SAMA ada Nik Nur Madihah Nik Mohd Kamal atau Mohamad Aizuddin Mohd Yaakub, mahupun pasangan kembar Rohamina-Rohaisha Jamil, masing-masing nampaknya menggunakan resipi serupa iaitu dengan mengingati dan mendekatkan diri kepada Allah SWT sebelum dan sesudah mengulang kaji pelajaran sehingga akhirnya muncul pelajar cemerlang terbilang.
Pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2008, Nik Nur Madihah muncul pelajar cemerlang peringkat nasional apabila memperoleh 20A termasuk 1A2, mengatasi rekod cemerlang Siti Fatimah Mokhtar yang mendapat 18A termasuk 1A2 pada 2006, dari sekolah yang sama, Maahad Muhamadi (Perempuan) di Kota Bharu, Kelantan.
Mohamad Aizuddin pula memperoleh 1A dalam semua 13 subjek yang diambilnya dan antara pelajar terbaik SPM 2008 Negeri Sembilan. Pasangan kembar Jamil yang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) King George V, Seremban mendapat 11 1A merangkumi subjek sains , matematik dan sains sosial.
Lain halnya dengan Zamri Amir yang juga mendapat 11 1A dan muncul antara pelajar terbaik Sekolah Alam Shah Putrajaya. Walaupun berasal daripada keluarga susah seperti keluarga Nik Nur Madihah, pengurusan masa yang cekap dan seimbang menjadi faktor penting di sebalik kecemerlangannya itu, lantaran dia juga aktif dalam Pasukan Orkestra SSAS. Allah SWT berfirman dalam Surah Surah at-Tiin (Ayat 4-6): Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya).
"Kemudian (jika dia panjang umur sehingga tua atau menyalahgunakan kelengkapan itu), Kami kembalikan dia kepada serendah-rendah peringkat orang-orang yang rendah, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal salih, maka mereka beroleh pahala yang tidak putus-putus".
Persis kata Nik Nur Madihah, anak jati kampung nelayan, Kampung Parang Puting, dekat Pantai Sabak itu: "Saya mengulang kaji awal pagi tiap-tiap hari selepas solat tahajud dan sesudah membaca al-Quran".
Kembar, Rohamina dan Rohaisha berkata: "Kami selalu membaca al-Quran, selain kerap melakukan solat hajat agar dipermudah kami mengikuti pelajaran dan mendapat kejacemerlang." Bagi Mohammad Aizuddin, pendekatan diri kepada Allah SWT penting sebab mengingati-Nya dengan melakukan suruhan-Nya dan menjauhi larangan-Nya menjadikan jiwa sentiasa tenang dan mudah memahami pelajaran.
Pelajar cemerlang SPM 2008 itu adalah pilihan Allah SWT daripada 6,277 calon cemerlang lain, menepati maksud Surah ar-Ra'd (Ayat 26): "Allah memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Ia juga menyempitkannya. Dan mereka (yang ingkar): bergembira dengan kehidupan dunia, sedangkan kehidupan dunia itu tidak lain daripada kesenangan yang kecil dan tidak kekal, berbanding dengan kesenangan hari akhirat." Sebagai manusia pilihan dengan sebaik-baik kejadian bersama penganugerahan akal yang pintar, mereka tidak pernah melupai Allah SWT dengan melakukan suruhan ibadat-Nya demi tuntutan ukhrawi dan duniawi.
Otak mereka sama juga seperti binaan otak pelajar, malah manusia lain, seumpama dua hemisfera. Satu sebelah kanan sementara yang satu lagi kiri.
Kedua-duanya berkongsi pemikiran dan kawalan tubuh badan. Bagi kebanyakan orang, hemisfera otak kanan lebih kreatif manakala sebelah kiri lebih kepada logik.
Yang lebih kreatif melahirkan insan berfikiran sains sosial sementara yang lebih logik berfikir secara saintifik dan matematik.
Otak pelajar cemerlang itu nampaknya seimbang hemisfera kanan dan kiri yang bergabung dan melahirkan kepintaran subjek sains sosial serta sains tulen.
Manusia dianugerahi akal untuk berusaha dan berfikir mengejar kejayaan duniawi dan ukhrawi seperti janji Ilahi asalkan kita sentiasa mengingati dan mendekati-Nya. Resipi mereka sepatutnya jadi ikutan calon SPM tahun ini untuk meraih kecemerlangan lebih terbilang.
DR ILLIAS ZAIDI,
Akademi Buku Malaysia,
Kuala Lumpur.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan