06 Oktober 2009

ULANG KAJI MENGHADAPI SPM 2009 SIRI 4 - LATIHAN PEMAHAMAN PETIKAN KOMSAS - SOALAN 2c

Siri 4 memaparkan soalan pemahaman 2c iaitu pemahaman berdasarkan petikan komsas- prosa klasik
(Soalan di bawah adalah merupakan Soalan Pemahaman Petikan Komsas Kertas 2 Bahasa Melayu Peperiksaan Percubaan SPM MRSM 2009):

Baca petikan prosa klasik di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Maka Hang Jebat pun memekis, katanya, “Cih! Si Jebat dengan Si Tuah hulubalang raja Melaka tiada berguna! Jika Si Jebat dengan Si Tuah gerangan dititahkan raja Melaka menyerang negeri orang, aku dua orang itu pun alah.” Maka kata Laksamana, “Sungguh seperti katamu itu; pada hatiku pun demikianlah. Sayang engkau berdosa. Jika lain daripada dosa ini, tiada engkau mati, barang tipunya dayaku pun kuperlepaskan juga engkau dari mati.” Maka Hang Jebat pun menangis mendengar kata Laksamana demikian itu. Maka Laksamana pun menangis kasihan hatinya akan Hang Jebat. Maka kata Hang Jebat, “Aku pun kerana melihat engkau dibunuh oleh Bendahara tiada dengan dosanya; sebab itulah maka sakit hatiku. Akan istimewa aku pula orang permainan tiada akan dibunuhnya, kerana raja itu membunuh tiada dengan periksanya. Pada bicara hatiku, sedang engkau banyak kebaktianmu dan jasamu lagi dibunuhnya oleh raja, istimewa aku pula. Sebab pun kuperbuat demikian ini, sepala-pala nama jahat jangan kepalang, seperti pantun Melayu, rosak bawang ditimpa jambaknya; maka sempurnalah nama derhaka dan nama jahat”. Maka kata Laksamana, “Sungguhnya seperti katamu itu, tetapi akan kita diperhamba raja ini hendaklah pada barang sesuatu pekerjaan itu bicarakan sangat-sangat, seperti kata orang tua-tua: Baik mati dengan nama yang baik, jangan hidup dengan nama jahat, supaya masuk syurga jemah.”

(Dipetik daripada ‛Pertarungan Tuah Dengan Jebat’, Hikayat Hang Tuah
dalam antologi Anak Laut, Dewan Bahasa dan Pustaka)

(i) Berikan maksud rangkai kata kuperlepaskan juga engkau dari mati. [ 2 markah ] PBP
(ii) Mengapakah Hang Jebat menderhaka kepada raja? [ 3 markah ]
PBP
(iii) Sekiranya anda salah seorang sahabat Hang Tuah atau Hang Jebat, apakah tindakan anda
untuk meleraikan perbalahan mereka? [ 3 markah ] PBP

Panduan isi dan jawapan contoh latihan ini akan disiarkan dalam siri yang lain.
Insya-Allah

Untuk menghadapi SPM 2009, beberapa teks seperti:
Cerita Bayan Tiada Menurut Kata Ibu Bapanya (Anak Laut)
Pertarungan Tuah Dengan Jebat(Anak Laut)
Asal Usul Raja Kecil(Kerusi)
dan
Kisah Kepahlawanan Tun Beraim Bapa (Kerusi)
perlu diberi fokus yang lebih memandangkan teks-teks ini agak lama tidak disoal dalam SPM dengan tidak mengetepikan teks -teks lain.

Sabor (Kerusi)? Entahla..rasanya tidak menjadi pilihan ...

Calon/pelajar boleh merujuk analisis Kertas 2 Bahasa Melayu SPM sejak November 2001 hingga Jun 2009 sebagai panduan dan persediaan. Sila muat turun pada pautan fail berikut:
http://www.4shared.com/file/120681699/73bd03c8/ANALISIS__SOALAN_KERTAS_2_BM_SPM_NOV_2001-JUN_2009.html
Semoga pelajar/calon SPM memperoleh manfaat daripada pemaparan bahan ini, insya-Allah.
(c)cikgumie

Tiada ulasan: