20 November 2010

ULANG KAJI MENGHADAPI SPM 2010 SIRI 13


PEPERIKSAAN PASCAPERCUBAAN SPM 2010 MRSM TRANSKRIAN
Soalan 2d - Pemahaman Puisi Tradisional
(c) Percubaan SPM 2010 Negeri Pulau Pinang
Baca syair di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
SYAIR KELEBIHAN ILMU
Ilmu itulah gemala sakti,
Sinarnya cerah cahaya sejati,
Asal puncanya lamun didapati,
Sukar bercerai sehingga mati.

Harganya tidak dapat dinilaikan,
Sebuah dunia belinya bukan,
Kuasanya besar sukat digunakan,
Di laut di darat di rimba di pekan,

Masa seorang ialah taulan,
Teman berbeka suluh berjalan,
Masa berhimpun ia pengenalan,
Hias penyata polan si polan,

Bagi yang duka ia penghibur,
I
a penerang bagi yang kabur,
Ialah kandil di dalam kubur,
Lamun dengannya beramal subur.

Ia penerang jalan ke syurga,
Ia pemuas tekak yang dahaga,
Ialah sungai ialah telaga,
Laut yang luas ialah juga.

Ialah alat sangat berguna,
Idaman orang yang bijaksana,
Hamparnya luas amat saujana,
Tepinya ajal sempadannya fana.
ZA’BA

(i) Berikan maksud Ilmu itulah gemala sakti. [2 markah]
(ii) Pada pendapat anda, apakah kesannya kepada negara jika remaja hari ini tidak menguasai ilmu pengetahuan? [3 markah]
(iii) Nyatakan tiga pengajaran yang terdapat dalam syair tersebut. [3 markah]

JAWAPAN CONTOH
(i)
Maksud Ilmu itulah gemala sakti ialah pengetahuan banyak mempunyai manfaat.
(jawapan berdasarkan syair)

(ii) Pada pendapat saya jika remaja hari ini tidak menguasai ilmu pengetahuan, negara akan kekurangan tenaga mahir/tenaga pakar pada masa akan datang. Negara juga akan kekurangan pemimpin pelapis yang berwibawa. Pada pendapat saya, jika remaja tidak menguasai ilmu, negara tidak dapat bersaing dengan negara-negara luar. Negara-negara lain juga akan memandang rendah terhadap negara. Akhirnya, negara terpaksa mengambil tenaga-tenaga mahir dari luar.
(kemukakan 3@4@5 isi yang berupa pendapat calon tentang kesan kepada negara jika remaja tidak menguasai ilmu)
(soalan menguji kemahiran berfikir calon)

(iii)Tiga

engajaran yang terdapat dalam syair tersebut ialah kita hendaklah menuntut ilmu kerana ilmu amat berguna kepada manusia . Selain itu, kita hendaklah menghargai ilmu kerana ilmu amat tinggi nilainya . Kita hendaklah mengamalkan ilmu untuk mencapai cita-cita. Pengajaran lain ialah kita hendaklah menguasai ilmu untuk menjadi maju.

(kemukakan 3@4@5 pengajaran)



Tiada ulasan: