23 Oktober 2009

TEKS BARU UNTUK KOMSAS BAHASA MELAYU

KARYA pengarang veteran, berjenama, bergelar selain muda dipilih Kementerian Pelajaran sebagai teks Komponen Sastera (Komsas) dalam subjek Bahasa Melayu untuk pelajar Tingkatan 1 dan 4 pada sesi persekolahan 2010. Hanya teks membabitkan genre karya klasik, puisi, cerpen dan drama yang sudah diterbitkan, manakala novel pula dalam proses dipermudah untuk membolehkan pelajar mudah memahami karya terbabit.
Teks Komsas Tingkatan 1 yang sudah diedarkan di sekolah ialah Kasut Kelopak Jantung dan turut memuatkan cerpen Kasut Kelopak Jantung karya Ghazali Lateh dan Yuran (Omar Mamat), manakala drama pula, Arah Ke Mana (Datuk Johan Jaaffar) dan Surat Untuk Ina (Amiruddin Mohd Ali.
Harga Remaja dipilih sebagai teks Komsas bagi Tingkatan 4 dengan cerpen di dalamnya didominasi sasterawan dan pengarang mapan, iaitu Sasterawan Negara (SN), Prof Emeritus Datuk Dr Shahnon Ahmad melalui Ibu dan Ceper serta SN Abdullah Hussain (Melissa).Teks itu turut mengandungi cerpen Penerima Anugerah Penulisan Sea 1996, Zaharah Nawawi, Pemain Catur dan penulis veteran, Zahari Affandi (Memori Seorang Tua), selain Erda Roslan Khairi (Israk) serta Raihanah Salleh (Biarkan Samudera).
Hanya sebuah novel dijadikan teks Komsas untuk setiap tingkatan mengikut pecahan zon iaitu utara, tengah, selatan dan pantai timur, sekali gus menjadikan hanya empat novelis berpeluang melihat karya mereka dipilih sebagai teks. Antara novel yang dipilih sebagai teks Komsas ialah Renyah karya Dr Gunawan Mahmood yang diterbitkan pada 1994; Melunas Rindu karya Hartini Hamzah (1999) dan Azfa Hanani oleh Halis Azhan Mohd Hanafiah (1995). Teks baru untuk Komsas hanya akan dipelajari pelajar Tingkatan 2 dan Tingkatan 5 pada 2011 dan Tingkatan 3 (2012), manakala buku teks Tingkatan 1 dan Tingkatan 4 hanya dijual di pasaran pada tahun depan, ekoran buku teks diberi percuma kepada pelajar, tetapi perlu dikembalikan pada akhir tahun.
Pemilihan teks Komsas bagi sekolah menengah yang disemak semula bagi menggantikan teks lama yang digunakan sejak 10 tahun lalu ( mulai 2000), ditumpukan pada novel popular dan teks yang mendapat sambutan pelajar dalam usaha menarik minat mereka membaca dan menghargai sastera.

Tiada ulasan: