Tikar pucuk, tikar mengkuang,
Alas nikah raja Melayu;
Ikan busuk jangan dibuang,
Buat perencah si daun kayu.
Buah bacang masak serangkai,
Burung dekut meniti batang;
Saya dagang tidak terpakai,
Macam melukut di tepi gantang.
Tebang gelam, tebang kenanga,
Batangnya tumbang menimpa gedung;
Kumbang mengidam nak seri bunga,
Bunga kembang di puncak gunung.
Pokok terap tumbuh di bukit;
Belat berbanjar panjang ke hulu;
Jangan diharap guruh di langit,
Kilat memancar hujan tak lalu.
Limau Bentan di tepi tingkap,
Budak-budak melempar burung;
Harimau di hutan lagi kutangkap,
Kononlah pulak cicak mengkarung.
Puisi Melayu Tradisi. 1985
Fajar Bakti Sdn. Bhd.
Tema
kiasan atau sindiran terhadap tingkah laku manusia.
- Manusia suka bertindak tanpa pertimbangan yang wajar.
- Manusia suka bertindak tanpa memikirkan kesan-kesan
- Manusia suka betindak tanpa mengambil kira kemampuan
Rangkap 1
Maksud
sesuatu benda yang buruk atau rosak tidak seharusnya dibuang begitu sahaja kerana kemungkinan benda itu masih boleh digunakan untuk keperluan lain.
Persoalan
sindiran terhadap perbuatan membazir
Nilai
berjimat-cermat
kesederhanaan
Pengajaran
janganlah kita membazir dengan membuang barang-barang yang kita anggap sudah lama atau buruk kerana mungkin barang itu masih boleh digunakan untuk tujuan lain.

Maksud
orang yang berdagang merendah diri dengan mengatakan bahawa dirinya seorang yang tidak berguna dan tidak penting dalam komuniti / masyarakat.
Persoalan
sikap terlalu merendah diri yang tidak kena pada tempatnya
Nilai
merendah diri
baik hati
Pengajaran
-seseorang yang merantau di tempat orang hendaklah menjaga tutur kata dan budi bahasa
-hendaklah kita merendah diri apabila berada di tempat orang.
-janganlah kita bersikap sombong dan ego apabila berada di tempat orang.

Maksud
seseorang lelaki yang ingin menyunting / meminang atau menjadikan seorang gadis sebagai isterinya tetapi gadis itu daripada kalangan orang yang berdarjat tinggi.
Persoalan
ketidakmampuan mengukur kebolehan/keupayaan diri
Nilai
rasional
tidak berputus asa
Pengajaran
-seseorang itu hendaklah bersedia menghadapi cabaran dan dugaan untuk mendapatkan sesuatu yang dihajatinya.
-janganlah kita berputus asa untuk mendapatkan sesuatu yang diidam-idamkan walaupun perkara itu kelihatan sukar untuk diperoleh/ dicapai.
-setiap orang hendaklah berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai hajat/cita-citanya.

Maksud
peringatan supaya kita tidak terlalu mengharapkan sesuatu yang tidak pasti kerana perkara yang kita harap-harapkan itu mungkin tidak akan kita dapati selama-lamanya.
Persoalan
terlalu mengharap sesuatu yang belum pasti
Nilai
berhati-hati
Pengajaran
-janganlah kita mengharapkan sesuatu yang belum pasti boleh kita peroleh kerana kita akan berasa kecewa jika tidak dapat memilikinya.
-hendaklah kita sentiasa berhati-hati dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan dalam kehidupan.

Maksud
seseorang yang bersikap sombong dan bangga akan kebolehan dirinya sehingga memandang rendah akan kebolehan orang lain
Persoalan
bangga akan kebolehan yang dimiliki
Nilai
keberanian
Pengajaran
-janganlah kita bersikap sombong walaupun kita mempunyai kelebihan daripada orang lain.
-janganlah memandang rendah terhadap keupayaan orang yang kelihatan lemah dan tidak berkemampuan jika dibandingkan dengan diri kita.

(c) cikgumie
Tiada ulasan:
Catat Ulasan