25 Mac 2009

PANDUAN BAHASA MELAYU SPM KERTAS 1 Siri 9

Pendahuluan Karangan SPM
oleh: cikgu khir kassim http://khirkassim.blogspot.com/
Cara Menulis Pendahuluan Karangan dengan Menggunakan Teknik FACLK
Cikgu mendapati bahawa masih banyak anak murid cikgu yang kurang faham dan menghadapai masalah untuk menulis perenggan pendahuluan yang mantap. Jadi, kali ini cikgu akan membincangkan cara atau panduan untuk menulis pendahuluan karangan. Hal ini perlu diberi perhatian kerana terdapat juga murid yang tidak mementingkan aspek pendahuluan dalam karangan. Buktinya, ada murid yang menulis dua ayat sahaja dalam pendahuluan karangannya. Selain itu ada juga murid yang menulis dua ayat tanya dalam perenggan pendahuluannya. Jadi, siapakah yang akan menjawab soalan tersebut? Jika perkara ini berlaku sudah pastilah markah pendahuluan akan kurang dan markah keseluruhan karangan akan terjejas terutamanya dalam peperiksaan STPM. Karangan yang baik seharusnya mempunyai pendahuluan yang diolah dengan baik dan seimbang dengan perenggan-perenggan yang lain.Sebenarnya, terdapat banyak cara untuk menulis pendahuluan karangan seperti yang terdapat dalam buku-buku panduan menulis karangan di pasaran. Ada penulis yang menyarankan pelbagai cara seperti pendahuluan jenis definisi, sejarah, berdasarkan pandangan tokoh-tokoh, dan sebagainya. Jadi, dalam paparan kali ini saya mencadangkan satu cara lagi untuk memudahkan murid berfikir dan menulis pendahuluan karangan tersebut dengan menggunakan teknik FACLK. Diharapkan teknik ini akan meningkatkan pengetahuan murid untuk menulis pendahuluan karangan, selain yang biasa digunakan oleh murid-murid.Teknik FACLK (Fokus, Akibat, Contoh, Langkah, Kepentingannya)Teknik ini memerlukan murid-murid membina ayat pertama dengan merujuk fokus penyataan (F) dalam soalan. Kemudian, ayat kedua iaitu akibat (A) daripada ayat pertama tadi. Selepas itu, bina pula ayat ketiga iaitu contoh (C) yang boleh dikaitkan dengan penyataan soalan. Seterusnya, murid-murid perlu membina ayat keempat, iaitu langkah (L) dan ayat kelima ialah kepentingannya (K) berdasarkan langkah yang telah diambil tadi. Kemudian, masukkan peribahasa atau gunakan ungkapan menarik, yang dirasakan sesuai dalam mana-mana ayat pendahuluan itu tadi. Jika murid-murid dapat menulis ayat yang ada pertalian rapat antara satu ayat dengan ayat yang lain, sudah pasti pendahuluan itu menjadi satu pendahuluan yang menarik dan mantap. Soalan Contoh 1Kerajaan telah berusaha untuk membanteras gejala rasuah, namun amalan yang berakar umbi dalam kalangan masyarakat ini masih wujud.Pada pendapat anda, mengapakah masalah rasuah perlu dibendung?Perenggan Pendahuluan Contoh 1Kebelakangan ini, kes rasuah semakin bertambah dan nampaknya sukar dibanteras kerana melibatkan pegawai kerajaan dan swasta, ahli politik, dan orang awam. (F) Keadaan ini membimbangkan kita kerana jika dibiarkan, sudah tentu perkara ini akan menjadi seperti api di dalam sekam. (A) Fenomena ini sekali gus akan melahirkan masyarakat yang tiada integriti, contohnya jika seseorang pegawai menawarkan rasuah untuk menutup kesalahan dirinya daripada landasan undang-undang, jelaslah betapa rendahnya akhlak dan maruah dirinya. (C) Oleh itu, semua pihak harus berusaha untuk membanteras gejala rasuah agar masyarakat Malaysia yang amanah dan berintegriti dapat dilahirkan. (L) Hal ini perlu dititikberatkan kerana rasuah perlu dibanteras dari awal iaitu, mencegah lebih baik daripada mengubati sesuatu penyakit. (K)Soalan Contoh 2Bangunan bersejarah tinggalan penjajah pada zaman penjajahan perlu dikekalkan kerana mempunyai nilai warisan yang tinggi.Jelaskan kelebihan bangunan bersejarah tersebut.Perenggan Pendahuluan Contoh 2Bangunan bersejarah tinggalan penjajah pada zaman penjajahan memang banyak terdapat di negara kita yang perlu dikekalkan kerana mempunyai nilai warisan yang tinggi. (F) Bangunan tersebut boleh dijadikan fakta sejarah yang menarik pelancong asing ke negara kita. (A) Oleh itu, Pulau Pinang dan Melaka yang telah diisytiharkan sebagai tapak warisan dunia oleh UNESCO baru-baru ini masih banyak memiliki bangunan bersejarah seperti di Fort Cornwalis di Pulau Pinang dan Bangunan Stadhuyst di Melaka. (C) Jadi, kerajaan kedua-dua buah negeri tersebut perlulah mengekalkan bangunan-bangunan bersejarah tersebut jika tidak mahu perisyhtiharan itu ditarik balik. (L) Oleh itu, langkah yang diambil oleh UNESCO itu perlu disokong kerana hal ini pasti meningkatkan imej negara. (K)Murid-murid harus menyedari bahawa perenggan pendahuluan sama pentingnya dengan perenggan isi dan perenggan penutup. Perenggan pendahuluan juga akan memberikan gambaran atau impression awal tentang keseluruhan karangan murid-murid. Oleh hal yang demikian, cubalah berlatih untuk menulis pendahuluan karangan dengan menggunakan teknik ini. Sebenarnya, banyak cara lagi untuk menulis pendahuluan karangan dan cikgu mendangkan satu lagi teknik tambahan kepada murid-murid. Jadi, murid-murid mempunyai banyak cara yang boleh dipilih untuk menulis perenggan pendahuluan. Bagi calon-calon STPM, biasakan diri dengan menulis perenggan pendahuluan karangan yang panjangnya lebih kurang 90 hingga 100 perkataan. Bagi calon-calon SPM pula, biasakan diri dengan menulis pendahuluan karangan yang panjangnya lebih kurang 50 hingga 60 perkataan. Bagi calon-calon STPM, ingatlah bahawa markah perenggan pendahuluan sudah ditetapkan sebanyak 3 markah, dan kelemahan perenggan pendahuluan akan menjejaskan markah aspek relevan dan juga mempengaruhi markah pengolahan.Oleh; Cikgu Khir Kassim

Tiada ulasan: