negara dikejutkan dengan berita penculikan di Pulau Sipandan yang melibatkan 21 orang tebusan. Kerajaan mengambil langkah agar setiap pulau berhampiran sempadan Filipina diawasi dan setiap anggota masyarakat di Sabah dapat mengambil langkah berjaga-jaga untuk menjamin keselamatan. Hal ini menunjukkan kepentingan media massa dalam mengurangkan kadar jenayah di negara ini. Usaha ini juga dapat menaikkan taraf ekonomi negara dan seterusnya memajukan negara melalui pemintaan terhadap komputer yang semakin meningkat dari hari ke hari. Oleh yang demikian, media massa juga memberi faedah kepada institusi serta badan kerajaan mahupun swasta yang terlibat dalam bidang tersebut.

Justeru , penggunaan media massa telah sedikit sebanyak mendidik rakyat ke arah kehidupan yang lebih baik dan selesa. Melaluinya, masyarakat yang berdaya fikir tinggi sejajar dengan wawasan Malaysia dapat dibentuk dan arus pemodenan negara dapat dijalankan dengan jayanya tanpa sebarang halangan yang mampu menggugat kestabilan ekonomi dan politik negara.

Tiada ulasan: