17 Mac 2009

PENGETAHUAN DAN KEMAHIRAN BAHASA Siri 2

CONTOH SOALAN DAN JAWAPAN
MENUKARKAN CAKAP AJUK KEPADA CAKAP PINDAH
Soalan
Tukarkan ayat-ayat cakap ajuk berikut menjadi ayat cakap pindah. Anda dikehendaki mengekalkan susunan isi dalam petikan ini.

Hasmah : Kamil, belajarlah bersungguh-sungguh. Emak nak lihat anak mak berjaya macam Nur Amalina dapat 17 1A dalam SPM tu.
Kamil : Semua orang nak berjaya seperti Nur Amalina tu, mak. Tapi, bukan senang nak lulus cemerlang.
Hasmah : Kalau hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.
Kamil : Mak janganlah risau. Sebenarnya, Kamil dah mula buat kumpulan belajar dengan kawan-kawan. Kami nak belajar sama-sama. Biar kami sama-sama lulus dengan cemerlang.
Hasmah : Alhamdulillah, lega hati mak. Mak doakan kejayaan Kamil dan kawan-kawan tu.
Kamil : Terima kasih, mak.
[ 6 markah ]

Jawapan
Hasmah meminta anaknya, Kamil agar belajar bersungguh-sungguh. Hasmah menyatakan keinginannya melihat Kamil berjaya seperti Nur Amalina yang memperoleh 17 1A dalam SPM tahun terdahulu. Kamil menyatakan bahawa semua orang bercita-cita untuk berjaya seperti Nur Amalina. Kamil menyatakan bahawa bukanlah sesuatu yang mudah untuk lulus dengan cemerlang. Hasmah menegaskan bahawa seseorang yang ingin berjaya akan berusaha bersungguh-sungguh. Menurutnya lagi, ,seseorang yang tidak mahu berjaya akan mengemukakan pelbagai alasan. Kamil meminta ibunya agar tidak berasa risau dan menerangkan bahawa dia dan rakan-rakannya telah membentuk kumpulan belajar kerana mereka mahu belajar bersama-sama. Kamil menegaskan bahawa mereka mahu lulus dengan cemerlang bersama-sama. Hasmah menyatakan kesyukurannya, sambil menyuarakan rasa lega mendengar kata-kata Kamil. Hasmah mengatakan bahawa dia mendoakan kejayaan Kamil dan kawan-kawannya. Kamil mengucapkan terima kasih atas doa ibunya itu.

1 ulasan:

Nur Ema berkata...

boleh ke nk buat cakap ajuk 2 dalam bentuk dialog..? saya ingt kn kna bt dalam bentuk perbualan tetapi masih dlm bentuk petikan (berperenggan)..