16 Mac 2009

NOTA NOVEL BAHASA MELAYU SPM Siri 3

CONTOH SOALAN DAN JAWAPAN


Jawab soalan di bawah. Jawapan anda hendaklah berdasarkan novel-novel berikut:

(i) Terminal Tiga karya Othman Puteh
(ii) Perlumbaan Kedua karya Marwilis Hj. Yusuf
(iii) Di Hadapan Pulau karya A. Samad Said
(iv) Bukit Kepong karya Ismail Johari
(v) Konserto Terakhir karya Abdullah Hussain
(vi) Seteguh Karang karya Tuan Faridah Syed Abdullah
(vii) Julia karya Abu Hassan Morad
(viii) Putera Gunung Tahan karya Ishak Hj. Muhammad

4(a) Watak utama sering diduga dengan pelbagai masalah namun tabah menghadapinya.
Berdasarkan sebuah novel yang anda pelajari, huraikan dua peristiwa yang menggambarkan ketabahan watak utama menghadapi masalah dalam hidupnya. [ 7 markah ]

4(b) Huraikan satu keadaan yang menggambarkan konsep bertimbang rasa diamalkan dalam masyarakat berdasarkan dua buah novel yang anda pelajari. [ 8 markah ]

CONTOH JAWAPAN (untuk pelajar yang memilih novel Perlumbaan Kedua sebagai jawapan 4a)

4(a) Novel yang saya kaji ialah Perlumbaan Kedua karya Marwilis Haji Yusuf.
Terdapat dua peristiwa yang boleh dihuraikan untuk menggambarkan ketabahan watak utama menghadapi masalah atau cabaran dalam hidupnya. Peristiwa yang pertama ialah ketabahan demi mempertahankan maruah kaum. Demi mempertahankan maruah kaum kura-kura daripada dituduh memenangi perlumbaan hanya kerana nasib , Tuk Kura menerima cabaran daripada Sang Arnab Putih supaya diadakan perlumbaan kedua. Tuk Kura dengan tabah menghadapi sindiran kaum arnab yang memperkatakan kekurangan yang ada pada kaum kura-kura dan terus mengatur latihan untuk menghadapi perlumbaan yang bakal diadakan.
Peristiwa kedua ialah ketabahan dalam menghadapi tentangan daripada suku-sakat kura-kura. Ibu bapa kepada kura-kura yang dilatih oleh Tuk Kura tidak bersetuju dengan corak latihan keras yang dilakukan oleh Tuk Kura. Latihan seperti meniti kayu licin dianggap mendera anak-anak mereka. Malahan mereka bertindak mencerca dan memukulnya pula. Tuk Kura tabah menghadapi tentangan daripada suku-sakat kura-kura yang tidak bersetuju dengan corak latihannya yang keras walaupun dirinya dicederakan mereka. Tuk Kura cekal menghadapinya dan hanya mendiamkan diri. Tuk Kura bertindak untuk menyendiri dan mencari ilham untuk memenangi perlumbaan tersebut.

CONTOH JAWAPAN (untuk pelajar yang memilih novel Julia sebagai jawapan 4a)

4(a) Novel yang saya kaji ialah Julia karya Abu Hassan Morad.
Terdapat dua peristiwa yang boleh dihuraikan untuk menggambarkan ketabahan watak utama menghadapi masalah atau cabaran dalam hidupnya. Peristiwa yang pertama ialah peristiwa ketabahan dalam menghadapi dugaan atau ujian Allah. Abah dan mama Julia iaitu Dato’ Bakar dan Datin Maznah telah terlibat dalam kemalangan jalan raya di Karak. Julia menghadapi berita kemalangan abah dan mamanya di Karak itu semasa berada di Hidayah Islamic College dengan penuh ketabahan. Julia berdoa agar mereka selamat. Namun, Julia diberitahu bahawa ibu bapanya telah meninggal dunia dalam kemalangan itu setelah tiba di Kuala Lumpur. Julia menghadapi ujian atau dugaan ini dengan tabah
Peristiwa kedua ialah peristiwa ketabahan dalam menyelesaikan masalah syarikat. Syarikat BMPRO Holdings menghadapi beberapa masalah. Julia tabah menghadapi karenah Encik Baharom yang ingin menjual syarikat BMPRO Transport kepada Datuk Khor serta menimbulkan masalah dalam pengurusan BMPRO Transport. Encik Baharom meninggikan suaranya apabila berhadapan dengan Julia. Ketabahan Julia berhadapan dengan Encik Baharom membuahkan hasil apabila Encik Baharom menyedari kesalahannya dan meminta maaf daripada Julia.
40

4(b) Dua buah novel yang saya kaji ialah Perlumbaan Kedua karya Marwilis Haji Yusuf dan Julia karya
Abu Hassan Morad.
Dalam novel Perlumbaan Kedua, keadaan yang menggambarkan konsep bertimbang rasa diamalkan dalam masyarakat ialah bertimbang rasa terhadap golongan yang lemah. Tuk Kura kelihatan bersusah payah mendaki bukit untuk melihat tempat pertandingan yang bakal diadakan. Atas dasar timbang rasa dan simpati, Sang Gajah menawarkan bantuan untuk membawa Tuk Kura mendaki Bukit Piatu tetapi pelawaan itu ditolak oleh Tuk Kura. Tuk Kura ingin mengetahui keadaan sebenar laluan perlumbaan tersebut.
Konsep bertimbang rasa yang lain dalam novel Perlumbaan Kedua ialah bertimbang rasa terhadap kesilapan atau kesalahan orang lain. Setelah memenangi perlumbaan, anak-anak buah dan suku-sakat Tuk Kura menyedari kesalahan mereka dan meminta maaf daripadanya. Atas dasar timbang rasa , Tuk Kura memaafkan kesalahan anak-anak buah dan suku-sakatnya yang telah memulau dan menderanya.
Manakala dalam novel Julia, keadaan yang menggambarkan konsep bertimbang rasa diamalkan dalam masyarakat ialah bertimbang rasa terhadap kesilapan atau kesalahan orang lain. Julia memaafkan kesalahan atau kebiadapan Encik Baharom walaupun Encik Baharom cuba menipunya. Encik Baharom mahu BMPRO Transport dijual kepada Datuk Khor. Dengan penuh timbang rasa, Julia menasihati Encik Baharom agar membaiki dirinya.
Konsep bertimbang rasa yang lain dalam novel Julia ialah bertimbang rasa terhadap ibu tiri. Ibu tiri Julia, Ummi Sarah mengusahakan Butik BMPRO . Atas dasar timbang rasa dan hormat akan ibu tirinya, Julia menyerahkan pengurusan Butik BMPRO kepada ibu tirinya Ummi Sarah walaupun butik adalah miliknya.


Tiada ulasan: