04 April 2009

PANDUAN BAHASA MELAYU SPM KERTAS 1 Siri 14

BAHAN UNTUK PENULISAN KARANGAN

REMAJA : PENGISIAN & PENGHAYATAN KEMERDEKAAN
Pengenalan
PATRIOTISME sering kali dikaitkan dengan kesetiaan dan kecintaan seseorang terhadap negaranya sendiri. Seseorang itu dianggap patriot apabila tindakan dan amalannya menepati ciri-ciri patriotisme yang berteraskan kecintaan dan kesetiaan kepada negara. Dalam dunia globalisasi dan ledakan era teknologi maklumat, semangat patriotisme amat penting seperti yang sering disebut melalui sabda Rasulullah, `kasihkan watan itu sebahagian daripada iman'. Syeikh Daud Abdullah al-Fatani, seorang ulama besar Patani pernah mengingatkan kita bahawa mempertahankan negara daripada penjajahan ataupun tekanan kuasa asing adalah fardu ain.

Membebaskan Diri Daripada Belenggu Masalah Sosial
Walaupun telah 51 tahun kita merdeka dengan pelbagai kejayaan gemilang yang kita peroleh, dengan kemajuan yang semakin pesat serta kemakmuran yang semakin melata, kita sering kali dibelenggu oleh pelbagai isu nasional termasuklah masalah sosial yang tidak putus-putus. Kemelut sosial ini yang menjadi ’barah’ besar rakyat di negara ini harus dihadapi dengan penuh persediaan . Apabila negara semakin maju serta mencapai segala bentuk kemajuan material, kekangan besar mereka adalah modus operandi untuk memimpin golongan muda terutama golongan pelajar agar menghargai kemerdekaan. Penghargaan ini adalah satu perkara yang sangat penting kerana tanpa diberi pemahaman yang jelas pasti kemerdekaan ini akan tinggal sejarah.
Anak-anak muda alaf baru hanya mengenal merdeka dari kaca mata sejarah. Kemerdekaan yang dicapai tidak dilihat daripada perspektif pengorbanan, maruah diri dan perpaduan. Kefahaman tentang merdeka itu hanya diberi sekadar kulit dan material. Budaya kasih akan negara, cinta akan kedamaian dan keazaman untuk menghancurkan segala anasir buruk yang hendak menghancurkan negara pasti tidak berlaku, sekiranya erti merdeka tidak ditanam sedalam-dalamnyaPemahaman dan falsafah merdeka harus diterjemah dengan makna dan interpretasi yang jelas khususnya dalam memimpin generasi muda. Mereka harus dididik dengan jelas tentang rasionalnya mereka harus memahami makna merdeka dan bagaimana mereka harus membuktikan kesetiaan dan kasih mereka akan negara secara jelas dan benar.
Golongan lama boleh memikirkan metodologi yang berkesan supaya anak-anak pascamerdeka ini tidak akan hanya pandai menyebut merdeka tetapi tidak langsung menjiwai erti kemerdekaan sebenarnya.Kecintaan kepada negara ini haruslah disemai pertamanya, sejak di bangku sekolah lagi melalui aktiviti-aktiviti persekolahan yang memfokuskan program dan aktiviti menanam sikap kasih akan negara. Sikap sebegini tidak perlu tunggu semata-mata ketika hampirnya saat merayakan kemerdekaan tetapi sebaliknya haruslah secara berterusan.Konteks kecintaan ini ada hubung kaitnya dengan agama dan iman seseorang. Sebab itu program-program patriotisme dan aktiviti harus digiatkan sama ada di dalam atau di luar sekolah agar budaya ini tidak hanya jadi siulan semata-mata.
Kedua, kita perlu mengajar erti kemerdekaan ini bukan dari aspek konteks sejarahnya sahaja, seperti kita hanya mengenal siapa dia Tunku Abdul Rahman, Tun Abd. Razak, siapa dia Datuk Bahaman, Datuk Maharajalela, (sekadar menyebut beberapa nama). Dasar perjuangan mereka yang sebenarnya perlu disemat dalam dada para remaja terutama pelajar-pelajar sekolah. Episod-episod perjuangan dari segi susur galur yang berlaku pada ketika itu, punca penentangannya, cara penentangan berlaku dan alasan-alasan penentangan perlu kita telusuri. Ini merupakan kaedah yang harus disentuh untuk dijelaskan kepada anak muda. Kepercayaan kita akan perjuangan mereka ini bukan sahaja dari aspek personaliti semata-mata tetapi lebih daripada itu. Ini adalah landasan perjuangan yang tidak putus-putus yang akhirnya membawa kepada hasil yang amat besar dan berkesan.
Ketiga, kefahaman remaja bahawa kemerdekaan yang paling utama pada ketika dan saat ini idalah merdeka jiwa daripada segala bentuk penjajahan sama ada material atau spiritual. Merdeka jiwa maknanya satu proses kebebasan daripada belenggu serta anasir yang mengongkong pemikiran, budaya kerja dan segala yang berkaitan dengan ilmu pengetahuan. Jiwa yang merdeka adalah jiwa yang sentiasa subur dengan elemen-elemen positif yang mampu untuk membentuk gambaran kehidupan secara lebih baik.
Manusia yang merdeka jiwanya adalah orang yang mempunyai akal fikiran yang positif, gerak kerja yang pantas serta melakukan tindakan mengikut tatasusila yang berlandaskan nilai-nilai yang baik. Orang seperti ini yang ingin kita lahirkan.
Mempunyai jiwa dan akal yang bersih hasil daripada pendidikan serta tarbiah yang sebenar-benarnya.
Jiwa merdeka juga ada hubung kaitnya dengan membebaskan diri daripada belenggu kebendaan. Maknanya golongan yang merdeka jiwa adalah mereka yang tidak mudah dibeli dengan wang ringgit dan tidak semudahnya dibuai dengan nilai dan kemewahan dunia.
Kejayaan negara dan bangsa disambut dengan penuh rasa insaf dan yakin melalui usaha dan pengorbanan serta gerak kerja yang sebenarnya. Golongan yang merdeka jiwanya juga adalah mereka yang sentiasa positif dalam melakukan kerjanya demi kemajuan dan kemakmuran negara.

Tiada ulasan: