05 April 2009

PANDUAN BAHASA MELAYU SPM KERTAS 1 Siri 17

BAHAN UNTUK PENULISAN KARANGAN

AMALAN GAYA HIDUP SIHAT

· Sentiasa bersenam
- iaitu melakukannya secara betul dan terancang. Senaman dilakukan bukan secara paksaan kerana akan memberi kesan yang tidak baik kepada fizikal kita.
· Mematuhi amalan pemakanan dengan baik
- iaitu menentukan bahawa jenis-jenis makanan yang kita makan itu seimbang dan tidak terlalu berlemak, manis atau masin.
· Melakukan pemeriksaan kesihatan diri
- iaitu dengan memastikan pemeriksaan dilakukan oleh doktor yang bertauliah secara konsisten. Langkah ini bertepatan dengan konsep mencegah adalah lebih baik daripada mengubati.
· Menjaga kebersihan diri
- iaitu memastikan tubuh badan kita bebas daripada sebarang kotoran.

Kempen Cara Hidup Sihat mula-mula dilancarkan pada tahun 1991, dan fokus pada peringkat awalnya adalah kepada penyakit-penyakit yang berkaitan dengan cara hidup seperti penyakit jantung, AIDS, kanser dan diabetis. Manakala fasa kedua kempen ini mulai tahun 1997 telah mengalihkan fokusnya kepada promosi amalan-amalan tertentu yang boleh dilakukan sendiri oleh individu bagi membaiki taraf kesihatannya seperti Makan Untuk Kesihatan, Senaman dan Kecergasan Fizikal, Promosi Keselamatan dan Pencegahan Kecederaan, Promosi Kesihatan Mental dan Promosi Keluarga Sihat.
Pada tahun 2002, Kementerian Kesihatan Malaysia memberi tumpuan kepada satu tema baru iaitu Promosi Persekitaran Sihat. Promosi Persekitaran Sihat adalah tema yang penting kerana persekitaran yang bersih, sihat dan selamat merupakan keperluan asas manusia. Persekitaran kita perlu dilindungi supaya kita dapat menikmati kehidupan yang sihat pada masa kini dan masa depan. Sekiranya keseimbangan antara manusia dan persekitaran terganggu, kemungkinan besar manusia akan menghadapi pelbagai masalah kesihatan seperti kemunculan penyakit bawaan makanan dan air, penyakit-penyakit bawaan vektor, pencemaran udara dan keadaan-keadaan lain yang memudaratkan kesihatan kita. Oleh itu, adalah wajar kita memberi tumpuan kepada perkaitan rapat antara cara hidup dan persekitaran kita melalui Kempen Cara Hidup Sihat

Sejajar dengan keprihatinan kerajaan terhadap pemeliharaan alam sekitar, banyak kempen besar-besaran telah dijalankan di negara ini, seperti Program Bandar Raya Sejahtera, Kempen Cintailah Sungai Anda, Kempen Bersih dan Indah, Kempen Menghijaukan Alam, Kempen Kitar Semula dan Kempen Antinyamuk & Kebersihan Nasional. Kempen Promosi Persekitaran Sihat menyokong dan memperkukuh kempen-kempen tersebut lagi.Jalinan kerjasama antara Kementerian Kesihatan dan agensi-agensi kerajaan yang lain serta badan-badan bukan kerajaan amatlah penting, memandangkan kesihatan adalah tanggungjawab semua.

Kempen Promosi Persekitaran Sihat tertumpu kepada tiga skop yang mempunyai implikasi secara langsung ke atas kesihatan, iaitu :-
1. Mewujudkan dan memastikan persekitaran dalaman dan luaran di rumah, sekolah atau tempat kerja yang bersih dan sihat
2. Memastikan udara dalaman seperti di rumah, sekolah, tempat kerja dan kawasan-kawasan larangan merokok bebas daripada asap rokok
3. Mewujudkan dan memastikan premis makanan dan pengendalinya adalah bersih untuk menjamin keselamatan makanan.
Persekitaran luaran dan dalaman yang bersih sangat penting kerana pelbagai penyakit berjangkit boleh berpunca daripada persekitaran yang kotor. Umpamanya, pembuangan sampah sarap yang tidak betul bukan sahaja menyakitkan mata bahkan menjadi sarang pembiakan pelbagai vektor atau pembawa penyakit seperti nyamuk Aedes, lipas, lalat dan tikus. Sebagai contoh, kadar insiden penyakit demam denggi di Malaysia telah meningkat dari 15 kes tiap 100,000 penduduk pada tahun 1994 kepada 123 kes tiap 100,000 penduduk pada tahun 1998. Pada tahun 1998, Malaysia telah melaporkan jumlah kes demam denggi yang tertinggi yang pernah dilaporkan, iaitu 27,381 kes dengan 82 kematian. Semenjak itu, ekoran kempen-kempen kebersihan yang dilaksanakan, khasnya Kempen Antinyamuk & Kebersihan Nasional yang diterajui oleh YB Timbalan Perdana Menteri sendiri, kadar tersebut telah menurun kepada 31 kes tiap 100,000 penduduk pada tahun 2000. Walaupun ini adalah petanda baik, namun memberi amaran kepada penduduk Malaysia supaya lebih berwaspada tentang tahap kebersihan persekitaran.
Jika dilihat dari aspek tempat-tempat yang terdapat pembiakan nyamuk Aedes, aktiviti-aktiviti pemantauan tahun 2001 mendapati tapak pembinaan mencatat -kan Indeks Aedes yang tertinggi dengan kadar 9% (iaitu dari 100 tapak yang diperiksa, 9 didapati ada pembiakan nyamuk aedes). Manakala tempat pembuangan sampah ialah 8%, projek perumahan terbengkalai dan kilang-kilang ialah 5%, pejabat kerajaan 4% dan rumah kediaman kurang dari 1%.
Satu lagi komponen persekitaran yang penting ialah udara yang bersih. Walaupun terdapat banyak sumber pencemaran udara, yang menjadi tumpuan Kementerian Kesihatan ialah asap rokok. Asap rokok menyumbang kepada 80% pencemaran udara dalam rumah atau bangunan. Asap rokok bukan sahaja menjejaskan kesihatan perokok tetapi turut menjejaskan kesihatan bukan perokok. Seperti yang kita sedia maklum, asap rokok mengandungi 4,000 jenis bahan kimia dan hampir 60 daripadanya penyebab kanser. Dianggarkan lebih kurang 10,000 kematian yang berlaku di negara ini setiap tahun ada kaitan dengan merokok. Walaupun demikian, masih ramai rakyat kita yang terus menghisap rokok dengan mengabaikan kesihatan diri, rakan-rakan dan ahli keluarga.
Kajian Kementerian Kesihatan pada tahun 1996 menunjukkan kadar merokok kebangsaan di kalangan orang dewasa secara keseluruhannya ialah hampir 25% berbanding dengan 22% pada tahun 1986. Manakala kadar merokok di kalangan lelaki dewasa telah meningkat daripada 41% kepada 49% dalam tempoh yang sama. Kadar merokok di kalangan remaja yang berumur di bawah 18 tahun secara keseluruhannya ialah hampir 17%. Kadar ini jauh lebih tinggi di kalangan remaja lelaki iaitu 31%, berbanding dengan 5% di kalangan remaja perempuan.
Bagi melindungi hak bukan perokok untuk menikmati udara yang bersih dan bebas daripada asap rokok, kerajaan telah mewartakan tempat-tempat awam yang tertentu sebagai kawasan larangan merokok. Di bawah Peraturan 10, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 1993, terdapat 20 tempat yang telah diwartakan sebagai `Kawasan Larangan Merokok'. Usaha untuk mengenal pasti dan mewartakan tempat-tempat awam yang lain sedang dan akan diteruskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia demi melindungi kesihatan rakyat Malaysia.

Persekitaran yang bersih dan sihat juga meliputi premis makanan yang mengutamakan kebersihan dan keselamatan makanan. Apabila kebersihan premis makanan dan keselamatan makanan tidak diberi perhatian, pelbagai penyakit bawaan makanan dan air seperti taun, tifoid dan keracunan makanan boleh berlaku. Pada tahun 1999, bilangan kes keracunan makanan yang dilaporkan ialah 8,640 kes, manakala jumlah pada tahun 2000 ialah 8,129 kes, dan dalam tempoh 10 bulan pertama tahun 2001 sebanyak 5,266 kes. Analisa mendapati banyak kejadian keracunan makanan berlaku di dewan makan asrama dan kantin sekolah. Cara penyimpanan makanan yang tidak sempurna, pengendali makanan yang mengabaikan kebersihan diri serta tahap kebersihan tempat dan alat penyediaan makanan yang tidak memuaskan merupakan faktor-faktor utama berlakunya episod keracunan makanan.

Usaha untuk mempertingkatkan langkah kawalan dan pencegahan sedang giat dijalankan oleh Kementerian Kesihatan. Mengikut statistik Kementerian Kesihatan, peratusan premis makanan yang tidak bersih (iaitu di bawah 50 peratus dalam penilaian) telah menurun daripada 14% pada tahun 1997 kepada 5% pada tahun 2000 dan dijangka turun lagi dalam tahun 2001. Peratusan premis makanan yang berada di tahap lebih 75 peratus pula telah meningkat dari 19% pada tahun 1998 kepada 28% pada tahun 2000 dan 32% dari Januari sehingga Oktober 2001. Walaupun ini adalah satu petanda yang baik, namun kita tidak harus berpuas hati dengannya, tetapi perlu ditingkatkan lagi melalui kempen ini.

Menyedari kepentingan amalan sanitasi yang dipraktikkan oleh pengendali makanan, Kementerian Kesihatan bersama Pihak Berkuasa Tempatan telah menjalankan kursus untuk mempertingkatkan kesedaran, pengetahuan dan kemahiran pengendali makanan, terutama pengusaha restoran dan gerai. Mulai tahun 1996, kursus ini telah diperluas dengan wujudnya Sistem Pengiktirafan Institusi Swasta oleh Kementerian Kesihatan. Sejak tahun 1996 seramai hampir 108,400 orang pengendali makanan telah diberi latihan di 79 institusi latihan yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan.

Tiada ulasan: