07 April 2009

PENGETAHUAN DAN KEMAHIRAN BAHASA Siri 13

JAWAPAN LATIHAN MENUKARKAN AYAT AKTIF KEPADA AYAT PASIF
Assamualaikum.
Berikut saya paparkan jawaban/jawapan bagi Latihan Menukarkan Ayat Aktif kepada Ayat Pasif yang terdapat dalam siri 9.

Tukarkan ayat-ayat aktif di bawah kepada ayat pasif tanpa mengubah maksud asalnya.

1. Guru disiplin menahan pelajar itu selepas perhimpunan kerana melanggar peraturan sekolah.
Pelajar itu ditahan oleh guru disiplin selepas perhimpunan kerana melanggar peraturan sekolah.

2. Ibu bapa sewajarnya mengawal anak-anak supaya mereka tidak bergaul dengan budak- budak nakal.
Anak-anak sewajarnya dikawal oleh ibu bapa supaya mereka tidak bergaul dengan budak-budak nakal.

3. Guru Bahasa Melayu menghadiahi pelajar itu sebatang pen setelah berjaya memperoleh gred A dalam peperiksaan SPM.
Pelajar itu dihadiahi oleh guru Bahasa Melayu sebatang pen setelah berjaya memperoleh gred A dalam peperiksaan SPM.

4. Kakitangan di syarikat itu bakal menerima bonus tiga bulan gaji pada penghujung tahun ini.
Bonus tiga bulan gaji bakal diterima oleh kakitangan di syarikat itu pada penghujung tahun ini.

5. Pekedai tidak boleh menaikkan harga barang-barang keperluan sewenang-wenangnya khususnya pada musim perayaan.
Harga barang-barang keperluan tidak boleh dinaikkan oleh pekedai sewenang-wenangnya khususnya pada musim perayaan.

6. Pelancong dari luar negara sering melawati tempat-tempat peranginan yang indah itu.
Tempat-tempat peranginan yang indah itu sering dilawati oleh pelancong dari luar negara.

7. Ibu saya menjual kuih-muih tradisional di pasar tani pada setiap hujung minggu.
Kuih-muih tradisional dijual oleh ibu saya di pasar tani pada setiap hujung minggu.

8. Kami akan mendaki Gunung Kinabalu pada bulan Disember nanti.
Gunung Kinabalu akan kami daki pada bulan Disember nanti.

9. Pembantu rumahnya menghidangi tetamu makanan yang lazat.
Tetamu dihidangi pembantu rumahnya makanan yang lazat.

10. Ruang udara yang berjerebu itu telah menjejaskan pernafasannya.
Pernafasannya dijejaskan/terjejas oleh ruang udara yang berjerebu itu.

11. Saya telah menulis satu karangan tentang teknologi maklumat di Malaysia.
Satu karangan tentang teknologi maklumat di Malaysia telah saya tulis..

12. Kerajaan akan mengurangkan perbelanjaan sektor awam terutama perkhidmatan.
Perbelanjaan sektor awam terutama perkhidmatan akan dikurangkan oleh kerajaan.


13. Engkau hendaklah memperbaharui lesen memandumu dengan segera.
Lesen memandumu hendaklah engkau perbaharui dengan segera.

14. Beliau menyampaikan cenderamata itu kepada Menteri Pelajaran Malaysia.
Cenderamata itu disampaikan oleh beliau kepada Menteri Pelajaran Malaysia.

15. Kerajaan akan memberikan bantuan pakaian dan kewangan kepada pelajar-pelajar miskin.
Bantuan pakaian dan kewangan kepada pelajar-pelajar miskin akan diberikan oleh kerajaan.

16. Polis trafik akan mengadakan operasi besar-besaran pada musim perayaan bagi mencegah kemalangan jalan raya terutama melalui Ops Sikap.
Operasi besar-besaran pada musim perayaan akan diadakan oleh polis trafik bagi mencegah kemalangan jalan raya terutama melalui Ops Sikap.

17. Kerajaan akan memperlebar dan memperdalam Sungai Kerayong melalui projek Terowong SMART.
Sungai Kerayong akan diperlebar dan diperdalam oleh kerajaan melalui projek Terowong SMART.

18. Kilang itu memberhentikan pengeluaran beras untuk sementara waktu.
Pengeluaran beras diberhentikan oleh kilang untuk sementara waktu.

19. Kerajaan dapat mengurangkan masalah pengangguran di negara kita dengan menghantar pekerja asing pulang.
Masalah pengangguran di negara kita dapat dikurangkan oleh kerajaan dengan menghantar pekerja asing pulang.

20. Kita perlu menghulurkan bantuan kepada anak yatim.
Bantuan perlu kita hulurkan kepada anak yatim.

Tiada ulasan: