16 Mac 2009

NOVEL BAHASA MELAYU SPM Siri 4

Jawab soalan di bawah. Jawapan anda hendaklah berdasarkan novel-novel berikut:

(i) Terminal Tiga karya Othman Puteh
(ii) Perlumbaan Kedua karya Marwilis Hj. Yusuf
(iii) Di Hadapan Pulau karya A. Samad Said
(iv) Bukit Kepong karya Ismail Johari
(v) Konserto Terakhir karya Abdullah Hussain
(vi) Seteguh Karang karya Tuan Faridah Syed Abdullah
(vii) Julia karya Abu Hassan Morad
(viii) Putera Gunung Tahan karya Ishak Hj. Muhammad


4(a) Permulaan sesebuah novel memainkan peranan penting untuk menarik minat pembaca terhadap novel tersebut.
Berdasarkan sebuah novel yang anda pelajari huraikan dua peristiwa yang terdapat pada bahagian permulaan novel tersebut. [ 7 markah ]


4(b) Berdasarkan dua buah novel yang anda pelajari, huraikan satu nilai kebijaksanaan yang terdapat dalam setiap novel tersebut. [ 8 markah ]


CONTOH JAWAPAN (untuk pelajar yang memilih novel Perlumbaan Kedua sebagai jawapan 4a)

4(a) Novel yang saya kaji ialah Perlumbaan Kedua karya Marwilis Haji Yusuf.
Terdapat dua peristiwa yang boleh dihuraikan untuk menggambarkan bahagian permulaan novel ini. Peristiwa yang pertama ialah peristiwa Sang Arnab menunjukkan ketangkasannya di padang rumput. Sang Arnab Putih sedang melompat-lompat dan berhambur di dalam hutan. Arnab berlari ke sana sini mempamerkan kelincahannya Kebetulan tindak-tinduk Sang Arnab Putih itu diperhatikan oleh Sang Kancil. Sang Kancil berasa tidak senang hati terhadap tingkah laku Sang Arnab itu. Pada tanggapan Sang Kancil, perbuatan Sang Arnab Putih itu hanya akan merosakkan keindahan hutan dan Sang Arnab sengaja ingin menunjukkan ketangkasan dan kecergasannya kepada penghuni belantara yang lain.
Peristiwa kedua ialah peristiwa Sang Kancil mencabar Sang Arnab Putih untuk berlumba dengan Tuk Kura. Sang Kancil cuba mempersendakan kekalahan nenek moyang Sang Arnab Putih di tangan Sang Kura-kura dan mencabarnya untuk mengadakan perlumbaan kedua dengan Sang Kura-kura demi menebus maruah kaum Sang Arnab Putih di dalam hutan. Demi menebus maruah bangsanya, Sang Arnab bersetuju dengan perlumbaan kedua tersebut tetapi Sang Kancil harus memikul tanggungjawab untuk mengatur perlumbaan tersebut. Sekiranya Sang Kura-kura tidak bersetuju untuk berlumba, Sang Kancil akan menjadi penggantinya untuk berlumba dengan Sang Arnab Putih. Sang Arnab Putih mengenakan tiga syarat iaitu pertama perlumbaan kedua adalah perlumbaan yang muktamad, kedua, perlumbaan boleh diadakan di mana-mana sahaja kecuali kawasan berair, kuala, atau paya, dan syarat ketiga, cara berlumba adalah bebas. Perlumbaan mesti disaksikan oleh semua penghuni rimba. Sekiranya, kura-kura enggan menerima cabaran itu, maka Sang Kura-kura perlu mengaku kalah di hadapan semua penghuni hutan dan Sang Kancil menjadi penggantinya.







38
CONTOH JAWAPAN (untuk pelajar yang memilih novel Julia sebagai jawapan 4a)

4(a) Novel yang saya kaji ialah Julia karya Abu Hassan Morad.
Terdapat dua peristiwa yang boleh dihuraikan untuk menggambarkan bahagian permulaan novel ini. Peristiwa yang pertama ialah peristiwa pemergian Julia dengan ibunya ke Australia. Selepas tamat persekolahan, Julia mengalami perubahan pada sifat peribadinya seperti menjadi liar, bergaul bebas, berjiwa kasar, dan terpengaruh oleh anasir-anasir negatif. Oleh sebab bimbang akan sebarang kemungkinan buruk yang boleh menjejaskan masa depan Julia. Datuk Bakar dan Datin Maznah membuat keputusan untuk menghantar Julia ke Perth, Australia untuk mendalami ilmu agama dan perniagaan di Hidayah Islamic College. Datin Maznah telah memujuk Julia yang berasa berat hati untuk meninggalkan tanah air dan rakan-rakannya. Pemergian Julia ke Perth, Australia ditemani oleh Datin Maznah dan menumpang di rumah bapa saudaranya, Pak Cik Khairil dan Mak Cik Nadia.
Peristiwa kedua ialah peristiwa perkenalan Julia dengan Jun. Di dalam pesawat Boeing 747, Julia sempat berkenalan dengan Jun, seorang pemuda Cina. Semasa dia hendak ke tandas, Julia terlanggar Jun dan mereka saling berkenalan. Selepas perkenalan tersebut, Jun sering hadir dalam hidup Julia untuk memberikan nasihat, bantuan, dorongan dan tunjuk ajar kepada Julia dan mereka menjalinkan hubungan yang rapat.



4(b) Dua buah novel yang saya kaji ialah Perlumbaan Kedua karya Marwilis Haji Yusuf dan Julia karya
Abu Hassan Morad.
Dalam novel Perlumbaan Kedua, nilai kebijaksanaan yang dapat dilihat ialah kebijaksanaan dalam membuat perancangan. Tuk Kura bijak merancang untuk menghadapi perlumbaan tersebut. Tuk Kura meminta Sang kancil mengatur perjumpaan di kawasan padang rumput dan dihadiri oleh semua makluk rimba dan Sang Arnab perlu menyebut syarat-syarat perlumbaan di hadapan binatang lain. Selain itu, Tuk Kura telah meminta Kura-kura berleher jinjang dengan kura-kura bintik untuk bergaduh di hadapan binatang lain untuk mengelirukan sang arnab. Tuk kura juga bijak memilih tempat perlumbaan iaitu lereng bukit yang penuh dengan batu dan pemilihan ini dipersetujui oleh sang arnab tanpa sebarang bantahan.
Nilai kebijaksanaan yang lain dalam novel Perlumbaan Kedua ialah kebijaksanaan memilih teknik perlumbaan. Tuk kura berlumba dengan cara bergerak, menghambur, bergolek dan melantun dari batu ke batu sehingga sampai ke garisan penamat. Kebijaksanaan Tuk Kura menggunakan teknik melantun tersebut telah membolehkan Tuk Kura memenangi perlumbaan tersebut.
Manakala dalam novel Julia, nilai kebijaksanaan yang dapat dilihat ialah kebijaksanaan dalam menangani emosi diri. Julia bijak menguruskan dirinya dengan reda menerima kematian ibu bapanya dan mengambil alih tugas ibu bapanya sebagai ketua keluarga. Julia juga bijak menghadapi Rashid selepas kembali dari Australia, Julia tidak mudah terpengaruh oleh ajakan Rashid ke arah negatif
Nilai kebijaksanaan yang lain dalam novel Julia ialah kebijaksanaan dalam menyelesaikan masalah syarikat. Julia dengan bijak menyelesaikan masalah yang ditimbulkan oleh En. Baharom yang melakukan penyelewengan dalam syarikat BMPRO Transport dan cuba menjual syarikat tersebut. Julia juga bijak menyelesaikan masalah syarikat yang hampir gulung tikar dengan mengadakan program ‘homestay’ atau inapan desa kerjasama dengan Syarikat keluarga Jun (Syarikat Cinta Sejati Travel & Tours) di Felda Guar Napai, Kedah.

Tiada ulasan: