Soalan 2c - Pemahaman Prosa Klasik
(c) Percubaan SPM 2010 Negeri Melaka Darul Adzim
Baca petikan prosa klasik di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
Maka berceritalah anak kera itu segala perihalnya itu kepada bapanya. Maka kata bapanya, “Hai anakku, apakah kataku dahulu kepadamu? Sekarang janganlah lagi engkau bersahabat dan bermain-main dengan anak saudagar itu.”
Sungguhpun demikian kata bapanya, tiada jua didengar oleh anak kera itu, sedia kala pergi juga ia bermain-main dengan anak saudagar itu. Adapun luka anak kera itu sudahlah sembuh, tetapi luka anak saudagar itu belum juga sembuh lagi, beberapa pun diubati oleh tabib, tiada juga baik.
Maka kata tabib kepada saudagar itu, “Adapun luka anak tuan hamba ini, jika beroleh hati anak kera itu, sembuhlah.”
Setelah anak saudagar mendengar kata tabib demikian, maka katanya, “Meski hamba mati sekalipun, bahawa sesungguhnya tiadalah hamba mahu membunuh anak kera itu.”
Setelah dilihat oleh saudagar itu luka anaknya itu tiada juga mahu sembuh lagi, maka saudagar itu pun berfikir di dalam hatinya. “Baiklah, apabila datang anak kera itu kubunuh.”
Syahadan, pada suatu hari, datanglah anak kera itu hendak bermain-main dengan anak saudagar itu seperti adat sedia kala juga, maka segera ditangkap oleh saudagar dan dibunuh akan dia, diambilnya hatinya lalu diubatkan anaknya itu. Maka luka anak saudagar itu pun sembuhlah ..(Dipetik daripada Cerita Bayan Tiada Menurut Kata Ibu Bapanya)
(i) Berikan maksud berceritalah anak kera itu segala perihalnya. [2 markah]
(ii) Apakah yang dilakukan oleh saudagar terhadap anak kera tersebut? [3 markah]
(iii) Pada pendapat anda, apakah yang akan terjadi kepada seseorang anak sekiranya
tidak mahu mendengar nasihat ibu bapanya?
[3 markah]
JAWAPAN CONTOH
(i)
Maksud berceritalah anak kera itu segala perihalnya ialah anak kera memberitahu semua peristiwa yang berlaku.
(jawapan diberi dalam ayat yang lengkap, bukan sekadar memberikan maksud frasa sahaja)
(ii)
Saudagar telah menangkap dan membunuh anak kera tersebut. Selain itu, saudagar juga telah mengambil hatinya dan menggunakan hati itu sebagai ubat untuk mengubati anaknya.
(kemukakan 3@4@5 isi jawapan)
(jawapan berdasarkan petikan)
(iii)
(Kemukakan 3@4@5 isi yang berupa pendapat sendiri)
(Soalan berbentuk kemahiran berfikir)
SEMOGA ANDA SEMUA MEMPEROLEH MANFAAT & PANDUAN MELALUI PAPARAN BAHAN ULANG KAJI INI, INSYA-ALLAH
(c) shuhaimi sulaiman mrsm transkrian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan