09 Oktober 2009

ULANG KAJI MENGHADAPI SPM 2009 SIRI 7 - SOALAN 4 KERTAS 2 - NOVEL

Siri 7 memaparkan ulasan tentang soalan 4 - Novel dalam Kertas 2 Bahasa Melayu . Perbincangan akan berdasarkan artikel Cg Haji Abdul Samat Buang, sahabat saya dari SMK Klebang Besar, Melaka dalam sisipan majalah Fokus SPM keluaran Oktober 2009 Untuk memperoleh markah cemerlang dalam Soalan 4 pelajar-pelajar hendaklah memastikan bahawa:
a. anda mengetahui bahawa jumlah soalan bahagian ini ialah 2 soalan dengan jumlah markahnya 15 markah.
b. anda menguasai aspek kajian novel, aspek kemahiran berfikir, aspek mengemukakan hujah dan aspek mengarang.
c. anda mengemukakan jawapan yang menepati kehendak soalan
d. anda mengemukakan jawapan yang lengkap bagi setiap soalan .
e. anda mengemukakan jawapan dalam bentuk esei dan bukannya berbentuk poin. Poin- poin yang diberi dalam panduan ini merupakan panduan untuk anda merangka jawapan yang lengkap. Jawapan dalam bentuk poin diberi 0 markah.
f. anda mengemukakan jawapan sekitar 100-250 patah perkataan bagi setiap soalan.
g. setiap jawapan perlu ada pernyataan, yang kemudiannya dihuraikan selengkapnya berserta contoh yang konkrit daripada novel yang dikaji
h. jawapan yang dikemukakan bebas daripada sebarang kesalahan tatabahasa. Bahasa amat dititikberatkan seperti dalam Karangan ( Kertas 1 ).
i. anda telah membaca sepenuhnya dua buah novel yang dipelajari mengikut zon masing- masing.
j. anda mengemukakan pendapat dengan matang dan bernas.
k. masa lebih kurang 15-20 minit diperuntukkan untuk menjawab soalan bahagian ini.


Untuk menghadapi SPM 2009, menurut Cikgu Haji Abdul Samat, antara penekanan yang harus diberikan pada soalan genre novel sama ada peringkat soalan umum mahupun aspek KOMSAS termasuklah:
(a) peristiwa yang membawa kejutan kepada pembaca
(b) peristiwa yang menimbulkan tanda tanya kepada pembaca
(c) bahagian cerita yang memperlihatkan peristiwa yang terdahulu semula (imbas kembali)
(d) peristiwa yang menimbulkan cabaran kepada watak sampingan
(e) peristiwa yang menekankan nilai-nilai kemanusiaan (seperti tanggungjawab, keberanian, ketabahan, kebijaksanaan, dan lain-lain lagi)
(f) peristiwa yang menggambarkan kepincangan masyarakat dalam novel (latar masyarakat yang bersifat negatif)
(g) peristiwa yang berkait dengan pelbagai persoalan (seperti persoalan semangat kerjasama, persoalan tanggungjawab, persoalan kasih sayang, dan sebagainya).
(h) perbandingan watak utama atau kelebihan watak utama
(i) perbandingan watak utama dengan watak sampingan
(j) perbandingan antara watak sampingan
(k) perbandingan klimaks dalam novel dan
(l) perbandingan kesudahan cerita dalam novel.
Semoga pelajar/calon SPM memperoleh manfaat daripada pemaparan bahan ini, insya-Allah.
(c)cikgumie

Tiada ulasan: